BAB 8

Romantic Comedy Completed 6484

FIRHAN melangkah keluar dari kereta setelah kereta selamat diparkirkan di taman tasik. Dia bergerak beberapa langkah menjauhi keretanya. Pandangan kosong dia jatuhkan pada tasik yang berada tidak jauh di depan mata. Qatrunnada yang berada di dalam kereta sedikit geram dengan Firhan yang datang ke taman tasik ini dan tidak terus pulang ke rumah. Dia berterima kasih kepada Firhan kerana bersusah payah membawanya ke klinik namun dalam masa yang sama dia tidak suka yang Firhan mengheretnya sekali ke taman tasik ini. Walaupun geram, Qatrunnada keluar juga dari kereta milik Firhan. Menyedari yang Qatrunnada sudah keluar dari perut kereta, Firhan mengunci kereta dan dia terus berjalan mendekati tasik.

Qatrunnada berdiri tidak jauh di belakang Firhan. Dia hanya memerhati gerak-geri Firhan yang mundar-mandir ke kiri dan ke kanan. Kalau diikutkan hati Qatrunnada, mahu sahaja dia ambil teksi ataupun menaiki bas untuk terus pulang ke rumah sewanya malangnya dia tiada sebarang wang dalam tangan kerana begnya mungkin tercicir sewaktu dia tidak sedarkan diri di hadapan rumah sewanya tadi. Jadi dia perlu bersabar dengan Firhan kerana Firhan sahaja harapannya yang ada buat masa ini untuk pulang ke rumah sewa. Setelah beberapa ketika mereka berdua masih berdiam diri, Qatrunnada akhirnya bersuara.

“Fir, kalau awak tak nak balik lagi boleh tak awak pinjamkan saya duit buat tambang balik rumah? Nanti saya ganti balik duit tu termasuk bayaran dekat klinik yang awak selesaikan tadi.”

“Sampai hati Nada! Nada dah tak fikir dosa pahala ke? Selama ni Abang Fir hormatkan Nada tapi kenapa Nada tak hormati diri Nada sendiri? Nada beritahu Abang Fir siapa punya kerja tu, biar Abang Fir jumpa dia. Dia tak nak bertanggunajawab ke?” Firhan bersuara dengan nada suara yang sudah meninggi. Buat pertama kalinya Qatrunnada mendengar Firhan berbicara dengan nada suara setinggi itu. Mujurlah ketika itu tidak ramai orang yang berada di taman tasik ini. Jika tidak pastinya Qatrunnada sudah mendapat pandangan sinis ataupun mungkin ada tangan-tangan gatal yang merekodkan adegan ini dan disebarkan ke laman sosial.

“Fir, cuba awak bawa mengucap. Bersabar. Saya masih sakit kepala lagi ni, saya tak larat cakap panjang-panjang sekarang. Saya perlukan rehat. Itu aje buat masa ni.” Qatrunnada berkata perlahan kepada Firhan.

“Abang Fir akan hantar Nada balik rumah lepas Nada jawab soalan Abang Fir. Boleh tak Nada jujur je dengan Abang Fir. Anak siapa yang Nada kandung tu?” Firhan bertanya keras. Di dalam kepalanya masih terngiang-ngiang lagi suara doktor di klinik tadi yang mengesahkan bahawa Qatrunnada sudah hamil sembilan minggu. Bagaikan dipanah petir dirinya ketika mendengar berita mengejutkan dari doktor tersebut. Jika Qatrunnada adalah isterinya, sudah tentu dia akan menjadi insan yang paling gembira dengan berita kandungan tersebut namun hakikatnya Qatrunnada bukanlah isterinya, jauh sekali untuk kandungan Qatrunnada itu menjadi anaknya.

“Anak saya!” kali ini Qatrunnada yang sudah geram sedikit meninggikan suara. Tangannya sudah memicit-micit kepala yang terasa begitu berdenyut-denyut sekali.

“Nada! Nada dah gila ke? Nada sedar tak apa yang Nada cakap? Apa yang Nada dah buat?” Firhan bertanya bertalu-talu. Qatrunnada masih lagi memicit-micit kepalanya.

“Awak tengah marah, tak sesuai untuk kita bercakap pasal ni sekarang. Apa-apa yang saya beritahu nanti belum tentu awak akan percaya. Tolonglah Fir! Kalau awak tak nak saya tak sedarkan diri lagi, tolong hantar saya balik.” Kali ini Qatrunnada perkata perlahan. Sungguh, sakit kepalanya makin bertambah apabila Firhan berkelakuan sedemikian. Walaupun masih tidak puas hati, Firhan akhirnya berdiam diri. Dia terus berlalu ke arah kereta untuk bergerak pulang. Qatrunnada lega. Dia berjalan di belakang Firhan menuju ke arah yang sama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience