Bab 18

Short Story Series 55831

Shofwah bernyayi-nyanyi kecil sambil melihat pakaian pengantinnya yang sudah kemas tergantung. Baju itu bakal dipakainya pada besok pagi. Terasa riang hati kecilnya saat itu sehingga senyumannya asyik tersungging di bibirnya. Jarinya sudah dihiasi dengan inai yang merah menanbahkan seri jari dan tapak belakang tangannya yang putih. Dia tidak membuat majlis berinai seperti yang dilakukan oleh orang lain kerana dia mahu malam nanti hanya berkumpul-kumpul dengan sanak saudara dan sahabat handai yang datang.
Puas melihat baju pengantinnya Shofwah beralih pula melihat gubahan hantaran untuk Aqil. . Tujuh dulang sudah penuh diisi semuanya. Warna merah jambu lembut dan putih menjadi pilihan warna Aqil dan Shofwah untuk tema majlis perkahwinan mereka. Shofwah tersenyum lagi kerana tidak menyangka akhirnya dia bakal menamatkan zaman bujangnya. Pasti dia akan merindui masa lalunya tetapi dalam masa yang sama dia tidak sabar mahu menempuhi masa depannya dengan Aqil dan bakal anak-anak mereka.
“Amboi, bukan main tersenyum sampai telinga bakal pengantin baru kita ni.” Syuhada yang baru saja selesai membantu pekerjaan dapur di bawah naik ke tingkat atas untuk melihat Shofwah.
“Mana ada, awaklah yang semakin bahagia Shofwah lihat sekarang ni selepas berkahwin dengan kekasih pujaan hati awak tu.” Shofwah kembali mengusik Syuhada apabila dia melihat wajah Syuhada yang semakin cantik selepas berkahwin.
“ Alhamdulillah, akhirnya dia menjadi suami saya. Pejam celik saja sudah enam bulan usia pernkahwinan kami. Sepanjang hubungan kami dulu saya asyik takut dia diambil orang saja.” Syuhada mengambil tempat duduk di atas katil bersebelahan dengan Shofwah yang sudah membetulkan duduknya mahu mendengar cerita kisah cintanya dan Syahiran. Syuhada menceritakan dari awal perkenalannya dengan Syahiran sehinggalah pada kisah wanita yang tidak disukainya.
“Kenapa awak cakap macam itu seolah-olah awak tak percayakan Syahiran saja.” Shofwah berkerut dahi apabila mendengar cerita Syuhada itu.
“Saya percayakan dia tetapi saya tidak percayakan perempuan yang baik kepada dia.” Syuhada bernada sarkastik apabila dia teringat wajah wanita yang dirasakan seperti mahu bersaing dengannya untuk mendapatkan Syahiran.
“Ada perempuan lain yang sukakan Syahiran dulu ya?” Shofwah cuba mahu mengorek rahsia Syuhada itu.
“Bukan hanya Syahiran tetapi semua lelaki di universiti cuba dia perdayakan termasuklah encik tunang awak, Aqil.” Syuhada melirik memandang Shofwah yang kelihatan terkejut dengan kata-katanya. Syuhada tersenyum puas di dalam hati kerana Shofwah sudah terpancing dengan perbualan tentang Rina Althafunisa.
“Apa yang telah dilakukan oleh perempuan itu sehingga awak berkata semua lelaki terpedaya dengan dirinya?” Shofwah cuba bersikap tenang walaupun ketika itu hatinya mula berdebar-debar.
“Apa awak akan percaya jika saya bercerita tentang dirinya?” Syuhada cuba bertanya lagi mahu melihat sejauh mana Shofwah mempercayai kata-katanya.
“Awak kawan yang sangat baik pada saya. Awak tidak pernah menipu diri saya selama ini. Saya percayakan awak.” Shofwah tersenyum cuba meyakinkan Syuhada agar bercerita lebih lanjut tentang wanita itu.
“Nama perempuan itu Rina Althafunisa. Nama yang cantik tetapi sayang akhlaknya tidak secantik nama yang diberikan kepada dirinya. Semua orang menyangka dia perempuan yang baik dan soleha sehingga banyak lelaki yang jatuh cinta dengannya dan menyimpan harapan untuk menikahi perempuan itu termasuk Aqil. Awalnya saya tidak mahu percaya yang Aqil juga sudah terpedaya dengan wanita itu tetapi suatu hari itu Aqil dengan jelas meminta pertanggungjawaban wanita itu yang sudah membuat dia jatuh cinta tetapi meninggalkan dia begitu saja.” Syuhada diam sebentar melihat reaksi Shofwah yang teliti mendengar.
“Tapi awak jangan risau, Allah sentiasa menjaga orang yang baik. Aqil itu baik orangnya dan dia hanya layak untuk orang yang baik macam awak. Allah tunjukkan kebenaran kepada kami semua ternyata Rina wanita yang tidak bermoral sehingga mengandung anak luar nikah. Selama ini jubah longgar dan labuh dipakainya semata-mata mahu menutup keaiban dirinya. Dasar penungggang agama. Mengajak orang berbuat baik tetapi diri sendiri lebih jahat.” Syuhada berhenti bercerita lagi.
“Darimana orang mengetahui bahawa dirinya mengandung?” Shofwah bertanya ingin tahu lebih lagi tentang Rina Althafunisa.
“Syahiran kawan sekampung dengannya. Syahiran tidak pernah berahsia dengan Syuhada tetapi satu hari itu Syuhada nampak dia lain macam sangat seperti sedang menyembunyikan sesuatu daripada Syuhada. Syuhada terpaksa ugut dia dengan mengatakan bahawa Syuhada akan meninggalkan dirinya kerana Syuhada tidak suka pada orang yang tidak jujur. Akhirnya Syahiran membuka cerita bahawa Rina sudah mengandung dan beberapa bulan lagi bakal melahirkan.” Syuhada terkenang kembali saat dirinya dan Syahiran bergaduh besar disebabkan perempuan itu.
“Syuhada, apakah awak orang yang menyebarkan keaiban Rina kepada orang lain?” Shofwah bertanya lembut kerana jika benar Syuhada melakukan itu kepada Rina dia akan berasa terkilan kerana sahabatnya itu sudah membuka keaiban muslim yang lain.
“Bukan Syuhada yang sebarkan. Syuhada tak tahu daripada mana pelajar lain dapat tahu mengenai perkara ini.” Syuhada melarikan pandangan kerana tidak mahu menentang pandangan mata Shofwah. Syuhada teringat lagi sewaktu salah seorang sahabatnya yang merupakan ahli kelab persatuan RPI memberitahu bahawa nama Rina disingkirkan daripada jawatankuasa tanpa sebarang penjelasan daripada Aqil. Daripada situ dia membuka keaiban Rina kepada sahabatnya itu dan sahabatnya turut menyampaikan aib itu kepada orang lain sehinggalah satu universiti mengetahuinya.
“Dimanakah dia sekarang?” Shofwah bertanya kerana mahu tahu dimanakah wanita itu sekarang ini.
“Dia menghilangkan diri selepas orang kampung menghalaunya kerana mengandung anak haram. Awak tak perlu risau, dia tidak akan mengacau Aqil lagi kerana sekarang Aqil memilih awak menjadi bidadari syurganya. Saya doakan perkahwinan awak sampai ke syurga Allah.” Syuhada memeluk Shofwah sebelum dilepaskan. Dia mahu berehat seketika sebelum turun ke bawah semula.
“Saya harus pergi ke suatu tempat.” Tiba-tiba Shofwah turun daripada katilnya dan mengambil beg tangan di atas kerusi bersebelahan dengan pintu sebelum berlari-lari anak turun tangga. Panggilan Syuhada tidak diendahkan oleh dirinya.
“Shofwah nak pergi mana tu?” Kedengaran suara Datin Suraya melaung nama Shofwah yang keluar daripada rumah dalam keadaan tergesa-gesa.
“Ada emergency, nanti Shofwah balik ya.” Shofwah berhenti ketika dia berada di depan pintu keretanya dan berpatah balik kembali untuk memeluk Datin Suraya dan Datuk Bahrin yang berada di hadapan pintu. Dia mencium kedua tangan orang tuanya dengan tertib dan mencium pipi Datin Suraya sebelum beralih mencium dahi Datuk Bahrin.
Shofwah melepaskan tangan Datin Suraya dengan berat sebelum membolosi keretanya dan memandu pergi ke tempat tujuannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience