Bab 4

Romance Series 106380

KAKI Juwita sudah sembuh sepenuhnya. Dengan hati yang girang, Juwita mula berdansa. Lama sudah ditinggalkan aktiviti itu semenjak kakinya terseliuh.

Rutin harian yang akan Juwita lakukan sebelum ke pejabat. Salah satu senaman ringan baginya. Kebiasaannya pada hari cuti, dia akan melakukan Tabata atau Cardio. Bergantung pada moodnya ketika itu. Paling-paling tidak, dia akan berjoging di Taman Rekreasi berhadapan dengan rumahnya.

Hari ini setelah hampir dua bulan tidak berjoging, dia mengheret dua orang adiknya untuk turut serta.

"Kak long ni, orang malas tau nak joging. Sibuk je ajak orang joging," rungut Junaidi. Junaida turut mengiakan kata-kata Junaidi.

"Sebab tu korang lembik. Makan tidur je yang korang tahu. Kerja rumah pun ibu yang buat," ngomel Juwita.

Semenjak kematian baba mereka, Juwita menjadi tulang belakang keluarga. Mencari nafkah buat mereka sekeluarga walaupun masih belajar ketika itu.

Penat ditolak tepi. Yang penting setiap bulan dia akan kirimkan duit perbelanjaan buat ibu dan adik-adiknya.

Walaupun tidak seberapa, ianya cukup untuk menampung keperluan harian mereka. Tambahan pula, arwah baba memang seorang yang cukup cermat.

Mujur saja sepanjang hidupnya, dia mengambil hibah. Maka, dengan wang itu jugalah ibunya menampung perbelanjaan harian. Namun, Juwita tidak mahu berasa terlalu selesa.

Gunung kalau ditarah, pasti akan rata. Inikan pula, duit yang digunakan setiap hari. Kerana itu, dia nekad bekerja walau ditegah oleh ibunya.

Tamat saja ijazah, Juwita terus mencari kerja. Mungkin kerana sudah niat untuk membantu ibunya, maka Allah SWT permudahkan urusannya. Hanya dua kali temuduga, akhirnya dia diterima bekerja sebagai pembantu pegawai akaun di Mansur Shah Sdn Bhd.

Itu pun sudah memandai bagi Juwita. Bahkan jika jawatan kerani sekalipun, dia tetap terima. Asalkan dapat menampung keluarga kecilnya.

"Kak long, jomlah belanja nasi lemak," pujuk Junaida. Buntang mata Juwita mendengarnya. Mulalah dia bercekak pinggang.

"Baru lepas joging, minta nasi lemak. Takde, takde, takde... Jom balik sekarang," jerkah Juwita. Tubuhnya mula maju ke depan, namun pandangannya terhala di belakang memandang adik-adiknya yang sedang merungut dan tanpa disangka....

Buk!

"Aduh..." Juwita mengosok punggungnya yang terasa sakit.

"Buta ke hah?" jerkah Juwita pada jejaka di depannya. Namun, jejaka itu hanya ketawa. Tangan dihulur untuk membantu Juwita tetapi ditepis kasar.

"Wow... garangnya cik adik ni." Junaida dan Junaidi segera membantu Juwita bangun.

"Maaf ye cik adik. Bukan saya yang buta tapi awak tu yang jalan tak tengok depan. Jangan salahkan saya." Juwita merengus lantas berlalu meninggalkan kawasan itu.

Sampai saja di rumah, Juwita segera masuk ke dalam bilik. Melihat reaksi Juwita yang masam mencuka, Zaitun bertanya kepada anak kembarnya apa yang berlaku.

"Tadi masa nak balik, kak long membebel marah kitorang. Dah tu, jalan pandang belakang. Terlanggar Abang Zai. Apa lagi jatuh terduduk macam nangka busuklah, bu. Dimarahnya Abang Zai, kata buta." Junaida mengekek ketawa.

"Tapikan bu, Abang Zai bahasakan kak long balik. Itu yang masam mencuka je." Junaidi pula menyambung cerita. Geleng kepala Zaitun dengan tingkah Juwita.

"Sudah tu, pergi mandi. Nanti panggil kak long sarapan. Ibu buat nasi lemak hari ni." Melompat Junaida apabila mendengar nasi lemak.

"Ish budak ni. Dah kenapa sampai macam tu sekali?" soal Zaitun. Hairan dengan tingkah Junaida yang lain macam gembiranya.

"Sukalah dia, ibu. Tadi dia minta kak long belanja nasi lemak tapi kak long kedekut." Junaida tampar bahu Junaidi. Geram bila Junaidi pecahkan rahsianya.

"Memang patut pun kak long kedekut. Kalau dia belanja tadi, siapa nak makan ibu masak tu?" Tersengih Junaida dibuatnya.

"Ala ibu... bukan selalu pun." Lengan baju Zaitun dipintal-pintalnya.

"Memang bukan selalu. Tapi kalau sampai membazir pun tak boleh!" Semua mata berpindah ke arah tangga. Terkejut bila Juwita tiba-tiba bersuara.

Wajahnya yang serius membuatkan Junaida dan Junaidi segera menuju ke bilik masing-masing.

"Ju, jangan garang sangat dengan adik-adik ye." Juwita tersenyum kelat.

"Maaf ibu. Ju tak nak diorang manja sangat. Nanti tengah hari, ibu tak payah masak ye. Ju nak ajak makan kat luar. Nak beli barang dapur sekali." Zaitun tersenyum.

Dalam tak nak manjakan adik-adiknya tetap juga nak bawa makan kat luar. Itulah Juwita. Dalam tegas, ada lembutnya.

"Ju tak mandi lagi ke?" Berkerut dahi Zaitun melihat Juwita. Tersengih seketika Juwita.

"Ju haus bu. Turun nak minum air je. Biasalah tunggu peluh kering baru Ju mandi." Juwita segera meneguk segelas air sejuk. Lega terasa tekaknya ketika itu.

"Ju naik dulu. Nak mandi." Juwita segera berlalu meninggalkan Zaitun di dapur.

Usai mandi, Juwita kembali semula ke dapur. Kelihatan Junaidi dan Junaida telah menjamah nasi lemak yang dihidangkan depan meja.

"Kak long dengan ibu nak keluar kejap lagi. Korang jaga rumah. Ulangkaji STPM dah dekat, kan?" Panjang muncung Junaida dibuatnya.

"Eh... mana aci main tinggalkan kitorang," celah Junaidi tak puas hati.

"Dahlah kitorang kena paksa temankan kak long joging. Ni nak tinggalkan kitorang pulak." Juwita buat tak dengar omelan adik-adiknya.

"Sudah tu. Makan cepat. Lepas tu bersiap." Bukan main gembira mereka mendengar bicara Zaitun.

"Yeay!" jerit mereka serentak. Juwita tetap juga serius.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience