“Kau ni dah kenapa manja sangat? Aku lempang sebijik karang baru tahu!” Mengamuk sakan aku bila Adib Rifqi a.k.a jiran aku menangis bila diusik oleh aku tadi.
Alah.. bukan besar sangat pun kes usik-mengusik aku ni. Aku just letak lipas dalam baju dia aje kot. Itu pun seekor je. Tak sangka pula aku dia menangis macam aku dah letak lipan sepuluh ekor kat dalam baju dia tu. Sejak aku rapat dengan dia waktu sekolah menengah dulu sampai lah sekarang, tak pernah nak ubah-ubah perangai cengeng dia itu. Umur tu dah 26 tahun tapi selalu menangis macam budak umur enam tahun.
“Wana jahat! Wana sengal! Uwaaa~” Ehh.. dia ni. Tengah nangis pun sempat lagi kutuk aku.
“Amboi mulut, banyak cantik kutuk aku ek. Kau nak aku tambah lagi kaum kerabat lipas ni dalam baju kau ke?” Aku sudah mencapai balang kaca yang dipenuhi dengan pelbagai kaum dan bangsa lipas itu.
“Aaaa!” Adib menjerit tiba-tiba. Terlepas sudah balang yang dipegang aku itu. Ya Allah, suara itu dah macam speaker. Terkejut aku. Tengah aku mengurut dada melayan rasa terkejut, jantung aku terkena serangan sekali lagi bila Adib menjerit-jerit untuk sekali lagi.
“Aaaa! I hate you, lipas! Shuh, shuh, get lost! Wuu wuu…” Terkial-kial Adib menghalau lipas-lipas yang merangkak keluar dari balang yang pecah itu.
Aku ketawa. Memang kelakar tengok Adib yang badan macam bapak orang melompat-lompat sambil terjerit-jerit dengan suara garaunya. Bukan itu aje, siap air mata keluar mencurah-curah macam air hujan dari matanya. Cengeng betul. Lipas aje kot yang merayap kat kaki dia, bukannya lintah ke apa.
“Wana!” Aku yang sedang bantai gelak terdiam bila mendengarkan suara seperti halilintar itu. Terus aku menelan liur.
“Kerja kau ni mengacau anak teruna orang aje kan? Dunia ni dah nak kiamat agaknya sampai anak dara yang kacau anak teruna macam kau ni. Sebelum ni, aku tengok anak teruna orang aje yang suka kacau anak dara orang. Kau ni pulak dah masuk special case ni!” Bebel mama sambil mengutil lengan aku bertubi-tubi.
“Sakit ma, Wana janji wana tak buat lagi. Janganlah ma, sakit!” Aku menjerit kesakitan. Mama terus-terusan mencubit aku sampai merah-merah tangan aku.
“Janji, janji! Lepas tu buat lagi. Sehari kau tak buli Adib ni tak boleh ke? Suka sangat tengok Adib menangis!”
“Mana ada. Orang usik aje, bukannya buli!”
“Sudah! Balik! Dari kau kacau anak teruna orang, baik kau tolong aku memasak kat dapur. Umur tu dah 24 tahun tapi kerja dapur satu pun kau tak boleh buat. Macam mana orang nak masuk meminang kau hah?” Mama mengheret aku pula kali ini. Dengan muka masam aku hanya menurut.
“Pfttt.. Hahaha..” Sempat telinga aku menangkap ketawa yang ditahan dari Adib. Tajam saja aku menjelingnya. Adib hanya buat muka toya seraya membentuk L di jarinya. Loser! Itu maksudnya.
Aku mengetap gigi. Sempat aku menunjukkan penumbuk padanya menandakan, kau akan kena nanti. Jaga-jaga!
*****
“Assalamualaikum..” Terdengar suara seseorang memberi salam. Terus aku melangkah menuju ke pintu rumah.
“Wa’alaikumussalam. Laa, kau rupanya budak cengeng.” Aku mengangkat kening berkali-kali seraya berpeluk tubuh memandang Adib Rifqi dari atas sampai bawah. Tak sangka mangsa aku datang sendiri ke tempat pemangsa macam aku.
“Ni, mama aku suruh hantarkan lauk.” Tangannya menghulurkan mangkuk tingkat kepadaku. Tanpa bertentang mata dengan aku, Adib Rifqi terus menunduk dengan muka merah gila.
“Dah kau kenapa menunduk macam sami bertapa aje ni?” Aku menyambut hulurannya. Aku nampak dia menggeleng laju. Tanpa menjawab soalan aku terus dia berpusing dan beredar.
“Hoi! Aku tak habis cakap lagi.” Aku mengejar adib dan menghalang laluannya. Adib yang terkejut terus membuang pandang wajahnya ke arah lain, langsung tak memandang aku. Pelik!
“Kau merajuk dengan aku ke? Buang tabiat nak merajuk dengan aku?” Tak pernah dia merajuk dengan aku walaupun aku sentiasa buli dia dengan kasar.
“Tak kuasa aku nak merajuk dengan kau.”
Share this novel