Bab 8 Susah senang pemberian tuhan

Fantasy Series 1787

Malam itu, usai solat Isya' dan berdoa, Nenek Jah beransur ke ruang tamu melipat kain. Shia menempek rapat di sisi Nenek Jah.

"Eh! Tak ada kerja sekolah ke nak dibuat?"

"Semua dah siap Nek. Balik sekolah je terus Shia buat."

Shia pandang lantai kayu yang kusam. Tak ada tikar getah melatari papan apatah lagi karpet tebal seperti rumah orang lain.

"Menung apa?" Nenek Jah menegur.

"Nek, Shia ni menyusahkan hidup nenek ke?"

Kain yang sedang dilipat diletakkan di riba. Hati tua itu mudah benar terasa di saat gadis yang belum baligh lagi itu meluah rasa.

"Mestilah. Bukan senang nak jaga Shia ni. Mulut becok. Pandai menjawab. Kadang-kadang degil tak nak dengar kata nenek."

Nenek Jah tahan rasa nak ketawa bila mulut Shia muncung ke depan. Kesayuan terpancar melalui sinar mata cucunya. Tangan mendakap rapat tubuh kurus Shia.

"Tapi Shialah pemberian Tuhan yang paling bermakna buat nenek. Tangan nenek ni dah menyambut beratus-ratus kelahiran bayi. Semuanya dipulangkan kepada ibunya. Hanya Shia seorang sahaja yang kekal dalam dakapan nenek. Agaknya inilah hikmah kenapa nenek tak ada jodoh. Supaya nenek boleh jaga Shia la."

Shia mengemaskan pelukan. Kepalanya bersandar pada tubuh tua itu.

"Nenek tak rasa malu ke dengan rupa Shia ni masa tu?"

Kesedihan masih mewarnai nada suara Shia.

"Kekurangan, kelebihan, susah, senang semuanya pemberian Tuhan. Kita kena terima dengan hati redha. Tu semua bukan percuma tau. Itu adalah ujian buat kita. Tuhan nak tengok teguh tak iman kita. Banyak bersungut ke banyak bersyukur."

Shia pandang mata Nenek Jah lama-lama. Sedihnya telah hilang. Ada perkara lain pula yang ingin diketahuinya.

"Nek, Shia tengok ramai juga yang datang ke sini nak mengurut dengan nenek. Tapi nenek tak kaya-kaya pun. Kita buat tiket macam dekat pintu masuk zoo tu nak? Sekali urut kena beli tiket. Tiga puluh ringgit sekeping."

Ketawa Nenek Jah meletus sampai terhinjut-hinjut bahunya.

"Geliga betul otal kamu." Kepala Shia diusap penuh kasih. Nenek Khadijah menyambung bicaranya lagi.

"Tapi bukan itu yang nenek cari dalam hidup ini. Nenek tak kisah pun pasal duit. Nak bayar banyak ke, sikit ke, tak bayar langsung ke, tak mengapa. Nenek tak banyak harta. Nenek tak mengaji tinggi atau pandai macam Shia. Shia ye la tiap-tiap kali periksa dapat nombor satu. Dengan kudrat ini saja nenek dapat membantu sambil beramal. Mana yang tak ada duit tu nenek niatkan sedekah."

Nenek Jah membelai lembut rambut Shia. Anak ini amat terang hatinya. Mudah memahami rencah hidup. Kadang-kadang percakapannya melewati batas umur.

"Shia tak gembira ke tinggal dengan nenek? Nenek ni miskin. Tak ada banyak duit."

Jari jemari Shia bersatu di dalam genggaman Nenek Jah. Hati terasa damai.

"Apalah nenek ni cakap macam tu. Shia tahu, Shia ni tak sempurna. Cacat. Semuanya kurang. Tak ada yang lebihpun. Dah tentulah Shia gembira tinggal dengan nenek. Neneklah pelengkap hidup Shia."

Cepat sahaja Nenek Jah menyampuk. "Sapa kata Shia ni serba kurang? Tu ... Mulut tu tak pernah kurang bercakap pun. Becok je tiap-tiap hari."

Ruang tamu rumah kayu itu dipenuhi dengan gelak tawa mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience