WAJAH rakan lamanya yang sedang menayang muka tertanya-tanya itu direnung dengan riak wajah yang tidak dapat ditafsirkan.
"Mat poyo ni, kawan kau ke, Joe?" soal Izara sambil menghalakan jari telunjuk ke wajah lelaki yang sedang duduk di sebelah bekas rakan sekampusnya itu.
"Ya, kawan aku." Johari memandang Ikhwan. "Mat poyo?" Dahinya berkerut.
Ikhwan tidak menjawab. Entah kenapa lidahnya tiba-tiba menjadi kelu. Terasa betapa kecilnya dunia.
"Kawan kau ni, Joe... si mat poyo ni... dia cari pasal dengan aku kemarin, tahu tak? Tak sangka pula kawan kau! Kecil betul dunia, kan? Haa, cepatlah cakap apa hal penting yang kau nak cakap dengan aku ni. Aku rasa, aku tak boleh lama-lama lepas tengok muka si poyo ni kat sini!" ujar Izara terus terang sambil melemparkan jelingan maut kepada lelaki bermata coklat keperang-perangan itu.
Johari menghamburkan tawa melihat reaksi wajah wanita itu, lalu dia menyiku lengan Ikhwan. "Eh, bro! Apa kau buat kat dia kemarin, hah?"
"Dia nilah yang aku ajak race kemarin," jawab Ikhwan sambil melirik wajah wanita tinggi lampai di depannya itu.
"Kau... kau race dengan dia?" soal Johari dengan tawa yang lebih kuat berbanding tadi sambil memegang perutnya.
Izara dan Ikhwan memandang lelaki yang sedang ketawa seperti tidak ingat dunia itu dengan kerutan di dahi masing-masing.
"Apa yang lucu?" soal Ikhwan.
"Patutlah kau kalah!" jawab Johari yang masih dengan sisa tawanya.
"Patut kenapa pula?" Ikhwan memandang wajah rakannya itu dengan muka tidak puas hati. "Kau nak cakap yang lelaki takkan menang dengan orang perempuan ke?" lanjutnya dengan nada menyindir.
"Bukan macam tu. Nama kawan aku ni, Izara. Kalau kau nak tahu, dia ni kan Wan... samseng jalanan yang kau cakap kemarin ni... Kami gelar dia kat kampus dulu, ratu litar, bro. Dia juara setiap tahun selama tiga tahun berturut-turut dalam Kejohanan Perlumbaan Litar Motosikal Berkuasa Tinggi Kategori Wanita kat Sepang masa zaman kitorang study dulu. Memang kau salah oranglah ajak race!" kata Johari membuka cerita sambil menggeleng disusuli tawa.
"Apa? Samseng jalanan? Kau cakap aku samseng jalanan?" Izara mencerlung wajah Ikhwan yang kelihatan terkejut selepas mendengar cerita Johari tadi.
"Dah memang betul, kan? Mentang-mentang naik motor besar, kau acah-acah king atas jalan kemarin!" balas Ikhwan.
"Aku kejar masa lah! Kau apa tahu?! Ikut sedap mulut dia je cakap orang samseng jalanan!" bentak Izara sambil menjegilkan matanya.
"Habis tu, yang kau cakap aku poyo, boleh pula?" Giliran Ikhwan menjegilkan matanya, tidak mahu kalah. "Dasar perempuan ego!" gumamnya dengan suara perlahan, tetapi tertangkap di telinga Izara.
"Ya! Memang aku ego! Jadi, apa yang kau tak puas hati?" bentak Izara sambil bercekak pinggang.
Ikhwan berdiri sambil mengetap giginya dan turut bercekak pinggang. "Kau..."
"Heiii! Dah, dah! Apalah korang ni! Macam budak-budak!" tegur Johari.
"Kawan kau nilah!" kata Izara dan Ikhwan serentak sambil menuding sesama sendiri.
"Hisyyy!" bentak kedua-duanya serentak dan serentak juga kedua-duanya menurunkan tangan masing-masing dan berpeluk tubuh.
"Berjodoh korang ni," kata Johari lalu dia ketawa sambil memandang dua wajah rakannya itu silih berganti.
"Dalam mimpi kau jelah berjodoh, Joe! Hah! Kau nak cakap ke tak ni? Kalau tak, aku nak balik ke tempat budak-budak tu. Buang masa aku je hadap si poyo ni!"
"Ehhh! Kejaplah. Halah, kau ni tak relakslah."
"Hadap muka si poyo ni, memang aku tak boleh relakslah!" balas Izara sambil menjeling lelaki yang dimaksudkannya.
"Haa, cepatlah cakap!"
Johari berdeham sambil melirik sekilas wajah rakan lelakinya. "Ni... kawan aku ni, nama dia Ikhwan. Dia pereka fesyen yang tak lama lagi nak dapat gelaran datuk, sebab dia dah beberapa kali menang pertandingan kat luar negara naikkan nama Malaysia." Johari menoleh memandang Ikhwan. "Haa, kau cakaplah."
Izara mengerutkan dahinya memandang wajah dua orang lelaki itu.
Ikhwan melepaskan keluhan lemah. Setelah melihat gerangan manusia yang dimaksudkan oleh rakannya, sudah terang-teranglah wanita itu akan menolak tawarannya. "Kaulah yang cakap!" bisik Ikhwan sambil menyiku lengan Johari.
Eh, eh! Dua ekor ni! Main siku menyiku pula. Aku siku kang! Izara memerhati dua orang lelaki itu menanti apa sebenarnya yang hendak diperkatakan.
Sekali lagi Johari berdeham. "Sebenarnya macam ni... Malam esok ada festival peragaan fesyen peringkat antarabangsa, tapi salah seorang daripada model dia tak sihat, jadi kena cari ganti. Kau je satu-satunya perempuan yang aku kenal yang cukup kriteria. Lagipun, kau ada pengalaman kan... Pasal bayaran boleh runding. Satu malam je, please..." Kedua-dua tapak tangannya dilekapkan tanda merayu.
"Tak nak!" Laju Izara menjawab sambil melirik sekilas wajah lelaki di sebelah Johari.
"Zara..."
"Aku cakap aku tak nak, aku tak naklah, Joe. Dah kawan poyo kau yang bakal bergelar datuk ni cari pasal dengan aku, cakap aku samseng, ego, lepas tu kau expect aku setuju nak kerja dengan dia? Sorrylah." Seusai menghabiskan percakapannya, Izara terus berpaling hendak pergi dari situ.
Cepat-cepat Johari berdiri. "Please, Zara... Demi persahabatan 7 tahun kita. Kalau kau setuju, bermakna kau tolong aku."
"Cari orang lain jelah, Joe. Aku tak nak kerja dengan si poyo ni. Cakap orang ego, dia sendiri ego. Ceh!" Izara meneruskan langkahnya yang terhenti tadi.
"Wan! Kau pergilah kejar dia. Kau minta maaf je. Kalau kau terlepas dia, aku tak dapat tolong kau lagi last minute macam ni tau. Dia marahkan kau, jadi aku tak dapat pujuk. Kena kau juga."
"Aku?" Ikhwan menghalakan jari telunjuk ke wajahnya sendiri, lalu dia memandang wanita yang semakin menjauh daripada mereka itu.
"Yelah. Dah kau yang gaduh dengan dia, bukan aku. Halah! Demi karier kau, mengalah jelah."
Ikhwan menekur lantai simen pondok itu buat seketika sambil berfikir. "Haih! Yelah, yelah! Nasib baik aku ni lelaki gentleman!" Dia terus berdiri dan berlari mengejar Izara.
"Awak! Izara! Zara! Tunggu kejap!"
Izara dengar namanya dipanggil, tetapi oleh kerana dia tahu siapa yang memanggilnya, dia tidak menoleh langsung. Langkah kakinya semakin dipercepatkan.
"Zara..." Ikhwan terus berdiri di depan wanita itu untuk menghalang laluannya.
"Hisy! Tepilah!" Dia ke kiri, lelaki itu ke kiri. Dia ke kanan, lelaki itu turut ke kanan. "Weh! Aku dah cakap aku tak nak, kan? Kau cari jelah orang lain. Bukan aku je satu-satunya perempuan kat Malaysia ni!" bentak Izara sambil merenung sepasang mata coklat di depannya dengan renungan tajam.
"Dah tak sempat nak cari. Dengar dulu apa aku nak cakap ni." Ikhwan menarik hembus satu nafas panjang sambil memandang wajah cantik di depannya. "Okey... aku minta maaf pasal kemarin. Aku tak tahu kau kejar masa. Okey... salah aku sebab cari pasal dengan kau. Tolong terima tawaran aku untuk satu malam je. Aku bayar sekarang juga kalau kau nak," ujar Ikhwan panjang lebar sambil menayang muka bersungguh-sungguh dengan harapan yang tinggi agar wanita itu bersetuju. Persetankan egonya yang tercalar, asalkan matlamatnya tercapai.
