6

Romance Completed 132660

Selesai menghantar Hana pulang ke rumah, Hazim pergi meninggalkannya tanpa berkata apa. Sikap dingin Hazim berpanjangan, membuahkan rasa takut di hati Hana.

Memujuk Hazim bukanlah suatu perkara yang mudah. Tidak seperti Hana, Hazim akan diam berhari-hari jika sedang marah.

Panggilan demi panggilan tidak berangkat. Hana dihimpit kesal. Geram dengan mulut celupar sendiri yang berani-berani mengungkit hal yang tidak digemari Hazim. Kini dia takut kehilangan Hazim.

"Angkatlah..angkatlah." suara Hana merintih, telefon bimbit masih melekap di telinga mengharapkan sambutan.

Hana nekad untuk ke apartment Hazim setelah berfikir-fikir. Harus memujuk lelaki itu untuk melupakan hasratnya. Tak sanggup menunggu begini.

-

Naik bernanah telinga Hazim mendengar bebelan dari ayah tirinya. Orang tua itu sepatutnya bersyukur dia tidak melawan. Namun itu tidak bererti dia setuju.

"Kau dah besar, Zim. Fikirlah sendiri. Gunakan peluang yang ada. Sampai bila nak ada di takuk lama." Rashed membawa diri ke atas.

Hazim hanya membuang pandang. Kesal membenarkan Rashed masuk campur hal peribadinya. Umi pula langsung tidak berani menghalang.

"Azim pujuk lah ayah elok-elok. Pasti dia faham."

"Umi sepatutnya pujuk dia. Umi kan isteri dia. Dia bukan nak dengar cakap Azim."

"Betul Azim tak nak kahwin dengan Mona?" Noor bertanya lagi untuk kepastian.

"Azim tak suka dia umi. Macam mana Azim nak kahwin dengan dia? You know that." keluhan berat terlepas dari mulut Hazim.

"Umi tahu. Umi pun tak suka dia. Tapi ayah kamu tu. Azim faham-faham je la dia macam mana. Umi tak berani nak melawan." adu Noor.

Kasihan melihat situasi anak kandung yang terhimpit. Kalau bukan kerana hormatkan suami, pasti dia akan membela nasib Hazim.

Teringat akan telefon bimbit yang disimpan di dalam kocek seluar, Hazim pantas mengeluarkannya. Dari tadi dia letakkan dalam mod senyap akibat Hana yang tidak henti-henti menghubungi.

'13 missed calls' beserta beberapa pesanan whatsapp dari Hana dipandang kosong. Hazim berdecit perlahan sebelum angkat punggung dari situ.

"Azim tidur sini malam ni. Esok la kita bincang lagi."

Noor hanya mengangguk, tidak mahu membebankan fikiran anak tunggal yang sudah bekerja keras untuk keluarga.

-

Hampir sejam dia menunggu di kediaman peribadi Hazim. Kalau bukan kerana dia tidak mempunyai kunci rumah Hazim, sudah pasti dia bermalam di situ.

Akhirnya Hana pulang kehampaan. Langsung tiada tanda-tanda Hazim akan balik ke situ. Mungkin Hazim ada di rumah keluarganya. Tidak berani pula dia ke rumah agam milik Rashed, malah orang tua Hazim tidak pernah mengenali Hana.

"Penat aku naik turun lif, ni semua pasal singa betina tu!" bebel Azleen di mejanya.

Pagi-pagi Qistina sudah membuli Azleen dengan kerja yang sepatutnya dia hantar. Sedangkan Qistina sedang seronok bercuti.

"Banyak lagi ke kerja tu, Leen?" Hana sekadar menegur. Sekurang-kurangnya tenang sikit dia dengan ketiadaan Qistina hari ini.

"Ada lagi ni. Kang nak kena hantar kat Encik Hazim lagi, kat Encik Firdaus lagi. Haih, pening serabut semua ada!" sambung Azleen.

Mendengar Azleen memyebut nama Hazim, Hana terus memasang minat. Ini salah satu caranya untuk dia bertemu dengan Hazim. Sudah hampir seminggu lebih dia rindukan si kekasih hati.

"Nak aku tolong? Kesian pulak, kerja kau banyak lagi. Aku boleh tolong hantarkan ke atas semua tu." lancar sahaja Hana menawarkan pertolongan.

"Serious kau nak tolong? Alhamdulillah.. betul ni Hana?" Azleen mengucap lega. Dengan Hana memang dia boleh harapkan.

"Boleh je. Meh.." Hana bangun tanpa ragu-ragu. Berkobar-kobar semangatnya ingin naik ke bilik Hazim.

"Thanks tau, nanti aku belanja makan. Ni report untuk Encik Hazim. And surat-surat ni Encik Firdaus punya." arah Azleen sebelum menepuk kecil bahu Hana. Syukur!

Aras 5 bangunan dinaiki Hana, menuju ke bilik Encik Firdaus terlebih dahulu. Hajatnya dapatlah dia berlama-lama sedikit di bilik Hazim.

Teringat waktu dia pernah 'ringan-ringan' dengan Hazim beberapa bulan lepas, di dalam bilik pejabat lelaki itu. Nasib baik tiada orang luar dapat melihat ke dalamnya. Terasa panas sebentar pipi Hana. Makin berdebar-debar tatkala menghampiri destinasi.

Pintu bilik yang terpapar nama Hazim diketuk dengan segunung harapan. Beberapa saat kemudia terdengar suara Hazim menyuruh untuk masuk.

Setelah membuka pintu bilik, ternyata bukan Hazim bersendirian di dalamnya. Sekujur tubuh yang amat dikenali sedang duduk bersilang kaki berhadapan meja kerja Hazim.

Dari belakang dia sudah kenal akan susuk Mona. Gadis itu sedang ralit bermain dengan telefon bimbitnya. Hana memandang Hazim. Tiada senyuman pun di wajah kacak itu.

Hana kembali menunduk dan menyerahkan kertas laporan yang dibawa.

"Ini report dari Azleen, Tuan." Hana cuba menyembunyikan rasa gugup.

Mona turut memerhatikan Hana atas bawah sebelum pandangannya kembali ke skrin iphone yang dipegang. Dapat dirasakan keadaan yang tegang antara Mona dan Hazim. Salah timing kah Hana?

"Thanks. You may go." jawab Hazim dengan suara mendatar.

Hana menapak ke belakang beberapa langkah sambil menunduk. Hampa. Faham akan situasi yang sedang berlaku, Hana segera mengatur langkah keluar dari situ.

'Apa yang kau harapkan, Hana?'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience