Bab 55
Anaknya pasti bahagia mendapat lelaki kaya sebagai suami. Rumah banglonya tersergam indah di pinggir kota. Apa lagi yang Amalina mahukan? Bukankah mencintai Zakuan lebih berbaloi daripada mencintai Leo yang tidak punya apa-apa.
Di manakah Leo? Soal Amalina sendiri. Masihkah dia menjadi pemandu kepada Affendi? Zakuan satu-satunya pewaris Datuk Omar sudah kembali. Ada cerita yang tersebar menyatakan Zakuan berada di luar negara sekarang.
Di manakah Leo? Mengapa tiada orang yang mahu menyebut tentang Leo lagi di hadapannya. Semasa acara menyarung cincin, mata Amalina sempat mencari-cari wajah Affendi. Dia ingin sekali bertanya pada Affendi, ‘bos’ Leo tentang lelaki itu. Namun Affendi tidak kelihatan. Hanya Puan Faridah yang hadir, menyarung cincin ke jari manis Amalina.
Dua hari selepas majlis pertunangan, Encik Hamdan menerima panggilan telefon daripada setiausaha Zakuan. Zakuan ingin berjumpa dengan tunangnya Amalina. Dia baru pulang dari luar negara semalam. Dia ingin kenal dengan bakal isterinya.
Encik Hamdan terlebih suka. Hatinya kembang kuncup mengingatkan bakal menantunya yang kaya raya itu ingin berjumpa dengan Amalina. Dia mahu Amalina berdandan cantik.
“Suruh Amalina pakai baju kebaya,” pesannya pada Puan Salimah.
Rambut Amalina semakin panjang. Saat merelus rambutnya di cermin, Amalina teringat pada Leo. Rambut kita sudah sama panjang sekarang Leo… bisiknya.
Aku takkan memotong rambutku ini! Agh! Leo aku terlalu rindu padamu. Kalaulah aku ada sayap ingin aku terbang ke pangkuanmu. Tetapi aku kini terkurung. Tidak dibenarkan bebas lagi. Sejak pulang dari kampung, Encik Hamdan menyuruh dia tinggal di rumah sahaja.
Malah apartmentnya itu pun disewa Encik Hamdan kepada orang.
“Abah hantar kau ke pejabat dia,” kata Encik Hamdan lembut.
Amalina hanya diam.
“Jaga tingkah laku, jangan kasar bila bercakap dengan bakal suami kau tu. Lelaki tak suka perempuan yang kasar. Bercakaplah tu janganlah beraku berengkau… Cubalah belajar memanggil Zakuan, abang.” kata Encik Hamdan menasihati semasa dalam perjalanan.
Encik Hamdan sendiri belum bertemu dengan Zakuan. Lambat laun dia akan dapat bertemu dengan bakal menantunya itu. Janji pertunangan tidak lama, hanya tiga bulan. Jika ikutkan hati Encik Hamdan, dia mahu tempohnya sebulan saja! Dia mahu Amalina segera dimiliki supaya Leo tidak boleh merampas puterinya.
Amalina diam sahaja, tidak berkata apa-apa. Mereka sudah tiba di perkarangan pejabat Omara Holdings.
Amalina masih ingat, dia pernah datang ke situ… Pertama kali dia dipertemukan semula dengan Leo selepas berpisah di pinggir hutan. Apakah perpisahannya dengan Leo kali ini, tiada pertemuan kembali.
Amalina berjalan lambat menghala ke pintu utama. Encik Hamdan menunggunya di dalam kereta. Encik Hamdan berkali-kali berpesan.
“Jangan lama sangat! Jumpa sekejap terus balik. Dia hanya nak tengok muka kau saja. Kau pun pasti nak kenal dia, kan?”
Amalina terus diam. Jika boleh dia tidak ingin berjumpa dengan Zakuan bin Datuk Omar! Tiba-tiba ada rasa benci mengisi dadanya.
Dia terus diminta oleh penyambut tetamu naik ke bilik Zakuan. Amalina berjalan lambat, mencari bilik Zakuan. Dia berhenti melangkah di hadapan pintu yang tertulis dengan nama lelaki itu. Dadanya rasa terbakar… marah! Rasa ingin disumpah seranah lelaki itu, supaya Zakuan turut benci kepadanya. Lalu, mereka tak jadi kahwin!
“Hai! Cik Amalina,” tegur seseorang.
Amalina menoleh. Dia terlihat Affendi sedang berjalan, melalui lorong itu. Dia memegang sebuah fail.
“Hai!” balas Amalina.
Affendi terus bergerak sambil tidak putus-putus melempar senyuman. Keningnya terangkat.
Amalina ingin menahan Affendi dari terus melangkah meninggalkannya. Dia ingin bertanya tentang Leo. Tetapi Affendi sudah masuk ke dalam biliknya dan pintu tertutup rapat.
“Tawakal saja,” bisik Amalina.
“Bismillahirahma nirrahim.”
Tangannya mengetuk pintu. Ada suara menyahut dari dalam. Suara itu seperti dikenalinya. Dia segera menolak daun pintu. Amalina memandang tepat ke arah meja lelaki itu. Dia juga sedang memandang Amalina. Gadis itu tergamam, lidahnya kelu.
Mata Amalina memandang ke arah meja. Tertulis dengan jelas nama Zakuan bin Datuk Omar.
“Engkau!”
“Hai sayang! Lama betul aku tunggu kau datang, Alin!”
“Apa sayang-sayang? Kau main-mainkan aku Leo? Kau tipu aku! Mengapa kau tak berterus-terang? Kenapa kau mesti main-mainkan aku macam ni?” kata Amalina dengan marah.
Dia benar-benar rasa diperbodohkan oleh Zakuan ataupun Leo. Dia terasa seperti semua orang sedang mempermainkan dia! Apakah bapanya juga tahu? Dia yakin Encik Hamdan tidak tahu apa-apa! Bapanya terlalu ghairah hendak mengejar menantu kaya raya. Rupa-rupanya Leo dan Zakuan orang yang sama.
Bagaimana reaksi bapanya jika dia tahu?
Encik Hamdan sendiri mengaku tidak pernah berjumpa dengan Zakuan. Dia ingin berjumpa dengan bakal menantunya itu jika ada kesempatan tetapi Zakuan sangat sibuk.
...bersambung
Bab akan datang:
Dapatkah Amalina menerima penipuan yang dilakukan oleh Zakuan (Leo)?
Share this novel