Bab 7

Vampire Series 30571

ELMIRA kata dia ada perjumpaan dengan ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar, jadi selepas tamat kelas Bahasa Dalam Penulisan Kreatif aku panjangkan kakiku menuju ke perpustakaan. Bukan nak kata rajin baca buku pun, tapi selalunya aku akan singgah sekejap ke perpustakaan walaupun sekadar untuk menyelak-nyelak akhbar untuk mengetahui berita semasa… dan kadang-kadang gossip semasa juga. Hehehe…

Waktu sudah agak lewat petang tetapi perpustakaan masih lagi dibuka. Adakalanya pada hari-hari tertentu perpustakaan memang dibuka sehingga malam walaupun yang sering mengunjungi perpustakaan ini tetap muka-muka yang sama. Pusing-pusing tetap juga muka-muka budak fakulti aku. Fakulti Penulisan Kreatif. Memang tak sahlah kalau tak bercinta dengan buku. Kalau kau bencikan sastera sekali pun tapi bila dah tercampak dalam fakulti ini mesti kena juga mengadap semua buku-buku sastera dan yang seangkata dengannya. Itulah yang dikatakan sebagai proses pembelajaran. Tak kena paksa tak belajarlah jawabnya.

Beberapa langkah kakiku hampir sampai ke pintu perpustakaan mataku menangkap kelibat Azril yang sedang berjalan menuju ke lorong di selekoh sebelah perpustakaan. Lorong tersebut menghubungkan laluan ke lif dan tangga. Lorong tersebut memang agak tersorok dan sunyi.

“Azril.” Aku panggil namanya. Niatku sekadar untuk bertegur sapa. Sebagai kawan. Dan juga jiran. Ya, hanya itu. Tiada niat lain.

Azril yang sinonim dengan baju T atau kemeja putih itu sempat menoleh ke arahku. Seperti ada sesuatu yang mencemaskan bila dia langsung tidak memberi respon terhadapku dan terus sahaja menyambung langkahnya untuk beredar. Aku cuba pergi menghampirinya. Dia terkocoh-kocoh mengatur langkah. Ada sekali langkahnya seperti terhoyong hayang sehingga menyebabkannya berpaut pada dinding sebelum terus melangkah.

“Azril!” Eh, sombong pula mamat tu hari ni. Aku panggil dia buat dunno je. Geramnya aku!

Aku abaikan terus perpustakaan dan lebih terpanggil untuk menjejaki langkah kaki Azril. Apa kes sampai nak lari dari aku agaknya dia ni? Pintu menuju ke anak tangga terbuka sedikit. Lelaki itu nampaknya memilih menggunakan tangga berbanding lif biarpun kami berada di tingkat 3. Aku terus menuju ke arah tangga. Ketika aku sampai di tangga, Azril sedang memeluk besi pemegang tangga. Tangan kirinya mencengkam dada. Keadaannya tak stabil dan hampir rebah.

“Kau okay ke tak ni?” Aku rasa ada yang tidak kena dengan Azril hari ini. Dia sakit kot.

Azril mendongak memandang ke arahku. Aku lihat wajahnya yang cerah itu kemerah-merahan seolah-olah segelen darah sedang mendidih naik sampai ke kepalanya.

“Pergi… jangan datang dekat.” Suaranya dingin menghalau aku pergi. Gementar juga aku mendengarkan nada suaranya yang rendah tapi menakutkan itu. Pertama kali aku lihat sisi berbeza dalam diri Azril. Sebelum ini Azril umpama seorang putera yang menawan (bak kata Elmira lah). Selalu tersenyum dan bersikap ramah dengan orang sekeliling.

“Apa kena dengan kau, Azril?” Perasaan tidak enak yang aku rasa menyebabkan aku tak berani meninggalkan Azril bersendirian.

“Tolonglah… pergi. Sebelum aku hilang kawalan. Pergi, Sofie!” Dia masih lagi cuba menghalang aku dari mendekatinya.

“Azril!” Azril seperti orang yang kehilangan seluruh tenaganya. Aku pantas mencapai tangannya sebelum dia tersembam jatuh ke bawah tangga. Aku sendiri hampir tak kuat menahan tubuh lelakinya. Tubuh Azril rapat ke dadaku. Dapat aku rasakan betapa lajunya degupan jantungnya. Malah suhu badannya terlalu panas. Nampaknya teruk juga demam panas yang dialaminya. Dia perlukan rawatan segera.

Tiada sesiapa pula yang melalui kawasan ini sekarang. Selalunya memang jarang ada sesiapapun menggunakan tangga. Kawasan tangga ini agak tersorok. Tiada sesiapa pun yang perasaan. Apatah lagi pada waktu yang sudah lewat petang begini.

Aku tatap kembali wajah Azril. Anak mata Azril berubah warna. Daripada coklat kepada merah hati. Renungannya memandang tepat ke dalam mataku seolah-olah mengharapkan sesuatu dariku… atau itu pandangan seperti orang yang teruja melihat makanan yang lazat. Nampak sedap sangat ke aku ni di matanya? Renungan Azril perlahan-lahan menaikkan bulu tengkukku. Menakutkan. Aku fikir lebih baik aku jauhkan diri daripadanya sekarang.

“Aku tak dapat bertahan lagi…” Azril mula nampak terdesak.

Aku telan liur bila perasan gigi taring Azril yang tiba-tiba memanjang. Tanganku ditarik mendekatinya semula bila aku cuba menjauh. Aku makin cuak. Cuba nak lari tapi cengkaman Azril terlalu kuat. Aku jadi tak tentu arah bila Azril cuba merangkul tengkukku. Mulutnya yang terbuka menampakkan gigi taring yang tajam itu semakin hampir hendak menggigit leherku.

“Azril, berhenti!” Aku takut. Terlalu takut. Tapi aku perlu hentikan tindakan tidak rasional Azril. Aku tolak Azril sekuat hati. Walaupun impak yang Azril terima tidak kuat tetapi cukup untuk membuatkannya kembali kepada diri asalnya semula.

“Aarghh!” Azril menjerit. Eh, bukan. Aku fikir dia sedang mengerang kesakitan. “Ian… tolong aku… tolong aku, Ian…” suaranya yang merintih memanggil nama abangnya membuatkan aku berasa simpati. Tapi rasa takut itu lebih kuat.

Aku tak mampu membayangkan apa atau siapa sebenarnya Azril. Cuma satu. Vampire! Walaupun dia pernah menidakkannya sebelum ini.

Tiba-tiba aku lihat sesuatu tersembur dari hidung dan mulut Azril. Banyak sehingga tumpah ke lantai. Pakaian Azril disimbahi cecair berwarna merah. Darah? Nose bleeding? Apa yang berlaku pada dia sebenarnya? Aku semakin keliru dengan apa yang sedang aku lihat sekarang. Mungkin aku patut dapatkan bantuan dari sesiapa. Azril nampak teruk.

Kuatur langkah kakiku dengan niat untuk mendapatkan bantuan. Mungkin aku patut menarik Elmira. Ini kecemasan. Aku tiada pilihan.

Sebaik aku pusingkan langkah kakiku wajahku tersembam melanggar dada seseorang.

“Adoi.” Sakit kot batang hidung aku…

Aku angkat muka dan tergamam bila melihat susuk tubuh Adrian yang tiba-tiba muncul di hadapanku. Berkemeja hitam dan jeans hitam. Rambutnya yang agak panjang diikat ke belakang. Dia menutup rapat pintu yang menghubungkan tangga kemudian tanganku dicengkam kemas kerana tak mahu melepaskan aku pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience