Kata-kata yang meluncur keluar dari mulut Encik Johan benar-benar mengejutkan Adi Ashraf. Dia salah dengar kan? Encik Johan sebenarnya nak pinangkan Akid Ahnaf untuk Ariana kan? Bukannya nak pinangkan dia untuk perempuan tu kan? Lagi satu, bukan lelaki yang masuk meminang ke?
Tolong cakap ya!
"Ermm, Uncle nak pinangkan Akid untuk Ariana kan? Adi salah dengar je ni kan?" soal Adi Ashraf takut-takut. Tangannya menggaru kepalanya yang tak gatal.
"Tak, Adi. Uncle memang nak pinangkan Adi untuk Ariana. Bukan Akid." jelas Encik Johan. Dia memerhatikan reaksi Adi Ashraf terhadap berita yang disampaikan.
"Adi, papa dengan uncle Johan tak paksa. Tapi kami cuma nak tahu pendapat Adi. Kami faham dengan keadaan Adi sekarang. Kalau Adi nak masa sebanyak mana pun kami tak kisah. Asalkan Adi pertimbangkan perkara ni betul-betul boleh?" tambah Encik Johan lagi.
Encik Marzuki menepuk lembut bahu anak lelakinya. Cuba menenangkan perasaan Adi Ashraf yang dia sudah pasti sedang dilanda kekeliruan pada ketika ini.
Adi Ashraf mengangguk lemah. Terlalu banyak perkara yang dia perlu memproses di dalam otaknya sekarang ni. Hanya sebaris nama yang sedang berlegar-legar di dalam fikirannya sekarang ini. Dia perlukan penjelasan daripada gadis itu dengan segera.
"Papa,Uncle Johan, boleh tak Adi bincang perkara ni dengan Ariana dulu? Adi janji akan cuba pertimbangkan perkara ni elok-elok." ucap Adi Ashraf kepada Encik Johan dan Encik Marzuki. Dia berharap sangat mereka dapat memahami keadaannya sekarang.
Akhirnya, Encik Johan dan Encik Marzuki bersetuju. Mereka meninggalkan Adi Ashraf bersendirian. Tak lama kemudian, Ariana Atilia datang mengambil tempat tak jauh dari Adi Ashraf.
Gadis itu menghadiahkan senyuman penuh makna kepada Adi Ashraf. Cuba menenangkan perasaan lelaki itu yang kelihatan runsing. Namun senyumannya dibalas dengan keluhan berat dari Adi Ashraf.
"Apa kau cuba buat Ariana, sebenarnya?" soal Adi Ashraf serius. Tiada langsung nada mengusik pada kata-katanya kali ini.
Ariana Atilia menarik nafas panjang. Dia tahu lelaki itu benar-benar serius sekarang ini. Namun dia perlu membuktikan yang dia juga serius untuk pertunangan ini.
"Macam yang aku cakap. Aku nak kahwin dengan kau. Boleh tak kau percayakan aku? Aku tak main-main bila aku cakap, aku nak kahwin dengan kau, Adi Ashraf." balas Ariana Atilia dengan nada yang sama yang digunakan oleh Adi Ashraf.
"Tapi aku tak nak. Kau boleh faham tak, Ariana? Aku tak nak kahwin dengan sesiapa. Terutamanya dengan kau. Banyak lagi lelaki lain dekat luar sana. Jangan bazirkan masa kau dengan aku. Jangan sia-siakan masa depan kau." balas Adi Ashraf cuba meyakinkan gadis itu supaya membatalkan saja pertunangan mereka.
Dia tak bersedia lagi untuk semua ni. Dia tak bersedia lagi nak berkahwin selepas apa yang terjadi 5 tahun yang lalu. Bagaimana kalau sejarah berulang semula? Memang dia tak cintakan Ariana Atilia tetapi dia tak sanggup untuk menanggung perasaan bersalah sekiranya perkara yang sama terjadi kepada Ariana Atilia.
"Fine, kalau itu yang kau nak. Tapi tolong bagi aku alasan kukuh untuk kenapa terutamanya, aku tak boleh kahwin dengan kau. Kenapa kau rasa aku akan bazirkan masa depan dan masa aku untuk kau?" soal Ariana Atilia mahukan kepastian. Dia menyilangkan tangan ke dada menunggu penjelasan dari lelaki itu.
Adi Ashraf menarik muka. Dirinya sedikit pun tidak suka dengan perangai gadis itu yang keras kepala. Matanya dikecilkan ke arah Ariana Atilia. Geram apabila gadis itu tak mendengar kata. Manakala, Ariana Atilia hanya tersenyum sinis sambil menjongketkan keningnya dengan bongkak.
"Yang pertama..." kata Adi Ashraf sambil menunjukkan jari telunjuknya sebelum ditudingkan ke arah Ariana Atilia.
"Kau bukan sesiapa bagi aku. Dan takkan mungkin jadi sesiapa yang akan aku habiskan masa sepanjang hidup aku." ucap Adi Ashraf menghabiskan kata-katanya sambil masih menudingkan jari telunjuknya ke arah Ariana Atilia.
Ariana Atilia hanya mengangguk tanda faham. Dia memberikan isyarat untuk lelaki itu meneruskan kata-katanya. Adi Ashraf merenung wajah gadis itu untuk seketika sebelum menyambung kata-katanya semula.
"Yang kedua, aku tak kenal kau sepenuhnya. Macam mana aku nak kahwin dengan orang yang aku tak kenal? Sepanjang kita kenal pun, aku tak pernah nampak perkara baik dalam diri kau. Aku juga takkan ambil tahu pasal kau faham tak? Jadi, kenapa nak buang masa kau dengan orang yang tak pernah kisah tentang diri kau macam aku." terang Adi Ashraf lagi. Dia benar-benar memaksudkan kata-kata itu.
Ariana Atilia diam sejenak sebelum menyuruh lelaki itu menyambung kembali. Adi Ashraf menunggu apa-apa reaksi dari gadis itu namun tiada apa yang dapat dia tafsirkan.
"Yang terakhir, aku tak cintakan kau. Aku takkan cintakan kau, Ariana. Aku tak boleh bahagiakan kau macam mana seorang suami bahagiakan isteri dia. Aku tak nak kau habiskan sepanjang hidup kau dengan orang yang tak boleh cintakan kau.
Sedangkan ramai lagi lelaki kat luar sana yang boleh cintakan dan bahagiakan kau. Please, jangan hancurkan masa depan kau dengan kahwin dengan aku. Aku tak nak kau menyesal. Aku tak layak untuk kahwin dengan kau." ucap Adi Ashraf jujur. Pandangan matanya bertembung dengan anak mata Ariana Atilia untuk seketika.
Ariana Atilia hanya merenung ke dalam anak mata lelaki itu. Hanya kejujuran dan keikhlasan dapat dilihat disebaliknya. Bibirnya mengukir senyuman. Kini giliran dia pula untuk berkata-kata.
"Adi Ashraf, aku nak kau dengar sini baik-baik. Macam mana kalau apa yang kau cakap tu semuanya salah? Macam mana kalau satu hari nanti aku akan jadi seseorang yang akan kau habiskan sepanjang hidup bersama? Macam mana kalau kau antara orang yang kenal aku dari luar dan dalam?
Atau kaulah orang yang paling ambil berat tentang aku? Macam mana pulak kalau kau cintakan aku sepenuh hati kau dan berjaya bahagiakan aku sepanjang hidup aku nanti? Yang paling penting, macam mana kalau kaulah yang paling layak untuk jadi suami aku? " terang Ariana Atilia yakin.
Adi Ashraf terdiam seribu bahasa. Sekalipun tak terlintas di dalam fikirannya sekiranya perkara itu terjadi. Kata-kata Ariana Atilia benar-benar menusuk ke dalam hatinya.
"Aku tahu mungkin kau akan fikir macam mana kalau semua yang kau cakap tu pulak yang betul kan? Jadi, aku nak mintak kau satu je. Tolong bagi pertunangan kita ni sebagai satu peluang. Peluang untuk kita buktikan diri kita boleh? soal Ariana Atilia lembut.
"Dan kalau kau berjaya buktikan yang kata-kata kau sepanjang pertunangan dan perkahwinan kita, aku takkan ganggu hidup kau lagi selepas kita bercerai. Tapi, kalau aku yang berjaya buktikan kata-kata aku, aku janji aku takkan tinggalkan kau kecuali maut yang akan memisahkan kita." tambah Ariana Atilia lagi.
"Ariana, perkahwinan bukan perkara yang boleh dipertaruhkan macam ni. Aku tak nak kita berdua menyesal pada akhirnya." balas Adi Ashraf menyuarakan kebimbangannya.
"Aku tak paksa kau, Adi, untuk setuju dengan perkara ni. Aku cuma nak kau tahu yang aku bersedia untuk tanggung apa-apa akibat daripada perkahwinan kita nanti. Jadi, aku harap kau fikirlah masak-masak. Okay?" balas Ariana Atilia sambil bangun berdiri.
"Aku kena pergi dulu. Nanti kita jumpa lagi tau. Bye! Jangan lupa rindukan aku!" kata Ariana Atilia selamba meninggalkan Adi Ashraf yang terpinga-pinga.
Dia hanya memandang pemergian gadis itu dari ekor mata. Setelah Ariana Atilia hilang dari pandangan, badannya disandarkan di sofa yang terletak di ruang tamu. Fikirannya mengimbas kembali kata-kata yang diucapkan oleh gadis itu.
??????
"Lia, okay ke?" soal Puan Sandra prihatin. Diusap lembut kepala Ariana Atilia penuh kasih. Satu ciuman dihadiahkan pada dahi anak gadis itu. Gelaran itu pula disingkatkan daripada nama Ariana Atilia sendiri.
Ariana Atilia tersenyum lebar. Tanpa banyak kata, Puan Sandra ditarik ke dalam pelukan anak gadisnya. Tangannya menepuk lembut belakang badan Ariana Atilia. Tak lama kemudian, kedengaran suara tangisan. Lengan baju Puan Sandra dibasahi dengan air mata Ariana Atilia.
"Shhh...umi ada. Jangan nangis sayang. Nanti buruk, Adi tak nak baru tahu." seloroh Puan Sandra cuba mengembirakan perasaan anaknya.
Ariana Atilia tertawa kecil. Sedikit terhibur dengan seloroh dari ibunya. Pelukan tersebut dileraikan. Tangan yang sudah dimamah usia milik Puan Sandra mengelap air mata yang berlinangan pada pipi gebu milik Ariana Atilia. Bibirnya mengukir senyuman.
"Lia happy umi. Terima kasih sebab buat semua ni untuk Lia. Cuma tu lah Lia rindu Abang Naufal. Mesti dia-" kata-kata Ariana Atilia segera dipotong oleh Puan Sandra.
"Nanti kita jumpa Abang Naufal. Umi dengan abah pun rindu dia. Nak?" sambung Puan Sandra gembira.
Ariana Atilia mengangguk laju. Dia menarik kembali Puan Sandra ke dalam pelukan. Wajahnya disembamkan pada leher Puan Sandra. Tenang dirinya berada didalam pelukan wanita tua itu. Walaupun perbualan bersama Adi Ashraf sebentar tadi merisaukan dirinya, dia hanya berserah pada yang Esa.
??????
"Oi, abang." tegur Akid Ahnaf. Dia mengambil tempat disebelah Adi Ashraf. Ditilik muka lelaki itu yang sedang runsing tentang sesuatu sejak dari semalam.
"Kau nak apa, Akid?" balas Adi Ashraf acuh tidak acuh. Dia betul-betul tiada mood nak bergaduh atau berbual dengan sesiapa sekarang ni.
"Relax, la abang. Kau ni. Macam ada masalah dunia je. Padahal pasal tunang je kot." balas Akid Ahnaf selamba. Kata-katanya dibalas dengan pandangan maut dari Adi Ashraf.
"Kau diamlah. Kau tak ada dekat tempat aku sekarang ni." balas Adi Ashraf tak puas hati. Tak ada guna dia bersembang dengan Akid Ahnaf ni sebenarnya.
Useless.
"Memang la aku tak ada dekat tempat kau. Dah tak ada siapa nak kahwin dengan aku. Kau kira bertuah tau. Kakak ipar dah la cantik, baik, cuma kau tu je yang tak nampak." kata Akid Ahnaf cemburu. Pada masa yang sama, mahu abangnya sedar betapa bertuahnya dia dapat berkahwin dengan Ariana Atilia.
"Kalau macam tu, kau jelah yang kahwin dengan dia. Senang cerita." perli Adi Ashraf. Tak ada siapa ke yang faham perasaan dia sekarang ni?
"Fine. Mama, abang suruh Akid kahwin dengan Ariana!" adu Akid Ahnaf kepada Puan Ratna. Tanpa amaran, lengannya ditumbuk oleh Adi Ashraf.
"Kau ni, mulut tu nak aku cilikan ke?" ugut Adi Ashraf. Akid Ahnaf menggosok lembut lengannya yang kesakitan.
"Yelah-yelah. Aku serius. Kau rasa Ariana tu siapa bagi kau?" soal Akid Ahnaf kali ini dengan serius. Adi Ashraf berfikir sejenak.
"Teman? Kawan? Entah." jawab Adi Ashraf jujur. Dia sendiri tak tahu siapa Ariana Atilia di dalam hidupnya.
"Teman?" soal Akid Ahnaf sekali lagi. Terselit nada mengusik didalam kata-katanya. Adi Ashraf sedar dengan keadaan itu.
"Kau jangan nak nyanyi lagu teman Iman Troye, tu eh." kata Adi Ashraf memberi amaran terlebih dahulu. Akid Ahnaf tersengih apabila sudah kantoi.
"Dah la, Akid. Aku masuk tidur dulu. Penat aku layan kau." kata Adi Ashraf beredar pergi. Dia singgah ke dapur untuk melegakan tekaknya yang kehausan.
"Adi, nak air? Nah." kata Puan Ratna sambil menyuakan segelas air kepada anak lelakinya. Adi Ashraf mengangguk sebelum menyambut huluran ibunya.
"Adi, mama nak cakap sikit boleh?" kata Puan Ratna sebaik Adi Ashraf menghabiskan segelas air tersebut. Lelaki itu hanya mengangguk tanda mengiyakan.
Puan Ratna tersenyum penuh makna. Tangannya naik mengusap lembut pipi Adi Ashraf. Dia tahu apa yang dialami oleh anak lelakinya. Naluri ibu tak pernah salah.
"Adi...mama tahu Adi takut dengan pertunangan ni. Mama tak nak paksa Adi. Tapi Adi kena cuba ya? Apa yang jadi dulu, bukan salah Adi. Yang lepas biarkan lepas ya. Hidup Adi masih panjang lagi. Semua orang nak Adi bahagia termasuk Mawar. Cuma Adi sendiri yang kena cari, faham? Jangan takut, Allah ada." pesan Puan Ratna. Dia menepuk lembut bahu Adi Ashraf sebelum meminta diri terlebih dahulu.
Kata-kata Puan Ratna menyedarkan lelaki itu. Adi Ashraf segera mengatur langkah ke bilik tidurnya. Lalu, mengambil wudhuk untuk menunaikan solat sunat Istikharah. Dia memohon agar diberikan petunjuk. Semoga hatinya makin tenang selepas ini.
??????
Dua minggu telah berlalu, tetapi tiada balasan atau keputusan dari Adi Ashraf sendiri. Ariana Atilia mula risau. Nombor telefon lelaki itu ditatap lama olehnya sejak dari semalam.
Semua mesej dari gadis itu tidak dibalas oleh Adi Ashraf. Keluhan kecil keluar dari mulut Ariana Atilia. Matanya mengerling jam dinding biliknya. Jam menunjukkan 3 petang.
"Baik aku makan dulu." ucap Ariana Atilia perlahan mahu bangkit dari katil empuknya. Namun bunyi notifikasi masuk ke dalam telefon pintarnya menarik perhatian gadis itu.
1 New message from Adingin??
"Panjang umur kau." kata Ariana Atilia sambil tersengih. Rasa excited apabila nama lelaki itu muncul di skrin telefon pintarnya.
Aplikasi WhatsApp dibuka dengan pantas. Status Adi Ashraf tertulis Online membuatkan dirinya mahu melompat kegembiraan. Mesej yang dihantar oleh lelaki itu dibaca sekilas.
Aku tak rindu kau.
Ariana Atilia menjulingkan mata ke atas. Kalau itu je yang dia balas baik tak payah. Itu dia sendiri pun tahu. Fake hope!
Disebabkan rasa menyampah, telefon pintarnya dicampak semula ke atas katil. Kakinya mengatur langkah kembali ke dapur untuk menjamu selera. Namun sekali lagi, bunyi notifikasi masuk.
"Kalau dia bagi fake hope lagi, siap dia aku kerjakan." kata Ariana Atilia geram.
2 New messages from Adingin??
Terpapar nama lelaki itu di skrin telefonnya. Lantas mesej itu dibaca sekilas. Mulutnya dibuka tanda tidak percaya. Dia terpaksa membaca mesej itu berkali-kali. Bibirnya mengukir senyuman lebar.
Aku
Setuju ??
-To be continued..-
Hello my lovely readers! Special thanks sebab sudi baca story ni! Enjoy reading! Don't forget to vomment! -ftnfzyyy-
Share this novel