Bab 21
Aku termenung. Saban hari aku dilanda dilema. Kina atau ex aku? Ada sekali, aku terkenang apa yang dikata oleh ex aku. Aku masih ingat apa yang pernah dilafazkan oleh dia. Setiap bait perkataan itu aku masih mampu mengulang kembali bersama nada suaranya dulu.
*****
"Awak, andai kita dah ditakdirkan tak ada jodoh, awak ceraikanlah saya. Awak carilah siapa pun, yang mampu beri awak zuriat. Yang mampu beri awak segalanya. Saya tak sihat awak. Saya tak sempurna. Rahim saya tak kuat."
"Saya menikah dengan awak atas dasar cinta. Kita saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Apa kita dah habis ikhtiar ke awak?"
"Ceraikan saya, awak. Saya taknak terus bersedih melihat keadaan awak yang seolah sentiasa menunggu kehadiran zuriat awak.."
"Awak.."
Aku mati ayat. Aku mati akal. Aku habis buah fikiran. Aku peluk dia seeratnya seingat aku. Itu kali terakhir aku memeluknya sebagai seorang suami, sebelum kami betul-betul sah bercerai.
Aku daripada seorang lelaki yang kuat, aku jadi lemah. Aku menangis buat kali terakhir di bahunya sementara perkara yang sama berlaku pada dirinya.
*****
"Betul ke bro Kina buat macam tu?" Atan dan Shahir seolah tak percaya. Lauk berbuka puasa menjadi hambar. Silap aku juga, belum sempat apa-apa, aku dah buka cerita. Jawapannya, lauk berbuka yang kami beli hampir RM50 hanya menjadi lauk hambar tanpa diusik. Hanya cerita aku sahaja yang menjadi tumpuan, bukan lauk tersebut.
"Betullah, takkan aku nak tipu. Tak percaya, korang tanya la mama. Depan mama dia cakap macam tu." Aku membalas berbasa basi. Sambil menguis sambal belacan, aku menyuap nasi berlaukkan ikan keli ke dalam mulut. Seharian berpuasa, aku memang lapar.
"Kira kau tak gentleman la. Dia lagi gamble! Hahaha." Shahir sengaja melencong dari jalan asal cerita. Barangkali menjaga hati aku dari dia menghentam aku kerana tidak memberi apa-apa keputusan.
"Aku bukan apa, korang tak rasa apa aku rasa. So, aku ingatkanlah, jangan la korang mendesak aku apa-apa." Ayat berbaur amaran, lancar keluar dari mulut aku. Atan dan Shahir hanya mengangguk tanda faham.
"Makan, makan. Apa duk bual benda mcm ni. Makan dulu. Nanti sambung." Atan mempelawa Shahir makan lauk yang dibelinya. Shahir mengambil lauk ayam masak merah dan terus mengunyah dengan cermat.
*****
"Aku nak bayar zakat sekejap. Boleh tunggu? Ke nak bayar sekali?" Atan menyatakan hasratnya. Aku dan Shahir hanya mengangguk. Sememangnya, aku lupa soal zakat. Abah dah lama tak sihat, sama seperti tahun-tahun sebelumnya, aku yang bayar. Mama pula tahun ni takde pula ingatkan aku soal zakat. Dah 27 Ramadan, aku beratur di kaunter zakat bersama 2 orang sahabat.
Turn aku sampai, aku duduk menghadap Amil zakat itu. Terkebil-kebil aku memandang wajah itu.
"Berapa orang encik?" Amil zakat itu bertanya soalan pada aku. Aku hanya menunjukkan tangan yang mewakili sebanyak 13 orang. RM91 kesemuanya. Zakat wajib dibayar bagi yang mampu. Alhamdulillah, aku mampu. Aku melaksanakan tugas aku sebagai Muslim di bulan Ramadan ini. Selesai aku melafaz akad membayar zakat, aku berbual sekejap dengan amil tersebut.
"Ramai juga ahli keluarga encik?"
"Termasuk anak bini, tuan."
"Bagus ada ketua keluarga macam encik."
"Saya pergi dulu, terima kasih, assalamualaikum."
"Waalaikumsalam."
Aku tiba-tiba dilanda keliru. Salah ke aku bayar lebih?
Tak salah kan?
Share this novel