KISAH 5 - HANTU BERKEPALA ANJING

Horror & Thriller Series 23829

Aku sebenarnya sudah lama ingin menulis kisah ini, namun disebabkan hari-hari sebelum ini, syaitan masih berkeliaran, maka aku tunggu mulai saat bulan Ramadhan bermula, barulah aku mendapatkan keberanian menceritakan kisah ini kepada anda semua.

Kejadian ini baru sahaja berlaku pada diri aku. Ada satu cerita seram, bertajuk "Minyak Dagu" yang aku tulis beberapa hari lepas merupakan saat bermulanya gangguan-gangguan secara kecil-kecilan terhadap diri aku. Namun, semakin hari, gangguan-gangguan ini seakan-akan semakin menjadi-jadi, sehingga sampai satu tahap di mana aku perlu mendapatkan bantuan daripada ustaz.

Sememangnya, aku suka menulis kisah-kisah seram apabila malam mulai menjelma. Orang kata, aku nak dapatkan feel lah kononnya. Memang kebanyakkan idea dan ilham akan timbul apabila saat-saat kawasan di sekeliling rumahku mulai sunyi, langsung tiada bunyi yang boleh mengganggu tumpuan aku untuk menulis.

Sehari selepas aku menulis kisah tersebut, waktu asar sehingga maghrib, seperti kebiasaannya, aku berkebun di belakang rumahku. Banyaklah kerja yang aku buat, seperti mesin rumput, menanam pokok, dan kadangkala menyapu. Aku sedikit hairan apabila waktu maghrib kian menjelma, pasti aku dapat bau kemenyan dengan begitu kuat sekali.

Bau kemenyan yang semakin lama semakin kuat menyebabkan aku tidak berani berada di luar rumah pada waktu-waktu menghampiri maghrib ini, khususnya jam 6.45 petang dan ke atas. Memang segera aku tutup pintu dan bersedia untuk solat di surau yang terletak hanya 3 langkah daripada rumahku.

Bunyi laungan azan yang kuat sedikit sebanyak boleh melegakan hatiku, kerana aku percaya, syaitan dan iblis ini, mereka akan lintang pukang melarikan diri saat azan dilaungkan. Cumanya, pada satu hari tu, di mana hari yang tiada aktiviti di surau, tiada siapa melaungkan azan di situ.

Bukan aku tak mahu azan, tetapi surau tersebut dikunci, maklumlah, baru beberapa minggu lepas aku menghubungi polis apabila aku ternampak seorang mat pit menceroboh masuk. Kau orang bayangkan sahajalah, sampaikan tin biskut, gula pasir dan cawan pun dicuri.

Hari tersebut macam hari sebelum-sebelumnya juga. Jam 6.30, aku mula bau kemenyan. Dan bau itu semakin ketara. Aku ni boleh tahan penakut juga sebenarnya, Sekiranya aku rasakan ada sesuatu yang tak kena, aku akan segera masuk ke dalam rumah, dan mangunci pintu.

?

Aku melalui ruangan yang memisahkan dapur belakang rumahku ke bilik makan. Aku terperasan ada sesuatu yang pelik. Langau. Ya, berpuluh-puluh ekor langau mulai hinggap di dinding dapur rumahku. Aku sedikit hairan, kerana sepanjang aku hidup di rumah ini, tak pernah sekali pun aku nampak begitu banyak langau yang tiba-tiba sahaja hinggap di dinding.

Aku cuba cari juga, manalah tahu ada bangkai tikus, atau apa-apa bangkai, namun, aku tak jumpa apa-apa pun yang pelik. Aku segera mencapai Ridsect, dan mula menyembur kepada serangga-serangga berkenaan. Puluhan ekor mulai mati dan memenuhi ruang lantai dapur ku. Segera aku ambil penyapu dan penyodok untuk membersihkan tempat tersebut.

Apabila aku mulai lepak di atas sebuah sofa yang terletak di ruang tamu, telinga aku mulai mendengar bunyi nafas. Nafas seakan-akan bunyi anjing bernafas. Ala, kau orang tahulah kan, anjing, apabila lidahnya terjelir keluar, bunyi nafasnya amat kuat. Begitulah bunyinya yang menyebabkan aku bangkit dengan cepat sambil memerhatikan keadaan sekeliling.

Ah, sudah, dalam hatiku. Bukan apa, hari tu, aku baru berjumpa dengan seorang kawan aku, yang merupakan orang Muar juga. Dia ada beritahu, katanya, kalau dengar bunyi mengilai tu, maksudnya benda tu jauh, tetapi, kalau dengar bunyi nafas, itu maksudnya dia berada dekat dengan kita.

Aku menyesal pula bersembang kerana memori ini, saat aku masih lagi terkejut akibat bunyi nafas yang seolah-olah meniup di telingaku, mulai singgah satu per satu dalam kepalaku. Aku dengan pantas mengambil wudhu', dan mula membaca Yassin dan ayat kursi.

Sampai ke malam, aku masih lagi memikirkan, apakah gerangannya bunyi nafas tu. Tapi aku mula nak sedapkan hati, aku rasa mungkin itu angin yang mengalir daripada kipas meja yang betul-betul menghala ke mukaku. Aku menekan alat kawalan, membuka televisyen. Bukan apa, kalau ada bunyi-bunyi yang datang daripada televisyen ni, tak adalah aku nak cuak sangat.

Sampai ke jam 9.45 malam, perut aku terasa lapar. Memang begini biasanya, sebelum tidur, ada sahaja yang hendak dimakan. Aku ke dapur semula, aku lihat di dinding tu, tiada lagi langau-langau yang beterbangan atau menghinggap di kawasan tersebut. Aku mula masak air, membuat kopi O panas. Dan selesai air dimasak, aku ke dapur, sambil membawa cawan yang terisi dengan air kopi panas tadi.

Aku mula menghidupkan api gas. Niat hati nak menggoreng nugget Ayamas 5-6 ketul. Bolehlah aku makan. Ya, aku tahu, aku agak hipokrit. Apabila berjumpa pesakit, bukan main aku nasihat supaya tidak makan berdekatan waktu tidur, serta kurangkan makanan berlemak dan berminyak, tetapi aku sendiri tak buat pun. Aku membuka tingkap dapur jenis cermin lipat tu kan. Alah, kau tengok sahajalah gambar ni, kau dah nampak. Bukan apa, aku nakkan udara mengalir saat gas api tu semua terpasang.

?

Berketul-ketul nugget aku goreng, tetapi aku dikejutkan dengan bunyi cakaran di balik tingkap. Otak aku mulai proses, mungkin kucing yang mencerakau tingkap itu, dan cuba memanjat daripada luar. Aku membuka tingkap belah atas, dan tiba-tiba terjengul kepala seekor anjing di situ, bewarna coklat. Aku yang masih terkejut, kerana tingkap terebut amat tinggi, mana mungkin anjing boleh menjengulkan kepalanya di situ. Aku terus ambil cawan berisi air kopi panas tadi, segera aku simbah pada mukanya.

Tindakan aku itu lebih pada tindakan refleks. Terus dia berlari menjauhi tingkap tersebut sambil melolong-lolong bunyinya macam anjing kena hambat. Aku memberanikan diri membuka pintu dapur yang menghala ke belakang rumahku. Aku tahu walaupun aku membuka pintu kayu tersebut, masih ada satu lagi pintu besi bergril memisahkan ruang dapur dengan luar, yang mana merupakan kebun dan tempat tanaman-tanaman sayur serta di belakangnya hutan rimba.

?

Aku jengah sambil betul-betul mengamati persekitaran. Mata aku meliar mencari, di mana anjing tadi berlari. Tiba-tiba aku ternampak satu bayangan.

Tergamam aku apabila di balik cahaya bulan yang menerangi bahagian belakang rumah aku, memang aku nampak dengan mata aku sendiri, yang berlari itu adalah orang, tetapi kepalanya anjing! Demi Allah itulah yang aku nampak! Masalahnya, apabila dia lihat aku buka pintu, dia mula berlari semula ke arah aku.

Cepat-cepat aku menutup pintu kayu tadi, dan seterusnya aku tutup semua tingkap di dapur rumahku. Bunyi tapak kaki yang memijak daun kering menjadi semakin rancak. Aku terpaku, mendiamkan diri.

Tiba-tiba sahaja, 'dia' menyalak. Aku yang terkejut tanpa berfikir panjang terus melaungkan azan sekuat-kuat hatiku. Aku terdengar bunyi tapak kaki yang berlari menjauhi rumahku taktala 'dia' mendengar laungan azan. Serius, memang aku tak dapat tidur langsung malam tu.

Menjelang pagi, aku menghubungi ustaz yang aku kenali sebelum ini. Aku menceritakan kepadanya apa yang berlaku pada diri aku serta penampakkan manusia berkepala anjing itu. Ustaz aku terus berkata

"Kalau awak nak tahu, ni lah namanya manusia berkepala anjing. Dulu heboh bila orang nampak kelibat dia bawah jambatan Muar. Dan memang ada musim dia, sebab baru dua hari lepas, saya dapat panggilan yang sama, serupa macam kes awak", katanya.

"Kenapa boleh jadi macam tu ustaz", aku mulai bertanya, atas dasar ingin tahu.

"Ni sebab orang kata, kalau ada pengamal ilmu sihir ni, tak jadi. Maka berubah la bentuk dia jadi macam tu", jawabnya.

"Memang secara harfiahnya, dia akan jadi macam anjing betul, memburu dan selongkar tong sampah, dan bau-bau makanan yang kuat memang dia datang", sambungnya.

"Tapi apa kaitan dia dengan langau tu ustaz?", aku cuba bertanya kerana manalah tahu ada perkaitan antara langau dengan benda yang baru aku nampak malam tadi.

"Tiada apa-apa kaitan. Saya rasa, sebab langau tu tiba-tiba mengerumun dinding dapur rumah awak tu, mungkin kerana dia terbau sesuatu", katanya.

Aku mengangguk sahaja menerima jawapannya, sebab aku tahu, ustaz ini sangat sibuk orangnya, dah tentu dia tak boleh lama berada di rumahku, kerana aku sendiri pun dah tahu, tiada langsung bau bangkai mahupun apa-apa yang menyebabkan langau tersebut tiba-tiba datang. Tapi aku takut soalan-soalan sebegini membuatkan ustaz jengkel terhadapku. Ibarat macam aku masih tak berpuas hati pula dengan jawapan yang diberikan.

"Last soalan ni ustaz, macam mana saya nak pastikan makhluk tu tak datang lagi?", aku bertanya.

"Macam ni sebenarnya, dia bersifat dan berpelakuan seperti anjing, yang mana suka akan tempat sampah, baki-baki makanan basi, tulang-temulang dan lain-lain. Saya rasa, lepas ni, kalau ada sisa-sisa makanan, jangan buang di tempat sampah untuk membakar, sebaliknya, buang di tong sampah hadapan rumah tu, yang bertutup", jawabnya sebelum menyambung,

"Andai kata kalau dia datang lagi, lakukan perkara yang awak lakukan malam tadi, azan, dan baca ayat kursi. Makhluk ni memang sensitif dengan ayat-ayat sedemikian. Pedih dan panas rasa badannya bila terdengar.".

Aku kali ini benar-benar faham. Memang kawasan di belakang rumahku ini ada hutan, dan terletak jauh ke belakang, ada kawasan pembakaran sampah. Walaupun kebiasaanya, aku membuang sampah di hadapan rumah di dalam tong sampah yang telah disediakan oleh majlis perbandaran, namun, kadangkala aku masih juga membuang sampah di situ.

Agaknya, makhluk tersebut berkenan dan suka sungguh akan tempat sampah, maklumlah, ada banyak sisa makanan dan tulang-temulang yang hanya diletakkan di dalam plastik sahaja.

Saat itu juga aku tersedar, walaupun memang diketahui, kawasan belakang rumahku ini ada babi hutan yang sering berkeliaran, dan kadangkala, waktu malam jam 4-5 pagi, memang terdengar bunyi tapak kaki dan bunyi haiwan yang aku sangkakan cuma babi hutan sahaja, rupa-rupanya, hantu berkepala anjing pun turut sama berkeliaran di sekitar rumahku.

Wallahualam.

TAMAT

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience