Rate

BERJALAN KAKI KE BULAN

Inspirational Series 819

“Impian itu biasanya lebih panjang dari kehidupan. Sering dilihat kematian sentiasa mendahului impian.”

BAB 1: IMPIAN

Adakah sama apa yang aku tengah fikirkan denganmu? Kenapa kita muncul di tengah-tengah perjalanan kehidupan yang begitu laju? Ketika lintasan itu hadir, sedar tak sedar kita sudah dibawa arus kehidupan yang pantas dan kita hanya mampu melihat tanpa sempat bertindak. Tiada ruang untuk kita berfikir, hanya sempat merenung kembali kesan-kesan keputusan yang diambil pada masa lalu. Terdetik juga untuk memutarkan kembali masa supaya dapat mengambil keputusan selain yang telah dibuat. Masa tidak pernah menunggu kita. Kita sentiasa bergerak dengan kesalahan yang mematangkan. Kesalahan yang mengajar akan erti kehidupan, menterjemahkan betapa lemahnya insan.

Sayang sekali kerana pantasnya masa, tidak sempat kita berdiri sebentar merenung jauh di lubuk hati sendiri untuk mencari apakah sebenarnya yang kita benar-benar ingini. Ataupun apa yang tinggal sekarang hanyalah membawa bebanan harapan atau impian orang. Bukan impian diri. Tidaklah mereka itu memakai kasut kita, juga tidak kita berdiri di dalam kasut mereka. Mengapa perlu menurut tanpa rela?

Lihat bulan! Cuba lihatlah bulan itu. Setiap hari muncul bersama malam, seakan-akan dekat dan tidak pernah meninggalkan kita. Terdetik di hati mungkinkah mampu untuk ke sana kerana bulan nampak dekat di mata? Berapa ramai yang mengimpikan untuk ke bulan. Mereka terpaksa ke sana berjalan kaki kerana itu adalah batas kemampuan. Sejauh mana kaki melangkah jarak tidak berubah dekat. Akhir perjalanan hanya kembali ke tempat bermula selepas mengelilingi bumi dan bulan masih di situ.

Ada yang mengatakan itu hanyalah sia-sia kerana kembali ke tempat yang sama. Mereka berkata perjalanan ke bulan mustahil akan sampai dengan berjalan kaki. Namun mereka lupa bahawa sepanjang perjalanan itu mungkin ada yang telah mengelilingi bumi, mengutip pelbagai mutiara sepanjang permusafiran. Menempuh rintagan dan cabaran sepanjang perjalan. Mencipta kenangan yang bernama pengalaman.

Kisah ini adalah kisah kehidupan. Dimana semua memasang banyak impian. Meletakkan segala-galanya di atas sebuah impian. Seakan-akan itulah garis penamat. Kemuncak kehidupan. Sehingga ada yang terlupa kita di sini bukan untuk selamanya. Ada kehidupan yang sebenar menanti. Kehidupan yang lebih nyata dari impian walaupun tidak terlihat jelas seperti bulan.

Ada yang meninggalkan sebuah impian kerana menemui rintangan dan kegagalan. Mengimpikan itu tidak salah, tetapi menyedari kemampuan itulah yang diharapkan. Seperti berjalan kaki ke bulan tidak mungkin akan sampai walaupun kita terlalu mengimpikan. Mengharapkan keajaiban itu bukanlah jalan penyelesaian tetapi dengan memilih untuk menukar cara mungkin itulah yang bisa menjadikan sesuatu impian sebuah kenyataan. Tidak salah untuk mengimpikan ke bulan namun bukan dengan berjalan kaki. Tidak sama sekali. Menukar serpihan-serpihan impian bisa menghidupkan sebuah kehidupan yang sebelum ini layu disebabkan kegagalan. Hidup mesti diteruskan!

Izinkan aku bertanya. Apakah impianmu? Apa perkara paling kamu ingini dalam kehidupan?

Berhenti sejenak.

Kini impianmu itu sudah ada. Setiap kali teringatkan impian itu, ingatlah akan bulan. Bagaimana mahu ke sana? Kunci setiap impian yang murni terletak pada doa ikhlas. Yang dipinta oleh pengimpi. Berbisik berharap dibumi agar diterima di langit. Begitulah kehidupan yang begitu rapuh, sentiasa mengharapkan petunjuk dan pertolongan. Pengharapan impian itu dilihat besar dengan keupayaan diri. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Ilahi.

“Ya Allah bantulah kami.”

Sudah jauh kaki ini melangkah dalam kehidupan. Banyak impian yang dahulu sudah tertunaikan. Ketika kita merasa resah dan kecewa. Merasakan bahawa tidak mungkin akan melepasi kesusahan ini. Masa berjalan. Kita melaluinya tanpa sedar bahawa setiap rintangan itu sudah tiada.

Betapa ramai insan yang ketika menghadapi ujian kesusahan menangis sujud memohon agar diselesaikan, diangkat segala kepayahan itu. Hari ini kesusahan itu sudah hilang. Kita sudah mula melupakan Tuhan.

Begitu juga ketika kita mempunyai sebuah impian. Bersujud berdoa mengharapkan agar dimakbulkan. Pada hari kita menggapai impian itu. Kita sudah melupakan Tuhan.

Sedikit manusia yang bersyukur. Yang tinggal kebanyakkannya takabbur. Memikirkan bahawa semua yang ada hari ini, baik hilangnya derita ataupun mengecap bahagia adalah dari tangannya sendiri. Lupa akan siapa pencipta bulan itu sendiri. Lupa akan kepada siapa pernah dia meminta dahulu.

“Ya Allah ampunkan kami. Di atas kelalaian membina impian dan keasyikan membina kehidupan”

Setiap impian itu pasti akan disertai dengan pengorbanan. Sama ada kita mesti mengorbankan sesuatu yang lebih berharga dari impian itu sendiri. Kehidupan yang menipu ini telah menyaksikan ramai yang telah mengorbankan sesuatu yang lebih mahal. Ketamakan dan kebodohan itu adalah kesilapan yang mahal harganya.

Apa sahaja impianmu janganlah sesekali mengorbankan kehidupanmu yang sebenar selepas kematian. Sedangkan impian itu hanya untuk dikecapi ketika singkatnya hidup di sini. Apabila kita menutup mata, impian itu tertinggal di dunia. Pendambaan, perhambaan diri kepada impian itu bakal terlihat terlalu murah dibandingkan dengan harga yang ingin dibayar.

Kehidupan tanpa panduan akan menghasilkan impian-impian kosong yang bodoh. Dibisikkan oleh syaitan. Impian-impian ini telah banyak menghancurkan nilai, menjadikan diri lemah walaupun kita merasakan dilihat gagah. Itu hanya tayangan murah dan rapuh.

Menghancurkan impian-impian kosong dan bodoh ini adalah perlu. Kenapa? Untuk menyelamatkan generasi akan datang. Gantilah impian ini dengan sesuatu yang lebih bermakna. Buanglah sampah itu. Tidak perlu digenggam lagi kerana setiap dari impian yang menghancurkan ada harga yang perlu dibayar.

Binalah impian murni. Impian menyelamat dan diri dan orang lain. Memberikan sinar kepada kegelapan kehidupan. Disini kita berkias madah, pada realiti kita jelas. Impian yang murni itu mencorakkan kehidupan, mewarnai perasaan dan memandu perjalanan.

Bagaimana mungkin berada di jalan yang lain sedangkan mengimpikan perkara yang lain. Ini satu penipuan. Penipuan kepada diri yang bakal membawa kehancuran. Penangguhan untuk berada pada jalan impian itu sering kali melambatkan. Kadang-kadang didahului oleh kematian. Mengejar sesuatu yang melelahkan namun mengimpikan sesuatu yang menenangkan. Mustahil untuk berada di jalan yang lain mengharapkan untuk sampai ke destinasi yang lain. Bangkitlah wahai jiwa-jiwa yang mengimpikan kebaikan. Mengapa terus berada di atas kesalahan? Sedangkan peluang sentiasa Tuhan berikan. Apabila kita mampu membuat pilihan, sering terjadi pilihan yang dipilih itu menghancurkan. Pilihan yang terbaik mungkin melelahkan dan memenatkan. Bukankah impian tadi ingin sesuatu yang menenangkan? Tentulah memerlukan pengorbanan kerana kita berharap pengakhiran.

Lakaran-lakaran yang dibina di dalam minda. Harapan-harapan yang disemat di dalam perasaan. Semua itu menunggu untuk dilaksanakan. Pada kertas kehidupan kita mencoretkan perjalanan yang meninggalkan pengalaman. Semoga apa yang kita impikan itu tidak hanya pada kehidupan ini tapi juga pada kehidupan yang abadi.

Jika hanya menanamkan semua impian di sini pastilah bertemu dengan kekecewaaan kerana impian itu lebih panjang dari kehidupan. Masa terus berjalan apa yang mungkin kita impikan pada masa dulu tidak lagi menjadi impian kita pada hari ini. Adakala apa yang tidak pernah kita impikan selama ini, telah tercapai tanpa sedar. Itulah kurniaan yang besar dari Pencipta yang rahmat dan pengampunannya luas terbuka. Bersedia memberikan apa yang dipinta dan apa yang tidak dipinta. Kepada Dialah kita menyerahkan urusan kehidupan.

“Hidup bukan sekadar hidupnya binatang. Kehidupan ini adalah kurniaan yang mesti dilalui dengan akal dan fikiran”

BAB 2: PERJALANAN

Berapa jauh sudah dirimu melangkah menyusuri kehidupan. Sepanjang perjalanan yang ada ketika mengembirakan, disulami dengan duka dan tawa. Begitulah hidup. Setiap permulaan perjalanan pasti akan menemui pengakhiran. Tiada apa yang lebih bernilai melainkan pengakhiran perjalanan yang baik. Sekiranya perjalanan kehidupan itu dinilai dengan permulaan maka mudahlah perjalanan itu. Sekiranya mengetahui tempoh berakhir perjalanan ini maka itu menghilangkan keadilan.

Perjalanan kehidupan adalah sesuatu yang sangat asing dan misteri walaupun kita melaluinya dan tidak terpisah perjalanan ini selagi nafas bernyawa. Apakah perjuangan yang mampu dibawa sepanjang melalui jalan kehidupan. Banyak yang perlu direnung kembali. Terlalu banyak yang mahu disingkapi sepanjang melalui perjalanan ini.

Ada ketika kita merasakan lelah dan ingin berhenti. Meneruskan perjalanan adalah kewajipan yang sering dilalaikan. Menerus bukan bererti mengikut arus. Meneruskan perjalanan itu bermakna mengikuti kebenaran. Walaupun berseorangan. Seandainya tidak menggunakan segala apa yang dikurniakan maka rugilah insan. Terkapai-kapai tanpa tujuan. Hidup bukan sekadar hidupnya binatang. Kehidupan ini adalah kurniaan yang mesti dilalui dengan akal dan fikiran. Bukan menjadikan nafsu sebagai Tuhan.

Tersilap kita dalam kehidupan. Sudah tersilap kita dalam perjalanan. Ke mana harus aku membawa diri dalam perjalanan ini. Sesat di dalam terang. Gelap dihadapan cahaya. Kenapa begini kisah perjalanan ini kita warnakan? Meninggalkan apa yang diturunkan di langit, menjadikan kita sesat di bumi. Mengikut kepala sendiri. Mengikut majoriti. Akhirnya perjalanan hidup ini telah dipandu oleh sesuatu yang selain manualnya. Hilang jati diri. Hilang pedoman. Hilang segala-galanya. Ketika ramai manusia menjual diri dalam perjalanan kehidupan ini, janganlah kita menggadai apa yang kita fahami demi sesuatu yang bersifat tidak abadi.

Perjalanan ini tidak akan berakhir dengan kematian. Perjalanan sebenar bermula selepas itu. Maka apakah yang bakal dibawa untuk perjalanan sebenar nanti? Apakah sekadar membawa sebuah impian seperti mahu ke bulan tetapi usahanya hanya dengan berjalan kaki?

Liku-liku kehidupan tidak dilalui sentiasa dengan kemenangan. Yang penting adalah apa yang mampu kita lakukan selepas kekalahan. Seandainya ada diberikan peluang. Tidak akan cuba kita ulang sebarang kesilapan lama tetapi kesilapan baru muncul. Begitulah kehidupan ini, berjalan dengan kesilapan demi kesilapan.

Aku melihat perjalanan setiap insan itu berbeza. Ada yang menginginkan perjalanan orang lain. Melupakan akan perjalanan sendiri. Perjalanan yang kita lalui setiap hari adalah perjuangan. Perjuangan menentang diri sendiri. Ada hari menang ada hari kita tersungkur di celah kehidupan. Bahagia itu adalah subjektif. Kebanyakkan melihat bahagia melalui harta. Ada yang memilih ketenangan jiwa. Terpulang. Setiap pilihan dalam perjalanan kehidupan ini pasti akan mengundang sesuatu kepada jiwa.

Rasa takut sentiasa hadir dalam menempuh perjalanan kehidupan. Kesilapan pilihan yang lalu sering menghantui kita. Ketidak-pastian tentang masa hadapan merisaukan kita. Ada yang menyusun perjalanan kehidupan seperti menyusun batu-bata. Ada yang membiarkan perjalanan itu tumbuh seperti pokok. Itu adalah pilihan. Ada yang menikmati keindahan sepanjang perjalanan kehidupan ada juga yang mengurung minda dalam kurungan yang gelap. Dicipta oleh diri sendiri untuk menutupi rasa takut menghadapi perjalanan kehidupan.

Dimanakah ketenangan dalam perjalanan? Dimanakah kunci perjalanan yang sempurna? Tiada yang sempurna sekiranya masih berada di dunia. Perjalanan sebenar kita bukan di sini. Di sini hanya tempat untuk di uji siapakah yang terbaik amalnya. Terbaik di sisi manusia belum tentu terbaik di sisiNya.

Berjaya di mata mereka belum tentu berjaya di mata kita. Lantas siapakah diri ini untuk menilai jalan kehidupan insan yang lain sedangkan kita sendiri mengharap agar di redhai perjalanan kita. Tiada apa yang tinggal dalam perjalanan ini jika kita melaluinya dengan hanya sekadar melalui. Tanpa mengikuti apa yang sebenarnya di ingini Ilahi.

Dalam menempuh perjalanan hidup yang singkat ini, sempatkah kita membawa sesuatu ke sana? Atau sempatkah kita meninggalkan legasi di sini? Ketika masa sudah meninggalkan kita, barulah sedar akan terlewatnya untuk berbuat semua. Hanya sempat berbuat sedikit sahaja. Berbanding dengan kesilapan dan dosa sepanjang melalui perjalanan kehidupan ini.

Takut. Rasa itu hadir kerana tahu betapa cepatnya masa. Sedikitnya usaha. Terlekanya hamba dalam perjalanan kehidupan. Hari semalam yang berlalu seakan-akan baru sebentar tadi. Ketika hidup mula dimamah usia, berpaling sebentar melihat jalan-jalan yang sudah dilalui. Pengalaman yang sudah dirasai. Seakan-akan baru semalam semua ini.

Ke manakah lagi kaki ini harus melangkah? Dalam menghabiskan sisa-sisa kehidupan yang berbaki.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience