BAB 8

Romance Completed 2630

“APA masalah kau sebenarnya ni? Dah tiga hari kau mengelak dari berjumpa dengan aku?” soal Qaleesa, geram. Dia tidak tahu apa masalah Hijjaz sampai lelaki itu mengelak dari berjumpa dengannya.

Qaleesa berjalan laju cuba menyaingi langkah Hijjaz. Mereka sedang berada di tengah-tengah kawasan sawah padi. Sewaktu dia melihat Hijjaz sedang melepak dengan gitarnya di pangkin, dia terus sahaja menyergah lelaki itu. Namun Hijjaz terus sahaja meninggalkan gitarnya dan berjalan laju meniti batas-batas kawasan sawah padi yang agak sempit. Sudahnya mereka sekarang berada di tengah-tengah sawah padi.

“Kau malu dekat aku sebab kau tak terpilih mewakili sekolah kita untuk pertandingan bola sepak tu ke?” soal Qaleesa lagi. Kali ini dengan senyum kambing. Mana mungkin Hijjaz malu dengannya. Mereka sudah kenal lama sangat, perasaan malu tak pernah wujud di antara mereka.

Senyap. Langsung tiada balasan dari Hijjaz yang sedang berpeluk tubuh sambil membelakanginya. Qaleesa sudah geram.

“Aku tahu. Ain tolak kau sebab kau kaki bangku, tak pandai main bola sepak. Then kau jadi malu dengan aku. Betul tak aku teka?” teka Qaleesa lagi sambil menunding jari. Mulutnya sudah mencebik tanda bosan dengan sikap berdiam diri Hijjaz.

Qaleesa menjengket sedikit cuba untuk mengintai wajah Hijjaz yang membelakanginya. Tiba-tiba sahaja dia hilang keseimbangan. Kakinya cuba untuk memijak batas sawah supaya dapat mengimbangi badan namun malangnya dia terpijak selut yang licin. Tanpa berfikir panjang terus sahaja dia berpaut pada lengan Hijjaz.

Gedebuk!

Qaleesa gelak besar sebaik sahaja mereka jatuh ke dalam sawah. Nasib baik mereka jatuh di tepi batas, kalau jatuh ditengah-tengah habislah rosak padi orang kampung.

“Tak guna kau Qal.” Jerit Hijjaz seraya melempar lumpur ke arah Qaleesa yang sedang galak ketawa. Habis pipinya comot terpalit lumpur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience