EPILOG

Romance Completed 42886

Beberapa tahun kemudian...

"Aryna, Sini sayang, jangan lari!" panggil Ariana kepada anak perempuan sulungnya. Naik pening dibuatnya apabila anak gadisnya itu lebih kurang buasnya sama dengan anak lelaki. Dia mencekak pinggang. Perutnya yang sedang memboyot mengandungkan anak ketiganya yang baru berusia enam bulan diusap.

"Tak nak mama, nak papa!" rengek Aryna Aulia yang berusia lima tahun pada tahun ini. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Ariana melepaskan keluhan kecil.

"Aryna, papa pergi kerja. Nanti papa balik, kita pergi taman sama-sama nak?" pujuk Ariana mengukir senyuman. Dia mengusap tangan kecil Arina.

"Yeay! Pergi taman." sorak anak kecil itu dengan nada teruja. Terpancar kegembiraan dari riak wajah Aryna. Ariana tersenyum gembira.

"Mama..." panggil Aryan, anak kedua Ariana yang usianya baru menginjak usianya dua tahun pada hari ini. Ariana menoleh ingin mendapatkan anaknya.

"Ya sayang, kenapa ni hmmm?" tanya Ariana lembut. Dia melabuhkan punggung di sofa ruang tamu. Kedua-dua anaknya diletakkan di sisinya.

"Ryan yindu mama." ucap Aryan yang masih pelat. Aryna menutup mulut menahan tawa mendengar ayat yang keluar dari mulut adik lelakinya. Ariana tersenyum dalam diam.

"Ryan, rindulah bukan yindu." tegur Arina sebelum melepaskan tawa kecil. Aryan mula mencebik apabila dirinya diketawakan. Mulutnya dimuncungkan.

"Mama..." panggil Aryan mula menangis. Dia menudingkan jari pada Aryna tanda kakaknya merupakan punca dia menangis. Tak lama kemudian, tubuh kecil Aryan dipeluk. Wajah anaknya itu dicium beberapa kali oleh Aryna. Ariana mengukir senyuman melihat hubungan adik beradik itu yang semakin rapat.

"Ryan, kakak minta maaf. Janganlah nangis. Nanti mama dengan papa nak buat kita pergi taman, kan mama?" pujuk Aryna petah berkata kepada adiknya. Ariana mengangguk laju.

"Ryan, nak pergi taman kan? Makan aiskrim, nak?" tanya Ariana sambil memegang kedua-dua belah pipi tembam milik Aryan. Gebu sangat membuatkan dia geram kadang-kadang. Aryan tersengih menampakkan lesung pipitnya.

"Nak!" laung Aryan dengan teruja. Tangan kecilnya diletakkan pada perut Ariana. Telinganya didekatkan pada permukaan perut ibunya.

"Mama, baby!" ucap Aryan apabila terasa ada pergerakan pada tangannya apabila diletakkan pada perut Ariana. Ariana mengangguk kecil. Dia memegang tangan kecil Aryan pada perutnya. Aryan membesarkan mata.

"Wah, mama baby gerak!" ucap Aryna pula, dia meniru tindakan adik lelakinya, Aryan tadi. Dia menepuk tangan dengan gembira. Adik beradik itu saling berpandangan sebelum tersenyum menunjukkan sebaris gigi yang putih. Ariana menghadiahkan anak-anaknya ciuman hangat di pipi masing-masing.

"Assalamualaikum, papa dah balik!" tegur satu suara membuatkan Aryna dan Aryan berlari ke arah pintu rumah. Adi Ashraf membongkokkan badan, tangannya didepakan bersedia untuk menyambut anak-anaknya ke dalam pelukan. Ariana turut bingkas berdiri.

"Papa!" jerit mereka berdua serentak dengan penuh gembira. Berebut berlari ke dalam pelukan Adi Ashraf. Adi Ashraf segera menarik mereka ke dalam pelukan yang erat. Kedengaran gelak tawa Aryna dan Aryan memenuhi ruang tamu mereka.

Ariana menyilangkan tangan ke dada sambil memandang ke arah suaminya. Wajahnya melakar senyuman melihat Adi Ashraf bersama anak-anak mereka.

"Rindu papa tak?" tanya Adi Ashraf lembut pada kedua-dua anaknya. Rambut Aryna diusap lembut. Manakala, pipi Aryan dicubit perlahan. Dia tersenyum kecil melihat wajah Aryan yang lebih menyerupai rupa paras isterinya Ariana. Manakala, Arina yang mewarisi wajahnya.

"Mestilah rindu!" jawab mereka berdua serentak. Mereka kembali memeluk tubuh Adi Ashraf. Kadang-kadang dia dengan Ariana terfikir sekiranya kedua-dua anak mereka adalah kembar kerana sikap mereka yang hampir sama.

"Papa pun rindu Ryan dengan Aryna. Sini bagi papa kiss." balas Adi Ashraf sambil menunjukkan pipinya. Dia tersenyum lebar. Matanya dipejamkan menunggu ciuman daripada mereka berdua.

Pantas sahaja Aryna dan Aryan menghadiahkan ciuman pada pipi Adi Ashraf dengan senang hati. Mereka berdua berbalas pandangan sebelum menepuk tangan dengan gembira. Adi Ashraf menghela nafas lega. Hilang segala penat lelahnya selepas seharian bekerja. Matanya mencari figura Ariana.

"Mama tak nak kiss papa ke hmmm?" tanya Adi Ashraf dengan keningnya diangkat sebelah. Dia menurunkan Aryna dan Aryan selepas menghadiahkan ciuman pada dahi mereka berdua.

"Aryna, Ryan nak jumpa Pak Su tak?" tanya Adi Ashraf separuh melutut dihadapan anaknya mahu menyamai ketinggian mereka. Laju sahaja Arina dan Aryan mengangguk.

"Kita boleh jumpa Adam ke?" tanya Aryna teruja ingin berjumpa anak sulung Akid Ahnaf yang muda setahun darinya. Sebaik nama Adam disebut, Aryan turut berasa teruja kerana ingin bermain dengan sepupunya itu.

Adi Ashraf mengalihkan pandangan kepada Ariana terlebih dahulu dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Ariana mengerutkan dahi tanda tidak faham. Adi Ashraf menyembunyikan senyuman.

"Haah nanti Aryna dengan Aryan boleh main dengan Adam. Nak? Nak papa dengan mama bawakkan?" tanya Adi Ashraf sekali lagi.

"Nak, nak, nak! Jom la papa." jawab Aryan sudah tidak sabar. Dia menarik baju Adi Ashraf ingin menuju ke luar rumah. Aryna pula menarik tangan Adi Ashraf. Adi Ashraf mengeleng kepala.

"Sayang, bagilah papa rehat dulu. Aryna dengan Aryan baik kan? Nak jumpa Adam tak? Kalau nak, jom mandi dulu kita siap-siap sementara papa rehat. Okay?" pujuk Ariana, dia mengambil Aryan dan Aryna daripada suaminya. Ingin membawa mereka berdua ke dalam bilik tidur untuk bersiap-siap. Tetapi tangannya ditahan oleh Adi Ashraf. Ariana menoleh.

"Aryna, bawak Aryan dalam bilik dulu, boleh sayang? Nanti mama datang." pesan Ariana kepada anak perempuannya dengan lembut. Aryna mengangguk tanda faham tanpa banyak kata. Dia menayang sebaris giginya yang putih. Tangan kecil adik lelakinya dipimpin dibawa ke dalam bilik.

"Okay, mama. Tapi jangan lama-lama tau." balas Aryna sambil memimpin tangan Aryan. Ariana mengangguk kecil. Dia melemparkan senyuman. Badannya menoleh ke arah suaminga semula. Adi Ashraf tersengih kerang.

"What are you doing, Adi Ashraf? Kenapa tak bagitahu awal-awal nak pergi rumah Akid hmmm?" tanya Ariana dengan tangan disilangkan ke dada. Matanya dipincingkan merenung ke dalam anak mata Adi Ashraf.

"Sebelum tu, mana kiss abang hmmm? Sini cepat." balas Adi Ashraf selamba. Langsung tidak takut kepada Ariana. Dia takut bini? Sorry, dia sayang bukan takut.

Ariana menjulingkan mata ke atas. Pantas saja tangannya menarik telinga suaminya. Matanya sempat menjeling bilik tidur anak mereka. Risau sekiranya dia ditangkap membuli Adi Ashraf di hadapan anak-anak.

Chup!

Pipi Ariana dicium sekilas oleh Adi Ashraf sebelum dia meringis kesakitan. Mengambil kesempatan itu apabila melihat isterinya leka ingin memastikan anak-anak masih berada di dalam bilik. Dia masih berani tersengih di dalam kesakitan.

"Eee orang cakap ni cuba jangan main-main." marah Ariana memegang pipinya yang dicium oleh Adi Ashraf. Tangannya menumbuk lembut lengan suaminya.

"Hmmm rindunya." ucap Adi Ashraf memeluk isterinya dengan erat secara tiba-tiba. Dia menyorokkan wajah pada ceruk leher Ariana. Perut Ariana diusap dengan penuh kasih.

"Baby sihat ke? Papa tak sabar nak jumpa baby." ucap Adi Ashraf menundukkan badan untuk mencium perut Ariana. Itulah rutin hariannya kini. Menyapa anaknya pada setiap hari.

Ariana memasamkan wajah apabila tak dapat jawapan yang dimahukan. Nak marah suaminya tak sampai hati apabila suaminya itu menunjukkan tidak lain dan tidak bukan daripada kasih sayang yang secukupnya kepada mereka sekeluarga.

"Abang, jawablah soalan Riana ni. Kenapa nak pergi rumah Akid? Mai dah nak bersalin ke hah?" tanya Ariana ingin tahu. Teringat kepada adik iparnya Maisarah yang kini mengandungkan anak kedua.

Adi Ashraf mengeleng kepala tanda menafikan. Dia tersenyun penuh makna. Menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan Ariana dalam diam.

"Adalah. Secret. Pergi cepat siapkan Arina dengan Ryan. Sian anak-anak abang." jawab Adi Ashraf sambil tersenyum lebar. Dia menolak tubuh isterinya ke dalam bilik. Ariana mendengus geram tanda protes.

"Anak-anak sayang jugaklah!" omel Ariana geram. Dia memberikan jelingan tajam kepada suaminya. Seolah memberikan amaran bahwa cepat atau lambat sahaja dia akan dapat mengetahui apa yang disorokkan oleh suaminya.

Adi Ashraf mengangkat bahu dengan bersahaja. Tanda langsung tidak mengambil kisah dengan amaran yang cuba diberikan oleh Ariana. Matanya dikenyitkan mahu mengusik isterinya lebih lagi. Otaknya ligat mengatur strategi yang seterusnya. Dia melangkah pergi untuk membersihkan diri dengan senyuman di bibir.

"Tak sangka sayang pelupa macam ni."

••???••?????••???•

"Pak Su!" laung Aryan dan Aryna penuh teruja. Mereka berdua meluru ke arah Akid Ahnaf. Akid Ahnaf menyambut kedatangan anak buahnya ke dalam pelukan dengan kegembiraan menghiasi wajahnya.

"Oh, anak-anak buah kesayangan Pak Su! Rindunya..." ucap Akid Ahnaf dengan gembira. Tubuh kecil Aryan dan Aryna dipeluk erat sebelum diserang dengan geletekan daripada Akid Ahnaf. Terkekek-kekek Aryan dan Aryna ketawa. Gembira dapat berjumpa Pak Su mereka semula.

"Pak Su hensemlah hari ni." puji Aryna memegang wajah Akid Ahnaf. Lantas pipinya dicium oleh Aryna. Akid Ahnaf mengangkat kening kepada abangnya, Adi Ashraf. Sengaja mahu tunjuk kepada lelaki itu.

"Mana ada hari ni je Pak Su hensem. Hari-hari tau. Kalau tak hensem macam mana Mak Su nak sayang Pak Su." balas Akid Ahnaf penuh bangga. Kembang semangkuk hidungnya apabila termakan dengan pujian Aryna. Adi Ashraf menjulingkan mata ke atas. Menyampah dengan sikap adik lelakinya itu.

"Tapi papa ensem agi. Kan kakak?" celah Aryan tiba-tiba. Ariana yang mendengar perbualan anaknya menahan tawa. Akid Ahnaf mencebik. Sudah tahu dia kalah apabila dibandingkan dengan Adi Ashraf. Nampak sangat Aryan memihak kepada bapanya.

"Yelah, papa Ryan pun hensem macam Pak Su kan Aryna?" ucap Akid Ahnaf tak mahu kalah. Aryna mengangguk laju. Adi Ashraf hanya mampu mengelengkan kepala. Aryan meniru tindakan bapanya membuatkan Ariana melepaskan tawa halus. Akid Ahnaf mengeluh tanda putus asa. Alahai budak-budak.

"Nak jumpa Adam tak dengan Mak Su?" ucap Akid Ahnaf sambil mendukung kedua-dua anak buahnya. Aryan dan Aryna saling berpandangan sebelum mengangguk. Mereka mengukir senyuman lebar.

"Nak!" balas mereka serentak. Akid Ahnaf memandang Adi Ashraf ingin meminta kebenaran. Melihat sahaja abangnya mengangguk tanda mengiyakan, laju sahaja dia membawa lari anak buahnya. Ariana mengukir senyuman.

"Jom!"

Adi Ashraf dan Ariana berjalan beriringan. Tangan Ariana melilit kemas lengan milik suaminya dari tepi. Manakala, tangan Adi Ashraf melingkar di pinggang Ariana supaya berada rapat dengan tubuhnya. Masing-masing mempunyai senyuman di wajah.

"Izz..." tegur Adi Ashraf mesra apabila terjumpa dengan Izz Faris yang turut hadir di majlis hari jadi anak buahnya. Kelihatan seorang wanita cantik berada di sisi sahabatnya itu.

"Eh Adi. Wah dah jadi geng bapak bapak dah sekarang dengan Akid. Mana nak lepak dengan aku dah." usik Izz Faris sebelum memeluk tubuh Adi Ashraf sekilas. Adi Ashraf melepaskan tawa, mengeleng kepala.

"Halah kau. Cakap macam tu tapi dah ada kawan baru. Ingat aku tak tahu kau dengan Alif dah sekepala sekarang?" jawab Adi Ashraf kembali. Dia melebarkan senyuman. Gembira hatinya apabila penyiasat peribadinya dahulu, Alif Zafran sudah menjadi teman rapatnya.

Izz Faris mengangguk tanda mengiyakan dengan senyuman tak lekang dari wajahnya. Memang benar dia sudah berkawan lama dengan Alif sejak hari kejadian. Memandangkan lelaki itu masih bujang seperti dirinya, mereka berdua selalu lepak bersama.

"Kau macam mana sekarang?" tanya Adi Ashraf ingin tahu keadaan sahabatnya itu. Dalam masa yang sama, ingin mengetahui siapakah sebenarnya wanita yang dibawa oleh Izz Faris juga.

Ariana hanya diam tidak mahu menganggu perbualan suaminya. Dia saling membalas senyuman kepada wanita yang berada di sebelah Izz Faris. Rasa tertanya-tanya juga siapa wanita yang tidak pernah dia nampak selama ini tetapi dia diamkan sahaja.

"Biasa je. Alhamdulilah. Tapi mungkin tak lama lagi juga akan tamatkan zaman bujang terlajak laris aku tu. Kenalkan tunang aku, Adira Najlaa" ucap Izz Faris membawa seribu makna. Dia sempat mengerling ke arah tunangnya yang berada di sebelahnya bersama senyuman.

"Wah, tahniah Izz! Kenapa tak cakap awal-awal?" ucap Adi Ashraf penuh bangga. Dia memeluk tubuh Izz Faris sekali lagi. Belakang badan lelaki itu ditepuk beberapa kali. Izz Faris membalas pelukan Adi Ashraf. Gembira mendapat reaksi positif daripada lelaki itu.

"Tahniah awaknya. Saya Ariana, isteri Adi Ashraf." tegur Ariana mesra kepada tunang Izz Faris yang bernama Adira Najlaa. Mahu gadis itu tidak berasa kekok sepanjang berada di situ. Adira tersenyum lega mempunyai teman baru sebaik Ariana.

Adi Ashraf meleraikan pelukan. Dia mengerling jam tangannya seketika ingin memeriksa sesuatu. Sebaik menyedari waktunya sudah tiba, dia meminta diri kepada Izz Faris.

"Nanti kita sembang lagi. Takpun lepak sama lagipun dah lama kan?" ucap Adi Ashraf. Izz Faris mengangguk tanda faham setuju dengan cadangan sahabatnya. Mereka berpamitan.

"Sayang, jom." ajak Adi Ashraf memegang tangan Ariana. Menarik isterinya keluar dari rumah kembali ke kereta mereka semula.  Sebelum itu, dia sempat berjumpa dengan adiknya, Akid Ahnaf ingin meminta sesuatu.

"Akid, aku nak keluar kejap, jagakan Aryan dengan Ariana boleh?" tanya Adi Ashraf. Akid membuat riak wajah tidak puas hati. Ingat rumah dia tempat mengasuh budak-budak ke?

"Kau nak pergi mana?" tanya Akid ingin tahu. Dia melihat anaknya, Adam Irsyad bermain dengan anak-anak buahnya dari tempat mereka berdiri. Sekadar ingin tahu hala tuju abangnya itu. Bukan boleh percaya sangat.

"Ish, kau ni. Kan aku dah cakap aku nak... Kau faham faham la kan?" jawab Adi Ashraf sambil membuat isyarat mata kepada adiknya. Mahu mengingatkan Akid tentang rancangan pada hari ini yang sudah dirancang buat masa yang lama.

Akid berfikir sebentar untuk seketika. Cuba mengingat kembali sesuatu yang penting. Dia menepuk dahi apabila sudah teringat. Adi Ashraf menghela nafas lega. Nasib baik Akid Ahnaf teringat semula.

"Ha okay. Kau tunggu apa lagi dekat sini? Pergilah cepat!" gesa Akid Ahnaf, tak mahu Adi Ashraf membuang masa lagi. Tubuh abangnya ditolak kuat supaya bergerak. Dia mencari figura kakak iparnya Ariana.

"Ha tu Ariana. Pergi cepatlah, abang! Jangan tercegat dekat sini!" marah Akid Ahnaf beria-ria. Geram apabila abangnya yang lambat bertindak. Adi Ashraf mempercepatkan langkah.

Kini, mereka berdua di dalam kereta. Ariana yang berada di sebelah penuh dengan tanda tanya. Dia langsung tidak mengetahui apa-apa apabila tubuhnya ditarik oleh suaminya ke dalam kereta. Malah, apa yang membuatkan dia lebih curiga adalah apabila sehelai kain hitam diikat pada matanya untuk menghalang penglihatannya untuk seketika.

"Abang, kita nak pergi mana ni? Riana tak sempat makan kek tahu tak? Nak jumpa Tok Wan, mama, papa, umi, abah pun tak sempat. Ha kenapa tak bawak Aryan dengan Aryna sekali..." rungut Ariana tanpa henti dari tadi mahukan jawapan. Siapa saja tak merungut apabila diculik oleh suami sendiri tanpa makanan?

"Shhh, sayang. Nanti abang belikan kek banyak-banyak untuk Riana. Lepas tu kita jumpa semua orang yang Riana nak jumpa jugak okay? Now, sit and be patient okay for me? " ucap Adi Ashraf cuba menenangkan isterinya. Tak mahu tertekan kerana akan menjejaskan kesihatan bayi mereka.

Ariana mencebik tanda tak puas hati apabila Adi Ashraf masih mahu berahsia. Mahu saja dia memaksa suaminya membuka mulut tetapi disabarkan sahaja. Dia menyilangkan tangan ke dada. Dia mengeluh dengan kuat sengaja membiarkan Adi Ashraf menyedari bahwa dia mahu menunjukkan protes. Adi Ashraf tersenyum nipis.

Dia berharap semuanya akan berjalan lancar.

••???••?????••???•

"Dah boleh bukak ke?" tanya Ariana ingin tahu. Mereka berdua sudah keluar dari kereta. Dia dipimpin oleh Adi Ashraf ke sebuah tempat yang dia sendiri tak tahu dia berada sekarang. Tangannya mengenggam erat tangan suaminya tak mahu melepaskan.

Pandangannya yang gelap gelita membuatkan dia berasa takut kepada persekitaran sekeliling yang terasa asing baginya. Adi Ashraf menarik tangan isterinya untuk mengambil selangkah lagi ke hadapan sebelum tiba di destinasi yang dimahukan.

"No, jangan bukak. Jangan intai jangan tipu. Sikit je lagi sayang." ucap Adi Ashraf memastikan Ariana tidak nampak lagi kejutannya untuk isterinya itu. Perasaan gemuruh mula bertandang di dalam hati Adi Ashraf.

"Mana ada Riana tipu. Ha dah sampai ke?" tanya Ariana sekali lagi tidak sabar. Dia menghentikan langkah apabila Adi Ashraf melakukan perkara yang sama. Kini Adi Ashraf berdiri di belakang Ariana. Tangannya sendiri menutup kedua-dua belah mata isterinya. Kain itu telah dibuka dengan mata Ariana yang masih tertutup.

"Ready, love?" bisik Adi Ashraf perlahan pada telinga Ariana. Hembusan nafas suaminya terasa di wajahnya kerana kedudukan mereka yang rapat. Ariana mengangguk kecil tanda sudah bersedia. Wajahnya ditundukkan sedikit.

Adi Ashraf menarik nafas panjang sebaik mendengar jawapan Ariana. Perlahan-perlahan, dia mengalihkan tangannya daripada mata isterinya. Kini matanya pula dipejamkan, tak bersedia melihat penerimaan Ariana.

Ariana membuka matanya. Wajahnya diangkat. Pandangannya yang gelap bertukar serta merta.  Berpusu-pusu cahaya masuk ke dalam kornea matanya menyebabkan pandangan dia kabur seketika sebelum kembali seperti biasa. Dia tersentak. Nafasnya ditarik. Anak matanya bergerak ke sekeliling tidak percaya dengan apa yang dilihat oleh mata kasarnya.

Kelihatan dihadapannya kini sebuah gazebo moden yang sungguh indah ukirannya bersama pemandangan hijau yang menyejukkan mata memandang. Pokok bunga yang ditanam menghiasi dan melengkapi lagi laman itu membuatkan ianya kelihatan sempurna.

Ariana menutup mulut menggunakan tangan. Suasana itu membuatkan dia teringat kepada memorinya bersama Adi Ashraf di Langkawi semasa bulan madu mereka di sebuah pondok lama di laman rumah Tok Wan. Dia memandang Adi Ashraf dengan mata berkaca, terharu dengan kejutan suaminya itu.

"Happy anniversary sayang. Surprise?" ucap Adi Ashraf perlahan dengan perasaan bahagia. Ariana mengukir senyuman lebar. Dia segera memeluk tubuh suaminya. Dirinya langsung tidak teringat hari ulang tahun perkahwinan mereka pada hari ini.

"Abang sorry, Riana lupa." ucap Ariana penuh serba salah sambil memeluk erat tubuh suaminya itu. Adi Ashraf membalas pelukan isterinya.

"No, don't say sorry to me. Bukan salah sayang. Abang tahu sayang penat kan? Nak kena jaga abang, jaga Aryan dengan Aryna, mengandungkan anak abang. Jadi semua ni hanya sebagai tanda penghargaan abang kepada sayang. Sikit sangat apa abang bagi ni nak dibandingkan dengan apa yang sayang dah buat untuk abang. So, thanks for everything my love." ucap Adi Ashraf meluahkan isi hatinya. Dia menyatukan dahi mereka berdua. Wajah Ariana diusap penuh kasih. Ariana tersenyum bahagia.

"Abang, ni semua tanggungjawab Riana sebagai isteri untuk abang. Riana yang kena berterima kasih untuk abang tahu tak? Terima kasih sebab jadi suami Riana untuk beberapa tahun ni. Terima kasih sebab jadi papa terbaik untuk anak-anak kita. Akhir sekali, terima kasih sebab sayang Ariana sampai ke akhirnya." balas Ariana mencium tangan Adi Ashraf. Adi Ashraf tersenyum lebar.

"Even sayang cakap macam tu, abang still nak berterima kasih dekat sayang. Thanks sebab meminang abang dulu masa pertemuan kali pertama kita berdua. Kalau bukan sebab sayang, mungkin abang masih tak akan kahwin sampai ke hari ini. Atau abang takkan sebahagia sekarang bila sayang ada di sisi abang. So with that, i love you so much Ariana Atilia. Thanks for existing and be here for the rest of my life. I love you, sayang." luah Adi Ashraf sekian kalinya bersama senyuman bahagia menghiasi wajahnya. Matanya bersinar-sinar dengan kasih sayang yang tidak terhingga.

"Suka buat orang nangis. I love you more abang. Remember that." balas Ariana tersenyum lebar. Air mata kegembiraanya diseka oleh Adi Ashraf. Dia memejam mata menerima ciuman hangat daripada suaminya di dahi.

"Welcome to our little sweet heaven." bisik Adi Ashraf mengakhiri bicaranya. Tubuh isterinya dipeluk dari belakang. Mereka hanyut melayani perasaan bahgia. Adi Ashraf mengusap perut isterinya menunggu ketibaan ahli keluarga baharu mereka dalam tiga bulan lagi.

Siapa sangka kehilangan orang yang tersayang membawa mereka bertemu. Langit yang disangka mendung tanpa matahari akhirnya menunjukkan pelangi yang kembali mewarnai. Seperti kehadiran Ariana dalam hidup Adi Ashraf dan kehadiran Adi Ashraf dalam hidup Ariana.

Kisah cinta mereka yang penuh dengan duka cita akhirnya menerima penamat bahgia sehingga ke akhirnya.

The end

Thanks for reading! ?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience