Balik Kampung!

Romance Completed 117449

BAB 9

            Aku berdiri sambil menyandar di dinding sementara menanti train yang akan aku naiki untuk ke utara. Bagaimanapun keretapi itu akan transit di beberapa stesen keretapi lain. Suasana di Stesen Keretapi Seremban itu tidaklah sesibuk seperti di Kuala Lumpur. Aku menjenguk-jenguk mencari seseorang.

            “Tuan muda, kami boleh hantarkan sampai ke sana. Janganlah naik keretapi. Kalau tuan besar tahu, kami akan disalahkan.”

            Harry tidak pedulikan kata-kata pengawal peribadinya itu terus berjalan ke depan.

            “Tuan muda, beritahu Cik Aya. Kami boleh tolong hantarkan.” Kata Tam pula. Mereka berjalan mengikut langkah tuan muda mereka itu setapak demi setapak. Tidak dipedulikan mata orang yang memandang pelik ke arah mereka.

            “Saya nak naik kereta panjang ni. Kalau tak izinkan saya naik. Suruh atuk belikan kat saya sebijik.”

            Mereka memandang sesama sendiri apabila mendengar kata-kata Harry yang masih berjalan di depan.

            “Er... mana ada orang jual keretapi peribadi. Kalau pesawat adalah...” ujar pengawal peribadinya yang bernama Taufik. Kemas penampilan mereka menarik perhatian ramai.

            “Kalau macam tu...” Harry berhenti melangkah.

            “Kat sini je...” Harry mengangkat tangan. “Saya tahu jaga diri.”

            Aku dapat melihat dari jauh Harry berjalan bersama dua orang lelaki bertubuh tegap yang berkemeja putih dan berkaca mata hitam. Manakala Harry ringkas dengan T-shirt hitam dan jeans.

            Kemudian dua orang lelaki itu berpatah ke belakang meninggalkan Harry, namun mereka kelihatan teragak-agak. Aku berdiri tegak apabila Harry semakin menghampiriku.

            “Hai, mana train kita?”

            “MasyaAllah... sabarlah. Awak ni yang macam jakun sangat ni kenapa? Tak pernah naik train eh?” tempelakku.

            “Pernah...”

            “Kat mana?” aku musykil. Biar betul dia ni? Selama ni ke mana pun mesti dengan driver.

            “Kat taman tema...” jawabnya selamba.

            “Hahahaha...” aku melepaskan tawaku. Harry... boleh buat lawak kering pula, dengan muka serius macam tu. Tak tahan betul.

            “Tu... dah datang. Cepatlah.” Dia menolak aku ke depan.

            “Hey... awak lelaki, kan? Kenapa tolak saya ke depan pulak?” aku merengus. Aku bawak budak kecil ke budak besar yang hanya pernah naik keretapi kat taman tema?

            “Kau kena jaga aku... aku lantik kau jadi pengawal peribadi aku berkuat kuasa hari ini. Dah cepat jalan.” Dia terus menolak aku ke depan.

            Dia ni... sah-sah jakun! 

 **********

            DALAM keretapi. Kami duduk di gerabak kelas biasa. Aku memilih untuk duduk di tepi tingkap manakala Harry di depanku. Kami bertentangan. Pada mulanya aku agak tidak selesa. Suasana sunyi tanpa berbicara walau sepatah. Di sebelah Harry seorang gadis agak dewasa mungkin pelajar kolej kelihatan seperti mengantuk. Aku melihat Harry tidak jemu memandang pemandangan luar. Sesekali dia menguap.

            Aku terkejut sehingga darahku menyirap, gadis di sebelah Harry tertidur dan kepalanya terlentok di bahu bidang Harry. Ah...

            Harry turut terkejut tetapi dia tidak tahu berbuat apa-apa. Dia memandang aku, tetapi aku terus melarikan mataku ke arah luar tingkap. Kemudian, aku terasa kakiku seperti disepak.

            Aku menjegil mata memandangnya. Sempat dia menguis kakiku menggunakan kakinya yang panjang.

            Harry menunjukkan wajah tidak senang dengan keadaan itu. Jadi, aku nak buat apa? Aku mengerutkan dahi sambil menunjukkan wajah tanda tanya. Kami langsung tidak berbicara.

            Harry mengetap bibir, kemudian dia berkata sesuatu dan aku hanya dapat membaca pergerakan bibirnya.

            ‘Lembap!’

            Aku ternyata sangat geram. Nak minta tolong buat cara nak minta tolong. Aku menjeling. Lantak kaulah...

            Sekali lagi Harry menguis kakiku. Wajahnya sudah merah padam. Kasihan pula...

            “Aachum!” aku cuba buat-buat bersin. Kalau-kalau gadis itu akan terjaga. Macam bodoh je... lansung tak berjaya. Harry sudah menahan ketawa. Sakitnya hatiku.

            “Acchhuummm!!” aku bersin lebih kuat.

            Tak jaga juga. Tidur mati ke woii?!!

            “Acchuumm! Acchummm! Ach....” aku tidak jadi meneruskan bersin palsu aku itu apabila gadis itu sudah membuka mata.

            “Kenapa berhenti?” Harry yang tidak menyedari gadis itu sudah membuka mata terus menyoal aku.

            Aku cuak. Gadis itu mengangkat kepalanya dengan keadaan terkejut. Malah dia memandang aku dengan hairan. Harry terpinga-pingga.

            ‘Bodoh! Kenapa tanya aku macam tu? Nampak sangat aku berlakon tadi, bodoh!’

            “Maafkan saya... saya tak sengaja!” gadis itu terus meminta maaf kepada Harry yang hanya tersenyum seperti kerang busuk.

            Malu aku dengan perempuan muda itu tidak lama kerana dia turun ketika kami transit di Kuala Lumpur.

            Harry mengambil tempat di sebelah aku ketika kami meneruskan perjalanan. Aku masih geram dengannya.

            “Thanks... sebab tolong aku tadi.” Bisiknya.

            “Emm...” jawabku pendek. Tidak memandangnya di sebelah.

            “Suara kau habis sebab bersin tadi ke?” Harry mengekek ketawa. Sukanya dia...

            “Awak tanya saya macam tu tadi kenapa? Malu saya tahu tak?!”

            “Yang kau bengap sangat pergi berhenti tiba-tiba tu kenapa?”

            Aku pula yang kena? Ahh... malaslah layan kau, jual kat Siam baru tahu. Mahal juga ni sebab boleh dia orang buat jadi gigolo. Muka dah jambu dah!

            Aku mengeluarkan jaket milik Senior Ray, aku terlupa hendak pulangkan kepada dia kerana aku ingin mencucinya dahulu. Tetapi tidak sempat pula, alih-alih aku bawa sekali hari ini kerana aku yakin dalam keretapi ini pasti sejuk.

            “Wah... bawa jaket kekasih hati ke mana sahaja. Hebat...” Harry mencebik dengan wajah mengejek.

            “Mestilah... rinduuu sangat kat tuan empunya jaket ni.” Aku membalas. Manja.

            “Aku rasa kau lagi rindu kat aku kan?”

            Aku memandangnya jelik. “Tak kuasa!”

            “Aku rasa dah berminggu kau tak pulangkan baju dan seluar aku.”

            Aku ternganga dengan luas. Hah! Baru aku teringat. Alamak...

            “Kau jangan cakap kau buat pekasam!” Harry menuding jari ke muka aku.

            “Er...ada, ada kat bilik. Saya dah basuh dah.” Aku tersengih. Alamak... dia tahu aku ambil baju dia hari itu masa dia demam. “Memang nak bagi balik kat awak tapi lupa.”

            “Emm...” Harry mengangguk.

            Aku terdiam sebentar. Baju Harry, jaket Senior Ray, dan sapu tangan Senior Sam! Semuanya ada dalam simpanan aku. Haish! Kalau ada orang tahu... habislah aku. Gila!

              Selepas itu masing-masing buat hal sendiri. Aku hanya diam sambil memerhati pemandangan luar yang tenang. Harry mendengar lagu menggunakan earphone. Aku menoleh memandangnya. Wajahnya cukup tenang, dia memejam mata sambil menghayati lagu. Aku tidak sedar yang aku sudah tersenyum sendiri. Hidungnya mancung terletak, bibirnya terukir cantik, merah. Kulitnya juga bersih dari sebarang parut mahupun jeragat. Rambutnya keperangan asli.

            Tiba-tiba Harry semakin menghimpit aku. Kepalanya terus terlentok di bahuku.

            “Awak, bangunlah!” aku membisik keras. Mujurlah di hadapan kami tiada sesiapa.

            Harry tidak bergerak. Sudah tertidur!

            Aku mengeluh. Dia ni... akhirnya aku biarkan sahaja. Terasa wangi la pulak minyak rambut mamat ni. Cis!

            Tanpa aku sedar mataku juga terasa memberat memandangkan perjalanan masih jauh. Dan kepalaku terlentok di kepalanya pula. Aku sendiri tidak pasti berapa lama keadaan kami seperti itu. Keretapi terus berlari laju menuju ke utara, keindahan suasana kampung halaman arwah ibu semakin menggamit.

**********

            MALAM sudah menjelma ketika kami tiba di Stesen Keretapi Alor Setar. Harry hanya berdiri kaku di sebelahku sambil memerhati keadaan sekeliling. Beg galasnya diangkat dan disangkut ke bahu. Aku membawanya ke kerusi panjang, menunggu di situ.

            “Nanti awak diam aje bila saya kenalkan awak kat saudara-saudara saya. Jangan nak cakap apa pun. Tutup je mulut tu. Kalau awak buka mulut, esok awak awak buka mata kat Siam.” Ujarku serius dengan ugutan sekali.

            “Kau nak perkenalkan aku sebagai apa?” soalnya tanpa menghiraukan ugutan aku.

            “Adalah... siapa suruh awak nak ikut sangat?!” aku menjeling. Sungguh menyakitkan hati.

            Harry memuncung. “Kau tak kasihan kat aku ke? Penat dengan latihan lagi, aku perlukan rest, pergi tempat yang tenang.”

            Aku mengerutkan dahi. “Kenapa tak ikut Senior Ray? Dia orang pergi kem musim cuti kan?” aku sudah mendengar pelbagai alasannya ketika menyuarakan hasrat untuk mengikuti aku pulang ke kampung. Sehingga aku terpaksa mengalah. Biarlah... mungkin ini kali terakhir. Kerana selepas cuti ini aku tidak lagi bekerja di asrama sekolah elit itu. Maka, aku akan bebas darinya. Terbaik!

            “Cuti dua minggu, aku cuma ada masa rehat seminggu aje, lepas tu aku kena start latihan balik.”

            “Awak... memang minat sangat sukan renang eh?”soalku kemudian.

            “Doakan aku bawa balik emas Olimpik pertama negara dalam sukan renang.” Ujar Harry. Serius.

            Aku melopong tidak percaya. Besar sungguh cita-citanya.

            “Baik!” Aku menggenggam penumbuk. Bersemangat. “Berusaha, Tuan Muda Harry! Nanti dah jadi popular, awak jangan lupakan saya. Saya nak cium pingat awak! boleh?!” aku bertukar riang. Sebentar tadi sahaja murung. Harry bukanlah beku sangat. Boleh pun bersembang.

            Harry tersenyum kecil. “Masa tu... jangan cakap pingat, tuan punya pingat pun boleh.”

            Aku berhenti ketawa. “Tak teringin!” aku menjelir lidah.

            Harry ketawa. Aku tiba-tiba terasa senang. Sukanya... tengok dia seperti ini. Awak perlu juga bergembira Tuan Muda Harry. Dalam mata awak, kelihatan ada duka yang dalam. Jadi, lupakanlah... awak perlu lihat kebahagiaan. Walaupun hanya seperti angin lalu. Bisikku dalam hati. Tersenyum.

            Aku menanggalkan jaket milik Senior Ray, melipatnya lalu memasukkan ke dalam beg. Harry hanya perhati perbuatanku yang kelihatan begitu teliti.

            “Jangan... taruh harapan kepada Ray.” Luahnya secara tiba-tiba.

            Aku tersentak lantas memandangnya bersama kerutan di dahi.

            “Saya tak faham?”

            Harry tersandar lemah. Letih barangkali. Sesekali dia meraup-raup wajahnya yang kacak. “Well... bila dia orang nak sampai?” Harry mengubah topik.

            Aku terus memandang ke depan dan tidak berniat untuk menyoalnya sekali lagi tentang maksud kata-katanya sebentar tadi. Aku turut mencari kelibat saudaraku yang akan menjemput kami.

            “Tu... dia orang dah datang.” Aku terus bangun berdiri. “Hah...” aku terkejut. Rombongan apa ni?

“Ayaaa!!” Ibu saudaraku sudah melambai dari jauh. Bersamanya juga adik-adikku, sepupuku, ibu saudarku yang lain dan bapa saudaraku. Ya Allah!

            Aku jadi gelabah. Alamak...

            Mereka semua menyerbu aku sambil berebut-rebut untuk memelukku. Tersepit di tengah membuatkanku hampir tidak boleh bernafas.

            “Dah lama tak jumpa! Kamu dah besar!”

            “Dah jadi anak dara!”

            “Muka tak tumpah macam arwah mak dia.”

            Aku hanya tersenyum sambil membalas pelukan mereka. Setelah keadaan semakin reda. Aku memeluk adik-adikku pula.

            “Rindu akak!” Naufal mencium pipiku. Adikku yang bongsu.

            “Aya... kamu sangat kasihan.” Mak su tiba-tiba menarik tubuhku ke dakapannya. Dia menangis sebak. Oh... janganlah begini. Aku terasa air mataku bergenang.

            “Mak su makin cantik sekarang!” aku memuji ketika melepaskan pelukannya. Mak su sudah berumur penghujung 30-an tetapi masih belum berkahwin.

            “Oh... ni... ni siapa ni?!!” Mak cik tiba-tiba menjerit.

            Aku terkesima. Er... baru aku teringatkan dia. Lantas aku menoleh dan aku lihat Harry terpacak di belakangku sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Siap tersengih!

            “Kamu... kamu bawa balik siapa ni?” soal pak cik.

            “Akak... ni... orang ke patung? Comel...” Adikku Marhani menunjukkan jarinya tepat ke batang tubuh Harry yang berada di depannya. Berkelip-kelip mata adikku memandangnya.

            “Nanti... wah, ma... macam pelakon dalam TV. Kamu tersesat ke? Nak ke mana?” Mak su sudah mendahului aku. “Kacak betul...” Mak su menilik dari atas ke bawah.

            Harry hanya diam dan berwajah cuak. Aku menari nafas!

            “Nanti dulu! saya akan beritahu.”

            “Siapa ni?!” serentak semua saudara-saudaraku menyoal. Mereka sudah berada di sekeliling Harry. Meniliknya dari atas ke bawah. Macam tak pernah tengok orang.

            “Dia... dia...” aku mengetap bibir. “Dia cucu Sir Adam Taylor Abdullah!”

            Diam. Semua memandangku dengan tidak percaya. Termasuklah Harry. Terbuntang biji matanya. Untuk bersuara aku yakin dia tidak berani.“Ya... atuk dia dah bawa ayah ke Landon. Dia bosan tinggal di rumah besar tu. Jadi dia nak ikut balik...”

            “Cucu Tuan Adam!” Pak cik terus memegang bahu Harry. Terpinga-pinga Harry dibuatnya. “Kamu... cucu Tuan Adam? Macam... macam tak percaya.” Pak cik terus memeluk Harry dengan kejap. “Atuk kamu banyak berjasa... atuk kamu banyak berjasa!”

            “Mari... mari kita balik. Tak elok kat luar malam-malam macam ni. Nanti kamu kena gigit nyamuk!” Ujar mak cik dengan teruja.

            “Betul tu mari kita balik rumah. Silakan jalan tuan muda...” pak cik menarik tangan Harry yang tersenyum-senyum.

            “Macam... macam tak percaya.” Mak su masih terkebil-kebil.

            “Nanti kita boleh main sama-sama!” Naufal menjerit riang. Mereka semua mengiringi Harry menuju ke kereta.

            Aku berdiri kaku. Kamu semua... telah melupakan seseorang!!!!!!

            Dengan lemah aku melangkah mengekori mereka. Tiada siapa nak pedulikan aku ke?! Tapi... mujurlah, rancangan aku berjaya. Walaupun terpaksa menipu!

            SETIBA di rumah aku sudah menjangkakan suasananya. Semua adik-beradik aku mengerumuni Harry sambil membelek-beleknya. Ada yang puji kulit dia halus, siap tanya pakai produk apa. Semua makanan dibawa ke depannya dengan layanan five star! Aku duduk di satu penjuru rumah batu separuh papan itu dengan geram. Adik-adiku semua sibuk bersembang dengan Harry termasuklah sepupuku. Fuad.

            “Kamu pandai cakap Perancis?!”

            “Bolehlah...” Harry tidak banyak bercakap tetapi banyak tersenyum. Lain sungguh perwatakan dia.

            “Abang senyum comellah!” Adikku Hani menarik pipi Harry sehingga merah.

            “Ter... terima kasih.” Harry menahan sakit. Namun dia tetap tersenyum.

            “Berbudi bahasanya, bertuah betul mak ayah kamu...” mak cik menggeleng-geleng kepala. Masih teruja melihat pemuda kacak itu.

            Nak termuntah! Aku menjelir lidah.

            “Sopan betul...” ujar mak su pula. Semua menumpukan kepada Harry.

            “Ah... saya ucapkan terima kasih sebab sudi terima kunjungan saya.”

            “Pintu rumah ni sentiasa terbuka untuk kamu. Cucu Tuan Adam yang baik hati, mana mungkin kami boleh tolak.”

            Grrrrrr!!! Geramnya aku.

            “Ehem!” aku berdehem. Supaya mereka menyedari kehadiranku.

            “Aya... kita bagi Harry tidur dalam bilik ye. Aya terpaksalah kena tidur luar. Kita kena hormati tetamu.”

            “Haaa??” aku terus terlentang. Apa semua ni?!!!

**********

            PAGI yang indah! Suasana kampung yang sudah lama aku rindui. Aku bertenggek di beranda sambil menghantar pandangan melihat kehijauan sawah padi yang terbentang luas. Burung bangau sudah pun memenuhi kawasan sawah, mencari rezeki di awal pagi. Aku memandang ke pohon kabu di hadapan rumah. Sarang burung kelihatan begitu banyak di dahan-dahan. Aku yakin burung-burung juga turut terbang memulakan aktiviti mereka diawal pagi. Sesuai dengan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan Ibnu Majah. “Kalau kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, Dia akan membantu rezeki sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung yang berangkat pada pagi hari dengan perut kosong dan kembali ke sarangnya pada petang hari dengan perut kenyang.”

            Aku tersenyum, kita sebagai manusia haruslah mencontohi sikap burung dalam mencari rezeki. Carilah rezeki bermula awal pagi, semoga kita akan mendapat keberkatan dari rezeki itu di samping bertawakal kepada-Nya.

            “Pagi-pagi dah termenung!”

            Tegurannya membuatkan aku terkejut beruk. Hampir terlentang dari tempat aku bertenggek, mujurlah aku sempat memaut tiang.

            “Nak bunuh saya ke?” marahku.

            “Pagi-pagi tak baik marah, kenapa tak solat subuh berjemaah tadi?” soal Harry selamba sambil mengambil tempat di sebelahku.

            Aku buat tidak tahu. Sibuk!

            “Syaitan akan mengikat setiap manusia ketika tidur dengan tiga ikatan. Inilah yang menyebabkan manusia rasa malas untuk bangun subuh. Apabila kita terjaga, kita menyebut Allah, maka terputuslah satu tali. Apabila berwuduk maka putuslah tali kedua. Apabila solat maka putuslah tali ketiga. Ketika itu barulah manusia akan berasa semangat dan segar. Ingat tu...”

            Aku melopong. Wahh... bukan sebarang mamat celup! “Kenapa syaitan ikat kita dengan tiga ikatan masa tidur?” aku sengaja ingin mengujinya.

            “Supaya manusia tidak dapat bangun malam untuk bertahajud dan solat subuh pada waktunya. Tetapi kita boleh menghalangnya... berwuduk sebelum tidur, baca dua ayat terakhir surah al-Baqarah, baca ayat Kursi, boleh juga bertasbih, bertahmid dan bertakbir 33 kali setiap satu. InsyaAllah... kita boleh bebas darinya.”sambung Harry dengan tenang.

            Aku agak kagum. “Well... Ustaz Harry, awak pun lepas ni banyakkanlah tahajud ye. Pak cik saya tu... ustaz, awak jangan buat malu kat dia.” Aku ketawa.

            “Memanglah... memang dia kejutkan saya tahajud semalam.”

            “Iye?” aku seperti tidak percaya. Patutlah... tiba-tiba berubah watak macam ni. Penangan tahajud rupanya!

            “Malam esok aku akan kejutkan kau sekali! Ingat... orang yang tidak bangun untuk solat malam, itulah orang yang mana syaitan telah kencing dalam telinganya. Hadis sahih riwayat Muslim!” Harry mencebik sebelum bangun dan berjalan masuk ke rumah.

Aku turut mencebik. Tapi... aku tersenyum akhirnya. “Awak ni siapa sebenarnya Harry? Kenapa awak ni... macam ada banyak watak?!

**********

RUMAH saudara-saudaraku hanya berhampiran. Rumah yang aku duduki sekarang adalah rumah peninggalan arwah datuk sebelah ibuku yang kini dihuni oleh pak cik dan mak cik aku. Manakala mak su aku tinggal di Bandar Alor Setar kerana bekerja di sana. Selesai sarapan pagi kami semua berkumpul di luar rumah. Pak cik tidak ke sekolah hari ini memandangkan sekarang musim cuti. Harry kelihatan sangat gembira dengan adik-adikku sambil melihat sepupuku, Fuad membuat layang-layang.

“Baguslah... kamu datang sini Harry, boleh belajar cara hidup orang kampung.”

“Betul tu pak cik. Saya... suka kampung ni. Cantik.” Harry ketawa kecil.

“Petang ni boleh ajak Aya ke dusun. Sekarang musim buah, macam-macam ada.” Ujar mak cik pula.

“Sungai pun ada, Abang Harry. Nanti kita pergi mandi eh...” kata Naufal yang sentiasa di sisi Harry.

            “Sungai? Mesti best!” Harry sedikit teruja. Tergambar wajahnya yang ceria.

            “Hati-hati... kamu boleh berenang tak? Nanti jadi apa-apa risaulah kami.” Soal pak cik.  

            “InsyaAllah, boleh...” jawab Harry sambil tersengih.

            Aku terus ketawa. “Campak dalam laut pun boleh hidup tu, jangan kata sungai!”

            “Ish... kamu ni Aya.” Mak cik menegur sikap lepasku itu.

            “Ada orang kena campak dalam kolam cetek pun dah kena CPR!” Harry memerli aku pula.

            Dia ni!! Aku berdengus.

            “Siapa kena CPR?”soal mak cik dan pak cik serentak.

            “Kawan dia!” aku memintas laju. “Budak tu lemas masa latihan renang.” Aku cuba selamatkan keadaan. Merah padam wajahku.

            “Oh... ingatkan kamu Aya...” kata pak cik sambil ketawa.

            “Hehe... mana ada!”

            Sempat aku menjeling ke arah Harry! Jaga kau! Ini tempat aku, kat sekolah sana bolehlah kau buli aku. Tapi... di sini, kau akan terima pembalasan! Aku sudah merancang pelbagai agenda dalam kotak fikiranku. Untuk membalas dendam. Hahaha...

            “Baiklah! Jom kita pergi dusun!” aku tiba-tiba terus bersemangat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience