Aliya sibuk memilih barang untuk mengubah bilik tidurnya. Semalam, Latifah telah memberikan Aliya dan Haziq sebuah bilik baru, sesuai dengan status mereka selaku pengantin baru. Latifah turut memberikan lampu hijau kepada Aliya untuk mengubah dekorasi bilik sesuka hatinya. Dan hari ini, Haziqlah yang menjadi mangsa untuk menemani Aliya.
“Weh.. Banyak lagi ke barang yang kau nak beli ni?” Soal Haziq dengan wajahnya yang mulai mencuka. Aliya mengangguk laju. Fikirannya ligat memikir barang apa lagi yang diperlukan. Katil, almari, meja solek, set TV, lampu kristal.. Oh, set make-up pun tak beli lagi! Bantal yang comel-comel pun tak lagi! Pasu bunga, dengan bunga ros biru lagi.. Wahh, banyaknyaaaa!
Aliya berhenti secara tiba-tiba. Dia berpaling lalu memandang Haziq dengan penuh tanda tanya.
“Tapi kan.. Poket kau cukup tebal tak? Banyak lagi barang yang aku nak beli ni..” Dengan berwajah lurus bendulnya, Aliya bertanya. Terbuntang mata Haziq. Soalan mencabar kelelakian aku ni ! “Weh.. Kalau kau nak beli satu Ikea ni pun, aku mampu lah !”
Aliya menggeleng pula. “Iskiskisk.. Tak baik cakap dengan penuh angkuh. Sekali Allah tarik harta kau, memang naya je hidup kau..” Sehabis ayatnya, Aliya tersenyum menang. Sekali lagi dia berjaya menyakitkan hati Haziq.
“Ya Allah.. Kenapalah aku dapat isteri macam ni..”
Pulang dari Ikea, Aliya mengajak Haziq untuk pergi ke Times Square pula. Alasannya, dia mahu mencari lebih banyak ‘barang comel’ untuk menghiasi biliknya. Terpaksa akur dengan permintaan isteri ‘tercinta’, Haziq ikutkan jua.
Pasangan suami isteri itu berjalan dari satu kiosk ke satu kiosk, dan hampir di setiap kiosk jugalah Aliya membeli patung comel. Pening juga kepala Haziq. Terdetik di hatinya, ‘habislah bilik aku jadi bilik budak perempuan..’
“Weh.. Sini kejap!” Haziq menarik lengan Aliya apabila matanya tertancap pada sesuatu. Aliya mendengus kasar. “Kau nak apa ?”
“Tu..” Haziq mengunjuk kepada sesuatu. Terbuntang mata Aliya ketika itu. Tangan Haziq laju mencapai patung monyet Kappo lalu dibandingkan dengan muka Aliya yang mulai masam. “Hmm.. Muka kau sama macam patung Kappo ni la! Haha, mula sekarang aku nak panggil kau Kappo. Okay? Kappo-boo..” Haziq mengenakan Aliya dengan memanggilnya ‘Kappo-boo’. Jurujual yang mendekati mereka turut tersenyum. Selalunya orang menggelar pasangan mereka ‘Baby-boo’, tetapi Haziq dan Aliya lain pula.
“Kappo-boo.. Kappo-boo nak patung ni tak? Nanti aku boleh belikan..” usik Haziq lagi. Aliya merampas patung monyet Kappo tersebut daripada Haziq. “Banyak-banyak binatang comel, dengan si Kappo ni jugak dia nak samakan dengan aku?” soal Aliya sendiri. Haziq berpura-pura tidak mendengar apa yang dikatakan Aliya. Lantas, dia merampas semula patung monyet Kappo itu daripada Aliya dan diserahkan kepada jurujual.
“Saya nak yang ni..”
“Okay.. Kita bayar kat dalam ye, Encik..” Sekejapan sahaja Haziq sudah menghilang bersama jurujual tersebut ke dalam kedai. Aliya mengetap giginya.
“Bongok punya Haziq! Depan family, bukan main ber’saya-awak’.. Bila berdua je, dia samakan aku dengan monyet! Panggil aku Kappo-boo pulak tu !”
“Sesungguhnya aku memaafkan kau, Kappo-boo sebab mengutuk belakang suami..” Entah bila si Haziq ni muncul, Aliya sendiri tidak tahu. Tiba-tiba sahaja dirinya disergah sebegitu. Aliya menayangkan muka tidak puas hatinya.
“Weh ! Kau ni.. Kot ya pun, bagilah aku binatang yang comel-comel sikit ! Ini tak.. Kau nak samakan aku dengan monyet pulak !” Haziq sudah tergelak melihatkan wajah Aliya. Dirasakan wajah Aliya comel pula tika itu. Tangan kanannya dibawa ke pipi Aliya, lalu dicubit pipi comel itu. Aliya terdiam, dia jadi tergamam sekejap.
“Kappo-boo.. Patung ni comellah.. Siapa cakap patung Kappo ni tak comel ? Dahlah, jom balik.. Kappo-boo dah dapat barang Kappo-boo, kan ? Kita balik ye..” kata Haziq bersama senyuman di bibir. Selamba sahaja tangannya merangkul pinggang Aliya. Aliya bertambah terpinga-pinga.
Share this novel