2

Other Series 56144

MONDAY BLUES! Tiba saja hari Isnin, automatik dia rasa tulang empat keratnya malas nak bagi kerjasama. Seolah-olah ada tarikan magnet saja yang terus memaksanya untuk melanjutkan perjalanan ke alam mimpi. Namun dia sedar. Dia bukanlah orang kaya yang senang-senang saja duit datang menyembah! Dia harus tetap berkerah tenaga mencari wang untuk kesenangan di kemudian hari.


Selesai bersiap, dia membelek wajah dan penampilannya melalui cermin solek. Rambut pendeknya ala-ala Anjali dalam cerita Kuch Kuch Hota Hai itu dirapikan lagi. Berpuas hati, dia memandang dirinya dari atas ke bawah. Walaupun dia secara azalinya memang dilahirkan sebagai perempuan, namun maaf! Alat solek, high heels, gaun ,itu bukan seleranya. Dia lebih selesa menggunakan sneakers, itu pun yang dibelinya empat tahun lepas. Baju t longgar yang boleh muat tiga orang Fatin sekaligus! Seluar jeans biasa, dan peneman setianya, beg sandang berwarna kuning itu!


Wajahnya pula tak dirias dengan sebarang alat mekap kerana dia memiliki seraut wajah yang cukup sempurna. Kalau saja dia mengenakan mekap, mahunya Nabihah itu gelakkan dia 7 hari 7 malam! Arghhh!! Gara-gara itu, Fatin kerap kali menasihatinya agar terlihat cantik selalu. Agar dia dipandang tinggi oleh orang sekeliling. Malah, Fatin sendiri dengan relanya sudi menghabiskan duit buat perawatan wajah dan penampilannya.

Dia? Hmm... jauh panggang dari api! Cakaplah berbuih mulut sekalipun, dia takkan pernah setuju dengan idea gila si Fatin itu. Cukup sudah si mereng Anas itu tunjuk wajah selambanya, dia tak mahu tambah kegilaan mereka lagi!


"Morning auntie Rock!" sapa Ayish di meja makan. Natrah tergelak lantas mensasarkan kedua pipi Ayish.


"Haaa, rock rock! Berapa kali dah akak cakap. Jangan pakai macam ni. Segan aku, tau tak?"


Natrah buat muka selambanya sambil melabuh punggung di sebelah Ayish. Bihun goreng dicedok ke dalam pinggan bersama dengan sebiji karipap. Dia malas hendak menyibuk dengan leteran Nabihah itu. Mood Monday blues harus diisi dengan Holy Monday! Kalau tak, sehari-hari nanti moodnya bakalan swing!!


"Kau dengar tak apa kakak kau yang cantik ni cakap?" Nabihah sudah melabuh duduk di hadapan Natrah. Wajah adiknya dipandang. Sekali pandang, macam Amy Mastura! Dua kali pandang, macam Amy Search!


"Yelah, aku dengarlah! Sebabkan kau tu cantik, aku tak naklah saham kau jatuh. Nanti kalau aku pakai cantik-cantik, satu blok ni datang menyapa tau?! Lagipun, yang kau nak segan ni apasal? Aku pakai baju kot ,bukannya naked!"


"Seganlah! Silap-silap haribulan aku fikir lelaki mana yang dok menumpang rumah teres ni. Kau ni dah tak serupa perempuan tahu tak? Tak boleh ke kau ubah sikit cara pakaian kau tu?"


"Lantaklah! Aku selesalah macam ni. Kau jangan risaulah kak. Walaupun aku ni tak serupa perempuan, aku masih lagi minat dengan lelaki tau"


"Ohh.. Pandai pulak cakap pasal hal lelaki bagai! Kau nak kawen ke?" Nabihah mulai merisik. Sejak kecil lagi, dia tak pernah nampak Natrah berkepit dengan mana-mana lelaki. Yang ada pun, hari-hari wajah si hitam manis Anas itu sahaja yang muncul! Ke dia senyap-senyap bercinta dengan Anas?


"Simpang malaikat 44! Selamba badak je kan kau cakap macam tu? Ada ke aku cakap aku nak kawen?" marah Natrah. Dua perkara yang dia tidak suka dalam hidup- cinta dan perkahwinan!


"Dah kau cakap kau minat lelaki, memanglah automatik aku fikir ke arah gerbang perkahwinan. Nanti laki kau tu mesti yang jenis lembut kan? Kau dah kasar, dia mesti yang bertentangan dengan kau"


"Dah. Dah. Aku tak nak bahas pasal benda ni. Kalau kau nak kawen sangat, kaulah pergi cari. Aku dah lewat ni" Natrah bangkit lantas mencium pipi Ayish. Kemudian, beralih ke arah Nabihah. Tangan itu dikucup beserta kucupan di pipi.

"Aku tak habis cakap lagilah. Susah betul bercakap dengan seketul batu macam tu! Eeee!"


"Umi, siapa yang nak kawen?" Ayish tiba-tiba menyampuk.


"Hishh, Ayish tak boleh masuk campur urusan orang tua. Dah! Habiskan sarapan tu. Nanti bas sekolah datang" Cepat-cepat Nabihah melarang.

SELESAI menghabiskan sarapan, laju saja kereta MyVi hitamnya itu memecut di jalan raya. Dia harus cepat-cepat kerana bosan mendengar cacian demi cacian daripada keluarga tirinya itu. Ehsan yang tak pernah penat iri dan berburuk sangka padanya. Datin Jenny yang sentiasa dengan mulut becoknya itu manakala si pendiam Datuk Elias yang bagaikan tiada fungsi dan peranan saja sebagai seorang suami!


Nasib ada Tuan Kassim, jika tidak dia pasti tidak tahan menghadap kata-kata kesat mereka semua. Ada sahaja salahnya, semuanya serba tak kena. Adakalanya, dia sendiri sudah bosan memenuhi dan memuaskan kehendak semua orang. Alih-alih, dia juga yang terkena tempiasnya.


Benang kait yang tersimpan rapi di atas dashboard dan dibentuk menjadi seperti cincin itu dipandang sepi. Sebuah senyuman dilemparkan tatkala matanya bertembung dengan cincin tiruan itu. Dia teringat akan seseorang. Kecekalannya, kekuataannya dan keberaniannya bersuara menentang sesiapa sahaja. Sehingga ke saat itu, kenangan itulah yang menjadikan dia semakin kuat dan bertahan.

Lamunan Eirfan tiba-tiba musnah tatkala suara bising dari luar kedengaran. Dia mengucap panjang tatkala menyedari kelibat seorang gadis yang terjatuh di bahu jalan dengan skuter kuningnya. Dia memberhentikan kereta berhampiran dengan gadis itu. Dia yang salah kerana cuai dalam pemanduannya.


Cepat-cepat dia keluar dari kereta dan menghampiri gadis itu.


"Errrr, cik. Saya mintak maaf. Saya tak nampak cik tadi"


"Mana kau taruk mata tu haa?? Dalam banyak-banyak manusia atas jalan tu, kenapa aku jugak yang kau tibai? Buta ke apa?" Natrah sudah mengomel. Sakit pula hatinya harus berhadapan dengan nasib malang seawal pagi itu.


Eirfan menelan liur. Lantangnya suara. Kasar betul! Lelaki ke perempuan ni? Tapi suara tu...


Natrah menoleh dengan wajah cemberutnya. Dia berusaha untuk berdiri dan menghadap lelaki itu yang jauh lebih tinggi daripadanya.


"Ohh patutlah langgar orang sesuka hati! Pakai kereta mewah youuu! Memang macam ni ke fiil orang ada kereta besar?"


Anak mata Eirfan tak berkelip memandang raut wajah cantik itu. Bibirnya bak bertih jagung saja, tak henti-henti mengomel. Eirfan kenal gadis itu! Dia tahu siapa gadis becok di hadapannya! Masakan dia lupa pada suara dan aura samseng itu. Tiba-tiba saja, dia mengulum senyuman. Entah kenapa hatinya tercuit dengan bibir becok itu.


"Awak nak ganti ke tak skuter saya ni? Saya ni orang susah, punyalah payah kumpul duit bertahun-tahun baru dapat beli besi buruk ni. Awak senang-senang je nak langgar kan?"


Omelan demi omelan dari bibir becok itu menggelikan hatinya. Hatinya senang dengan aura gadis itu.


Natrah tak puas hati! Dia mendekati Eirfan dan bertentang mata dengannya. Penumbuknya digumpal, bila-bila masa saja boleh singgah di wajah penuh ketenangan itu.


"Awak nak tumbuk saya ke?"


Pertanyaan lelaki itu membingungkan Natrah. Aikk, macam mana dia tahu? Penumbuk tadi segera dileraikan.

"Awak tak berubah langsung kan?" Eirfan tergelak kecil. "Dari dulu sampai kini, sifat samseng tu memang tak boleh buang ke macam mana? Jenuh orang sekeliling awak nak tegur awak"


Haaaa?? Natrah kebingungan. Dia kenal ke lelaki itu? Mengapa pula lelaki itu berbicara seolah-olah mereka saling mengenali? Atau, itu adalah trick penjahat??


"Ohhh kau penjahat kan? Kau sengaja cakap yang kau kenal aku, lepas tu kau nak rompak aku kan? Jangan ingat aku tak tahu!"

Wajah Eirfan berubah secara tiba-tiba. Sungguh tak disangka cara pemikiran Natrah itu. Lebih mengejutkan apabila Natrah mula mengajukan sebatang kayu ke arahnya.


"Awak salah faham ni!" Eirfan berganjak satu langkah ke hadapan.

Natrah berundur dua tapak ke belakang. Wajahnya bengis.


"Saya boleh jelaskan!" desak Eirfan. Keadaan semakin tegang apabila orang ramai mula menyaksikan 'pergaduhan' mereka di situ.


"Jangan dekat! Kalau tak, aku pukul dengan kayu ni!" Natrah memberi amaran keras. Dia bersedia kalau-kalau lelaki itu melakukan sesuatu yang buruk.


"Cik, kenapa ni?" Seorang wanita dan lelaki yang menaiki kereta Honda Jazz mendekati mereka.


Eirfan sudah gementar. Jika dia melarikan diri, dia akan dianggap salah di mata Natrah. Namun jika dia kekal di situ, entah bagaimana nasibnya nanti.


"Dia ni!" Natrah menghayun kayu tadi ke arah Eirfan. Mujur saja lelaki itu sempat mengelak ,jika tidak wajahnya yang sempurna itu akan cacat!


"Dia nak rompak saya!" adu Natrah.


"Haaaa?!" Eirfan tercengang. "Tak! Semua ni salah faham!"

PINTU LIF terbuka luas. Natrah menapak keluar sambil mengurut dada. Nasibnya baik kerana dengan pertolongan suami isteri tadi, dia terselamat daripada orang jahat. Lelaki yang cuba merompaknya tadi telah dibawa ke balai polis. Skuternya pula telah dihantar ke bengkel berdekatan, itu juga kerana pertolongan suami isteri tadi. Sekali lagi, nasibnya baik kerana pasangan suami isteri tersebut sanggup menghantar ke tempat kerja.


Tiba sahaja di meja kerjanya ,dia melabuh punggung di kerusi. Keluhan beratnya kedengaran. Kertas kerja yang berlonggokan di atas meja dipandang sepi. Baru dia teringat, laporan kemasukan data belum lagi disiapkan.


Sedang tangannya sibuk menyiapkan kerjanya, Hasma dan Azizah menghampiri mejanya.


"Ara!" Meja kerja Natrah bergoyang dek kerana Azizah.


"Apa?" tanya Natrah namun matanya masih melekap pada fail tadi.


"Lambat kau masuk hari ni" ujar Hasma.


"Ada accident tadi"


"Siapa yang accident?" Azizah dan Hasma serentak menyoal.


"Ara! Ada orang nak rompak Ara tadi. Nasib baik orang selamat. Perompak tu dah dihantar ke balai polis" jawab Natrah.


"Ada ke orang nak merompak siang-siang terang macam ni?" Azizah aju soalan.


Natrah mengeluh lantas menjamah wajah kedua mereka.


"Kalau orang dah terdesak perlukan duit, dia tak kira siang ke malam ke. Hujan ke, panas ke, salji ke, musim bunga ke..."


"Okay stop!" Laju Azizah mencelah. "Kau ni kan ,kalau dibiarkan sampai ke Subuh esok baru mulut kau tu selesai pot pet pot pet!"


Mengekek Hasma mendengar bidasan Azizah itu. Mereka berdua, bahkan satu syarikat itu mengenali sikap dan peribadi Natrah. Orangnya lasak dan kasar tetapi hatinya baik. Selama mereka bekerja bersama, tidak ada satu komplen pun yang dibuat ke atas Natrah. Mereka juga senang bekerja dengan gadis lasak itu.


Natrah menjeling. Perlilah tu! Malas hendak ambik peduli, Natrah menyambung kerjanya semula.


"Hari ni, Encik Ehsan masuk ke?" tanya Azizah kepada Hasma.


"Tak sure pulak aku. Kenapa?" sahut Hasma.


"Kau tahu cerita tak? Dengar kata, Encik Ehsan dah putus tunang dengan Cik Soraya"


"Haaaa?" Anak mata Hasma membulat. Sungguh tak diduga akan perkara itu. Sedangkan selama ini seluruh syarikat mengenali pasangan sejoli itu. Sama padan sama cantik!


"Mana kau dengar berita ni?" Hasma tak percaya.


"Ala, aku kan follower Cik Soraya dalam instagram! Aku tahulah. Semalam, dia upload gambar diorang and caption dia ada simbol broken heart. Sebelum ni kan, dia tak pernah upload gambar macam tu. Selalu yang sweet je!"


"Biar betik?!"


Natrah menjeling. Bergosip aje kerja diorang ni! Dahlah bergosip kat meja aku.


"Betik tak betik, kalau nak bergosip, pergi jauh-jauh! Jangan kat sini. Semaklah! Banyak nyamuk tahu tak?!" halau Natrah.


"Alaa nak bergosip sesama kita je, apa salahnya!" sampuk Azizah.


"Kalau korang nak bergosip, tu hal korang. Jangan angkut aku sekali! Aku tak minat benda remeh macam tu!"


"Yelah-yelah! Ni aku nak pesan sesuatu kat kau. Jangan nak dekat sangat dengan Encik Ehsan tu! Nanti tak pasal-pasal kau tersangkut pulak dengan dia!"


"Ewah! Ewah! Mulutttt!! Ingat aku berkenan sangat ke dengan dia tu? Setakat berlagak dengan harta mak bapak macam tu, mintak maaflah ye?! Aku tak terdesak pun! Encik Ehsan tu, kalau tak kerana mak bapak dia, kau ingat ada ke perempuan yang nak kat dia? Kaya pun menumpang harta mak bapak, apa class?!"


"Hishhh!! Lagi seronok kalau dapat yang pandai berusaha sendiri, berdikari sendiri. Tu baru best!"


Hasma dan Azizah terdiam. Masing-masing membeku di situ. Entah aura apa yang menyelubungi, segala bulu pada badan menaik. Wajah mereka berubah serius.


"Apasal korang diam? Biasanya koranglah kaki reporter kat sini" Natrah hairan melihat kedua mereka menyepi. Padahal merekalah yang suka sangat bertengkar dengannya.


Wajah Azizah mempamerkan senyum paksa. Dia menunding jari ke arah belakang Natrah.


Reaksi ketakutan Azizah dan Hasma membuatkan hati Natrah mula berdegup kencang. Alamak!! Ada apa kat belakang aku?!

RIAK yang dipamerkan oleh Ehsan kelihatan tegang dan bengis sahaja. Terlalu banyak yang berlaku dua tiga hari itu. Pagi itu sahaja, dia terpaksa mengikat jamin Eirfan yang dikatakan merompak seorang gadis di jalan raya. Entah apa nasib malang yang menimpanya, dia disuruh oleh Tuan Kassim untuk menguruskan hal itu. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menuruti kerana bimbang Tuan Kassim akan menggunakan kuasa vetonya untuk menghalau dia daripada syarikat itu.

Pagi itu juga, dia tidak menyangka begitu rupanya tanggapan salah seorang pekerjanya mengenai dirinya selama ini. Nampak sangat dia begitu dimanjai dengan kekayaan selama ini. Jika pekerja lelaki yang mengutuknya, dia masih boleh bernafas seperti biasa. Tetapi apabila pekerja wanita yang berkata seperti itu, dia terasa seakan maruahnya diinjak-injak sahaja.


Eirfan yang membontoti dari arah belakang hanya tersenyum mendengar pendapat Natrah itu. Dia sukakan sikap dan keberanian Natrah kerana sebelum ini tiada siapa yang seberaninya berkata seperti itu kepada Ehsan. Baguslah ,biar Ehsan itu sedar diri sikit!


"Morning Encik Ehsan" sapa Hasma dan Azizah serentak dalam suara yang tersekat-sekat.


Natrah hanya kaku di situ. Dia tidak menunjukkan sikap gementar kerana apa yang dikatakan adalah benar. Jika dia salah, barulah dia akan mengakuinya.


"Korang ni asyik nak bergosip je kan?! Tapi kerja tak siap. Jangan sampai gaji korang saya kurangkan hujung bulan. Each of you!!" bentak Ehsan sambil memandang satu-persatu wajah mereka. Apabila matanya bertembung dengan seraut wajah Natrah, pandangannya berlabuh di situ. Entah keberanian apa yang dimiliki gadis itu sehingga berani mengata dan mengutuknya sebegitu.


"So...sorry Encik Ehsan! Kita orang takkan buat lagi!" ucap Azizah.


Ehsan hanya memandang sepi akan kata maaf itu. Dia berlalu namun sempat lagi menjeling ke arah Natrah. Eirfan mengikut dari belakang. Walaupun hatinya sempat memarahi Natrah gara-gara tuduhannya ,namun kali ini dia benar-benar mengakui kata-kata Natrah itu!


"Good job!" bisiknya ke telinga Natrah sambil membuat thumbs up kepada gadis itu.


Natrah tercengang. Itu kan perompak tadi? Apa dia buat kat sini??!


"Weii, apa yang Encik Eirfan bisik pada kau?" Hasma bertanya.


"Korang nak bergosip lagi?" sindir Natrah.


"Eh mana ada! Nak tahu jelah!!" Azizah pula menyampuk.


"Jomlah blah! Dia tak nak kongsi rahsia dengan kita" Hasma menarik lengan Azizah.


"Eh kejap! Siapa Encik Eirfan?" Natrah menarik kembali lengan Azizah.


"Serius arr kau tak tahu?!" duga Azizah.


Natrah mengangguk kepala.


"Encik Eirfan tu sepupu Encik Ehsan. Dia tu orang kepercayaan Tuan Kassim, pemilik syarikat ni. Tapi dia baru masuk kerja sebulan yang lepas. Sebelum ni, dia kerja sebagai pemandu Tuan Kassim je. Lepas tu, dia apply kerja kat sini" Hasma bercerita.


"Dan dia jugak pekerja yang komited dan sangat workohalic. Rajin!" sampuk Azizah pula.


Natrah terdiam. Habis tu, yang pagi tadi?? Oh Tuhan! Dia dah salah tuduh ke?! Adui, itu kesalahan yang paling terbesar dia lakukan saat itu. Kalau dia kepercayaan Tuan Kassim, maksudnya dia juga punya hak untuk meluahkan pendapatnya. Kalau dia mengadu pada Tuan Kassim mengenai kejadian pagi tadi, macam mana?!


"Apasal muka kau pucat?" tegur Azizah saat melihat wajah Natrah yang lain macam itu.


"Kau ada buat salah erk?" teka Hasma. Jarang-jarang dia dapat melihat wajah itu berubah sedrastik itu. Natrah adalah orang yang paling tegas dalam menegakkan kebenaran. Namun jika wajah itu berubah seperti ayam berak kapur itu, pasti berlaku sesuatu!


"Aku dah tuduh encik Eirfan!" Suara Natrah mengendur. Seperti ingin menangis sahaja lagaknya.


Hasma dan Azizah saling berpandangan. Buntu sekejap dengan kata-kata Natrah itu.


"Maksud kau?" tanya Azizah.


"Yang aku cerita pasal perompak tadi..."


"OMG!!" Hasma mula mencelah. Dia sudah dapat menangkap maksud kata-kata Natrah.


"Kau.." Azizah pula menyampuk. Wajah pucat Natrah ditunding. "Tuduh encik Eirfan ke?"


Hasma dan Azizah serentak pamer wajah terkejut.

"Matilah kau!" ujar Hasma.


"Tamatlah riwayat kau hari ni!" sampuk Azizah pula.


"Dan tak lama lagi, meja kau akan kosong!" Hasma semakin galak mengusik.


"Dan digantikan dengan orang baru!" Azizah menyambung.


"And say bye bye to TK Corporation sebab kau..." jeda Hasma.


Dan ayatnya disambung oleh Azizah "Akan dipecat dalam masa kurang dari 24 jam!"

"OMG!!" Hasma buat-buat terperanjat.


"Takde siapa yang boleh kenakan orang kanan Tuan Kassim tau! Walaupun orang tu sama taraf dengan kita kat pejabat ni!" hasut Azizah pula.

Dia dan Hasma semakin seronok mengenakan Natrah. Bukan selalu dapat peluang seperti itu! Walhal Eirfan bukanlah orang sebegitu. Dia dan Ehsan mempunyai personaliti yang berbeza.


Ehsan sangat pesimis dan sukar untuk memaafkan kesalahan orang lain. Jika ada sesiapa yang berbuat kesalahan padanya, tunggu saja 'surat kematian' daripadanya! Pernah dia memecat seorang wanita gara-gara tersalah membancuh air kepadanya. Kebetulan pula moodnya tidak bagus, habis wanita tersebut diherdik dan dipecat serta-merta.

Berbeza dengan Eirfan, dia seorang yang sangat ceria dan optimis orangnya. Sesiapa pun pasti senang bekerjasama dengannya. Adakalanya mereka merasakan kalau Eirfanlah yang lebih berhak duduk di kerusi CEO berbanding Ehsan yang tidak menyumbang apa-apa kepada syarikat. Namun apa boleh buat, Ehsan lebih berkuasa hanya kerana sedarah dengan Tuan Kassim.


"Habislah kau Ara! Takde maaf untukmu!" Hasma menakut-nakutkan Natrah.


Wajah Natrah yang tegang itu sedaya-upaya ditenangkan. Dia yang cari nahas sendiri, dia jugalah yang harus menyelesaikannya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience