Kisah 6 : Liang Lahad

Horror & Thriller Series 7260

KISAH ini berlaku kepada kawan aku, Ajim. Salah satu cerita seram yang aku paling ingat. Ia melibatkan sejenis hantu yang sangat seram bagi aku.

Mula-mula memang aku tak percaya sebab pengalamannya bagai terlalu ekstrem.

Ajim sangat rapat dengan orang-orang tua di kampungnya. Padahal dia masih muda. Disebabkan Ajim rapat dengan orang-orang tua kampung, mereka selalu meminta tolong Ajim mengorek liang lahad apabila ada orang kampung yang meninggal.

Mereka percaya kepadanya untuk memikul tanggungjawab itu. Dia pernah berpesan, "Kalau waktu tengah gali, tiba-tiba terbau busuk atau hanyir jangan tegur. Kalau terjumpa apa-apa jangan ambil. Jangan kita fikir bukan-bukan pasal arwah tu. Kita hormat dia. Apa dosa dia, itu antara dia dengan Allah."

Aku setuju dengan apa dia cakap.

Pada satu malam, dia perlu mengorek liang kerana keluarga arwah ingin mengebumi jenazah pada keesokkan paginya. Dia ditugaskan dengan 2 orang lagi. Bergilir-gilir mereka menggali. Tempat yang Ajim perlu gali itu jauh ke dalam dari jalan utama.

Waktu menggali mereka bersuluhkan lampu, keadaan sekeliling menjadi amat terang. Jadi, tiada apa untuk ditakutkan. Betul-betul berhadapan liang yang mereka gali terdapat sebatang pokok besar yang merimbun. Malam itu agak panas. Tiada angin.

Sampai giliran Ajim pula berehat. Dia menyandar di bawah pokok yang merimbun itu. Terdapat akar yang besar boleh dijadikan tempat duduk. Disebabkan spotlight itu amat terang, Ajim bangun dan duduk di belakang pokok. Ia terlindung dari cahaya spotlight.

Elok menyandar selesa, dia memejam mata kerana keletihan yang amat sangat. Tidak lama selepas itu, dia terasa angin menghembus ke arahnya dan terus hilang. Hanya sekejap. Kepalanya terasa gatal pada waktu itu, banyak kelemumur katanya.

Dia pun mengangkat tangan untuk menggaru kulit kepalanya. Matanya masih tertutup rapat ketika itu. Apabila tangannya di atas kepala, dia tersentuh sesuatu. Dia menarik tangannya dengan cepat.

Eh, pokok ni tak merimbun pun, fikir Ajim dalam hati.

Dia mengangkat tangan sekali lagi dan terkena sesuatu! Sama seperti tadi.

Rambut! Memang sah rambut!

Dia menarik tangan dengan laju. Jarak rambut itu dengan kepalanya cuma dalam beberapa sentimeter. Dengan tidak disangka, rambut itu terkena kepalanya. Makin lama, rambut itu makin ke bawah... sehinggalah terkena telinga dan matanya.

Ajim pengsan.

Selepas beberapa lama, dia terjaga di tempat yang sama pada pukul 2.30 pagi. Dia sedar yang semuanya dah balik. Gelap-gelita. Dia cepat-cepat bangun dengan bertemankan lampu suluh handphone. Memaki hamun Ajim dalam hati kerana mereka meninggalkannya di kawasan perkuburan seorang diri.

Sampai di rumah, Ajim terus mandi. Selesai mandi, emaknya terperanjat apabila ternampak Ajim.

"Kamu buang tabiat apa mandi malam-malam ni Jim?" kata emak dengan pelik.

"Ajim baru balik dari kubur ni, mestilah kena mandi. Dahlah kena tinggal dengan Pak Ilal," jawab Ajim dengan nada tak puas hati.

"Pandai kamu buat lawak dengan mak ya, Jim. Kan kamu balik dengan Pak Ilal tadi. Mak yang nampak. Terus kamu mandi dan tidur." Emak mencelah sambil ketawa.

Ajim tersentak pada waktu itu. Dia tahu yang emaknya bercakap benar. Mungkin tersilap pandang agaknya. Dia cuma mengangguk kepada emaknya dan masuk ke bilik. Selesai solat, Ajim menutup lampu dan terus baring.

Tiba-tiba dia terasa seperti angin menghembus. Sama seperti yang dialaminya di kawasan perkuburan. Ajim mula berasa resah dan tidak sedap hati. Dia tidur mengiring menghadap ke dinding. Apabila hampir terlelap, dia terasa seperti ada orang yang duduk di atas tilamnya. Betul-betul di belakang.

Tak lama selepas itu dia terdengar bunyi guli melantun. Macam 5, 6 biji guli melantun di tepi katilnya. Dia hendak menoleh ke belakang untuk melihat, tapi dia membatalkan niatnya itu. Seperti ada benda yang sedang baring di belakangnya di atas katil.

Rasa seperti bantal peluk yang panjang. Dia tidak mempunyai bantal peluk panjang. Waktu itu seluruh badannya menggigil. Dia cuba untuk melaungkan azan tetapi suara tak keluar. Seolah-olah kena pukau. Tak lama selepas itu, ada ketukan di pintu bilik.

Rupa-rupanya emak. Emak memberitahu yang dia tak dapat tidur dan tak sedap hati. Betapa kuatnya naluri seorang ibu tentang anaknya. Selepas kejadian itu, Ajim tidur di ruang tamu dengan adik lelakinya. Tiada gangguan lagi.

Pagi itu dia pergi ke rumah Pak Ilal kerana meninggalkannya di kubur malam tadi. Nak tahu Pak Ilal cakap apa? Pak Ilal cakap Ajim memang balik dengan dia semalam. Pak Ilal yang menghantar Ajim balik rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience