MAK Siti silangkan tangannya. Kepalanya digeleng-geleng. Penat tau bertekak dengan anaknya tu.
"Mak yang gila ke kamu yang gila? Mak nak kahwinkan kamu dengan Lokman tau, bukan dengan siapa-siapa pun. Lagipun Lokman tu pensyarah, sekurang-kurangnya pendapatan dia stabil. Bukannya penjual kat gerai tepi jalan tu macam..."
"Dahlah, mak!" bentak Damia memangkas kata-kata Mak Siti.
Keadaan terus senyap. Nafas mereka tercungap-cungap.
Syafiq pejamkan mata. Berderau darahnya sepanjang berada di rumah Damia ini. Dia memang sudah cuba bertahan tetapi kali ini dia mengalah.
"Mak cik memang bencikan saya? Memang saya tak layak nak berkawan dengan anak mak cik?" tanya Syafiq tertunduk kepalanya.
Mak Siti sengih. "Hmm ... soalan bagus. Nak tahu jawapan dia? Aku memang tak suka dan tak restui pun persahabatan korang berdua. Sebab aku takut kalau-kalau korang tiba-tiba buat kerja gila. Nak kahwin. Tu paling aku takut dan benci!" Mak Siti jegilkan mata.
Syafiq angguk kepalanya. Memang tiada makna lagi baginya untuk teruskan persahabatan ini. Ibu kepada Damia ini memang benar-benar bencikan dirinya.
Nak pujuk rayu? Memang tak akan berjayalah jawabnya.
"Mak ..." rintih Damia yang sudah menitiskan air mata. Dia rasai sakit yang Syafiq rasakan.
"Jadi kau, Syafiq. Baliklah rumah tu. Tak ada benda yang nak dibincangkan lagi," ujar Mak Siti tanpa menghirukan anaknya.
"Baiklah, mak cik. Terima kasih sebab jemput saya datang sini. Terima kasih banyak-banyak," ucap Syafiq tahan sebak. Suaranya timbul tenggelam.
Syafiq bingkas bangun dari duduknya. Muka Damia tidak sanggup lagi dia lihat. Mungkin, cukuplah hubungan persahabatan mereka sampai di sini saja.
"Syafiq! Syafiq!" panggil Damia yang terus meluru menghalang Syafiq. Tetapi Syafiq tidak sedikit pun memandang wajah Damia.
Mata yang bertakung dengan air dibiarkan berlinang. Langkah diteruskan tanpa menghiraukan Damia yang sudah menangis merayu.
"Angah! Kamu jangan nak ikut laki tu," larang Mak Siti.
Mak Siti terus pergi mendapatkan Damia. Tangan anaknya ditarik kasar dan dia paksa Damia duduk semula di atas sofa.
"Mak! Sakitlah!" jerit Damia sambil mengurut-urut pergelangan tangan yang terasa sakit kerana genggaman kuat ibunya.
"Kau duduk situ diam-diam!" Nadia pula memberi amaran. Tugas untuk menghalang Damia kini dia galas.
Mak Siti terus pergi ke luar menghadap Syafiq yang sudah melangkah pergi. Muka lelaki itu pasrah dan redha.
"Oi! Lepas ni kau jangan nak datang kat rumah ni lagi. Dan jangan sekali-kali kau nak berhubung dengan anak aku lagi sebab dia dah nak jadi bini orang dah. Aku takkan restui dan takkan benarkan kau berkawan dengan anak aku lagi sampai bila-bila. Faham?" Dengan garang dan bengisnya Mak Siti semburkan itu.
Syafiq gosok matanya yang sudah berair. Suara sudah tidak mampu dilontarkan. Pantas dia tunggang motosikalnya tanpa sebarang ucapan. Tanpa menoleh sedikit pun ke belakang.
"Syafiq!" Damia yang dihalang Nadia terus menolak kasar kakaknya itu.
Nadia yang ditolak terundur beberapa langkah ke belakang. Memang kuat benar tolakan Damia itu.
"Syafiq!" Damia terus melepasi pintu utama rumah tetapi segera Mak Siti sekat.
Damia terpaksa hentikan jeritan dan langkahnya. Dah tak guna mahu mengejar Syafiq kerana lelaki itu sudah lesap dari pandangan mata. Bunyi enjin motosikalnya pun sudah hilang dari pendengaran.
"Kau nak kejar lelaki tu? Kejarlah. Sanggup ke nak kejar panas-panas macam ni?" sindir Mak Siti sambil mengipas-ngipas mukanya dengan tangan.
"Mak cabar angah? Mak cabar angah sekarang ni?" Tangan Damia digenggam tanda geram.
Mak Siti jongketkan kening dan sengetkan kepalanya. Muka sedih dia tayang biarpun semua itu palsu.
"Ala, angah. Janganlah marah. Bukannya si penjual sate tu je kamu boleh berkawan. Lagipun Lokman tu dah nak jadi suami kamu. Tak perlulah nak berkawan dengan jantan tu."
"Mak! Mak memang tak ada hati perut, kan? Mak sanggup buat angah dan Syafiq macam ni?" Air mata Damia berjurai mengalir.
"Mak memang tak ada hati perut. Semuanya sebab kamulah. Degil sangat kan, inilah padahnya," ujar Mak Siti.
"Angah selama ni boleh bertahan dengan perangai mak, perangai kak long. Tapi hari ni, angah memang tak boleh menipu. Angah menyesal hormat mak selama ni."
Mak Siti tayang sengih di hujung bibir. Penuh sinis.
"Hormat kamu kata? Kamu mana pernah hormat mak pun. Apa yang mak cakap, semua kamu nak melawan. Sekarang mak terpaksalah kahwinkan kamu dengan seseorang yang mak berkenan. Kut-kut lepas ni kamu boleh berubah. Mana tahu?"
"Mak!" tempik Damia. "Angah takkan kahwin dengan lelaki yang angah tak pernah suka termasuklah Lokman tu!" Semakin meninggi nada suara Damia.
"Habis tu? Kamu suka kat penjual sate miskin tu? Macam tu?" Mak Siti bercekak pinggang.
Damia seka air yang tersisa di tubir mata. Dia angguk dan segera dia seluk telefon pintarnya di dalam poket.
"Angah akan call Syafiq dan akan nyatakan perasaan angah kat dia. Dan jugak, angah akan suruh dia datang balik sini." Damia lalu menghidupkan telefon pintarnya, bersedia untuk menelefon Syafiq.
Tetapi, belum sempat Damia berbuat demikian, Mak Siti dengan tangkasnya merampas kasar telefon pintar itu dari genggaman tangan.
Dia hempas telefon tersebut ke lantai. Tanpa rasa teragak-agak dan kasihan.
Habis berderai telefon Damia. Skrin retak seribu.
"Mak!"
"Mak haramkan kamu berhubung lagi dengan lelaki tu. Hari ni, telefon kamu yang pecah. Kalau kamu berani nak berhubung dengan jantan tu lagi, silap-silap muka kamu pulak yang pecah!" Mak Siti memberi amaran. Bengis.
"Mak cabar angah? Okey. angah akan pergi kat rumah Syafiq tu sekarang!" Damia melangkah masuk ke dalam rumah untuk mengambil kunci motosikalnya.
Tapi, semuanya tak seindah seperti yang dirancang. Nadia tiba-tiba muncul sambil tayang kunci motor Damia tu. Mukanya terpapar riak mengejek. Dapat jugak dia curi kunci motosikal adiknya itu. Padan muka!
"Kak long! Kau bagi balik kunci tu sekarang ..." Suara Damia tersekat-sekat.
Dia dah lemah melawan. Dia dah lemah mahu menempik. Mentalnya didera. Tangisnya pula tak berjeda.
"Nak ni?" Nadia sengaja bermain-main dengan kunci itu. Mahu jengkelkan Damia.
"Tak bolehlah sebab mak yang suruh aku ambik tadi. Aku tak nak jadi anak derhaka," balas Nadia menyakitkan hati. Dia simpan kunci itu di dalam poket seluarnya pula.
Mak Siti lalu berjalan mendekati mereka berdua. Silangan tangan masih terpaut erat.
"Masuk bilik tu, angah. Mulai hari ni, motor kamu mak sita. Mak tak nak kamu guna dah motor tu. Kalau kamu degil jugak nak pergi rumah lelaki tu, nak jalan kaki atau tak, memang mak akan anggap yang kamu bukan anak mak dah," ugut Mak Siti.
Terketar-ketar Damia menahan geram. Buku limanya digenggam. Nak aje dia naikkan tangan kepada wanita di hadapannya tu tetapi dia sedar, yang wanita itu masih ibunya. Ibu kandungnya.
"Sanggup mak dengan kak long buat angah macam ni? Sebab nak kahwinkan angah dengan Lokman tu?"
"Mestilah sanggup. Kau kena kahwin dengan dia sebab dia berduit," jawab Nadia.
"Habis tu? Kenapa bukan kak long je yang kahwin dengan dia?" tengking Damia.
"Aku bukannya tak mau Lokman tu tapi ... aku nak laki yang lebih kaya. Lebih berharta. Macam anak Datuk ke, CEO ke. Barulah kena dengan taste aku." Mengada betul Si Nadia ini. Acah diva pulak.
Damia tegangkan rahang. Memang melampau betul kakaknya ini. Lalu Damia jeling tajam wajah kakaknya. Terlintas perkataan 'batu api' dalam fikirannya.
"Jadi kak long kan yang rancang semua ni? Yang suruh angah kahwin ni, semua sebab kak long, kan?"
Nadia alih pandangan ke arah Mak Siti. Mak Siti pula hanya jongketkan sedikit bahunya. Nampaknya, terbongkarlah pulak.
"Kak long rancang je. Yang setujunya mak. Betul kan, mak?"
Mak Siti hanya senyum dan angguk. Tanpa suara.
Kini, amarah Damia mencapai takat maksimum. Darahnya berdidih apabila mendengar jawapan dari mulut kakaknya itu.
Dasar kakak tak guna!
"Kau memang sial!" Damia terus menarik kuat rambut kakaknya.
Rambut Nadia dia genggam dan cengkam tanpa belas kasihan. Benar-benar kuat. Kepala kakaknya tu ditolak dan ditarik ke depan dan ke belakang.
Rasa marah dilepaskan dengan menarik rambut pendek paras bahu Nadia.
Nadia pula tidak mampu melawan dan berbuat apa-apa. Dia hanya mampu merengek kesakitan dan meminta pertolongan dari ibunya saja. Dasar lembik.
"Angah! Sudahlah oi!" Mak Siti cuba untuk mengubah keadaan tetapi kudrat Damia lebih kuat.
Damia tu dah macam kena rasuk pulak waktu tu biarpun Mak Siti cuba menghalang. Tak sesaat pun di mahu lepaskan genggaman tangan pada rambut Nadia. Makin dia berasa geram, makin kuat dia tarik.
"Angah! Cukuplah!" Mak Siti terus menolak Damia ke belakang sehingga dia terpisah jauh dari kakaknya. Tugas Mak Siti kini umpama pengadil di sebuah perlawanan.
Damia tercungap-cungap penat. Nadia pula mengelus-elus rambutnya yang sudah berantakan. Sakit!
"Kamu dah gila ke, angah? Pergi masuk bilik sekarang. Sekarang!" tempik Mak Siti dengan bingitnya.
Damia beredar pergi tanpa suara. Sempat dia hadiahkan jelingan tak puas hatinya kepada mereka dua beranak.
"Mak, sakit ..." adu Nadia yang masih kesakitan. Ubun kepala terasa berdenyut.
"Padan muka. Lembik lagi. Kan dah mendapat. Kamu tu kakak, lain kali melawanlah sikit." Mak Siti malah mengkritik anaknya.
*****
Entah ke berapa kali Damia mengurung dirinya di dalam bilik disebabkan ulah ibunya. Dari petang sampai malam, dari malam sehingga keesokan pagi, dia tak pernah terdetik pun nak keluar dari ruang kamarnya.
Bukannya dia tak kenal perangai ibu dan kakaknya macam mana tetapi peristiwa kelmarin memang dah melampau. Biarlah hari ini dia laksanakan mogoknya itu, walaupun semua tu tak akan mengubah apa-apa langsung.
Bunyi perut yang kosong mulai berkeroncong. Seharian tak makan, itulah padahnya.
Aduh! Laparlah pulak. Getus hati Damia sambil mengusap-usap perutnya.
Waktu macam ni jugaklah perut minta diisi. Kalau pergi kat dapur, nak kaut makanan apa?
Damia akur. Dia mengalah dan ikut kehendak perut. Makanan lebih penting daripada melayan perasaan yang masih sakit. Kalau di dapur nanti dia berdepan dengan si ibu, pandai-pandailah dia hadap.
Dia gagahkan jua keluar dari bilik. Mogok berkurung hanya bertahan kurang dari sehari.
Dengan perlahannya langkah kaki menuju ke dapur di tingkat bawah. Dari kejauhan, dia sudah terbau sesuatu yang mengiurkan. Mesti ibunya tu ada masak sesuatu.
Tapi Damia menangkan sifat egonya. Dirinya tekad tak mahu makan masakan ibunya itu. Biarlah dia nak masak mi segera yang masih tersisa asalkan makanan tu dimasaknya sendiri.
Sekitar ruang dapur diperhatinya. Tiada orang. Line clear!
Damia ambil periuk dengan berhati-hati dan perlahan-lahan kerana tak mahu keluarkan bunyi yang bising. Periuk diisi dengan air mengikut sukatan.
"Lapar ke tu?" Suara seseorang mulai memecah sunyi.
Tak lain dan tak bukan, suara Mak Siti.
Damia segera pejamkan mata. Ah! Waktu ni jugaklah dia nak masuk dapur. Padahal tadi tak ada orang pun kat sini.
Mak Siti dengan melenggangnya mendekati Damia. Sempat dia jeling ke arah periuk yang berisi air itu.
"Ceh! Nak masak Maggie je? Tak payahlah, angah. Mak dah masak macam-macam lauk dah tu. Gulai tempoyak ada, sambal udang ada, sup sayur pun ada. Ha, ambik je lauk tu."
Damia julingkan mata. Memang kecur liur jugalah mendengar lauk-pauk yang disebut Mak Siti tu tapi dia tak sepatutnya mengalah.
Mogok tetap mogok. Protes tetap protes. Tetapi soalan yang bermain di fikirannya, kenapa ibunya tu masak banyak lauk hari ni? Ada saudara-mara nak datang ke? Ah! Biarlah.
"Tak maulah. Angah masak sendiri lagi bagus," ujar Damia lalu menyambung kembali tugasnya yang terjeda.
"Kamu marah lagi kat mak pasal semalam?" Mak Siti jongketkan kening.
Damia tidak membalas apa-apa. Tanpa reaksi. Kalau boleh, nak aje dia menjerit perkataan 'ya' sekuat hatinya. Boleh pulak ibunya tanya soalan macam tu.
Mak Siti mendesis. Tahu sangat dengan jawapan anaknya itu.
"Sudahlah, angah. Tak payah kamu nak protes-protes macam ni dengan mak. Kamu dapat apa je? Dapat air liur je la. Kamu nak mak ubah fikiran? Jangan harap sebab mak dah rancang semua ni untuk kamu. Untuk kebaikan kamu," bebel Mak Siti panjang lebar.
Damia ketap gigi. Bungkusan mi segera yang belum dibuka dia hentak ke singki.
"Mak dapat apa je nak kahwinkan angah dengan Lokman? Air liur jugak?" bidas Damia.
"Mak dapat bahagia sebab kamu akan kahwin dengan calon pilihan mak. Dengan seseorang yang boleh jaga makan minum kamu. Tak begitu?"
Damia hela nafas. Pagi-pagi dah kena bertekak dengan ibunya, memang stres betul!
"Mak ni materialistik, kan? Sanggup kahwinkan anak sendiri demi duit."
"Mak bukan materialistik tapi realistik. Zaman sekarang ni duit tu penting. Semua benda pakai duit. Nak cari pasangan hidup, carilah orang yang berduit bukannya yang pokai," balas Mak Siti pula.
Damia garu kepalanya berkali-kali dengan kasarnya. Geram sungguh. Ada saja jawapan dari mulut bising ibunya itu.
"Dahlah, simpan balik periuk dengan Maggie semua tu. Kejap lagi ada tetamu nak datang sini. Kita makan sekali dengan dia orang," sambung Mak Siti.
Damia kerutkan dahi. Tetamu? Siapa dia? Takkanlah ...
"Assalamualaikum!"
Suara seseorang memberi salam kedengaran dari luar. Suara seorang wanita.
"Waalaikumussalam!" Mak Siti dengan terujanya terus berubah sikap. Pantas dia menarik tangan Damia untuk bersama pergi ke pintu utama rumah.
Damia cuba melawan tetapi Mak Siti tetap berkeras. Akhirnya Damia terpaksa akur. Dituruti jualah arahan ibunya itu.
Mak Siti dengan lajunya terus membuka pintu. Damia masih senyap di sisinya.
Apabila dibuka sahaja pintu, mata Damia membulat luas. Gerangan di hadapannya itu ialah seseorang yang amat dia kenali.
Itulah Mak Cik Zainab. Wanita itu lemparkan senyum kepadanya.
Dan lebih mengejutkan lagi, di belakang Mak Cik Zainab juga ada susuk seseorang yang lain. Tak lain tak bukan, dialah Lokman.
Bersambung...
New update! Habislah Damia ... Lokman dgn maknye dh datang rumah tu. Entahlah nak bincang psl apa... Makin geram kan dgn Mak Siti ni. Dasar tua tak sedar diri langsung hahah.
Share this novel