BAB 33

Romance Completed 11647

Aku membetulkan kain batik yang diikat di pinggang. Semasa aku hendak melangkah ke dapur untuk membantu Mak Mah memasak, aku terdengar suara seorang perempuan memberi salam.

"Waalaikumussalam." Aku menjenguk ke luar tingkap. Kelihatan seorang gadis muda sedang berdiri sambil terhendap hendap ke dalam rumah. Mungkin tidak perasan akan keberadaanku di tepi tingkap.

"Cari siapa?"

"Eh, Zahra? Bukan ke awak dah..."

Aku tergelak. Raut wajahnya kelihatan takut takut. Mungkin dia fikir aku ini jelmaan Zahra.

"Saya bukan Zahra lah. Saya Rose, kawan Hamka. Cari siapa ye?"

Dia tersenyum sumbing. Malu mungkin. Semua orang kampung ini yang berjumpa denganku pasti akan mempamerkan riak wajah kehairanan.

"Mak Mah ada?"

"Ada, masuklah. Dia tengah masak." Aku mempelawanya masuk ke dalam rumah. Kasihan pula dari tadi berdiri di situ.

Aku menyuruhnya duduk di atas kerusi sementara aku ke dapur untuk memberitahu kedatangannya kepada Mak Mah.

"Husna, kamu ke tu? Datanglah sini." Laung Mak Mah dari dapur.

Selang beberapa saat, gadis yang bernama Husna itu sudah terpacul di hadapan pintu dapur.

"Mak Mah masak apa? Sibuk semacam je Husna nampak." Tanya gadis itu.

"Telur ikan. Hamka nak sangat makan. Dari semalam mengidam. Balik solat Zohor nanti mesti lapar budak tu. Tu yang Mak Mah sibuk masak ni." Ujar Mak Mah. Tangannya masih sibuk menumis bawang di dalam kuali. Sakit pula hidungku apabila aroma tumisan Mak Mah masuk menerusi rongga hidung.

"Rose ajaklah Husna ke depan. Berbuallah dengan dia dulu. Husna, kamu makan kat sini ya?"

"Eh tak payah la Mak Mah. Husna boleh balik rumah."

"Alah kamu ni, sekali sekala apa salahnya. Lagipun kan dah lama Mak Mah tak balik sini. Tak rindu ke?"

"Mestilah rindu. Takkanlah tak rindu. Yelah, Husna makan kat sini. Ada ada je Mak Mah."

Mereka berdua tergelak sakan. Aku hanya tersenyum memandang keakraban dua beranak ini. Husna menarik tanganku untuk menuju ke ruang tamu. Mesra betul gadis di hadapanku. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.

"Rose, cantik nama. Tak sangka kan muka awak sebiji macam Zahra. Rindunya saya kat budak tu." Kata Husna. Dia menundukkan wajah, mungkin sedih atas pemergian Zahra.

"Husna, awak janganlah sedih macam ni. Kan dah tak cantik." Ujarku seraya cuba memujuk.

"Eh, Hamka dengan Pak Mid dah balik. Jom berbual dalam bilik, saya tak pakai tudung ni." Aku segera menarik tangannya memasuki bilikku. Tadi dia yang menarik tanganku, sekarang aku pula yang menarik tangannya.

Banyak yang aku bualkan dengannya. Tidak sangka aku boleh menjadi serapat ini dengan orang yang baru sahaja aku kenali. Seronok juga berkawan sebenarnya. Selama ini tiada siapa yang ingin berkawan denganku.

Kami menuju ke dapur apabila dipanggil Mak Mah untuk makan bersama. Dapur di rumah ini tidak mempunyai meja makan jadi kami hanya makan di atas tikar yang dibentang.

"Eh Husna. Lama tak jumpa. Sihat?" Sapa Hamka.

"Dah kau lama tak balik, macam mana nak jumpa kan? Takkanlah aku nak pergi Shah Alam, jauh kot."

Mereka berdua berbual rancak. Hamka langsung tidak memandangku, apatah lagi hendak menegurku. Terasa sakit di hati apabila melihat kemesraan dua insan di hadapanku.

"Eh Rose, taknak habiskan nasi tu ke?" Tanya Pak Mid.

Aku mengeleng. Senyuman hambar dilemparkan kepada Pak Mid. Aku berdiri dan membasuh tangan di sinki. Pinggan aku tinggalkan tidak berbasuh. Nanti lepas semua siap makan barulah aku basuh.

Aku turun melalui pintu belakang. Kaki dilangkah menuju ke sungai, air jernih yang mengalir laju memberi sensasi nyaman kepadaku. Deruan angin lembut yang menyapa membawa semua kesedihanku pergi.

Entah mengapa aku masih cemburu melihat Hamka bermesra mesra dengan perempuan lain. Ingat Rose, Hamka bukan milik kau. Mungkin sudah tertulis bahawa jodohku bukan bersama Hamka.

Air sungai yang mengalir ibarat memanggil manggil aku mendekatinya. Aku menuruni tebing sungai itu dengan berhati hati, rerumput yang masih basah menjadikan tebing itu licin. Maklumlah hujan turun tidak henti henti sejak malam tadi. Mujurlah hujan semakin reda sebelum masuk waktu solat Zohor.

Kaki dicelup ke dalam air. Sejuk. Ketenangan menjalar di seluruh urat sarafku. Udara yang dingin disedut melalui trakeaku, segar. Tidak pernah aku menghirup udara sesegar ini.

"Rose. Apa Rose buat kat bawah tu?"

Aku memandang ke atas. Kelihatan Hamka sedang berdiri di sana. Aku tidak mengendahkan panggilannya. Kenapa masih risaukan aku, bukankah tadi sibuk bermesra dengan Husna?

"Rose, cepat naik. Ada biawak besar. Cepat Rose."

Aku yang mendengar suara cemas Hamka bergegas memanjat tebing itu. Kaki yang sakit ditusuk duri pohon semalu tidak diendahkan, asalkan aku selamat daripada biawak besar itu.

"Mana biawak tu?" Tanyaku sebaik saja tiba di atas jalan.

"Entahlah. Dah lari kot, sebab tengok orang tu takut sangat."

"Tipu ea?" Soalku apabila melihat wajah Hamka seperti sedang menahan tawa. Sejurus selepas aku bertanya begitu, tawa terus terhambur keluar dari mulutnya.

Huh.

Aku merengus kasar. Kaki dihentak di atas jalan.

"Auchhh."

Aku terduduk di atas jalan kerana terlalu sakit. Mungkin kerana tertusuk duri pohon semalu sebentar tadi.

"Kenapa Rose?" Hamka membelek kakiku apabila dia melihat aku memegang kaki.

"Ada duri semalu masuk dalam kaki Rose. Tulah, tak pakai selipar sangat."

Aku terpinga pinga apabila Hamka dengan selamba memegang kaki. Badanku mengeras seperti batu, melawan tidak membenarkan pun tidak. Aku mengaduh kecil apabila Hamka menarik duri kecil itu dari dalam tapak kakiku.

"Hei. Apa kau berdua buat? Rose, kenapa dengan kau ni? Tak habis habis nak goda Abang Hamka." Tempelak satu suara. Aku tidak berpaling kerana aku sudah tahu siapa dia. Tidak lain tidak bukan sudah tentu Ainun.

"Tak nampak ke sedang buang duri kat kaki Rose ni? Goda apa nya kalau macam ni." Tanya Hamka tenang. Intonasi suaranya tidak seperti sebelum ini ketika bercakap dengan Ainun.

"Tapi abang, Ainun cemburulah." Jawab Ainun manja. Sengaja dia mencebikkan bibir. Meluat pula aku memandangnya.

"Dah lah Ainun. Aku nak kawin dengan kau pun dah bagus kan? Apa lagi yang kau tak puas hati?" Tanya Hamka. Kali ini suaranya kedengaran lebih tegas.

"Ainun takkan puas hati selagi Rose menggedik dengan Hamka!" Jawab Ainun kasar. Dia berlalu meninggalkan kami berdua.

"Belum kawin dah nak jadi queen control." Bebel Hamka perlahan, tapi cukup untuk didengariku.

Hamka memapahku untuk balik ke rumah. Sempat dia berpesan, "Lain kali kalau cemburu cakap. Jangan membahayakan nyawa. Faham?"

Aku hanya tersengih memandangnya. Walaupun sudah hendak menjadi suami orang, dia masih melayanku seperti dulu. Andai saja dia menjadi suamiku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience