BAB 36: Dato' Zahar?

Drama Series 28608

KEGELAPAN malam dihiasi bulan dan dimeriahkan dengan bintang-bintang yang mula menerpa langit. Namun tidak semeriah majlis ulangtahun di Hotel Arjuna.

Fatin tersenyum sendiri melihat keindahan dewan itu. Lampu 'chandelier' yang bergantungan di siling gah bersinar bak matahari walaupun usianya hampir mencecah puluhan tahun. Bersama meja dan kerusi yang tampak elegan dan klasik disusun rapi dan kemas. Karpet merah yang dibentang di tengah-tengah laluan menaikkan lagi suasana. Bersama udara yang berbaur aroma makanan berkelas lima bintang yang dihidangkan di meja panjang di kedua-dua bahagian tepi dewan. Namun senyuman yang tersergam indah di bibir Fatin kali ini bukan hanya disebabkan perkara-perkara itu.

Gaun berwarna biru gelap umpama langit malam dengan manik-manik yang tersusun cantik umpama bintang. Sungguh gaun itu cantik disarung pemakainya. Seperti tiada orang yang lebih berhak memakainya berbanding Fatin Nazihah. Dia berdiri tegak di tengah-tengah laluan karpet merah itu sambil tersenyum memandang seseorang.

“ So macam mana? Puas hati?" tanya Shahir sambil bermuka ketat.

Ya, inilah penyebab senyuman Fatin tampak indah. Fatin ketawa kecil melihat ragam Shahir yang tidak suka akan baju sebegitu.

“Puas. Hensem. Ini baru suami saya." kata Fatin sambil membetul-betulkan tali leher Shahir yang sedikit senget.

Baru senang hati Fatin melihat Shahir berpakaian begitu. Tuksedo berwarna hitam, kemeja biru dan ves putih menutupi setengah kemeja. Dikemaskan lagi dengan tali leher putih sedondon dengan ves. Rambutnya juga rapi disikat. Nasib baiklah Fatin berkeras menyuruh Shahir menukar bajunya tadi kalau tidak sekarang Shahir hanya memakai kemeja biasa dengan seluar jeans. Fatin menghembus nafas lega.

Shahir mendengus sendiri. Baginya, pakaian seperti ini sungguh merimaskan. Namun demi isteri tercinta dia sanggup lakukan apa sahaja. Shahir tersenyum kecil di sebalik kerutnya. Ya, dia sanggup melakukan apa sahaja demi senyuman manis Fatin yang tidak ternilai harganya.

“ Wah, awal betul kawan aku hari ni?" tanya Nairah yang baru sahaja tiba.

" Eh. Kau ni macamlah aku tak pernah awal sebelum ni." jawab Fatin sambil menolak perlahan bahu Nairah.

Shahir hanya tersenyum melihat gelagat mereka berdua. Nasib baik mereka sudah berbaik. Tiadalah monyok sahaja muka mereka malam ini. Nasib baik juga untuk Shahir. Dia tidak pernah menyangka malam semalam akan tiba dalam hidupnya. Sekarang mereka kelihatan seperti suami isteri yang sempurna di dalam kehidupan yang bahagia. Andai setiap hari dia mencelikkan mata di realiti seperti ini, hidupnya tidak akan pernah ada yang lebih indah.

“ Assalamualaikum. Rancak borak?" tanya Idlan yang tiba-tiba sahaja muncul entah dari mana.

Mereka masing-masing terdiam dengan kedatangan Idlan. Shahir hanya mengetatkan muka tak tentu pasal. Nairah.. Dia lagi teruk, muka Idlan pun tidak dijamahnya dengan badan-badan sekali mengiring ke tepi dengan tangan yang disilangkan. Sekali tengok dah macam akak kawasan pun ada.. Jadi, memandangkan masing-masing membeku lagikan membatu Fatin terpaksa memaniskan muka. Takkanlah nak biar majlis ini berlangsung dengan muka yang masam, kan?

“ Waalaikumsalam, Idlan. Dah siap, dah? Bagus. Dah, jomlah kita mulakan majlis." kata Fatin sebelum mengetuai perjalanan mereka ke pintu masuk utama hotel sambil menarik tangan Shahir.

Kedengaran suara Fatin bergurau-senda dengan Shahir walaupun Shahir kelihatan seperti hanya melayankan sahaja karenahnya. Namun keadaan sunyi sepi di belakang. Sesekali Nairah akan melirik ke arah Idlan. Pelik juga dia. Biasanya, Idlan akan mencelah di antara Fatin dan Shahir namun kali ini dia hanya berjalan di belakang. Senyap. Menunduk melihat lantai. Kelihatan seperti sudah bertaubat pun ada tetapi Nairah tidak akan sesekali mengharap. Cukuplah sekali hatinya tersakiti.

Akhirnya mereka sampai juga di pintu masuk utama Hotel Arjuna yang dikerumuni ramai orang. Senyuman lebar terlihat di muka Fatin. Dia tidak sabar untuk memulakan majlis ini. Tangannya sejuk bersama jantungnya yang berdegup laju. Namun dia sudah bersedia. Lebih dari bersedia untuk menggalas tanggungjawab bapanya. Nafas ditarik dalam sebelum dihembus kuat.

“ Buka pintu." arah Fatin kepada pekerja hotel tersebut.

Orang ramai mula berjalan ke dalam. Semuanya lengkap berpakaian mewah dan formal. Ada yang berpangkat Dato' ada juga yang bergelar Tan Sri. Masing-masing datang ke majlis ini atas satu tujuan. Memperingati kawan lama. Semua yang ada di sini pernah membantu atau dibantu oleh Dato' Rohan. Semuanya bergelar kawan.

“ Assalamualaikum, Fatin! " jeritan mesra seseorang daripada jauh itu membuatkan mata mereka semua melirik ke arahnya.

Fatin seperti biasa menyambut dengan senyuman manis.

“ Uncle." panggil Fatin mesra sebelum menundukkan sedikit kepalanya.

Dato' Zahar. Dia ialah kenalan lama Dato' Rohan dan pernah membantunya. Selama ini Fatin menyanjungnya kerana banyak menolong bapanya, sehinggalah dia juga menjadi penyebab perkahwinan dia dan Shahir berlangsung. Dia juga membeli 20% saham syarikat Dato' Rohan. Namun terima kasih kepada dia syarikat ini masih bertahan sehingga ke hari ini dan kerana Fatin dapat bertemu dengan Shahir. Betul kata Dato' Rohan. Setiap masalah ada hikmah di sebaliknya. Namun setiap masalah juga tidak datang jika tiada siapa yang mengundang.

Nairah tersenyum kecil melihat Fatin bertegur sapa dengan lelaki ini. Dia tidak kenal siapa lelaki ini tetapi ada sesuatu pada lelaki ini yang membuatkan Nairah tidak sedap hati. Perasaan tersebut diendahkan. Mungkin hanya perasaanya sahaja. Manakala Idlan hanya tersenyum sendiri tidak berkata-kata. Seperti muka hanyalah topeng yang mampu tersenyum sambil menyembunyikan seribu rahsia.

“ Shahir." panggil Dato' Zahar sebelum bersalaman dengan Shahir.

Fatin hanya memerhati setiap tingkah dan reaksi Shahir. Dia tidaklah bodoh. Dia masih ada otak yang berfungsi dengan baik. Dato' Zahar menolong bapanya dan meminta balasan. Ya, dia faham, tetapi terdapat satu perkara yang Fatin tertanya-tanya daripada dulu. Sesuatu yang membuatkan dia mahu melihat balik motif sebenar Dato' Zahar. Kenapa Shahir? Apa kaitan Shahir dengan Dato' Zahar? Sudah pasti dia bukan bapa Shahir kerana namanya tidak sama. Siapa Dato' Zahar sebenarnya?

Shahir merenung wajah Dato' Zahar tidak berkelip mahupun berkata-kata. Hanya kening yang berkerut bersama muka yang ketat. Ya, dia kenal siapa Dato' Zahar. Bukan bapa, mahupun saudara mara. Jika ada pertalian antara dia dengan Dato' Zahar pun hanyalah budi yang tidak akan terbalas. Dia ialah..

Tailong.

BERSAMBUNG..

LAGU: I WANT YOU TO LOVE ME
(ALIF SATAR)

Maaf atas kelewatan..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience