56

Romance Series 93217

Semenjak arwah Maryam pergi meninggalkan mereka, suasana di villa mewah itu kini bertukar menjadi suram. Masing - masing dilihat begitu sugul melayan perasaan. Antara orang yang paling terkesan, sudah pastilah Ezmal dan Yasir. Kedua - duanya dilihat sering menghabiskan masa mereka di kamar Maryam. Setiap keping gambar Maryam ditatap dengan perasaan rindu. Adakalanya air mata kerinduan itu akan turut sama mengalir menemani mereka. Sungguh sakit mereka rasakan apabila merindui seseorang yang tidak akan muncul tiba buat selama - lamanya.

Saat melihatkan susuk tubuh Ezmal yang sedang terperuk di dalam kamar itu, Puan Sri Elise mula menghampiri anaknya. Di tangannya terdapat sebuah dulang yang berisi makanan dan minuman yang dibawa khas untuk Ezmal. Sejak dua tiga hari ini, Ezmal juga dilihat sering mengabaikan masa makannya. Malah jika dibiarkan, Ezmal pasti tidak akan menikmati sebarang hidangan untuk diisi ke dalam perutnya. Melihatkan situasi itu, Puan Sri Elise mula dihimpit kebimbangan. Beliau bimbang jika sesuatu yang buruk akan menimpa anak lelakinya itu pula.

“Ez, boleh mom masuk?" Soal Puan Sri Elise di sebalik pintu.

Ezmal tidak menjawab. Sebaliknya dia hanya mengangguk kepala sebagai tanda isyarat membenarkan Puan Sri Elise masuk ke kamar Maryam itu.

Pandangan Ezmal dan Puan Sri Elise bersatu. Dilihatnya ibunya sedang tersenyum ke arahnya sambil membawa dulang berisi makanan. Tanpa sebarang kata, Ezmal hanya membiarkan sahaja Puan Sri Elise duduk di sisinya.

“Mom ada bawakan nasi ayam untuk Ez ni. Ez makan ya, sayang. Nanti kalau lambat - lambat masuk angin pulak perut tu." Ujar Puan Sri Elise memberi arahan dalam nada memujuk.

“Mom letaklah di situ dulu. Nanti Ez makan. Ez tak lapar lagi ni." Balas Ezmal memberi alasan.

Sejujurnya Ezmal sudah kehilangan selera makannya sejak kebelakangan ini. Sudah berhari - hari perutnya tidak diisi dengan sebarang makanan melainkan hanya minuman yang membasahi tekaknya. Hal itu sudah pasti mengundang kerisauan di antara ahli keluarganya terutama ibunya. Namun Ezmal tidak sedikit pun mengambil peduli tentang apa yang mereka fikirkan.

“Janganlah macam ni, Ez. Nanti kalau Ez jatuh sakit, sape yang susah? Lagipun dah berhari - hari Ez tak makan kan? Ez tak kesian dengan diri Ez ke?" Puan Sri Elise menyuarakan kebimbangannya.

“Ez tak lapar, mom." Mendatar sahaja suara itu berkumandang di pendengaran Puan Sri Elise.

Ezmal hanya menunduk wajahnya ke bawah. Matanya setia merenung ke arah gambar - gambar arwah Maryam yang telah disusun cantik di dalam sebuah album. Perasaan rindunya terhadap arwah Maryam semakin menggunung. Jika bayi itu masih ada di sisinya saat ini, pasti tubuh Maryam akan dipeluk erat bagi menzahirkan perasaan rindu itu.

Satu keluhan berat lahir dari bibir Puan Sri Elise. Sejujurnya beliau sangat kecewa dengan respon yang ditunjukkan Ezmal. Kesabaran Puan Sri Elise sedikit tercabar lalu wajah Ezmal ditarik menghadapnya.

“Cukup - cukuplah, Ez. Mom dah letih tau tengok Ez macam ni. Sampai bila Ez nak macam ni? Ez tak kesian dengan diri Ez sendiri ke? Sejak arwah Maryam takde ni, mom tengok Ez dah macam orang hilang arah je. Makan tak nak. Ajak berbual pun tak nak. Yang Ez tahu, Ez nak terperuk aje dalam bilik ni. Tolonglah, Ez. Tolong jangan buat mom bertambah risau boleh tak? Kenapa perlu seksa diri sampai macam ni? Orang lain pun bersedih juga, Ez. Tapi takdelah teruk sampai macam ni sekali. Cubalah bawa - bawa istighfar sedikit, Ez. Ingat Allah. Semua yang terjadi ini adalah ketentuanNya." Tegur Puan Sri Elise panjang lebar.

Kali ini nadanya sudah berbaur serius. Wajahnya juga sedikit tegang. Anak mata Ezmal ditenung tajam. Ezmal sedikit tersentak saat ditegur seperti itu. Entah mengapa teguran Puan Sri Elise kali ini benar - benar meresap ke dalam jiwanya. Lama wajah tua itu ditatap. Akhirnya timbul perasaan bersalah di hati Ezmal dengan sikapnya selama ini. Jujur dia tidak menyangka betapa perubahan akan dirinya selama ini telah mengundang rasa bimbang di hati ibunya.

Berbekalkan rasa sesal di hati, akhirnya Ezmal meraih jari jemari ibunya lalu dibawa ke bibirnya. Jari - jemari Puan Sri Elise dicium lama sebelum air matanya turut sama mengalir.

“Maafkan Ez, mom. Tak terlintas langsung di hati Ez nak buat mom dan yang lain - lain risau. Ez cuma terlalu rindukan arwah Maryam." Luah Ezmal sebak.

“Mom tahu Ez. Actually semua orang dalam rumah ni pun rindukan Maryam. Tapi Ez kena ingat. Maryam dah bahagia di sisi ibunya di sana. Malah mom yakin Maryam juga akan mendoakan yang terbaik untuk kita di sini. Jadi kenapa kita perlu meratap sedih macam ni lagi? Sepatutnya kita pun kena mendoakan yang terbaik untuk Maryam. Sedekahkan al-fatihah dan surah yasin untuknya. In shaa Allah, jiwa kita akan tenang Ez. Percayalah cakap, mom. Lagipun Ez kena kuat. Kuat demi diri Ez sendiri. Masih jauh lagi perjalanan Ez di sini. Kalau Ez berterusan macam ni, silap hari bulan Ez pula yang jatuh sakit." Tegur Puan Sri Elise lagi. Kali ini lebih panjang lebar.

Ezmal membaringkan kepalanya di pangkuan Puan Sri Elise. Air mata yang mengalir sejak tadi dikesat perlahan. Jiwanya sudah sedikit tenang berbanding tadi. Ada benar juga kata - kata ibunya itu. Mengapa dia perlu bersedih di atas pemergian Maryam lagi? Maryam sudah pasti bahagia di sisi Ramona. Malah anak syurga itu sudah pun ditempatkan di tempat yang terbaik di sisi Allah. Tiada apa lagi yang perlu dirisaukan. Tugasnya sudah selesai. Seharusnya dia bersyukur. Bersyukur kerana Allah membantunya dalam mengurangkan penderitaan yang ditanggung Maryam selama ini. Jadi sebagai bapa angkat kepada Maryam, dia seharusnya berdoa yang terbaik buat Maryam. Semoga anak syurga itu akan terus bahagia di alam sana.

“Sudah, Ez jangan bersedih lagi ok? Mom dah tak nak tengok Ez menangis - nangis macam ni lagi. Ez kena kuat. Tempuhi segala dugaan ini dengan hati yang terbuka. Sekarang mom nak Ez bangun dan makan nasi ayam yang mom bawa ni. Lagipun ini kan favourite Ez. Penat tau mom masak. Sampai hati Ez tak nak makan." Ujar Puan Sri Elise dengan nada pura - pura merajuk.

Ezmal tersenyum kecil melihat telatah ibunya. Akhirnya dia mengaku kalah. Sudah menjadi satu kebiasaan jika dia merajuk, ibunya yang akan datang memujuk. Malah sejak dari kecil lagi, Puan Sri Elise memang tidak pernah gagal dalam memujuknya. Jadi tidak hairanlah mengapa Puan Sri Elise lebih memahami dirinya berbanding bapanya. Akhirnya perlahan - lahan Ezmal mencapai dulang yang berisi makanan itu lalu diletakkan di atas katilnya. Dengan penuh berhati - hati dia menyuapkan hidangan itu ke dalam mulutnya sambil disaksikan oleh Puan Sri Elise. Kini senyuman mula menyinari bibirnya dan hal itu sudah pasti mengundang rasa bahagia di hati Puan Sri Elise.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience