BAB 10

Romance Series 10150

Satu minggu berikutnya...

"HANNA..."

Gegendang telinganya diketuk oleh satu suara garau dari insan yang sangat dicintai. Dia menoleh ke arah datangnya suara itu namun hampa, tiada siapa pun di situ.

"Abang? Abang dekat mana? Janganlah main sorok-sorok macam ni..."

"Hanna..."

Sekali lagi pendengarannya diterjah oleh suara garau suaminya, namun kali ini cuping telinganya seolah-olah disentuh oleh seseorang namun tetap juga tiada sesiapa di situ.

"Abang... abang dekat mana?" soal Hanna Nadira sekali lagi.

"Hanna, maafkan abang... abang sekarang berada di tempat yang sangat jauh. Abang dah tak dapat temankan Hanna dan anak abang, maafkan abang."

Hanna Nadira melangkah perlahan menuju ke arah datangnya suara Azwan. Agak sukar untuknya memandang ke arah itu disebabkan cahaya putih yang sangat terang menyilaukan pandangan matanya.

"Abang... abang jangan tinggalkan Hanna, abang..." ucap Hanna Nadira perlahan. Air matanya perlahan menitis keluar menyusuri pipi.

Langkahnya terhenti sebaik sahaja satu figura lelaki berjubah putih serta berkopiah putih juga berdiri di hadapan matanya.

Hanna Nadira merenung figura lelaki yang sedang membelakangi dirinya itu, dia sangat kenal dengan bentuk tubuh lelaki itu, walaupun cuma dinilai dari belakang tubuhnya sahaja.

"Abang?"

Lelaki itu tidak menjawab, namun dia berpaling ke belakang dan berdiri tepat di hadapan Hanna Nadira dan memberikan senyuman yang sungguh suci. Hanna Nadira yang memandang wajah suaminya yang sedang tersenyum itu terus memeluk tubuh suaminya itu. Namun sebaik sahaja tangannya menghampiri tubuh Azwan, figura suaminya itu terus hilang dengan serta-merta.

"Hanna jaga diri... Abang sayang isteri dan anak abang."

Sebaik sahaja ungkapan itu berlegar di cuping telinga Hanna Nadira. Azwan terus menghilang bersama dengan cahaya putih itu tadi.

"Abang... abang jangan tinggalkan Hanna, abang..." ucap Hanna perlahan. Dia ingin mengejar bayangan suaminya itu tetapi kakinya kaku, seolah-olah dirantai dengan jutaan rantai besi yang melingkari kaki sehingga ke pehanya.

"Abang sayang isteri dan anak abang."

Sekali lagi kata-kata akhir dari suaminya tadi berkumandang di mindanya.

??????????

"ABANG... abang!" Hanna Nadira menjerit dengan sekuat hati.

Datin Zarena yang kebetulan baru sahaja menapak masuk ke dalam bilik anaknya itu terkejut dengan teriakan Hanna Nadira yang berbaring di atas katil itu.

"Hanna... kenapa ni?" soal Datin Zarena, risau.

"Abang... Hanna rindu abang... kenapa abang pergi tinggalkan Hanna, abang... siapa nak temankan Hanna jaga dan besarkan anak kita, abang? Abang... baliklah abang!" Hanna Nadira tidak menjawab pertanyaan mamanya, sebaliknya dia menangis semahu-mahunya.

"Abang..."

"Hanna... Azwan dah tak ada, Hanna..." ujar Datin Zarena seraya memeluk tubuh anaknya yang sudah pun duduk di tengah katil itu.

"Tak! Mama bohong, mama bohong... abang Azwan masih hidup lagi... Mama bohong, dia masih hidup lagi mama!" ujar Hanna Nadira sambil menangis di dalam pelukan Datin Zarena.

Sukar untuk Hanna Nadira menerima kenyataan bahawa suaminya, Khairul Azwan sudah tiada, walaupun dia sudah pun dibawa oleh Dato' Arsyad dan Datin Zarena melawat pusara Arwah Azwan.

????????

HARI ini Hanna Nadira dibenarkan keluar dari hospital selepas empat hari dia dimasukkan ke dalam wad, kerana berlaku sedikit pendarahan. Mujurlah kandungannya masih dalam keadaan baik dan selamat.

"Puan Hanna dah boleh balik hari ni..." ujar Doktor Fazura.

"Betul ke ni? Alhamdulillah... Syukur," ucap Hanna Nadira seraya menoleh ke arah mamanya, Datin Zarina yang menemaninya semenjak empat hari yang lalu.

"Mama, Hanna nak jumpa Abang Azwan, dia ada dalam bilik dia, kan? Mama, cepatlah temankan Hanna..." ujar Hanna Nadira. Senyuman manis terukir di bibirnya.

Datin Zarina tidak menjawab pertanyaan anaknya itu.

Pada masa yang sama juga, Dato' Arsyad menapak masuk ke dalam bilik wad yang menempatkan Hanna Nadira.

"Papa, Hanna dah boleh balik hari ni, pa..." Hanna Nadira berkata.

Sayu hati tua Dato' Arsyad melihat satu-satunya anak perempuannya itu yang begitu teruja untuk keluar dari wad itu.

"Alhamdulillah... Baguslah."

"Papa, Abang Azwan... macam mana keadaan dia? Hanna nak jumpa dia, dia perlukan Hanna sekarang," ujar Hanna Nadira lagi.

Dato' Arsyad menoleh seraya merenung wajah isterinya, Datin Zarena. Matanya dipejamkan seketika seraya menarik nafas dalam-dalam.

"Hanna, papa nak bawa Hanna pergi ke satu tempat..." ujar Dato' Arsyad perlahan.

"Papa nak bawak Hanna pergi ke mana? Tapi Hanna nak jumpa Abang Azwan," balas Hanna Nadira. selepas itu direnungnya Dato' Arsyad lama. "Papa, Abang Azwan selamat, kan? Dia baik-baik aje, kan?"

Dato' Arsyad tidak menjawab, tetapi ekspresi wajahnya sudah pun menimbulkan syak kepada anaknya itu. Hanna Nadira perasan mata papanya juga sudah berkaca. Kemudian dia menoleh ke arah Datin Zarena pula juga sudah pun menangis.

Hanna Nadira berundur dua langkah seraya terduduk di sisi katil. Dia sangat memahami reaksi kedua orang tuanya itu. Dengan serta-merta juga air matanya menitis keluar, betapa luluh hatinya. Nafasnya sesak, seolah-olah saluran darah dan pernafasannya disekat. Dengan pantas dia terbayangkan apa yang dibualkan bersama dengan suaminya, Azwan pada malam sebelum kejadian itu.

??????????????

"HANNA... semasa abang bergegas balik tadi, abang sempat singgah ke kedai barangan bayi," ujar Azwan seraya bingkas bangun dari katil dan terus melangkah menuju ke arah almari pakaian dan mengeluarkan satu beg plastik.

Satu set barangan bayi berupa sepasang baju berwarna hijau muda, syampu, lotion bayi dan bedak berjenama Pureen yang baru sahaja dibelikan khas untuk bayi pertama yang bakal lahir tujuh bulan dari sekarang.

"Abang... awalnya abang belikan..."

"Takpe, abang sengaja belikan awal-awal... Takut pulak nanti tak sempat."

Hanna Nadira hanya tersenyum melihat gelagat suaminya itu.

"Apalah abang ni... apa pulak yang tak sempatnya?"

"Esok... manalah kita tahu, kan?"

Azwan sekali lagi merenung wajah isterinya dengan pandangan yang sayu. tangannya membelai pipi mulus isterinya itu.

"Hanna... bila abang sudah tiada nanti, Abang harap Hanna jangan bersedih. Anggap aje anak sulung kita ni sebagai satu hadiah yang sangat istimewa dari abang untuk Hanna..." ujar Azwan perlahan. Air matanya sudah mula menitis keluar menyusuri pipi.

??????

"ABANG... kenapa abang pergi tinggalkan Hanna, abang... kenapa?"

Tanah yang masih merah itu digenggam kuat.

"Abang... macam mana Hanna nak teruskan hidup tanpa abang? Abang, Hanna merayu, abang bangunlah abang... kita balik rumah sama-sama... Hanna dah boleh balik rumah hari ni. Bangunlah abang..." ucap Hanna Nadira perlahan. Suaranya bergetar ketika itu.

Datin Zarena yang duduk di sebelah Hanna Nadira itu cuba untuk menenangkan anaknya itu.

"Hanna... Azwan dah tak ada, Hanna..."

"Tak... mama bohong!"

Hanna Nadira tetap menafikan walaupun kedua tangannya ketika ini sedang menggenggam tanah merah pusara arwah suaminya yang baru sahaja dikebumikan tiga hari yang lepas.

"Hanna... Kita balik rumah ye, esok kita datang sini lagi. Kesian baby dalam perut Hanna tu... Kalau Azwan masih ada, dia pasti tak nak biarkan Hanna bersedih macam ni..." Dato' Arsyad pula mencelah.

"Tak. Hanna tak nak balik tanpa suami Hanna."

"Hanna..." Datin Zarina memeluk bahu anaknya.

"Mama, Abang Azwan baik-baik aje kan, dia dalam tu?" soal Hanna Nadira, polos.

Datin Zarena tidak menjawab sebaliknya pelukannya dieratkan lagi.

"Dah, kita balik rumah ye, kita sedekahkan yassin dan al-fatihah untuk dia," ujar Datin Zarena.

Hanna Nadira mengangguk seraya menoleh semula ke arah pusara Azwan. "Abang... Esok Hanna datang lagi. Abang berehatlah ya."

Usai menyiram air mawar di atas pusara arwah, Hanna Nadira berasa berat hati untuk pergi meninggalkan pusara suaminya itu.

Dalam pada masa yang sama juga, Izwan yang ditemani oleh sepupunya, Aryan tiba di kawasan tanah perkuburan itu. Izwan dan Aryan menapak keluar dari kereta sebaik sahaja Hanna Nadira, Dato' Arsyad dan Datin Zarena sudah pun berada di dalam perut kereta tidak jauh dari mereka.

Hanna Nadira menoleh ke arah figura lelaki yang sedang berjalan menuju ke arah pusara suaminya. Dia sangat mengenali wajah itu sebiji, serupa dengan arwah suaminya.

"Abang?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience