BAB 1

Drama Completed 919171

HAURA melangkah keluar dari pintu gerbang kompleks membeli-belah ternama di ibu kota dengan langkah yang ringan, tangannya membimbit sebuah beg kertas berwarna hitam. Dia ditemani oleh Mona Aneesa, sahabat karibnya semenjak di bangku sekolah. Mereka mencari hadiah istimewa untuk seseorang yang sedang bertakhta di hati Haura, yang dijangka akan tiba di Kuala Lumpur hari ini.

"Terima kasih Mona, temankan aku hari ni," ujar Haura sambil tersenyum lebar.

"Tak ada hal lah. Aku memang tengah free, jadi apa salahnya aku temankan bestfriend aku ni," kata Mona sambil membalas senyuman sahabatnya itu.

"Aww... so sweet. Ini yang buat aku makin sayang dekat kau. Muah sikit." Haura memeluk manja tubuh Mona yang tinggi lampai persis model, mulutnya dimuncungkan sedikit.

Mona berkerut, nafasnya terasa sesak akibat dipeluk. Dia segera meleraikan pelukan tersebut. Dengan senyuman Mona menolak Haura menuju ke kereta.

"Kau tak payah nak mengada-ngada, cepat masuk. Tak pasal-pasal lambat pula nanti."

Mereka berdua masuk ke dalam kereta. Haura merenung beg kertas yang berada di tangannya dengan perasaan teruja di hati. Di dalamnya terdapat hadiah istimewa yang akan menjadi tanda kasih sayangnya kepada lelaki yang telah menghiasi hidupnya selama bertahun-tahun, Syed Syahmi.

Syahmi dan Haura telah berpacaran dari zaman sekolah menengah lagi. Lelaki itu merupakan cinta pertamanya. Tahun ini, genaplah 10 tahun perjalanan cinta mereka yang penuh dengan kenangan manis, serta 3 tahun usia pertunangan mereka.

"Sukalah tu nak jumpa dengan buah hati. Pukul berapa dia sampai?"

Haura tersentak. Jam di tangan segera dilirik.

"Kalau tak silap flight dia pukul 5.45 petang. Mungkin dalam pukul 6.30 petang macam tu dia sampai. Sempatlah dia balik rumah dulu untuk bersiap," balas Haura sambil membetulkan jam di pergelangan tangan kirinya.

Sekali lagi beg kertas direnung dengan harapan hadiah itu akan mengingatkan Syed Syahmi tentang perjalanan panjang cinta mereka dan betapa berharganya dia dalam hidupnya. Tidak sabar rasanya untuk melihat reaksi tunangnya itu di saat membuka hadiah itu nanti. Dengan senyuman, Haura berjanji untuk menjadikan hari ini sebagai kenangan yang tak terlupakan bagi mereka berdua.

***

USAI solat maghrib Haura melihat jam di dinding yang menunjukkan sudah hampir pukul 7.45 malam. Telekung yang tersarung dikepalanya dibuka. Dia kemudian menggayakan sepasang seluar slack maroon dipadankan dengan blouse bercorak bunga kecil yang berwarna nude cream. Sekitar pukul 8.15 malam Syahmi tiba dengan menaiki sebuah kereta Honda Civic berwarna putih.

Sebelum mempelawa Haura untuk masuk ke dalam kereta, Syahmi membuka pintu keretanya lalu mengeluarkan sejambak bunga mawar lalu diberikan kepada wanita itu sebagai tanda sayang serta rindu.

Haura menyambut bunga pemberian tunangnya itu sambil tersipu malu tetapi pada masa yang sama dia sangat sukakan kejutan seperti ini. Maklumlah mudah sangat terpengaruh dengan drama Korea. Setelah itu mereka berdua kemudiannya bergerak ke destinasi yang dituju.

Jelas terpancar kebahagian di wajah Haura apabila dia berpeluang dating dengan tunangnya itu. Haura meletakkan kedua siku ke atas meja lalu menongkat wajahnya.

Direnungnya wajah Syahmi yang sedang asyik menikmati steak di depannya itu sambil tersenyum simpul. Sedikit sebanyak mengubati rasa rindu kepada tunangnya yang saban hari kian sibuk dengan kerja sehingga tiada masa untuk meluangkan masa bersamanya seperti sebelum ini. Sementelahan hari ini merupakan hari yang sangat istimewa bagi mereka berdua.

"Awak pejam mata kejap. Pastu tangan tu bak sini." Ujar Haura sambil menghulurkan tangan kanannya.

"Pejam mata? Kenapa?" Tanya Syahmi bingung sambil matanya memerhati sekeliling.

"Please... kejap je. Promise." Rayu Haura manja.

Syahmi dengan ragu-ragu menghulurkan tangannya kepada Haura. Senyuman terukir diwajah wanita itu. Dia kemudian mengeluarkan sebuah kotak kecil dari beg tangannya tadi lalu meletakkannya di atas telapak tangan Syahmi. Lelaki itu bingung buat seketika.

"For you. Bukalah." Ujar Haura lembut. Senyuman tak lekang dari bibirnya itu. Dia begitu teruja menantikan reaksi Syahmi terhadap hadiah pemberiannya itu.

Kotak dibuka dengan perlahan. Seutas jam tangan mewah berwarna silver mula kelihatan. Syahmi tercelik luas sebelum pandangannya dialihkan kepada wanita itu. Renungan matanya sungguh mempesonakan. Makin cairlah hati Haura.

"Sebenarnya dah lama saya nak bagi jam ni cuma tak berkesempatan. Kebetulan ngam pula dengan hari yang istimewa ni, kan? By the way jam ni special sikit tau sebab saya ada ukir sesuatu dekat situ."

Dia memang sengaja memetik tentang tarikh yang istimewa untuk melihat reaksi tunangnya itu sama ada dia ingat atau tidak tarikh anniversary mereka kerana hampir setiap tahun lelaki itu tidak mengingatinya.

Namun Syahmi sekadar menganggukkan kepalanya dan tersenyum selepas mendengar kata-kata itu. Tiada tanda yang dia mengingati tentang tarikh tersebut. Jam tangan pemberian Haura disarungkan ke tangannya.

Dia ni memang tak ingat langsung ke, atau sengaja buat-buat lupa? Pasal kahwin lagilah payah keluar dari mulut dia tu. Rungut hatinya. Saban tahun Haura diasak dengan pertanyaan itu oleh ibu serta opahnya.

Bermacam alasan telah dia beri sehingga kering kontang idea di otaknya. Terkadang dia sendiri tertanya-tanya adakah Syahmi pernah terfikir untuk menamatkan zaman bujang mereka itu dengan ikatan yang sah.

"Awak saya nak tanya sikit boleh?"

Dijawab acuh tak acuh oleh lelaki itu. Matanya tak lekang menilik jam yang baru dipakainya. Sesekali dia mencari ukiran yang terdapat di jam tersebut seperti yang diberitahu Haura sebentar tadi.

Kringgg! Kringgg!

Tiba-tiba telefon bimbit Syahmi berdering lantas mematikan pertanyaan Haura itu. Namun setelah melihat nama pemanggil dia meletakkan semula telefon tersebut di sisi kanan meja. Sesekali dia mengerling ke arah telefon bimbit tersebut. Raut wajahnya jelas kelihatan sedikit resah. Siapa pula yang call? Kenapa dia Nampak resah je?

"Sorry kawan saya call. Awak nak tanya apa tadi?" Syahmi cuba menukar topik. Meskipun begitu Haura mula berasa sedikit curiga. Yeke kawan?

Sekali lagi telefon tunangnya itu berdering. Haura melepaskan keluh perlahan. Melihat reaksi kelat dari wanita itu Syahmi segera menyeserkan ibu jarinya pada butang berwarna merah. Decline!

"Kalau rasa penting awak jawab je, saya okay."

Kali ketiga telefon bimbitnya berdering tanpa berfikir panjang Syahmi terus bangun dan minta izin untuk menjawab panggilan tersebut. Entah mengapa kali ini hati Haura terasa sungguh curiga melihat tunangnya yang sedang berbual dengan serius di suatu sudut yang agak jauh dari mejanya. Dia tahu dia tak sepatutnya berprasangka buruk tetapi kali ini dia tidak dapat mengawal dirinya daripada berfikir sebegitu.

Usai berbual di telefon Syahmi kembali semula ke meja makan. Telefon bimbitnya diletakkan semula ke atas meja. Namun lelaki itu kelihatan tidak senang duduk dan pandangan matanya juga sering di alihkan dari memandang Haura.

"Kenapa? Ada masalah ke?" tanya Haura setelah melihat perubahan pada kelakuan lelaki itu.

"Saya sebenarnya tak tahu nak cakap macam mana dengan awak."

"It's okay, awak bagitahu je." Haura cuba berlagak tenang.

"Naim, tayar kereta dia pecah dekat highway. Dia minta saya tolong dia sebab orang lain semua tak available. Tapi tulah serba salah pula saya nak tinggalkan awak dekat sini." Jelas Syahmi panjang lebar. Senyuman yang terukir di wajah Haura sebentar tadi bertukar tawar.

"Oh yeke? Saya okay je, awak tak payah risau."

"I'm so sorry sayang tapi saya janji next time kita keluar saya akan bawa awak ke tempat yang lebih istimewa dan yang paling penting tak ada orang yang akan ganggu kita nanti." Ucap Syahmi sambil jari-jemari Haura digenggamnnya erat. Wajahnya kelihatan lega selepas mendengar jawapan dari wanita itu. Haura sekadar tersenyum kelat.

Tipulah kalau aku cakap aku tak kecewa sebab hari ni hari yang sangat penting bagi aku tapi apakan daya Naim lebih perlukan dia pada waktu ni. Aku tak nak jadi punca kalau dia bermasam muka dengan rakannya nanti.

Setelah kelibat lelaki itu hilang dari pandangan Haura kembali duduk di meja dan mencapai gelas yang berisi air kosong dihadapannya. Perlahan-lahan dia meneguk air tersebut. Tiba-tiba matanya tertancap pada telefon bimbit Syahmi di atas meja. Tanpa berfikir panjang dia terus mengambil telefon bimbit tersebut seraya mencapai beg tangannya lalu bergegas ke tapak parkir kereta.

Fuh nasib baik dia belum gerak lagi. Haura terus berlari sambil melambaikan tangannya. Namun semuanya sia-sia apabila Syahmi terus memecut laju tanpa berpaling ke arahnya. Bukan main beria aku melambai boleh dia tak nampak. Rabun ayam ke?

Tanpa membuang masa Haura terus menahan sebuah teksi yang kebetulan lalu di situ lalu mengarahkan pemandu tersebut untuk mengekori kereta Honda Civic berwarna putih di hadapan mereka.

Hotel? Apa yang dia buat dekat sini? Dia check-in hotel ke tadi? Tapi kenapa dia balik ke sini? Bukan ke tadi dia cakap nak ke pergi tolong Naim. Bertubi-tubi pertanyaan mula muncul di benak fikirannya.

Semakin dekat dengan hotel tersebut dirinya umpama duduk di atas duri, menjadi semakin gelisah. Perasaan ingin tahu semakin membuak-buak di dalam hatinya. Tumpuan matanya dialihkan pada telefon bimbit milik Syahmi. Ditatapnya seketika sebelum dia mengambil keputusan untuk memeriksa telefon bimbit tersebut.

Dengan perasaan yang teragak-agak Haura meleretkan jarinya di skrin telefon. Yes! Telefon tersebut berjaya diakses kerana lelaki itu tidak meletakkan sebarang kata laluan. Setelah itu dia membuka log panggilan terakhir yang diterima Syahmi sebentar tadi. Alangkah terkejutnya dia apabila terpampang di skrin tersebut perkataan "sayang". Tangannya mula menggigil.

Assalamualaikum & hello readers. Alhamdulillah setelah sekian lama akhirnya terhasil juga karya saya yang pertama. Jangan lupa baca & komen ye. InshaAllah saya akan perbaiki segala kekurangan yang ada dalam setiap penulisan saya dari semasa ke semasa maklumlah saya budak baru belajar

Share this novel

test_account
2023-01-28 04:53:24 

test_account


NovelPlus Premium

The best ads free experience