Izara menilik wajah lelaki di depannya dengan muka serius. "Kau ikhlas ke terpaksa nak minta maaf ni?"
"Aku ikhlas," jawab Ikhwan.
Izara menoleh memandang Johari yang sedang memandang mereka. Bola matanya bergerak-gerak seperti sedang memikirkan sesuatu. Bibirnya digigit-gigit sambil diherot-herot.
Menyedari Izara memandangnya, Johari terus memberikan isyarat tapak tangan yang dilekapkan sebagai tanda merayu seperti tadi.
Pandangannya kembali kepada lelaki di depannya. "Berapa kau nak bayar?"
Ikhwan mengoyak senyuman lebar sampai ke telinga.
- - - - - -
IZARA sedang berbaring di atas sofa ruang tamu sedang menonton television ketika dia terdengar bunyi pintu utama dibuka dan ditutup, lantas dia segera bangkit daripada perbaringannya, lalu duduk memandang pintu.
"Lewatnya mak balik," tegur Izara.
"Eh! Mak ingatkan Zara dah tidur," balas Puan Asneh sambil memaksa bibirnya untuk tersenyum.
"Zara tunggu maklah. Selalunya mak yang sampai rumah dulu."
"Mak kemas kedai," ujar Puan Asneh disusuli dengan keluhan, lalu dia duduk di sebelah anak perempuannya itu. Wajahnya ditundukkan sambil mengeluh buat ke sekian kalinya.
"Mak kenapa? Macam ada masalah je. Ada masalah kat kedai ke?" soal Izara sambil mengerutkan dahinya.
Puan Asneh merenung wajah Izara dengan muka sayu. "Ayah nak ambil balik kedai tu," ujarnya dengan suara lirih.
Serta merta terbeliak matanya selepas mendengar perkhabaran daripada ibunya. Tubuhnya tertegak dengan muka tidak percaya. "Apa masalah ayah ni?! Kenapa ayah tiba-tiba nak ambil balik pula kedai jahit tu? Mak bayar sewa juga, kan?!" bentak Izara dengan muka bengang.
"Ayah cakap, isteri dia nak tukar kedai jahit tu jadi pusat spa."
"Ayah ni dah kena bagi makan nasi kangkang ke apa?!"
"Zara... Tak baik cakap macam tu." Puan Asneh menegur lembut.
"Mak! Memanglah ayah tu ayah Zara, tapi Zara memang tak berkenan sangat dengan sikap ayah yang ikutkan sangat cakap nenek kebayan tu, tahu tak? Dulu, ayah ambil balik rumah yang ayah dah bagi kat mak sampai mak kena sewa rumah ni. Sekarang, ayah nak ambil balik kedai tu pula? Ayah dah janji nak sewakan seumur hidup, kan? Zara tak peduli! Zara nak pergi jumpa ayah malam ni juga!" bentaknya, lalu dia terus berdiri.
Cepat-cepat Puan Asneh menarik tangan anaknya. "Zara... Tak payahlah. Mak tak nak Zara gaduh dengan ayah."
"Ayah dah melampau, mak! Lepas ayah ceraikan mak dan kahwin dengan nenek kebayan tu, ayah terus buang kita! Zara dah puas bersabar selama ni!" Membahang seluruh tubuhnya kerana terlalu marah. "Lepaskan Zara, mak! Zara nak pergi jumpa ayah sekarang juga!"
"Zara... tolonglah... Zara sayangkan mak, kan? Kalau Zara sayangkan mak, Zara jangan pergi jumpa ayah. Zara tahu isteri ayah tu macam mana, kan?"
"Zara tak takut pun dengan nenek kebayan tu!" bentak Izara dengan suara yang semakin meninggi sambil membayangkan dirinya sedang membelasah anak beranak yang telah merampas kebahagian mereka pada empat tahun lepas.
"Pergilah. Kalau Zara dah tak sayangkan mak lagi, Zara pergilah," kata Puan Asneh dengan nada merajuk, lalu dia melepaskan tangan anaknya.
Izara mendengus geram, lalu dia duduk semula di tempatnya tadi. Dia terpaksa mengalah demi ibunya. "Abang Am dengan Kak Dijah dah tahu ke pasal ni?" soal Izara dengan suara yang sudah dikendurkan.
"Tak. Mak tak bagitahu. Abang Am Zara tu kan sibuk kerja siang malam. Kak Dijah Zara tu pula dah berkeluarga. Dia pun mesti ada masalah sendiri. Mak tak naklah tambah masalah diorang tu."
"Abang Am tu kan... Kalau Abang Am balik nanti, Zara flying kick abang tu sejuta kali! Biar tahu rasa! Abang buat macam dia sorang je hidup kat muka bumi ni. Tak ingat mak langsung! Nak jadi workaholic sangat untuk siapa? Abang Am bujang kot! Dahlah call mak pun jarang!"
Puan Asneh ketawa kecil mendengar bebelan anak bongsunya itu. "Takpelah... yang penting, mak ada Zara pun dah lebih dari cukup dah. Sementara Zara belum kahwin jelah. Nanti Zara dah kahwin, tinggallah mak sorang," ujarnya sambil tersenyum.
Senyuman kepura-puraan itu, terasa seperti benda tajam sedang menikam-nikam jantungnya. Walhal, pada hakikatnya, naluri keibuannya benar-benar merindui suasana ketika mereka sekeluarga masih berkumpul seperti dulu.
"Kalau Zara kahwin, Zara akan ajak mak tinggal sekali," kata Izara dengan muka bersungguh-sungguh. "Tapi lambat lagilah. Tak terfikir lagi nak kahwin sekarang. Dah boyfriend pun tak ada, macam mana nak fikir pasal kahwin?" lanjutnya, lalu dia ketawa sendiri.
"Macam mana nak ada boyfriend kalau Zara jual mahal?" kata Puan Asneh sengaja mengusik.
"Bukan jual mahal, mak. Tak ada yang nak beli," balas Izara, lalu dua beranak itu serentak ketawa. Hilang sekejap tekanan yang mengganggu fikiran.
"Mak dah makan ke?" soal Izara.
"Dah. Zara dah makan?" giliran wanita separuh abad yang masih cantik itu pula menyoal.
"Dah, mak. Zara singgah makan kat kafe tadi sebelum balik," jawab Izara, lalu dia tiba-tiba berdiri. "Mak tunggu kejap," ujarnya lalu dia terus melangkah pantas menuju ke biliknya yang boleh dilihat dari situ dan dia kembali selepas beberapa minit.
"Ni untuk bayar sewa rumah tiga bulan," kata Izara sambil meletakkan sejumlah wang di atas tapak tangan ibunya.
"Eh, banyaknya! Zara keluarkan duit simpanan Zara ke?" Puan Asneh merenung mata anaknya dengan muka terkejut.
"Taklah. Ni bayaran Zara jadi model peragaan baju kurung dengan kebaya malam esok. Orang tu terus bayar. Hmm... okeylah, mak. Zara masuk bilik dulu. Mengantuk." Alat kawalan jauh ditekan untuk mematikan television, lalu dia mencium pipi ibunya kiri dan kanan. "Heee, busyuk belum mandi!" Sempat lagi dia mengusik wanita kesayangannya itu.
"Hisy, budak ni! Mak nak mandilah ni lepas ni. Haa, pergilah masuk tidur. Selamat malam, sayang," ucap Puan Asneh sambil tersenyum.
"Selamat malam, mak," balas Izara yang turut tersenyum.
- - - - - -
"DIORANG dah siap ke ni?" desis Ikhwan sambil mempercepatkan langkah kakinya menuju ke bilik dandan. Sekejap lagi, majlis peragaan akan bermula.
Pintu bilik sederhana besar itu ditolak. "Sab, semua dah siap ke?" soal Ikhwan kepada pengurusnya. Lehernya dipanjangkan mencari seseorang, tetapi dia tidak melihat orang itu di dalam ruangan itu.
"Dah siap, bos," jawab Sabrina.
"Izara mana?"
"Model ganti tu eh? Dia kat fitting rooms dengan Rani. Dah siap dah pun. Make-up pun dah siap. Tinggal nak kemaskan mana yang patut je."
"Haa, yelah. Make sure, tak ada masalah last minute," pesan Ikhwan sebelum dia keluar dari bilik itu.
"Wuih! Dah mula, dah mula!" kata Johari dengan perasaan teruja sebaik sahaja dia melihat seorang demi seorang model memperagakan pakaian daripada pereka-pereka fesyen terkenal. Mereka duduk di bahagian hujung pentas yang kelihatan seperti jambatan yang memang direka khas untuk peragaan.
Ikhwan memandang ke arah pentas dengan debaran di dada menanti giliran model-modelnya keluar. Dia sebenarnya risau jika ada masalah sahaja.
"Kenapa kau diam? Nervous ke?" teka Johari sambil menyiku lengan rakan baiknya itu.
"Taklah. Aku cuma fokus dengan design pakaian-pakaian designer tu," nafi Ikhwan sambil memandang model-model yang sedang berjalan dengan gaya catwalk di atas pentas.
Selepas kesemua model tadi menghilang di belakang pentas, pengacara majlis pun mengumumkan nama pereka pakaian yang seterusnya dan memberikan sedikit ulasan tentang jenis-jenis pakaian yang akan diperagakan.
"Weh! Turn kau, turn kau!" kata Johari dengan riak teruja yang masih belum pudar di wajahnya.
Kedua-duanya fokus ke arah pentas menanti dengan perasaan tidak sabar. Model pertama pun keluar dari belakang pentas dan berjalan dengan yakin bersama dengan senyuman paling manis yang terlakar di bibirnya.
Ikhwan tergamam. Matanya tidak berkedip memandang model yang sedang memperagakan pakaian rekaannya pada ketika ini. Jantungnya serasa seperti berhenti berdegup.
"Haaa, kan! Aku dah cakap semalam, tapi kau je yang ragu-ragu. Don't judge the book by it's cover, bro!" kata Johari dengan muka bangga sebaik sahaja Izara menghilang di belakang pentas.
Ikhwan tidak membalas. Jantungnya kini terasa kembali berfungsi.
"Ada tiga kan baju yang dia kena peraga?" soal Johari.
Ikhwan hanya membalas dengan anggukan. Bayangan wajah wanita tadi, memenuhi ruang fikirannya.
- - - - - -
MAJLIS selesai ketika waktu menunjukkan pukul 11.20 malam. Selepas menyalin pakaian, Izara terus meminta diri kepada semua orang yang bekerja dengannya malam ini. Pengalaman satu malam yang tidak mungkin akan dilupakannya.
Bahagian depan dewan itu masih sesak dengan orang-orang yang hendak pulang. Berkali-kali Izara mengerling jam pada pergelangan tangannya sambil melilau-lilau ke sekeliling.
"Hisy, mana pula si Niza ni? Takkan dating lagi kot," gumamnya sambil mengerutkan dahinya.
"Oiii!" Pinggangnya dicucuk dari belakang.
"Hisy, kau ni! Lambatlah! Lenguh kaki aku berdiri kat sini tunggu kau. Mentang-mentanglah aku tumpang kereta kau. Kau pergi mana lagi tadi?" soal Izara dengan muka cemberut.
"Lepas habis fashion show tadi, aku sembang sekejap dengan Joe. Tu yang lambat tu," jawab Aniza sambil tersengih di sebelahnya.
"Jomlah balik," ajak Izara, tetapi belum sempat dia melangkah, telefon di dalam beg silangnya berdering. Cepat-cepat dia mengeluarkan telefonnya. "Kejap. Mak aku call," ujarnya, lalu dia terus menjawab panggilan tersebut.
Selepas mematikan talian, Izara terus menyimpan semula telefonnya ke dalam beg. "Dah, jom!" ujarnya sambil menepuk punggung Aniza. Serta merta dahinya berkerut. Apasal keras macam doh tepung yang kena tinggal atas meja seminggu ni? Cepat-cepat dia menoleh. Astaghfirullah! Matanya membulat tidak berkedip. Arghhh! Tanganku ternoda! jeritnya dalam hati.
"Zara, sini!" panggil Aniza yang sedang bercakap-cakap dengan seseorang.
Tanpa meminta maaf, Izara terus melangkah pergi dari situ menuju ke tempat Aniza sambil memaki hamun dalam hati. Seluruh wajahnya terasa membahang.
"Dia tepuk bontot aku?" Dengan muka terkejut, Ikhwan menyentuh punggungnya yang ditepuk tadi sambil memerhati si pelakunya dengan perasaan tidak percaya.
Share this novel
Hahaha zara sangka ponggong miza adoiii malu weyyy