BAB 1

Romance Completed 497

Langkah kaki dipercepatkan. Cap hitam dikepala ditarik ke bawah sedikit, melindungi wajahnya dari terik panas. Baju-T biru sudah terasa melekat di badan disebabkan peluh. Kalau tahu cuaca macam ni, memang dia takkan keluar dari rumah.

Syairi merengus. Ni semua sebab Kimi. Kecoh nak jumpa ajak berbincang, tapi batang hidung pun tak nampak. Janji Melayu macam tu lah.

Pintu Bad’s Kitchen ditolak. Pandangan diliarkan ke sekeliling restoran. Tengah hari macam ni jangan haraplah nak tengok kedai makan kosong. Dia cepat-cepat mengambil tempat di meja untuk dua orang yang terletak di satu sudut yang sedikit tersorok. Beg gitar di letakkan di kerusi hadapan.

“ Abang nak makan apa?” Seorang pelayan perempuan sudah berdiri di tepi meja dengan tangan memegang buku nota, sedia untuk mencatit pesanan dari pelanggan. Bibirnya terukir sebuah senyuman. Mana taknya, dapat pelanggan hensem, senyum kena lebih sedikit.

“ Spaghetti bolognese and ice blended Milo.” ujar Syairi tanpa senyuman biarpun gadis di hadapannya tersenyum bukan main lebar dengannya.

“Okay, tu je ke?”

“ Hmm.” Syairi jawab tegas.

Dan gadis pelayan itu melangkah pergi meninggalkan mejanya.

Syairi menanggalkan cap di kepala lantas di letak atas meja. Dia membetulkan rambutnya yang sedari pagi disembunyikan di bawah topi. Rambut itu disisir dengan jari sebelum tangannya memain peranan menyerabaikan lagi rambutnya. Rambut pendeknya itu sentiasa dibiarkan tidak terurus. Bukan kerana dia tidak menjaga, tapi kerana dia suka. Messy look. Kena dengan dirinya yang selesa dengan jeans dan baju-T.

Setelah hampir 20 minit menunggu, pesanan Syairi pun sampai, dihantar oleh gadis yang sama yang mengambil pesanannya sebentar tadi.

“ Aku order ice blended Milo, yang kau bagi Milo ais biasa ni apahal?” gelas berisi Milo ais itu ditolak sedikit kasar. Suaranya masih lagi terkawal.

“ Eh abang order ice blended Milo ke? Bukan Milo ais?”

“ Lain kali, buat kerja betul-betul. Tu lah kau, tersenyum-senyum tersengih-sengih dapat pelanggan lelaki, lepas tu kerja pun entah ke mana.”

Berubah terus riak wajah gadis pelayan itu bila kena marah macam tu. Dia mengaku dia berasa teruja semasa mengambil pesanan Syairi yang baginya cukup menarik. Dia dah perhatikan Syairi sejak dari Syairi melangkah masuk ke dalam Bad’s Kitchen. Tak sangka pulak Syairi perasan akan perbuatannya.

“ Aku tak nak air tu. Ambil balik.” arah Syairi lantas menarik pinggan spaghetti bolognese.

“ Sorry bang.. Memang saya yang..”

“ Blah lah. Aku nak makan.” Syairi mendengus.

Dahlah kena berpanas tunggu Kimi yang tak muncul-muncul, lepas tu datang sini nak isi perut, boleh pulak pelayan hantar minuman yang salah. Syairi paling tak suka orang buat hal masa dia tengah lapar.

Gadis itu terdiam bila kata-katanya dipotong kasar. Perlahan dia menapak pergi membawa sekali dulang berisi Milo ais. Hendak bertanya sama ada lelaki itu mahukan minuman lain atau tidak pun dia sudah tidak berani. Mulutnya terkumat-kamit, mengutuk lelaki itu. Harap muka je hensem, perangai buruk!

Selepas membaca doa makan, Syairi terus menjamu selera.

“ Sorry bro..”

Syairi mengangkat muka. Kimi sudah mengalih beg gitar dikerusi hadapan sebelum melabuhkan punggung ke kerusi tersebut. Beg gitar diletakkan ke atas lantai.

“ Kau gaduh dengan pelayan ke?” Kimi sengaja memperlahankan langkahnya untuk menyaksikan pertengkaran kecil Syairi dengan gadis pelayan sebentar tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience