Bab 54

Short Story Series 55082

Seperti yang diingini oleh Rina, Aqil membawa isterinya itu melawat kubur Puan Mawar dan Nek Jah pada hari itu sebelum mereka berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Aqil berjanji kepada dirinya sendiri untuk menunaikan segala permintaan Rina selagi dia mampu menunaikannya. Dia mahu Rina berasa bahagia sebelum Allah mencabut nyawa isterinya itu pada bila-bila masa. Aqil membantu Rina duduk bersimpuh di sebelah kubur Puan Mawar. Diperhatikan saja tangan isterinya itu menyentuh batu nisan Puan Mawar sebelum air mata isterinya itu menitis satu persatu dan semakin deras. Melihat isterinya yang menangis hiba itu membuatkan Aqil turut menitiskan air mata kerana kelemahannya adalah melihat air mata Rina. Dia tidak boleh melihat isterinya itu di dalam kesedihan kerana dia akan turut merasakan perasaan itu.

“Assalamualaikum ibu, Rina datang menziarahi ibu setelah sekian lama Rina pergi. Bukan kerana keras hati ini tidak mahu menziarahi ibu tetapi kerana luka yang masih tersisa membuatkan Rina tidak mampu untuk kembali ke sini. Setiap kali Rina mengingati apa yang terjadi Rina tidak mampu menahan rasa di hati ini. Sungguh sarat rindu di hati Rina buat ibu dan nenek. Maafkan Rina yang mementingkan diri sendiri. Sungguh tidak pernah walau seharipun Rina lupa mendoakan kesejahteraan abi, ibu dan nenek di alam sana. Rina rindukan kalian seakan baru semalam kita ketawa bersama. Hanya Allah yang tahu betapa saratnya rindu ini, ibu.” Rina menangis teresak-esak memeluk batu nisan yang menandakan itu adalah kaki Puan Mawar.

“Ibu, saya Adam Aqil suami kepada Rina puteri tercinta ibu. Maafkan Aqil kerana baru hari ini menziarahi ibu. Aqil berjanji kepada ibu atas nama Allah Aqil akan sentiasa mencintai dan menjaga Rina dan Qalifh sehingga ke hujung nyawa Aqil. Terima kasih kerana telah melahirkan dan mendidik Rina sehingga menjadi anak yang soleha. Walaupun kita tidak pernah bertemu, Aqil mencintai ibu seperti Rina mencintai ibu. Semoga di akhirat Allah mempertemukan kita wahai sang belahan jiwa Rina Altafunisa.” Aqil meletakkan tangannya di atas tangan Rina sambil sebelah tangannya mengusap belakang tubuh Rina yang masih menangis haru.

“Makcik, saya minta maaf di atas perbuatan saya dahulu terhadap makcik sekeluarga. Saya begitu zalim kepada Rina sehingga membiarkan dia menderita sendirian. Saya juga yang bertanggungjawab di atas kesakitan yang dia alami sepanjang dia menjadi isteri saya. Saya menyesal dan bertaubat. Saya tahu saya tidak mampu mengubah masa lalu saya tetapi saya berjanji akan membuat kebaikan kepada Rina dan Qalifh.” Haikal menundukkan wajahnya ke tanah menyesali semua perbuatannya. Dia segera beristighfar kepada Allah menyesali semua perbuatannya. Disebabkan dirinya insan-insan yang tidak bersalah menjadi mangsa kezalimannya. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya.

Tan Sri Mansur, Areen dan Aqilah hanya mendiamkan diri menginsafi dosa-dosa mereka. Benarlah kata orang jika kita datang ke kubur kita akan mengingati kematian. Disebabkan itulah kita diharuskan untuk sentiasa menziarahi kubur agar kita tahu bahawa satu hati nanti kita juga akan berada tertanam di dalam tanah dan hanya amalan saja yang akan dibawa sebagai bekalan di alam barzakh sana.

Mereka membacakan surah yasin untuk Puan Mawar dan Nek Jah sebelum mereka menaburi bunga-bunga di pusara itu. Ketika mereka sudah bersiap sedia mahu pulang Rina meminta agar dirinya ditinggalkan sendirian sebentar kerana dia masih mahu berada di pusara Puan Mawar. Mereka menghormati kehendak Rina dan menunggu wanita itu di dalam kereta. Mereka melihat Rina yang sedang seakan berbicara sehingga mereka ingin tahu apa yang dikatakan oleh Rina tetapi mereka tahu jika mereka bertanya pasti Rina tidak akan berkata apa-apa.

Lima minit selepas itu Rina bangun perlahan-lahan, melihat isterinya yang sudah bangun Aqil segera berlari-lari anak menuju ke arah Rina. Aqil membantu Rina berjalan dan mereka sempat menoleh sebentar ke pusara itu sebelum mereka berjalan semula.

“Apa yang awak bicarakan dengan ibu?” Aqil bertanya kerana tidak dapat lagi menahan rasa ingin tahunya.

“Saya berkata bahawa tidak lama lagi saya akan menyusuli mereka dan saya harap Allah mempertemukan kami.” Rina berkata bersahaja sambil menggenggam kuat tangan Aqil yang dipimpinnya.

Mendengar kata-kata Rina itu membuatkan Aqil tersedar dari realiti semula bahawa isterinya itu sudah sakit tenat. Aqil memandang wajah Rina yang ditutupi purdah itu. Dia yakin saat ini pasti isterinya sedang tersenyum melihatnya. Memikirkan itu Aqil memperbaiki riak wajahnya. Dia membalas senyuman Rina kerana dia tidak mahu Rina bersedih melihatnya menangis walaupun di dalam hatinya ketika itu hanya Allah saja yang tahu betapa hancur hatinya.

“Rina Altafunisa?” Tiba-tiba seseorang memanggil nama Rina daripada kejauhan. Rina dan yang lain sama-sama menoleh ingin mengetahui siapakah gerangan yang memanggil itu dan ternyata orang itu adalah Tok Penghulu iaitu datuk kepada Syahiran.

“Tok, apa khabar?” Rina bertanyakan khabar lelaki yang sudah lama tidak dia temui semenjak dia pergi daripada kampung mereka itu.

“Alhamdulillah, tok sihat. Kamu sihat?” Tok penghulu bertanya sambil memerhatikan wajah yang asing bagi dirinya. Dia masih mengingati wajah lelaki separuh baya dan lelaki yang memimpin tangan Rina itu. Dua lelaki itu adalah orang yang mengaku sebagai bapa mertua Rina dahulu.

“Alhamdulillah.” Rina menjawab pendek.

“Boleh tok ambil masa kamu sebentar? Ada yang ingin tok bicarakan kepada kamu.” Tok penghulu meminta wanita itu meluangkan masa untuk dirinya sebentar kerana ada perkara mustahak yang dia ingin bicarakan.

Rina memandang wajah Tok penghulu yang kelihatan runsing itu sebelum dia mengangguk bersetuju. Tok penghulu meminta mereka semua untuk bertamu ke rumahnya yang tidak jauh daripada situ. Mereka menaiki kereta mengikuti Tok penghulu yang menaiki motorsikal ke rumah lelaki itu. Ketika sampai di halaman rumah penghulu kampung itu, mereka melihat seorang wanita yang sedang membersih-bersihkan halaman.

“Som, cepat pergi buatkan air. Ada tetamu datang daripada jauh.” Tok penghulu mengarahkan isterinya membuatkan air buat tetamu mereka.
Melihat suaminya yang terburu-buru itu, Nek Som tidak bercakap banyak dia hanya menuruti sahaja permintaan suaminya itu dan kembali dengan sedulang teko dan cawan. Ketika Nek Som mengagih-agihkan minuman barulah dia tersedar bahawa salah satu daripada tetamu suaminya itu adalah Rina Altafunisa.

“Allahuakhbar, terima kasih Ya Allah kerana Kau masih mempersempatkan aku untuk bertemu dengan anak ini. Rina maafkanlah kami, kami bersalah terhadap kamu. Kami menyesal dengan apa yang terjadi tolong maafkanlah kami.” Nek Som memeluk Rina dengan erat meminta maaf di atas apa yang telah menimpa Rina dahulu.

“Saya sudah lama maafkan, nek. Tidak mengapa, yang berlalu biarlah menjadi sejarah semoga Allah mengampuni kita semua.” Rina membalas pelukan wanita yang sudah tua itu dengan pelukan kasih sayang. Rindu dia pada Nek Jah saat dia berpelukan dengan Nek Som.

“Sebenarnya, selepas kamu pergi kampung ini sudah tidak seperti dahulu lagi. Kampung ini kering kontang tidak berhujan. Jika hujan pun tidak lama Rina. Sudah banyak yang terjejas akibat cuaca yang kering. Kami beranggapan semua ini terjadi kerana apa yang orang kampung lakukan kepada kamu.” Tok Penghulu menceritakan semua yang telah terjadi kepada Rina selepas wanita itu pergi. Tidak ketinggalan juga tentang Makcik Zainab yang telah hilang kewarasannya akibat perbuatan anak-anaknya yang menjual semua sawah dan tanah kepunyaannya sehingga tiada apa lagi yang tinggal. Sekarang wanita itu hanya tinggal di pondok buruk dan mengharapkan ihsan kepada orang untuk memberinya makanan.

Nek Som juga bercerita bahawa Syuhada isteri kepada Syahiran asyik mengalami keguguran sepanjang cucu menantunya itu mengandung sehingga mereka asyik bertengkar dan hampir juga bercerai. Nek Som yang sudah maklum bahawa Syuhadalah punca Makcik Zainab mengetahui tentang kandungan Rina itu menyuruh Syahiran mencari Rina dan meminta maaf kepada sahabatnya itu tetapi sehingga ke saat ini mereka tidak menemui Rina. Siapa yang sangka akhirnya Rina yang datang ke kampung mereka.

“Semua yang terjadi bukan disebabkan saya tetapi mungkin Allah hanya ingin menguji kita. Sudah berapa banyak Allah berikan kita nikmat tetapi mungkin kita lupa untuk mensyukurinya.” Rina menolak dakwaan yang diberikan oleh Tok Penghulu dan Nek Som.

“Tolonglah doakan kami agar Allah menurunkan hujan kepada kampung kita dan doakan Syahiran agar dipermudahkan urusannya.” Nek Som menarik kedua tangan Rina seakan bermohon. Dia tidak mahu melepaskan tangan itu selagi Rina tidak mendoakan mereka.

Melihat wajah Nek Som yang bersungguh-sungguh meminta doa daripada dirinya membuatkan Rina serba salah kerana dia bukanlah sesiapa. Dia hanya insan biasa yang penuh dengan dosa. Dia juga tidak tahu Allah akan memakbulkan doanya atau tidak. Akhirnya dengan rasa yang berat hati Rina bersetuju. Rina meminta izin untuk menunaikan solat sunat dhuha di rumah Tok penghulu. Selesai mengambil wuduk Rina solat di tempat yang disediakan. Rina mengigihkan dirinya untuk solat secara berdiri kerana dia tidak mahu Tok penghulu dan Nek Som tahu dia sakit kerana dia tidak mahu kedua orang tua itu berasa semakin bersalah. Penyakit yang dialami oleh dirinya bukanlah disebabkan mereka jadi dia tidak mahu menambahkan beban runsing di hati mereka dengan melihat keadannya.

Rina mengangkat kedua tangannya selepas selesai menunaikan solat sunat. Khusyuk dia membacakan doa untuk kesejahteraan penduduk kampung di situ dan keharmonian rumah tangga sahabatnya itu sehingga dia menitiskan air mata. Selesai berdoa Rina kembali semula ke tempat perkumpulan mereka yang sedang berbual diantara satu sama lain.

“Saya sudah mendoakan yang terbaik buat kita semua, saya tidak mahu tok dan nek menganggap doa saya mustajab kerana saya juga insan biasa yang penuh dengan dosa. Saya bukan nabi dan bukan juga seorang alim saya hanyalah seorang wanita yang kerdil di mata Sang Pencipta. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah agar Allah mengampuni kita dan mengkabulkan semua doa yang kita minta. Saya tidak boleh berlama-lama disini kerana anak saya sudah menanti kepulangan saya di sana. Saya minta diri dulu.” Rina meminta diri untuk pulang kepada Tok Penghulu dan Nek Som.

Tok Penghulu dan Nek Som menghantar kepulangan mereka sehingga ke kereta. Mereka sempat berpelukan dan bersalaman sekali lagi sebelum satu persatu masuk ke dalam kereta. Sebelum masuk ke dalam kereta Rina memanggil Tok Penghulu untuk memberitahu sesuatu kepada lelaki itu.

“Tok, tanah rumah saya itu saya wakafkan kepada orang kampung untuk dijadikan tempat kanak-kanak mengaji dan belajar agama. Gunalah tanah yang tidak seberapa itu dengan sebaiknya semoga ia menjadi amal jariah buat arwah ibu dan nenek saya.” Rina memberitahu Tok penghulu bersaksikan Aqil dan Tan Sri Mansur.

“Semoga Allah merahmati kamu, nak.” Tok Penghulu berterima kasih dan menerima amanah yang diberikan oleh Rina kepada dirinya. Dia rasa bersyukur kerana secara tidak langsung salah satu masalahnya telah selesai kerana dia juga mencari tanah untuk didirikan sebuah rumah mengaji untuk kanak-kanak disitu kerana surau mereka itu sedang dibaik pulih dan itu sangat mengganggu proses pembelajaran Quran kanak-kanak disitu.

Kereta yang dipandu oleh Aqil dan Aqilah perlahan-lahan meninggalkan halaman rumah Tok Penghulu. Disaat kereta mereka membelok ke kanan, Rina melihat Makcik Zainab yang sedang berteduh di sebuah pondok buruk di situ. Rina sempat membalas lambaian daripada wanita itu. Keluar saja daripada kampung itu tiba-tiba hujan turun membasahi bumi. Tok penghulu dan Nek Som yang masih berada di luar rumah melihat satu sama lain kerana hujan yang tiba-tiba turun itu tanpa sebarang petanda. Terdengar teriakan orang-orang kampung yang gembira dengan hujan yang turun itu. Semoga hujan yang turun itu adalah hujan rahmat dari Allah doa penduduk kampung ketika itu.

“Bukankah saya sudah memberitahu awak, Som. Budak Rina itu tidak seperti orang lain. Dia sama seperti arwah ibunya.” Tok Penghulu memandang Nek Som yang sedang menikmati hujan yang turun membasahi tubuh mereka.

“Ya, Mawar berjaya mendidik anaknya menjadi anak yang soleha sama seperti Jah mendidik Mawar sehingga ke hujung nafas mereka.” Nek Som mengiakan kata-kata suaminya. Seandainya saja mereka menghargai keluarga itu dahulu pasti kampung mereka akan damai dan tenteram.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience