Chapter 50

Mystery Completed 14816

Bab 50

Dalam kegembiraan meraikan satu kemenangan dia tetap rasa sedih. Dia rindukan kampung halaman. Dia rindukan damainya puncak gunung yang membiru dan anginnya yang dingin.

Dia teringatkan air yang mengalir lesu di celah-celah batu di pinggir kampungnya. Di situ dia menghabiskan masa selama sepuluh tahun, bermesra dengan alam dan penghuni hutan.

Kini sejumlah tanggungjawab menunggu. Mampukah dia memegang amanah ini? Rasanya dia belum mampu. Dia perlu menimba lebih banyak ilmu untuk mengendalikan perniagaan yang besar yang ditinggalkan oleh bapanya.

Dia memerhati Affendi. Affendilah yang lebih layak berada di kerusi Pengarah Urusan. Affendi bijak dan punya banyak idea yang bernas. Affendilah orang yang akan menerajui perniagaan ini. Dia akan pergi… pergi mencari ilmu. Dia perlu belajar selok belok perniagaan sebelum memegang jawatan yang tertinggi dalam Omara Holdings. Dia tidak mahu diperlekeh dan perbodoh oleh orang bawahannya kelak, walaupun dia tahu kebanyakan orang tunduk hormat padanya sekarang.

Affendi datang ke meja Leo. Wajah Leo yang tadi ceria dilihatnya muram.

“Kenapa ni? Sedih aje? Sebab Amalina belum datang ya?”

Itu satu lagi masalah yang belum selesai. Sudah seminggu dia tidak menghubungi Amalina. Gadis itu juga membisu seribu bahasa. Selepas dia datang menemui Encik Hamdan, Amalina terus senyap. Leo terlalu sibuk dengan pelbagai hal yang berlaku, sehingga tiada masa hendak menghubungi gadis itu. Amalina juga tidak menghubunginya langsung.

Hari ini beberapa kali dia menelefon dan menghantar pesanan ringkas tetapi tiada jawapan daripada Amalina. Ke mana Amalina pergi? Mengapa dia terus membisu? Memang dia berjanji akan menelefon tetapi disebabkan sibuk dengan kejadian Affendi diculik dan ‘misi’ menyelamat itu dia tidak ingat hendak menelefon kekasih hati.

“Entahlah! Dah puas aku call tak angkat. Mesej tak jawab.”

“Dia sibuk agaknya.” kata Affendi.

“Aku harap sangat dia datang ke sini.” kata Leo.

“Mungkin dia datang, tapi tak perasan pada kau. Maklumlah kau bersalin kulit dari mat rock dah jadi mat smart!”

“Agh! Ada-ada aje kau ni!” kata Leo sambil tertawa kecil.

“Kalau dia tak datang sini, petang ni pergi saja ke rumah dia,” cadang Affendi.

Leo mengangguk. Itulah yang akan dia lakukan, menuruti kekasih hatinya yang mungkin merajuk.

*****

Puan Suriati berada di dalam bilik tidurnya. Dia sibuk mengemas baju. Semua perhiasan dan barang-barang berharga disumbat ke dalam beg. Dia mesti berangkat segera. Dia amat takut dan bimbang rahsianya terbongkar. Dia tahu, Affendi dan Leo tidak akan membiarkan dia sendiri. Mereka berdua pasti akan membalas dendam padanya dengan mendakwa dan menyumbatkan dia ke dalam penjara. Dia tidak ingin mati dan reput di dalam tahanan.

Tidak! Dia tidak mahu masuk penjara. Penjara tempat yang amat menakutkan. Kaki dan tangan dirantai, kebebasan tidak boleh lagi dinikmati.

Puan Suriati menyumbat barang-barang serta pakaiannya ke dalam dua buah beg beroda yang besar. Masih ada lagi pakaian-pakaiannya di dalam almari. Dia tidak kuasa hendak membawa semuanya. Dia mengeluarkan pula satu beg sederhana besar dari atas almari.

Beg itu dibuka zipnya seluas mungkin. Buru-buru dia membalikkan tilam. Di bawah tilamnya penuh dengan duit bernilai RM100.00 dan RM50.00. Dia mengaut wang itu lalu memasukkannya ke dalam beg pakaian yang masih kosong. Disumbatnya hingga penuh. Dengan susah payah dia mengancing zip beg tersebut. Isinya buncit sekali sehingga zip itu tidak boleh bercantum. Dia mengeluarkan sedikit wang itu lalu disumbatkannya ke dalam beg tangan. Kemudian dia bergerak ke almari cermin, membelek wajahnya yang berpeluh dan berminyak-minyak.

Badannya rasa sungguh rimas setelah penat mengemas baju. Tak sempat mandi, tukar baju. Ahh… tak payahlah. Nanti tak sempat nak ke airport. Kalau lambat-lambat nanti manalah tahu tiba-tiba polis mengetuk pintu rumah. Siapa nak jawab? Aku juga… Akulah yang akan dipersalahkan atas semuanya. Tapi memang aku bersalah pun! Katanya di dalam hati.

Dunia ini tak adil. Tak pernah adil. Orang yang hidup senang tambah senang. Orang yang susah tambah susah. Aku tak rela hidup susah. Jadi janda melarat selepas suami aku mati. Jadi apasalahnya aku punya cita-cita yang tinggi? Katanya sambil mengesat wajahnya yang berminyak dengan sehelai tisu.

Zaidah, adik aku tu hidup senang… kahwin dengan orang kaya macam Datuk Omar. Aku cemburu… Aku irihati sangat dengan dia. Aku pun nak hidup bahagia, senang lenang.

Puan Suriati menyikat rambutnya. Tapi rambutnya tetap nampak kusut. Baru dua hari tidak ke salon, rambutnya sudah tidak boleh dibentuk lagi.

Agh! Dia tidak peduli. Yang penting dia harus lari dengan seberapa segera. Dia bertindak dengan cepat dan cekap.

...bersambung

Bab akan datang:

Sempatkah Puan Suriati melarikan diri?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience