BAB 42

Romance Completed 42886

Sejak dari tadi Izz Faris memeriksa sebaris nombor milik Ariana bersama nombor yang dia peroleh daripada gadis yang dia lawat di rumah yang disangka milik Naufal tempoh hari. Adakah itu suatu kebetulan?

Dia termenung sendiri sambil menghirup kopi di kafe yang merupakan tempat lepaknya bersama Adi Ashraf dan Akid Ahnaf. Adakah Ariana mengenali Naufal tanpa pengetahuan dia? Kalau benar, apakah hubungan mereka berdua?

"Assalamualaikum! Jauh termenung. Fikirkan siapa? Buah hati?" tegur Akid Ahnaf yang tanpa izin sudah mengambil tempat dihadapan Izz Faris.

"Waalaikumusalam, kau ni. Aku ingatkan siapa tadi. Kenapa datang tak cakap?" tegur Izz Faris. Mereka berdua bersalaman. Akid Ahnaf tersengih menunjukkan sebaris gigi yang putih.

Izz tersedar soalan yang ditanya oleh Akid sebentar tadi. Dia tersenyum kekok. Takkanlah dia nak kata yang dia teringat Ariana? Lebih-lebih lagi, apabila Ariana merupakan kakak ipar Akid dan merupakan isteri kepada Adi. Tak ke pelik kalau macam tu?

"Tak ada apalah. Ha kau kenapa datang ni? Kau tak jawab lagi eh soalan aku tadi." balas Izz Faris mahu mengelak dirinya ditanya lebih lanjut. Risau sekiranya dia terlepas cakap. Dia segera memanggil pelayan untuk mengambil pesanan untuk Akid.

"Tak ada apa-apa konon. Suka hati kau lah. Tapi kalau kau nak meluahkan apa-apa, aku ada disini, Izz. Jangan risau." balas Akid dengan cara yang penuh dramatik. Izz Faris melepaskan tawa kecil. Lengan Akid dipukul. Mereka berdua bergelak tawa.

"Argh, penatnya." keluh Akid. Dia menghirup air minuman yang baru sampai. Izz Faris mula hairan apabila mendengar keluhan sahabatnya.

"Kau penat buat apa Akid?" soal Izz Faris ingin tahu. Akid membetulkan rambutnya apabila melihat sekumpulan wanita yang berada di depan pintu kedai tersebut.

"Aku penatlah Izz. Aku merana dekat office, abang aku seronok honeymoon. Nasib abang." adu Akid sambil menikmati makanannya. Izz Faris menahan tawa. Sudah terlalu masak dengan sikap dua beradik itu.

"Alah macam tak biasa, kau ni." pujuk Izz. Akid mengangkat bahu. Sengaja mahu mengadu saja sebenarnya.

"Tapi sekurangnya berbaloi tau aku merana. Sebab sejak Adi kahwin dengan Riana, abang aku dah tak sedih macam selalu. Dia selalu senyum macam dulu. Kau tak perasan ke?" luah Akid bersama senyuman yang lebar. Dia betul-betul gembira melihat keadaan abangnya sekarang.

Kata-kata Akid Ahnaf membuatkan Izz Faris dihurungi perasaan bersalah. Rasa bersalah kerana berharap bahwa Ariana merupakan isteri kepada Naufal. Iaitu cinta pertamanya dahulu. Mungkin mereka berdua bukan orang yang sama.

Belum sempat Izz Faris membalas kata-kata Akid Ahnaf, kehadiran seseorang menarik perhatian mereka berdua.

"Assalamualaikum." tegur Haris Irfan yang baru saja tiba disitu. Terpamer senyuman lebar di wajah lelaki itu.

"Waalaikumusalam." Serentak mereka berdua membalas. Haris Irfan menggaru belakang kepala kerana kekok.

"Erm tak apa ke kalau aku join korang? Riana tak ada jadi aku tak tahu nak lepak dengan siapa. Aku jalan-jalan tadi tapi ternampak korang sebab tu aku datang ni." terang Haris Irfan panjang lebar.

Izz Faris dan Akid Ahnaf saling berpandangan buat seketika. Mereka mengukir senyuman sebelum memberikan isyarat rahsia antara mereka.

"Duduklah Haris. Kita orang berdua bergurau je. Duduklah. Buat macam rumah sendiri." balas Akid Ahnaf sambil tersengih. Izz Faris memanggil semula pelayan sebentar tadi untuk mengambil pesanan untuk Haris Irfan pula.

"Betul cakap Akid tu Haris. Kita orang okay. Lagipun dah biasa kena tinggal dengan Adi dengan Ariana tu. Kita orang faham perasaan kau." ucap Izz Faris mahu membuatkan Haris Irfan berasa lebih selesa berbual dengan mereka. Lagipun tiada masalah kalau Haris mahu melepak dengan mereka.

"Eh bukan kami. Kau orang berdua je tak lama lagi yang kena tinggal. Aku dah ada orang lain." ucap Akid Ahnaf membawa seribu makna. Izz Faris mula merasakan ada sesuatu yang disembunyikan oleh Akid pada ketika itu.

"Akid jangan kata kau dah ada girlf-"

Belum sempat Izz menghabiskan ayatnya, kedengaran bunyi panggilan telefon seseorang. Tidak lain dan tidak bukan daripada telefon milik Akid Ahnaf. Lelaki itu tersengih nakal sebelum meminta diri untuk menjawab panggilan tersebut jauh dari situ.

"Ouch, sakitlah!" bisik Akid apabila kakinya disepak oleh Izz Faris semasa dia mahu bangkit dari kerusi. Izz Faris hanya memberikan jelingan maut sebagai tanda mahukan penjelasan lanjut selepas ini. Akid mengangkat ibu jari tanda setuju.

Haris Irfan hanya ketawa melihat gelagat antara mereka dua. Mengingatkan dia kepada persahabatannya dengan Ariana. Setelah Akid pergi, Izz Faris cuba memulakan perbualan antara mereka.

"Dah lama ke kau kenal Ariana?" tanya Izz Faris ingin tahu. Memandangkan Haris Irfan rakan baik Ariana mungkin dia dapat mengetahui serba sedikit tentang gadis itu daripada Haris. Mujurlah Akid tiada, jika tidak pasti rakannya akan berasa curiga terhadap rasa ingin tahunya tentang Ariana.

"Lebih kurang lama la jugak. Dari zaman universiti dulu." jujur Haris Irfan menjawab. Sedikitpun tidak berasa curiga dengan soalan yang ditanyakan oleh Izz Faris.

Izz Faris mengangguk tanda faham. Kini giliran Haris Irfan pula yang bertanya. Perbualan mereka agak rancak.

"Kau pulak? Dah lama ke kenal Adi dengan Akid?" soal Haris Irfan sambil mengacau air minumannya. Dia sedikit tertanya-tanya tentang hubungan persahabatan trio tersebut. Mereka boleh dikatakan amat rapat.

"Oh. Aku dengan Adi pun kenal masa zaman universiti dulu. Sama jugak dengan Akid. Tapi kita orang terpisah kejap sebab aku kena transfer dekat Kedah." terang Izz Faris cuba menceritakan persahabatan mereka bertiga yang telah terjalin agak lama.

"Ooh patutlah kau orang bertiga rapat." balas Haris Irfan. Izz Faris mengangguk tanda mengiyakan. Dia mengukir senyuman sebaik kenangan mereka di universiti dahulu terimbas di minda.

"Haris, kau dengan Ariana tak pernah bercinta ke dulu? Aku tahu kau orang berdua kawan baik tapi kau tahu la kan apa orang cakap. Lelaki dengan perempuan tak boleh berkawan tanpa salah seorang ada perasaan dekat satu sama lain." tanya Izz Faris cuba menduga Haris Irfan. Keningnya diangkat dengan sengaja. Haris Irfan melepaskan tawa halus.

"Kau ni percaya sangat orang kata kenapa. Siapa kata tak boleh? Aku boleh je. Kalau aku ada perasaan dekat Ariana dulu pun, dia takkan pandang aku. Dia nampak aku sebagai kawan baik dia je, Izz. Lagipun masa tu dia dah bertunang. Gila ke minat tunang orang?" jelas Haris Irfan tenang. Dia teringatkan semula tentang tunang Ariana iaitu Naufal. Dia mengeleng kepala.

Kata-kata Haris Irfan benar-benar mengejutkan Izz Faris. Ariana pernah bertunang sebelum ini? Dia mula memikirkan sama ada Adi Ashraf sudah sedia maklum tentang perkara tersebut. Tetapi siapalah dia mahu campur tangan di dalam rumah tangga sahabatnya itu.

"Riana pernah bertunang?" soal Izz Faris mahukan kepastian. Laju sahaja Haris Irfan mengangguk tanda mengiyakan kata-kata Izz Faris. Mungkin masih tidak ramai yang tahu tentang kisah silam Ariana. Itu membuatkan Haris Irfan tenang kerana rahsia sahabatnya masih tersimpan rapi daripada pengetahuan sesiapa terutamanya Adi Ashraf sendiri.

"Tapi itulah jodoh dia orang berdua tak lama. Sejak daripada itulah aku yang jaga Ariana selama ni. Sampailah Ariana dah kahwin dengan Adi." sambung Haris Irfan sambil menyandarkan badannya ke kerusi.

"Oh..." balas Izz Faris cuba mencerna segala maklumat baharu mengenai Ariana itu. Dia menghirup sedikit minumannya untuk melegakan tekak yang haus.

"Kau?" soal Haris Irfan mahu mengetahui lebih lanjut mengenai kehidupan Izz Faris pula. Siapa tahu pertemuan mereka kali ini membenarkan mereka mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam.

"Aku?" soal Izz Faris kembali. Dia menudingkan jarinya pada tubuhnya sendiri. Mahu memastikan yang dia tidak tersalah faham. Haris Irfan membalas dengan anggukan kecil.

"Pasal aku eh? Sama je macam kau. Aku suka dekat seorang perempuan ni tapi nak buat macam mana dia dah jadi tunang orang jugak. Lama betul aku tak jumpa dia orang. Agaknya mungkin dah bahagia sekarang. Aku je yang sunyi membujang." balas Izz Faris dengan nada mengusik. Bahunya diangkat secara kasual.

"Mungkin betul lah cakap Akid, kita berdua je sekarang yang kena tinggal." ucap Haris Irfan dengan selamba mengundang tawa daripada mereka berdua. Dalam masa yang singkat, mereka berdua dapat menyelesakan diri dengan cepat.

"Untuk celebrate hidup bujang kita, cheers!" ucap Haris Irfan sambil melagakan air minuman mereka berdua. Izz Faris hanya mengikut sahaja. Sekali lagi, tawa mereka meletus.

Kelibat Akid Ahnaf langsung tidak kelihatan. Kemungkinan masih sibuk bergayut dengan kekasih gelapnya di telefon ataupun sudah meninggalkan mereka berdua di situ. Izz Faris sekadar tidak mengendahkannya. Tahulah apa yang dia nak lakukan pada Akid Ahnaf nanti kerana berahsia dengan dirinya.

Manakala, tanpa mereka sedari sebenarnya perempuan yang mereka berdua berkata sebentar tadi ialah orang yang sama iaitu

Ariana Atilia.

???????????????????

"Uhuk!"

Ariana segera terjaga dari lena apabila terasa dirinya yang tersedak secara tiba-tiba. Matanya yang masih terasa kantuk dibuka seluas-luasnya. Tangannya mula mencari tubuh suaminya disebelah tetapi tiada.

"Siapa pulak sebut nama aku ni? Ha Ash ni mana? Demam demam pun merayap lagi. Hish." rungut Ariana sambil berusaha bangkit daripada tidur. Dia meliarkan pandangan ke sekeliling. Mana tahu suami dia menyorok di mana-mana ke mahu mengenakan dia.

Apabila tiada langsung kelihatan kelibat suaminya di dalam bilik, dia mengorak ke dapur pula. Mahu melegakan tekak yang kering. Rambutnya diikat sanggul untuk memudahkan pergerakan.

Matanya mengerling sekilas jam dinding yang menunjukkan tepat jam 2 pagi. Patutlah dia rasa mengantuk lagi. Tangannya menutup mulutnya selepas menguap.

Secara tiba-tiba, terasa hembusan angin menerpa ke arahnya membuatkan dia meremang. Dia mula rasa pelik dan tak sedap hati. Bersama dengan perasaan yang takut, dia mula mencari dari mana datangnya angin tersebut.

"Auzubillahiminasyaitonnirajim." ucap Ariana di dalam hati.

Jantungnya mula berdebar-debar. Ayat kursi turut dibacakan bersama berulang kali. Tetapi sebaik melihat pintu rumah mereka terbuka, dia segera mengambil mana-mana benda yang boleh dijadikan senjata.

Ini bukan kerja hantu ni tapi pencuri!

Sebatang bulu ayam milik Tok Wan diambil lalu dipegang erat. Sekali libas ni memang berbekas! Berdasarkan pengalaman dia sendiri dia tahulah.

Perlahan-perlahan, dia berjengket ke luar rumah cuba mencari si pencuri yang dikatakan. Baru beberapa langkah, bahunya disentuh seseorang membuatkan dia menjerit. Tetapi, tidak kedengaran kerana dihalang oleh sepasang tangan dimulutnya.

"AHHH!-"

"Riana, ni akulah Ash!"

Bisikan yang separuh menjerit daripada Adi Ashraf menyedarkan Ariana serta-merta. Matanya dibuka selepas ditutup kerana takut diapa-apakan oleh pencuri yang dikatakannya tadi.

Siapa sangka, pencuri itu adalah pencuri hatinya sendiri!

Ceh.

"LEpasKanlah aKu.." ucap Ariana tidak berapa jelas kerana tangan Adi Ashraf masih melekap dimulutnya. Tidak lama kemudian, Adi menarik tangannya semula.

"Kau buat apa dekat luar? Kau nak bunuh aku pakai bulu ayam tu ke hah? Sakit tahu tak." adu Adi Ashraf yang masih terkejut apabila Ariana tiba-tiba mahu melibasnya menggunakan bulu ayam tersebut.

"Aku buat apa dekat luar? Kau yang buat apa. Terkejut tahu tak? Ingatkan ada pencuri tadi." balas Ariana cuba mempertahankan diri. Bukan dia yang bersalah. Nasib tak terlibas tadi.

"Aku terjaga tadi tapi tak boleh nak tidur balik. Jadi aku saja ambik angin dekat luar. Baru nak masuk dalam balik, kau tercegat depan pintu. Aku nak tegur tapi kau tiba-tiba menjerit macam orang gila." cerita Adi Ashraf panjang lebar. Dia melihat wajah isterinya sekilas.

"Ni kau kenapa terbangun pulak? Selalu kau tidur mati." tambah Adi dengan selamba. Ariana menjeling suaminya terhadap perlian lelaki itu. Heh.

"Aku terjaga sebab haus. Entah siapa cakap pasal aku sampai tersedak. Perasan kau tak ada dekat sebelah aku carilah. Tau tau kau ada dekat luar. Lain kali tutuplah pintu rumah dulu." bebel Ariana sambil mencekak pinggang. Adi hanya mengendahkan saja.

Ariana yang baru teringatkan keadaan suaminya, segera menghampiri lelaki itu. Adi mengerutkan dahi apabila menyedari tindakan isterinya. Tanpa dia sedari, tangan isterinya sudah melekap di dahi. Kedengaran nafas lega daripada Ariana.

"Kebah dah demam kau. Baguslah. Kau nak apa-apa ke? Air?" tanya Ariana lembut. Dia menarik semula tangannya. Adi menyembunyikan senyuman terhadap sikap mengambil berat isterinya.

"Kopi?" balas Adi yang lebih kedengaran seperti soalan itu. Ariana mengangkat kening. Adi tersengih, dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Fine, hot chocolate please? " balas Adi Ashraf dengan lembut. Ariana mengangguk bersama senyuman. Dia segera berlalu ke dapur untuk menyediakan minuman untuk mereka berdua.

Adi menunggu Ariana di pondok kecil yang terdapat di halaman rumah Tok Wan. Entah mengapa dia terasa tenang disitu. Tak lama kemudian, Ariana tiba bersama dua cawan hot chocolate di tangan.

"Nah, elok-elok panas." ucap Ariana memberi amaran. Dia mengambil tempat di sebelah suaminya. Mereka berdua duduk menikmati keindahan malam tersebut dengan tenang.

Sesekali kedengaran bunyi hirupan air mereka membuatkan mereka saling berpandangan. Hembusan angin menerpa menyejukkan lagi keadaan pada malam tersebut.

"Sedap." puji Adi Ashraf ikhlas. Ariana tersenyum penuh bangga. Mujurlah keadaan gelap dapat menyorokkan pipinya yang mula membahang.

"Mestilah sedap. Aku buat dengan penuh kasih saya- Maksud aku, aku memang pandai buat air." balas Ariana cepat-cepat cuba menyelindung kata-katanya tadi. Namun perkara itu disedari oleh Adi.

Tanpa amaran, Adi meletakkan kepala di atas riba isterinya. Ariana sedikit terkejut tetapi berlagak seperti biasa. Nampaknya dia perlu mula menyesuaikan diri terhadap suaminya yang penuh dengan kejutan.

"Kau nak apa ni, Ash?" tanya Ariana ingin tahu. Cawannya yang sudah kosong diletakkan tidak jauh dari situ bersama dengan cawan milik suaminya.

"Urut kepala aku, rasa sakit." tipu Adi Ashraf sengaja. Dia menarik tangan isterinya lalu diletakkan pada wajahnya. Ariana akur. Risau sekiranya demam suaminya masih belum kebah sepenuhnya. Adi senyum nipis.

Kepalanya terasa selesa berada di riba isterinya. Tidak lupa juga urutan kepala yang amat menenangkan sehingga mampu membuatkan dia bagai dibuai mimpi.

"Siapa bina pondok ni? Naufal ke?" tanya Adi cuba mengelakkan dirinya daripada tertidur. Kelopak matanya dibuka, menyerlahkan wajah isterinya.

"Arwah suami Tok Wan. Dia bina untuk Tok Wan teringatkan dia bila dia dah tak ada nanti." jelas Ariana dengan nada sedih. Dia masih meneruskan urutannya.

Adi Ashraf membalas dengan berdehem perlahan. Dia menarik tangan isterinya lalu dikucup penuh kasih. Perbuatan itu menghentikan tindakan Ariana serta-merta.

Bibirnya mengukir senyuman kecil. Mulutnya mahu menyatakan sesuatu tetapi berakhir dengan membisikkannya di dalam hati sahaja.

"Satu hari nanti, aku akan bina untuk keluarga kita juga."

Updated!
Enjoy reading?
Don't forget to comment!
Happy Eid Adha??

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience