Bab 49

Short Story Series 55831

Sudah seminggu berlalu Haikal masih tidak sedarkan diri daripada koma. Hari itu Rina skarela mahu menggantikan Tan Sri Mansur untuk menjaga Haikal kerana sudah seminggu berturut-turut Tan Sri Mansur tidak masuk ke syarikat wahal kehadirannya amat diperlukan. Nasib baik juga hari itu Aqilah mengambil cuti bolehlah sahabatnya itu tolong jagakan Qalifh sepanjang pemergiannya. Rina yang baru tiba di hadapan bilik wad yang menempatkan Haikal segera mempercepatkan langkahnya apabila terdengar suara riuh rendah di dalam situ. Sewaktu Rina menolak daun pintu dia dapat melihat Haikal yang sudah sedarkan diri dan sedang menjerit-jerit seperti orang gila.

“Astaghfirullah.” Rina beristighfar dan mendekati katil Haikal apabila melihat Tan Sri Mansur dan seorang jururawat wanita sedang memegang Haikal yang meronta-ronta minta dilepaskan.

“Rina…” Melihat kehadiran Rina membuatkan Haikal berhenti meronta. Matanya berkaca-kaca saat melihat wanita itu.

“Ada apa ni?” Rina bertanya memandang wajah Tan Sri Mansur dan doktor yang berdiri tidak jauh daripada jururawat wanita di sebelah kiri Haikal.

“Rina, tolong aku! Mereka tipu aku! Mereka kata aku lumpuh, aku tak lumpuh! Aku tak lumpuh!!!” Haikal menarik lengan Rina kuat sehingga Rina terduduk di sampingnya.

Rina terkejut dengan kenyataan Haikal itu. Segera matanya melihat pada kaki yang langsung tidak bergerak walaupun Haikal sedang meronta. Rina memandang pula wajah doktor yang merawat Haikal meminta kepastian adakah kaki Haikal benar-benar sudah lumpuh. Doktor yang memahami isyarat mata Rina mengangguk kecil mengiakan.

“Innalillahiwainnailahirojiun.” Rina bersuara perlahan bersimpati dengan nasib yang menimpa Haikal. Entah kenapa melihat keadaan Haikal seperti itu membuatkan Rina turut berasa sedih wahal seharusnya dia boleh saja berasa gembira dengan apa yang menimpa Haikal kerana semua yang terjadi adalah balasan Allah atas apa yang lelaki itu lakukan terhadap dirinya tetapi dirinya sudah memaafkan kesalahan Haikal dan tidak mahu menyimpan dendam.

“Tolong aku Rina! Aku tak nak hidup macam ini. Aku nak berjalan semula seperti dulu! Aku nak hidup aku normal macam dulu.” Haikal mengguncang tubuh kurus Rina dengan kuat agar wanita itu dapat membantunya. Melihat Rina yang hanya menundukkan pandangan bersimpati di atas apa yang menimpa dirinya membuatkan darah Haikal meluap-luap dan ditolak Rina jauh daripada dirinya. Haikal mengamuk lagi seperti tadi. Apa yang dapat dicapainya dibaling pada orang yang berada di situ kerana dia tidak mahu dikasihani. Tanpa disengajakan alat kawalan jauh yang dilemparnya itu terkena dahi Tan Sri Mansur sehingga bapanya itu mengadu kesakitan.

Rina yang melihat keadaan yang semakin tidak terkawal itu segera mendekati Haikal dan ditampar kuat pipi lelaki itu. Turun naik dada Rina menahan marah akibat perbuatan Haikal yang mencederakan Tan Sri Mansur.

“Kenapa dengan awak ini hah? Awak seharusnya bersyukur Allah masih berikan awak kesempatan untuk hidup dimuka bumi ini dan bertaubat kepada-Nya! Istighfar Haikal, ingat Allah. Setiap ujian yang Allah berikan kepada kita adalah merupakan satu teguran daripada Allah. Sampai bila awak nak bersikap seperti ini? Awak meraung macam orang gila sekalipun kaki awak tak akan pulih seperti sediakala jika Allah tak izinkan. Berdoalah, minta kepada Allah agar disembuhkan kaki awak ini.” Rina memarahi Haikal yang masih meratap.

Mendengar kata-kata Rina itu membuatkan Haikal menangis semahu-mahunya. Benar kata Rina semua yang berlaku adalah teguran Allah kepada dirinya yang sering melakukan dosa dan maksiat sepanjang waktu. Dia leka dan alpa saat Allah berikan nikmat kesihatan dan harta benda yang melimpah luah. Dia takabur denngan apa yang dimilikinya sehingga dia lupa pada kebesaran Allah. Kini saat Allah tarik semula nikmat sihatnya barulah dia tahu langit itu tinggi dan bumi itu rendah.

“Kenapa Allah begitu kejam kepada aku? Kenapa Allah hukum aku macam ini.” Haikal terkulai lemah di katilnya. Ditutup wajahnya dengan kedua tapak tangannya kerana malu kepada mereka yang berada disitu.

“Allah tak kejam Haikal, malah sebaliknya kita yang zalim kepada diri kita sendiri. Bukankah selama ini Allah sudah memberikan kita begitu banyak nikmat yang tak terhingga sehingga kita lupa untuk bersyukur kepada Allah. Allah uji hamba-Nya kerana Allah rindu kepada awak. Allah tidak akan uji seseorang diluar batas kemampuannya. Percayalah, semua yang terjadi pasti ada hikmahnya.” Rina mengusap bahu Haikal lembut agar lelaki itu tidak lemah semangat dan tidak berputus asa pada rahmat Allah.

“Masih sudikah Allah menerima aku Rina? Aku ini manusia yang penuh dengan dosa. Dosa aku terlampau banyak terutama kepada engkau dan papa.” Haikal memandang wajah Rina yang berpurdah itu mencari sebuah jawapan daripada pertanyaannya.

“Pintu taubat Allah sentiasa luas terbuka Haikal. Allah yang Maha menerima taubat dan Allah juga yang Maha pengampun. Walau banyak manapun dosa kita kepada Allah seperti buih di lautan tetapi pengampuan Allah itu lebih luas daripada petala langit dan petala bumi. Jangan putus harapan mencari redha Allah.” Rina meyakinkan Haikal lagi tentang kebesaran Allah. Lelaki itu sudah lama meninggalkan kehidupan Islamiah di dalam hidupnya sudah tiba masanya Adam Haikal kembali semula kepada fitrah.

“Maafkan aku Rina. Aku berdosa kepada engkau. Ampunkan aku.” Haikal menarik Rina ke dalam pelukannya. Di peluk erat isterinya itu yang selama ini diseksa lahir batinnya.

“Saya maafkan semua apa yang awak lakukan kepada saya. Saya tidak menyimpan dendam terhadap awak. Cukuplah dengan awak berjanji akan menjadi Muslim yang jauh lebih baik dari sekarang itu sudah membuatkan saya bahagia.” Rina menepuk lembut belakang Haikal sambil memandang Tan Sri Mansur yang memandang mereka dengan linangan air mata.

Tan Sri Mansur bergitu bersyukur kepada Allah kerana dengan ujian yang menimpa Haikal membuatkan anaknya itu mahu bertaubat dan menyesali semua perbuatannya. Benar dugaannya selama ini melalui Rina, Allah sedarkan Haikal bahawa dunia ini hanya sementara. Inilah sebabnya mengapa dia tidak mahu melepaskan Rina selama ini. Dia tahu perbuatannya itu kedengaran melampau tetapi dengan kehadiran Rina membuatkan Haikal mahu bertaubat. Rina adalah seperti pelita di dalam keluarganya yang malap. Cahaya yang dibawa oleh Rina mampu menerangi seisi rumahnya.

Rina dan Tan Sri Mansur duduk di kerusi tidak jauh daripada katil pesakit setelah Haikal tertidur selepas minum ubat yang diberikan jururawat yang bertugas. Rina dan Tan Sri Mansur masing-masing hanya mendiamkan diri tidak berbual di antara satu sama lain kerana masih berasa janggal selepas Rina pergi meninggalkan rumahnya. Tidak betah dengan keadaan itu, baru Tan Sri Mansur teringat akan sesuatu yang mahu diberikan kepada Rina selepas dipujuk oleh Mak Sofi. Dikeluarkan buku bewarna merah baldu daripada bag pakaian salinannya dan diberikan kepada Rina.

Rina melihat buku itu sekilas sebelum mengambilnya daripada Tan Sri Mansur. Dia tidak langsung membuka buku itu tetapi sebaliknya dia memandang Tan Sri Mansur meminta penjelasan mengenai buku yang baru diberikan kepada dirinya itu. Kelihatan buku itu seperti sebuah buku diari. Milik siapakah buku ini dan mengapa Tan Sri Mansur memberikan buku itu kepada dirinya.

“Buku itu adalah kepunyaan Aqil.” Tan Sri Mansur memberikan jawapan daripada pertanyaan Rina yang hanya bermain di dalam minda wanita itu saja.

“Mengapa papa berikan buku ini kepada Rina?” Rina bertanya pelik. Dia tidak mahu membaca buku pribadi seseorang kerana itu adalah tindakan yang tidak sopan.

“Bacalah, semoga dengan membacanya Rina mengetahui isi hati Aqil. Aqil, sudah pergi meninggalkan rumah entah ke mana. Semuanya salah papa kerana papa yang menghalaunya pergi.” Tan Sri Mansur memberitahu tentang satu lagi masalah keluarga mereka yang selama ini disembunyikan daripada Rina.

“Papa halau Aqil daripada rumah?” Rina terkejut mendengar kata-kata Tan Sri Mansur itu kerana dia menyangka Aqil tidak mahu berjumpa dengan dirinya selepas apa yang terjadi di rumah Aqilah tetapi ternyata Aqil meninggalkan rumah setelah dihalau oleh Tan Sri Mansur.

“Papa terlalu ikutkan hati sehingga papa tidak sedar sudah menyakiti hati Aqil. Papa berharap sangat Aqil pulang ke rumah tetapi mungkin dia masih tidak dapat memaafkan papa sebab itu dia menghilangkan diri.” Tan Sri Mansur menundukkan wajahnya kerana berasa menyesal di atas perbuatannya menghalau anak yang sangat mencintai dirinya melebihi anak kandungnya sendiri.

“Papa sudah mencari Aqil di kampung halamannya? Mungkin dia berada di sana.” Rina bertanya kerana apa yang diketahuinya Tan Sri Mansur mengambil Aqil menjadi anak angkatnya apabila orang tua Aqil meninggal dunia di kampung.

“Papa sudah menelefon orang yang menjaga rumah di sana tetapi Aqil tiada di sana. Entahlah ke mana agaknya dia membawa diri. Risau papa dibuatnya.” Tan Sri Mansur meraup wajahnya berkali-kali.

“InsyaAllah Rina akan membantu mencari Aqil. Papa jangan risau dan jaga kesihatan baik-baik.” Rina mengusap belakang Tan Sri Mansur agar tidak terlalu memikirkan perkara yang membuatkan papanya itu jatuh sakit.

“Papa balik dahulu, sebelah petang Areen akan datang menggantikan Rina.” Tan Sri Mansur bangun daripada duduknya dan dikucup dahi menantunya itu sebelum berlalu pergi. Rina yang melihat keadaan Tan Sri Mansur yang semakin hari semakin tidak bermaya membuatkan dia bertekad mahu membawa Aqil pulang semula ke pangkuan keluarga. Rina melihat buku di tangannya. Dia keberatan untuk membaca buku itu tetapi apabila teringatkan kata-kata Tan Sri Mansur akhirnya dia menyelak halaman pertama buku itu. Mungkin akan ada petunjuk yang memberitahu keberadaan Aqil sekarang.

Lipatan 1
Ya Allah, mungkin inikah yang dinamakan dengan cinta? Jika benar ini cinta maka aku telah jatuh cinta dengan mahluk-Mu yang bernama wanita. Aku menyangka bidadari itu hanya wujud di syurga-MU tetapi ternyata ia juga wujud di dunia ini. Benarkah apa yang aku lihat atau hanya sekadar ilusi? Benarkah apa yang aku rasa atau hanya sekadar bisikan syaitan? Aku benar-benar telah jatuh cinta, Ya Allah. Mata beningnya sebening embun pagi. Mata itu memukau aku untuk terus menatapnya meskipun aku tahu tidak seharusnya aku melihat itu. Siapakah dia, Ya Allah? Siapa bidadari yang telah KAU takdirkan untuk bertemu dengan diriku hari ini? Jika bukan kerana pujukan Zaim untuk menjadi fasi pada kemasukan pelajar semester satu kali ini pasti aku tidak akan bertemu dengannya. Ya Allah, adakah gadis itu sudah dimiliki atau masih adakah kesempatan untuk aku mengenalinya?

Lipatan 2
Ya Allah, hari ini aku bertemu lagi dengan bidadari itu. Setelah sebulan berlalu dia hilang di keramaian. Aku menyangka aku tidak akan lagi bertemu dengannya tetapi KAU telah menetapkan takdirku untuk bertemunya lagi di rumah-Mu. Dengan izin-Mu, tasbih miliknya jatuh dihadapanku dan ketika aku ingin mengembalikannya semula ternyata ia adalah kepunyaan bidadari yang menjadi pujaan hatiku dalam diam. Aku berasa cukup bahagia hanya dengan menyentuh tasbih yang sering berada di genggamannya. Adakah satu saat nanti tangan itu juga yang akan berada di dalam genggaman tanganku. Inikah yang dirasakan oleh Majnun terhadap Laila? Jika Majnun mencintai anjing yang menatap rumah Laila aku juga mencintai tasbih yang berada di dalam genggaman bidadari itu. Akulah si Majnun dan dia adalah Laila. Ya Allah, kau jaga rahsiaku, aibku dan cintaku. Dengan redha-Mu bantu aku untuk meminangnya.

Lipatan 3
Ya Allah, terima kasih di atas berita gembira yang KAU khabarkan. Nama bidadari itu Rina Altafunisa! Ternyata dia berada di sekitarku tetapi aku langsung tidak menyedarinya sehinggalah perjumpaan kelab yang mempertemukan sekali lagi aku dengan dirinya. Rina bukanlah orang yang banyak bicaranya tetapi senyuman manis sering tersungging di bibirnya dan itu sudah cukup membuatkan diriku tersipu sendiri. Hari ini, aku memberanikan diri berbicara dengannya tetapi itulah fitrah yang Allah telah tetapkan untuk dirinya, dia menjawab apabila ditanya dan selebihnya dia hanya mendengar dan mendiamkan diri. Ya Allah, aku selitkan namanya di dalam setiap doaku. Berikanlah aku kesempatan untuk menjadikannya harim dihatiku kerana hanya dia satu-satunya wanita yang aku cintai selepas ibuku. Hanya dia. Rina Altafunisa.

Lipatan 4
Ya Allah, kuatkanlah aku dengan ujian ini. Buat kedua kalinya hati ini berasa teramat sakit selepas kematian orang tuaku. Ya Khaliq, benarkah apa yang dikhabarkan oleh mereka bahawa bidadariku mengandung anak di luar nikah? Katakanlah semua ini dusta. Katakanlah semua ini hanya mimpi buruk. Katakanlah semua ini hanya gurauan semata. Rina tidak mungkin melakukan itu. Sepanjang perkenalan aku dengan dirinya, dia amat menjaga kehormatannya sehingga aku benar-benar yakin bahawa dialah wanita yang ingin ku jadikan isteri. Mengapa ini yang terjadi? Mengapa kau melukai hati ini bidadariku? Dimanakah hilangnya agamamu saat kau melakukan dosa? Dan mengapa hati ini masih sangat mencintaimu walaupun kau yang telah menghancurkannya? Ampuni Rina Altafunisa Ya Ghaffar.

Lipatan 5
Ya Allah, mimpikah aku? Wanita yang terbaring kaku dihadapanku itu adalah bidadariku? Selama ini aku cuba mencari dirinya tetapi tidak pernah aku temui dan ternyata dia berada di kampung halaman ibunya. Ya Alim, apa yang terjadi kepada dirinya? Mengapa begini sekali keadaannya saat aku dan papa menemuinya. Aku yang berdosa Ya Ghafur. Aku adalah orang yang menyumbang dalam kesengsaraannya. Tolong aku Ya Rabb, jangan kau ambil nyawanya sebelum sempat aku memohon maaf kepadanya. Ya Allah, sembuhkan dia. Kasihani Qalifh tidak dapat merasakan belaian ibunya. Jika aku tahu abangku sendiri yang menghancurkan hidup bidadariku tidak akan aku biarkan dia menderita. Sungguh akulah manusia yang paling kejam terhadapnya kerana membiarkan fitnah memijak harga dirinya. Ampuni aku Ya Allah kerana tidak dapat membelas nasib bidadariku disaat dia di dalam kesulitan. Oh Aqil, sungguh celakalah engkau kerana disaat kau mengatakan kau mencintainya tetapi kau membiarkan dia menderita kerana angkara abangmu sendiri.

Lipatan 6
Ya Azim, apakah aku benar-benar sudah dibutakan oleh cinta Rina Altafunisa sehingga aku tidak dapat membuka hatiku selain untuknya. Aku tahu apa yang aku rasakan ini adalah sebuah dosa, aku mencintai dia yang kini sudah menjadi kakak iparku. Meski Shofwah wanita yang sangat cantik bahkan cantiknya mengalahkan kecantikan Rina Altafunisa tetapi hatiku tetap mengatakan bahawa tiada wanita secantik Rina dan hatiku menginginkannya. Sungguh rasa ini menjeratku. Aku berjanji kepada-MU, Ya Allah tidak akan aku biarkan orang lain mengetahuinya. Cukup hanya KAU yang mengetahui keaibanku dan ampuni aku.

Lipatan terakhir.
Ya Allah, adakah Rina memang tidak akan pernah menjadi milikku? Adakah aku benar-benar tidak layak untuk dirinya? Mengapa sukar untuk aku mengikhlaskan hati ini? Mengapa sukar untuk aku menghapus namanya di dalam hatiku? Setiap kali aku melihat matanya setiap kali itu juga hatiku menggila seperti kali pertama aku mengenalinya. Hatiku sudah dibutakan dengan cinta kepadanya sehingga tiada lagi wanita lain yang mampu menggantikan dirinya di dalam hatiku. Aku tahu aku berdosa kerana mempunyai perasaan kepada isteri orang tetapi apalah dayaku manusia yang hina ini Ya Allah, aku tidak mampu mengawalnya. Bantulah aku Ya Allah yang maha membolak balikkan hati manusia.
Demi cinta kepada papa, aku rela melepaskan dia untuk Haikal buat kali kedua. Saat itu hatiku hancur sehancurnya. Sama seperti saat mengetahui bahawa dia sudah berkahwin dengan orang lain. Perasaan sakit itu sekali lagi datang menusuk hati yang sudah terluka berdarah semula. Melihat linangan air mata Rina seperti membunuhku berkali-kali. Ingin sekali aku melindunginya tetapi aku tahu itu tidak mungkin. Lantas kepada siapa lagi aku memohon kesembuhan hati ini jika bukan kepada-Mu, Ya Allah.
Ya Allah, jika di dunia ini Kau takdirkan bahawa aku tidak mungkin bersamanya biarkanlah rasaku ini kubawa sehingga ke hujung nafasku. Ampuni aku dan kasihi aku. Sesungguhnya akulah Majnun di zaman ini.

Selesai membaca bait terakhir tinta Aqil air mata Rina pun mengalir semahunya. Aqil begitu cinta kepada dirinya sehingga sanggup berperang dengan hawa nafsunya demi menjaga maruah diri mereka. Rina meletakkan buku diari itu ke dadanya. Dia dapat merasakan kehangatan hati Aqil yang ikhlas mencintainya tanpa memerlukan balasan.

Tanpa Rina sedari ternyata Haikal memerhatikannya. Haikal yang hanya terlelap sebentar terjaga daripada tidurnya. Dia yang awalnya mahu memanggil Rina dimatikan niatnya apabila melihat wanita itu khusyuk membaca buku diari Aqil yang pernah juga dibaca oleh dirinya sebelum Tan Sri Mansur menghalau Aqil keluar daripada rumah.

Melihat Rina yang menangis membuatkan hati Haikal seperti dihiris-hiris kerana menyangka semua yang terjadi adalah disebabkan oleh dirinya. Rina dan Aqil adalah mangsa diatas perbuatan jahatnya. Jika bukan kerana dirinya pasti wanita itu sudah hidup bahagia bersama Aqil. Haikal memejamkan matanya kembali berpura-pura masih lena dibuai mimpi walaupun hakikatnya dia turut berasa sedih melihat keadaan Rina. Air matanya ditahan agar tidak mengalir kerana ego lelakinya masih kuat bertahta di dalam dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience