BB - BAB 20

Drama Completed 308942

QAIREENA tersedar apabila alarm telefon bimbitnya berbunyi menandakan waktu itu sudah masuk waktu subuh. Lampu di tepi katil dihidupkan. Dia kemudian menoleh ke sebelah, dilihatnya Taufik masih lagi tidur.

Semenjak semalam lelaki itu berada di situ untuk menjaganya.  Berulang kali Taufiq memeriksa suhu badan Qaireena dan mengejutkannya apabila tiba waktu untuk makan ubat.  Lelaki itu benar-benar risau dengan keadaan dirinya itu.

Qaireena meniarap sambil menongkat dagu dengan tangannya.  Wajah Taufiq yang sedang tidur itu dipandang.  Ya dia bertuah kerana lelaki itu muncul dalam hidupnya di saat semua insan-insan tersayang pergi menghadapi Ilahi dan meninggalkannya tanpa tempat untuk bergantung harap.

Dia sendiri tidak tahu bagaimana keadaan dirinya saat menghadapi kehilangan demi kehilangan orang -orang yang tersayang, jika Taufiq tidak berada di sisinya.  Sungguh Allah itu maha adil, saat DIA mengambil sesuatu dari mu, DIA pasti menggantikan dengan sesuatu yang lain pula. 

Taufiq bergerak dari tidurnya, perlahan matanya dibuka.  Mungkin dia terganggu dengan pancaran cahaya lampu dari meja yang dihidupkan oleh Qaireena.  Qaireena sedikit terkejut kerana dia masih lagi meniarap dan memandang wajah lelaki itu.  Mata Taufiq melekat ke wajah Qaireena yang sedang memandangnya ketika itu.  Terus tangannya dilekapkan di dahi dan leher wanita itu untuk merasa suhu badan Qaireena sama ada masih panas atau tidak.

"Panas badan awak dah kebah, masih rasa pening dan  lemah badan lagi?".  Soal Taufiq yang masih berbaring.

"Tak, Reen dah ok, dah sihat pun.  Terima kasih sebab jaga Reen".  Ucap Qaireena.

"Kenapa tak kejutkan saya tadi, awak tenung muka saya sebab nak tengok berapa banyak kedutan yang ada dekat muka saya ke?". Ujar Taufiq sambil memandang Qaireena.

Serta merta Qaireena bangun dari meniarap  dan duduk.

"Mana ada Reen tenung, Reen nak kejutkanlah tadi tu, tapi tiba-tiba Abang bangun".  Kata Qaireena.  Taufiq tersenyum mendengar jawapan wanita itu.

"Eemm...yalah tu.  Dah pergi mandi, nanti terlepas subuh pula". Arah Taufiq sambil dia juga turut bangun dari katil dan menapak keluar.

Usai menunaikan solat subuh, Taufiq turun ke bawah dan keluar ke halaman rumah untuk menghirup udara segar pada waktu pagi.  Dia duduk di gazebo yang terdapat di penjuru halaman rumahnya itu.  Udara yang segar dan pagi yang mendamaikan itu betul-betul membuat dia berasa tenang.

Taufiq kemudian menoleh ke arah balkoni bilik Qaireena, dilihatnya wanita itu sedang duduk termenung di situ.  Pasti Qaireena sedang mengingati Qaisara kerana kebiasaannya pada waktu begini wanita itu akan sibuk membantu arwah adiknya itu mandi dan membersihkan diri sebelum mereka menikmati sarapan pagi bersama. 

Hampir sejam Taufiq berada di situ, tidak lama kemudian muncul Mak Leha memanggilnya untuk bersarapan pagi.  Dia bangun dan melangkah masuk ke dalam rumah.  Kaki dibawa menuju ke bilik Qaireena, pintu bilik wanita itu diketuk. 

"Mak Leha dah siapkan sarapan pagi, awak nak sarapan dekat bawah atau nak Mak Leha bawakan dekat bilik awak?".  Soal Taufiq apabila pintu bilik tersebut dibuka oleh Qaireena.

"Sarapan dekat bawah jelah, bukannya Reen tak boleh bergerak langsung.  Lagipun Reen dah sihatlah".  Jawab Qaireena sambil memandang Taufiq. 

"Kalau macam tu, jom sarapan".  Ajak Taufiq dengan senyuman.  Qaireena keluar dari biliknya dan mengekori langkah Taufiq untuk turun ke bawah.

"Macam mana keadaan Reen hari ni, dah rasa okay sedikit?".  Tanya Mak Leha pula apabila dia melihat Qaireena menghampiri meja makan.

"Alhamdulillah, Reen dah sihat Mak Leha, demam pun dah kebah, tak seteruk semalam".  Jawab Qaireena sambil menghadiahkan senyuman kepada Mak Leha.

"Baguslah kalau Reen dah beransur sihat, kalau tak, memang tak senang duduklah Tuan Taufiq kita tu tengok isteri kesayangan dia terbaring je dekat atas katil". Kata Pak Abu sambil tertawa kecil.

"Siapalah yang tak sayang bini kan Tuan".  Kata Mak Leha yang juga turut tertawa mendengar kata-kata suaminya itu.

Qaireena mengerling ke arah Taufiq, dilihatnya lelaki itu hanya tersenyum mendengar kata-kata Pak Abu dan Mak Leha itu.

••••••••••

Genap dua minggu pemergian Qaisara, Qaireena sudah mula dapat menerima kenyataan itu dan mampu mengawal kesedihan yang sesekali bertandang tatkala rindu beraja dihatinya.

Untuk mengelakkan dirinya selalu termenung, Qaireena menghabiskan waktunya dengan  membantu Mak Leha memasak, mengemas rumah dan belajar membuat kuih muih kampung daripada wanita itu. 

Qaireena melabuhkan punggungnya di kerusi yang terdapat di halaman rumah itu sambil menghadap ke arah kolam ikan yang dibina cantik berserta dengan air terjun kecil.  Tidak lama kemudian Mak Leha datang sambil menatang dulang yang berisi teh panas dan kuih apam yang buatnya bersama wanita itu tadi.

"Jauh termenung? Apa yang dimenungkan tu?".  Soal Mak Leha dengan senyuman.  Tangannya pula sibuk mengeluarkan cawan berisi teh panas dari dalam dulang dan diletakkan di depan Qaireena.

"Tak ada apalah Mak Leha.  Reen cuma tengah fikir apa yang Reen nak buat selepas ni.  Bosan juga duduk terperap dekat dalam rumah ni.  Reen nak bekerja, tapi mesti Abang tak benarkan.  Takkanlah nak jadi madam besar dalam rumah ni, makan tidur, makan tidur". Jawab Qaireena dengan tawa kecil.

"Kalau pasal kerja, Mak Leha pun yakin yang Tuan takkan benarkan Reen bekerja .  Tapi kalau Reen nak bekerja di syarikat dia mungkin dia setuju sebab setiap hari Reen ada depan mata, taklah dia risau memikirkan yang Reen akan diganggu oleh along lagi".  Kata Mak Leha.

"Cakap pasal along, Mak Ngah Reen ada hubungi Reen lagi ke selepas kejadian Reen hampir diculik oleh along tu? Mereka tahu yang Sara dah tak ada?". Tanya Mak Leha lagi.  Wajah Qaireena dipandangnya.

"Mereka tak tahu pun Sara dah tak ada Mak Leha.  Selepas je Reen halau mereka dari rumah arwah ibu tu, Reen langsung tak pernah jumpa mereka suami isteri.  Mereka pun tak pernah juga hubungi Reen, mungkin mereka tengah melarikan diri daripada along, sebab tulah lagsung tak pernah muncul di depan Reen".  Jawab Qaireena.

"Baguslah mereka dah tak ganggu hidup Reen lagi Mak Leha, Reen dah tak larat nak menghadap masalah yang mereka cipta.  Kalau mereka tahu yang Reen berkahwin dengan orang kaya, lagilah mereka akan pergunakan Reen.  Malu Reen nanti dengan Abang Taufiq.  Lagipun Reen dah banyak terhutang budi dengan dia, Reen tak dapat bayangkan macam kehidupan Reen sekarang kalau dia tak selamatkan Reen".  Tambah Qaireena lagi.

"Tuan tu sayang sangat pada Reen, cuma dia tak yakin pada diri sendiri.  Dia takut Reen tak boleh terima dia disebabkan jarak usia antara Reen dan dia".  Kata Mak Leha.  Segaris senyuman terukir di bibir wanita itu.

"Mak Leha tahu pasal tu?".  Soal Qaireena sambil turut memandang Mak Leha.

"Tuan Taufiq tu dah anggap Mak Leha dan Pak Abu macam ibu bapa dia sendiri Reen.  Lagipun dia dah tak ada sesiapa lagi melainkan anak dia yang seorang tu je.  Jadi dengan Mak Leha dan Pak Abu lah dia selalu berkongsi cerita dan meminta nasihat serta pandangan".  Jawab Mak Leha.

"Abang ada luahkan pada Reen, tapi sampai ke hari ni Reen masih tak ada kata apa-apa lagi selepas sahaja dia luahkan perasaan dia tu.  Entahlah Mak Leha, Reen sendiri tak tahu apa perasaan Reen sekarang ni, yang pasti Reen rasa tenang bila bersama dia".  Pandangannya dibuang ke arah kolam ikan di hadapannya itu.  Mak Leha senyum apabila mendengar kata-kata Qaireena.

"Mak Leha faham, mungkin Reen terlalu muda, disebabkan itulah hati Reen masih berbolak balik dan keliru.  Tapi Mak Leha yakin kalau Reen cuba untuk menerima takdir bahawa Tuan adalah jodoh Reen, pasti Reen juga akan dapat memupuk rasa cinta dan sayang pada Tuan.  Usia tu hanyalah angka Reen, berkahwin dengan orang yang sama muda dengan kita tidak semestinya akan menjaminkan kebahagiaan yang hakiki.  Tengok jelah Dato' Siti Nurhaliza tu, kahwin dengan Dato' K yang jauh lebih tua daripada dia, tapi sampai ke hari ni mereka kekal hidup bahagia bersama".  Ujar Mak Leha bersama tawa kecilnya kerana sempat menyelitkan kisah artis pujaannya itu.

"Apa yang penting adalah keikhlasan hati untuk menerima satu sama lain Reen".  Tambah Mak Leha lagi.  Qaireena diam, dia cuba menghadam setiap kata-kata Mak Leha itu. 

"Reen duduklah minum petang dulu ya, Mak Leha nak masuk habiskan kerja Mak Leha sekejap".  Kata Mak Leha sambil bangun dari duduknya.

"Baiklah Mak Leha". Qaireena kemudian memandang wanita itu berlalu masuk ke dalam rumah.  Dalam masa yang sama, kata-kata luahan Taufiq tempoh hari juga turut bermain difikirannya.

Jauh Qaireena termenung memikirkan tentang lelaki itu.   Sehinggalah dia terdengar satu suara menegurnya dari arah belakang.

"Termenung nampak".  Tegur Taufiq.  Dia yang baru sahaja pulang dari pejabat, terus mendekati Qaireena apabila dilihatnya wanita itu sedang duduk termenung di situ.

"Eh..Abang dah balik". Qaireena menoleh ke arah Taufiq.

"Apa yang dimenungkan?".  Soal Taufiq sambil melabuhkan punggungnya di kerusi yang bertentangan dengan Qaireena.

"Tak ada apa-apa pun yang Reen menungkan, cuma bosan je".  Jawab Qaireena.  Mana mungkin dia mahu berterus terang bahawa dia sedang memikirkan tentang lelaki itu.

"Awak nak pergi jalan-jalan?".  Soal Taufiq lagi.  Dia juga kesian melihat Qaireena yang hanya terperap di dalam rumah selama hampir dua minggu itu semenjak ketiadaan Qaisara.

"Nak jalan-jalan ke mana?".  Soal Qaireena semula.

"Ke mana je tempat yang awak nak pergi".  Ujar Taufiq dengan senyuman.

"Kenapa? Abang nak bawa Reen jalan-jalan ke?".  Dia memandang Taufiq dengan senyuman.

"Kalau awak nak lah dan kalau awak tak malu berjalan dengan orang tua macam saya ni". Kata Taufiq. Senyumannya cuba disembunyikan.

"Eh..tua ke? Tak nampak pun ada uban, tu macam Pak Abu tu barulah dikira tua, uban dah nampak dekat atas kepala".  Kata Qaireena selamba.

"Jadi awak naklah pergi jalan-jalan dengan saya?".  Wajah Qaireena dipandangnya lagi.

"Kalau dah kena ajak, Reen ikut je.  Dah lama sangat terperap dekat dalam rumah.  Rasanya resepi kuih muih Mak Leha pun dah nak habis, sebab hampir semua Mak Leha dah ajar Reen buat".  Jawab Qaireena.  Taufiq yang mendengar terus tersenyum.

"Nanti saya fikir nak bawa awak jalan-jalan ke mana.  Ataupun awak dah ada pilihan tempat nak pergi?".  Tanya Taufiq.

"New Zealand, Paris, Korea, Istanbul...".

"Itu macam nak menjelajah satu dunia je".  Pintas Taufiq.  Qaireena tertawa mendengar sindiran lelaki itu.  Taufiq pula hanya tersenyum saat melihat Qaireena tertawa.  

Ya, melihat wanita itu tersenyum dan tertawa sahaja sudah mampu membuatkan dia berasa gembira dan bahagia walaupun hakikatnya dia sendiri tidak tahu tentang perasaan sebenar Qaireena terhadapnya. Namun dia tetap bersyukur kerana Qaireena sudah selesa dan boleh berbual mesra dengannya.

Happy Reading korang.. sorry lambat update:-)

Share this novel

Hawani Hashim66
2021-02-09 23:58:46 

next episod please...


NovelPlus Premium

The best ads free experience