IZZAHduduk termenung di balkoni di biliknya sambil merenung gambar
Harraz di telefon pintarnya yang diambil secara senyap. Gambar Harraz
yang sedang mengerutkan muka ketika membaca buku direnung lama. “Kenapa
aku tak boleh lupakan kau? Aku mesti lupakan kau. Mesti!” nekadnya. Dia
terperanjat apabila telefon pintarnya tiba-tiba berbunyi. Nama Syamira
tertera di situ. Dengan rasa malas dia menekan menjawab. “Hello.”
“Kenapa suara kau macam tak sihat je ni?” Kedengaran suara
Syamira di hujung talian.
“Aku okey je. Cuma bosan sikit duduk kat rumah
sorang-sorang.” Izzah memintal-mintal rambutnya.
“Ibu dengan ayah kau mana?”
“Ibu dengan ayah aku macam biasalah. Ayah kat ofis, ibu kat
salon dia. Kau call aku ni ada hal apa?”
“Petang ni aku dengan yang lain nak main bowling kat Mid
Valley. Kau nak ikut tak?”
Izzah melentokkan kepalanya di kerusi. “Malaslah aku. Duduk
rumah lagi bagus.”
“Kau ni kenapa? Selalunya kalau kita orang ajak pergi
mana-mana kau on je. Sekarang pulak malas,” sungut Syamira.
“Tak ada apa-apa. Cuma tak ada mood je,” sangkal Izzah.
Dia sudah bangkit mahu masuk ke dalam bilik. Kemudian dia merebahkan
diri di atas katil.
“Siapa yang rosakkan mood kau ni? Cuba bagitau aku?” desak
Syamira.
“Tak ada siapa-siapalah. Okeylah, aku letak dulu eh?
Assalamualaikum.” Pantas Izzah mematikan talian. Dia takut nama lelaki
itu meluncur keluar dari mulut Syamira. Dia takut dia akan menangis
apabila mendengar nama itu. Sesungguhnya, dia masih belum dapat
melupakan Harraz walaupun satu bulan setengah sudah berlalu semenjak
kejadian dia melarikan diri daripada lelaki itu. Dia mencapai bantal di
sebelahnya lalu ditekupkan ke muka cuba membuang jauh wajah Harraz dari
kotak ingatan.
*****
“ANGAH,**bangunlah cepat. Kejap lagi nak mulakan latihan.” Puas Iqbal
mengejutkan Harraz namun lelaki itu tetap tak mahu bangun. Dia sudah
kematian idea mahu mengejutkan angahnya. Dia berjalan mengelilingi
katil. Tiba-tiba dia mendapat satu idea. Perlahan-lahan dia menghampiri
Harraz. “Angah, bangun cepat. Izzah ada kat bawah!” jeritnya di telinga
Harraz.
Harraz bingkas bangun. “Izzah datang?” Dia meraba-raba
mencari cermin mata di meja lampu. Kelam-kabut dia mencapai tuala dan
berlalu ke bilik mandi. “Iqy, suruh Izzah tunggu tau. Angah nak mandi
kejap!” jeritnya di bilik mandi.
Iqbal sudah ketawa di dalam hati. “Parah betul angah aku
ni.” Dia menggeleng kepala dan melangkah keluar dari bilik Harraz.
Siap berpakaian, Harraz melangkah turun dari tangga. “Mana
Izzah?” soalnya kepada Iqbal sebaik saja dia sampai di meja makan.
“Dia tak ada pun. Saja je Iqy guna nama dia nak kejutkan
angah. Liat sangat nak bangun.” Iqbal tersengih.
Harraz mengetap gigi menahan geram. Dia duduk dengan kasar
di kerusi. Matanya dijelingkan sedikit ke wajah Iqbal sebelum mencapai
roti bakar di atas meja. Perlahan-lahan dia mengunyah roti itu.
“Kalau Iqy tahu macam ni punya senang nak kejutkan angah,
dah lama Iqy guna nama Izzah tu.” Iqbal tersengih lagi.
Harraz menjegilkan matanya.
“Sudah... sudah... jangan nak menjeling-jeling. Nanti juling
pulak mata tu. Depan rezeki tak baik buat muka masam,” nasihat Datin
Suhana.
Harraz mencapai air teh panas lalu menghirupnya. Wajahnya
kembali tenang apabila tekaknya dibasahi air teh.
“Iqy dah habis makan. Nanti angah datang kat laman tau?”
kata Iqbal sebelum berlalu ke luar rumah.
Harraz hanya menganggukkan kepala dan meneruskan sarapan.
Share this novel