Aku mencapai getah. Pili air aku buka lalu mula menyiram pokok bunga di
laman rumah banglo dua tingkat. Kandunganku baru berusia tiga bulan. Aku
berjalan dan berjalan memandikan pokok-pokok bunga yang baru
mengeluarkan bunganya. Tiba-tiba kakiku terpijak sesuatu yang licin.
Badanku sudah terhuyung-hayang. Makin lama makin ke belakang.
“Arrggghhh!!!” Aku menjerit sambil memejamkan mata. Tidak
sanggup untuk melihat apa yang bakal terjadi seterusnya. Ya Allah,
selamatkanlah aku dan kandunganku, doaku dalam hati. Aku terasa ada
sesuatu yang menahan badanku daripada jatuh menyembah tanah.
Perlahan-lahan aku membuka mata.
“Abang!” Rupanya Zarif yang menahan badan aku dari jatuh
tadi. Wajah aku sudah pucat mengenangkan insiden sebentar tadi.
“Sayang tak apa-apa?” soal Zarif cemas. Dia mula menegakkan
badanku.
“Tak...” Aku menjawab sepatah. Nafas lega aku lepaskan.
“Selipar sayang licin ke?” soalnya.
Aku menggeleng kepala.
“Habis tu, macam mana boleh nak tergelincir?” soal Zarif lagi.
“Mia terpijak apa benda entah tadi. Licin semacam /je,/”
terangku.
Zarif mula membongkokkan badannya mahu mencari benda licin
yang aku katakan tadi. Kemudian dia mengutip sesuatu di tanah.
Aku menghampirinya untuk melihat benda yang membuatkan aku
hampir kehilangan bayi yang kukandung. “Guli?” Aku bersuara.
Zarif berpaling padaku. “Ini mesti kerja Alif. Hai budak ni,
dah main tak reti nak simpan balik!” Zarif melangkah masuk ke dalam
rumah dengan wajah merah menahan marah.
Aku mengekorinya dari belakang.
“Alif, kenapa sepahkan guli kat laman tu? Mak Su nak
terjatuh tadi tau!” Dia memarahi anak buahnya yang berusia 10 tahun.
Alif yang sedang menonton kartun di ruang tamu, terkejut.
“Alamak! Sorry, Pak Su. Alif betul-betul terlupa nak simpan balik
semalam. Alif sakit perut, terpaksa tinggalkan sekejap nak jumpa Mr.
Tan. Sorry ya Mak Su, Pak Su...” mohonnya takut-takut. Kemudian, dia
menundukkan mukanya.
“Apa hal yang bising pagi-pagi ni Rif?” soal ibu mertuaku
yang tiba-tiba muncul di ruang tamu itu.
“Ummi tahu tak, tadi Mia hampir tergelincir disebabkan guli
Si Alif ni. Nasib baik Rif ada kat luar tadi,” adunya. Matanya masih
lagi dicerunkan pada Alif.
“Ya Allah! Mia tak apa-apa ke? Ada sakit kat mana-mana?”
Ummi mula mendapatkan aku.
“Mia tak apa-apa ummi. Tak sempat jatuh pun tadi.” Aku
meyakinkan.
“Syukur alhamdulillah... Alif, mulai hari ni nenek tak nak
tengok Alif main guli kat laman lagi. Kalau nak main jugak, main kat
dalam bilik je.” Ummi sudah mengeluarkan arahan.
Alif aku lihat sudah bertukar muram wajahnya. Aku
mendapatkan Alif lalu melabuhkan punggung di sebelahnya. Kepalanya aku
gosok perlahan.
Alif memanggung kepalanya melihat aku.
“Mak Su, maafkan Alif ya? Alif tak sengaja. Alif janji takkan main guli kat laman rumah lagi,”
janjinya sambil mengangkat tangan paras bahu tanda berjanji.
Aku tersenyum lalu mengangguk. “Sudahlah, tak ada apa-apa
yang berlaku pada Mak Su pun. Alif nak air tak? Mak Su nak ke dapur ni.”
“Nak! Mak Su buatkan Alif air milo ya? Sayang Mak Su...”
Alif memeluk aku.
“Amboi-amboi... manja betul anak ibu ni dengan Mak Su dia!”
Kak Ifa, kakak ipar aku muncul di pintu masuk bersama suaminya, Abang Nan.
“Ibu dah balik!” Alif bangun mendapatkan Kak Ifa. Tangan Kak
Ifa dan Abang Nan ditarik lalu dibawa ke sofa berangkai tiga.
Zarif yang dari tadi berdiri mula melabuhkan punggung di sebelah aku.
“Ibu ni tipulah... semalam cakap nak bawak Alif joging
sekali.” Mukanya dimasamkan, tanda dia merajuk dengan Kak Ifah dan
Abang Nan.
“Bukan ibu tak nak bawak tapi pagi tadi Alif tidur lena sangat, malas ibu nak kejutkan,” terangnya. “Apa yang kecoh tadi Mia?”
Kak Ifa memandang aku.
“Tak ada apa-apalah Kak Ifa, hal kecik je” jawab aku,
malas mahu memanjangkan cerita.
“Ya ke tak ada apa-apa? Tadi bukan main riuh lagi suara Rif
ni akak dengar kat luar pagar tu. Ceritalah kat akak.” Kak Ifah
memandang wajah Zarif pula.
“Semalam Alif main guli, terlupa nak simpan balik. Tadi Mia
hampir terjatuh terpijak guli tu.” Zarif bercerita. Kali ini mukanya
tidak lagi kelihatan marah.
“Astaghfirullahalazim... Alif, kenapa cuai sangat ni?!” Kak
Ifa mula memarahi Alif.
“Alif tak sengajalah ibu. Perut Alif sakit sangat masa
tengah main guli tu. Dah tak boleh tangguh lagi, kena jumpa dengan Mr.
Tan jugak. Lepas tu, cerita kegemaran Alif dah start, langsung Alif
terlupa pasal guli,” jelas Alif. Wajahnya ditundukkan kembali.
“Laillahaillallah... cerita kegemaran dia yang dikejarnya.
Tak payah main guli lagilah lepas ni. Mama nak Alif buang semua guli tu.
Nasib baik Mak Su tak apa-apa.” Menggeleng kepala Kak Ifa.
Share this novel