Bab 2

Romance Series 4350

“Yana, kau ikut aku ya?” Khairul tiba-tiba membuka kembali topik pelawaannya tadi.

“Tak naklah. Aku dah fikir tadi nak balik rumah je kejap lagi. Tengok apa-apa movie yang best ke..” balasku menyuarakan rancanganku.

“Tengok movie? Ha, kau cakap pasal movie ni, aku ada beli satu CD baru minggu lepas. Movie ni best sangat. Aku nak bagi kau pinjam. Memang best cerita dia, Yana.” Beriya-iya Khairul meyakinkanku.

“Iya? Movie apa tu?” Terus aku menyoalnya.

“Cerita dia adalah gaduh-gaduh sikit tapi memang bestlah bagi aku. Sebab hero dia nak membanteras jenayah dadah dalam cerita ni.” Khairul menerangkan sinopsis filem tersebut.

“Movie ni tak ada yang bukan-bukan, ya? Mesti cerita orang putih, kan?” Tekaku.

“Jangan risaulah. Takkanlah aku nak bagi kau tengok cerita bukan-bukan pula. Ni pasal gaduh-gaduh biasa sajalah. Tak ada gaduh bukan-bukan. Mengarutlah kau ni. Memanglah cerita orang putih tapi ishh.. ada pula kau fikir sampai macam tu. Jangan risaulah!” Khairul bersuara penuh yakin sambil menyedut minumannya.

Tiba-tiba datang seorang pelayan membawa segelas minuman. Bulat terus kedua-dua biji mataku apabila melihat air minumanku telah tiba. Yeay, apple juice aku dah sampai!

“Terima kasih,” ucap Khairul penuh sopan sambil tersenyum ke arah pelayan itu sebaik sahaja gelas minuman diletakkan ke atas meja. Kemudian pelayan tersebut terus pergi.

“Kejap lagi aku hantar kau balik tapi sebelum tu singgah dulu rumah aku, ambil CD.” Khairul tersenyum ke arahku yang sedang terkumat-kamit membaca doa sebelum aku menghirup minumanku.

“Okay, bolehlah. Eh, dah pukul berapa ni? Kau nak pergi skate park pukul berapa?” Soalku kepadanya sambil melihat jam ditanganku. Sudah hampir jam empat petang kini.

Aku menghirup lagi minumanku. Oh, terasa nyaman dan indahnya duniaku kini apabila aku dapat menikmati jus kegemaranku ini.

“Tak apa. Lepaklah dulu. Air kau pun baru sampai, kan? Aku start pukul lima pun okay kejap lagi. Kau tu pun tak puas lagi menikmati air kau tu, kan? Nampak enjoy sangat tu.” Khairul terus ketawa. Dia ni suka sangat kenakan aku!

“Yelah.” Malas aku melayan gurauannya yang semakin bertali arus. Aku mengacau-ngacau minumanku dengan penyedut minuman.

“Yana, sebenarnya kenapa kau tak minat nak ikut aku? Kau tak suka skate ke? Atau sebenarnya kau suka orang yang macam Daniel tadi. Nampak kacak dan bergaya pakai kemeja formal. Macam tu ke lelaki yang kau suka?” Khairul ketawa kecil.
Aduh, Daniel lagi!

“Khairul, aku kenal dia pun baru saja sekejap tadi takkanlah tiba-tiba aku nak suka dekat dia pula.” Aku mempertahankan diriku.

“Alah, dalam dunia ni macam-macam istilah ada, Yana. Cinta pandang pertama contohnya.” Khairul ketawa sekali lagi. Ah, kesitu pula perginya dia ni!

“Hello, entah-entah dia dah ada tunang agaknya. Kau ni saja nak kenakan aku.” Aku mengeluh kecil.

“Alah, aku gurau saja. Maaf, ya. Tapi kalau kau ada apa-apa nak tanya pasal dia, jangan malu-malu. Tanya saja aku.” Khairul tersenyum lebar ke arahku. Dia menghirup lagi minumannya. Tampak santai saja perilakunya.

“Emm, sebenarnya Daniel tu kerja apa? Sebab dia nampak macam serius saja.” Aku menyoal. Memang agak banyak soalan yang bermain difikiranku kini tentang Daniel.

“Ha! Aku dah agak dah! Mesti kau nak tahu pasal dia, kan?” Khairul ketawa kuat kini.
Hai Khairul ni, murah sungguh dengan tawa.

“Eh, aku tanya jelah. Bukan ada apa-apa. Tak salah kan aku nak tahu sikit-sikit pasal dia.” Aku berlagak seperti tiada apa-apa sambil menyedut minumanku yang sudah tinggal separuh itu.

“Hmm, betullah tu. Tak salah kau nak tahu pasal dia. Dia tu kerja dekat syarikat ayah dia yakni pakcik akulah. Syarikat ayah dia tu dekat KL tapi aku tak pastilah macamana dia boleh tersesat sampai ke Selayang ni. Dan sememangnya dia tu jenis yang serius saja dua puluh empat jam tapi dia baik orangnya. Don’t worry be happy if you want to be his friend or …girlfriend.” Khairul angkat kening.

“Girlfriend? Kau ni demam agaknya tak habis-habis nak usik pasal dia.” Marahku. Khairul terus ketawa.

“Aku sihat je hari ni tapi tak tahulah kalau kau yang akan demam malam ni. Sebab asyik teringat kat Daniel,” Khairul terus saja galak dengan dengan sisa-sisa tawanya. Aku mengerutkan dahiku.

“Okay, okay kita tukar topik lain. Sebenarnya kenapa kau tak nak join aku petang ni? Kau tak selesa dengan kawan-kawan aku ke?” Khairul kembali berbicara dengan nada biasa denganku. Aku menghela nafas berat.

“Bukan aku tak selesa dengan kawan-kawan kau, cuma…” bicaraku terhenti disitu. Aku menunduk merenung gelas minumanku.

“Kenapa?” Khairul pantas menyoal. Aku menghela nafas lagi.

“Dulu aku pernah terkena deck tu dekat kepala aku. Sakit tau!” Aku membuka cerita.
Dan memang menyakitkan bila aku ingat kembali peristiwa itu.

“Iya ke? Kau dulu pernah main skateboard? Tak tahu pula aku! Sebab selalunya kau bagitahu kau tahu pasal skateboard sebab baca majalah dan baca dekat internet saja. Jadi, bolehlah kau ikut petang ni!”Khairul mula teruja dengan ceritaku.

“Bukanlah. Aku tak pernah main skateboard. Main roller-blade sikit-sikit adalah. Tapi tak adalah bagus sangat, biasa-biasa je.” Aku menerangkan lebih lanjut. Khairul tampak sangat berminat mendengar ceritaku. Dia memberi sepenuh perhatian kini.

“Macam ni, dulu aku pernahlah lalu kat satu taman ni. Tengah aku jalan-jalan tu, tiba-tiba kepala aku terkena deck. Entah datang dari mana.." Aku terus bercerita. Khairul nampak tercengang.

“Ha??! Lepas tu? Apa jadi?” Khairul semakin berminat.

“Aku jatuhlah. Kuat jugalah tujahan deck tu. Pening sangat kepala aku masa tu sebab masa terkena tu aku terus terduduk. Rasa nak pitam pun ada. Masa tu aku dengar suara lelaki dekat-dekat situ. Aku cubalah nak tengok siapa tapi tak dapat sebab mata aku berpinar-pinar masa tu.” Ceritaku lagi.

“Kesiannya kau! Siapa lelaki tu?” Khairul menyoal lagi.

“Entah. Aku tak tahu siapa. Tapi yang aku bengang sangat aku terdengar suara orang ketawa ramai-ramai.” Aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Memang rasa kesal bertubi-tubi datang kepadaku ketika itu. Kenapa mereka perlu ketawakan aku? Sakit tahu tak kepala aku masa tu!

“Diorang gelakkan kau?” Khairul nampak terkejut.

“Yelah, mungkin bagi diaorang benda tu kelakar sangat. Aku cuba bangun lepas tu nampak seorang lelaki ni tengah pegang satu deck tengah berjalan pergi ke kereta warna merah. Dia belek-belek deck lepas tu terus masuk dalam kereta tu. Dia pergi macam tu je!” Rasa marahku terus muncul sebaik aku mengingati semula tingkahlaku lelaki itu.

“Aku rasa marah sangat masa tu tapi apa aku boleh buat? Sabar jelah. Bila aku dah boleh bangun, terus aku ambil beg aku yang jatuh sekali masa tu dan blah dari tu.” Aku menghirup minumanku seolah cuba menyejukkan rasa hati yang tiba-tiba terasa ‘panas’.
Khairul didepanku memandang kearahku dengan mulut ternganga.

“Kau kenapa?”Soalku apabila melihatnya begitu.

“Habis, kepala kau okay ke tak?” Soal Khairul seolah risau.

“Hmm, bagus soalan kau! Aku sakit kepala selama dua hari lepas tu. Sakit sangat! Mula-mula balik tu aku tengok memang ada lebam sikit. Aku tuam dengan ais tak lega juga jadi aku makan pil tahan sakit. Tapi tak jalan juga, aku tak tahan sangat terus aku pergi klinik buat check-up. Doktor bagi ubat tahan sakit saja dan bagitahu akan pulih dalam sehari dua tapi kau tau tak, dua minggu baru kepala aku baik!”

Sesungguhnya aku memang menanggung sengsara ketika itu. Bayangkan betapa aku menahan sakit setiap masa, berdenyut-denyut saja kepala aku setiap hari masa tu.

“Ishh, iye ke? Kesiannya kau Yana..” Khairul menggeleng-gelengkan kepalanya sambil berdesis seperti merasakan kesakitanku itu.

“Lagi satu aku tak puas hatilah kenapa diaorang tak minta maaf pun kat aku masa tu. Takkanlah diaorang tak nampak aku dekat situ? Kalau tak nampak aku, habis diaorang gelakkan apa kat situ? Ishh, entahlah Khairul. Kenapa malang sangat nasib aku masa tu.” Rasa kesalku masih bersisa lagi.

“Ni kira kau fobialah, ya? Tapi aku memang simpatilah dekat kau. Macam boleh masuk rancangan ‘Bersamamu’ ni. Kesian..” Sempat pula Khairul bergurau denganku. Dia tersengih apabila aku menjeling kearahnya.

“Ye, memang aku fobia pun nak ikut kau. Nanti kalau terkena lagi macam mana? Biul terus aku agaknya.” Aku menjegilkan mataku kepadanya sambil menuding jari ke kepalaku. Khairul terus ketawa. Aduh, wajahnya benar-benar comel apabila dia ketawa begitu.

“Eh, takkanlah terkena lagi. Aku jaga kau baik-baik. Aku bukan main skateboard ganas sangat sampai tercampak deck jauh-jauh.” Khairul memprotes.

“Aku tetap tak nak ikut kau. Aku takut. Kau tak pernah kena bolehlah kau cakap macam tu. Yang penting sekarang aku kena hati-hati. Dua minggu tau aku sakit! Kalau sakit kepala dua jam pun rasa seksa apatah lagi sampai berhari-hari macam tu. Aku seriklah.” Aku melihat jam tanganku. Sudah hampir jam empat setengah petang kini.

“Okay, kau tak nak ikut aku tak apalah. Mungkin lain kali kau akan ikut aku.” Khairul membalas sambil tersenyum.

“Eh, dahlah. Jom gerak. Kau nak pergi park kan? Kau sampai lambat nanti, kawan-kawan kau marah pula. Ni duit air minum aku. Tolong bayarkan.” Aku segera mengambil wang dari poket seluarku dan menghulurkannya kepada Khairul.

“Eh, tak apa.” Khairul menolak.

“Tunggu sini aku pergi bayar sekejap dekat kaunter. Aku belanja kau.” Khairul terus bangun dan berlalu dari situ tanpa mempedulikan wang ditanganku. Aku terpaksa mengalah lagi kali ini.

Ikutkan Khairul sudah selalu sangat belanja aku makan atau minum. Aku pula cuma beberapa kali saja belanja dia minum. Itupun aku terpaksa membuat helah seperti ke tandas misalnya. Alih-alih selepas itu dia pula yang belanja aku balik apabila dia membelikan aku coklat atau biskut. Bagiku Khairul terlalu baik terhadapku.

Aku sudah berkawan dengannya selama hampir setahun. Perkenalan kami bermula apabila dia mendatangi kedai serbaneka tempat aku bekerja. Ketika itu sebaik sahaja aku melihat dia melangkah masuk, aku seperti biasa memberi ucapan rasmi yang wajib untuk semua pelanggan namun Khairul nampak terpinga-pinga. Rupa-rupanya dia tersalah masuk pintu!

Dia sebenarnya mahu ke farmasi yang terletak disebelah namun kerana asyik dengan telefon bimbitnya telah menyebabkan dia tersalah arah.
Ketika itu juga dia memberitahuku bahawa dia telah tersilap masuk dan hanya ketawa untuk menutup perasaan malunya. Dia mahu membeli pencuci mulut di farmasi sebelah sebenarnya. Lalu dia menanyakan aku tentang barangan tersebut. Ya, memang ada dijual ditempatku ketika itu. Wajahnya benar-benar gembira sebaik aku menunjukkan barangan yang mahu dibelinya itu. Dia terus membayar harganya tanpa banyak soal. Senyumnya sentiasa melebar sehinggalah dia melangkah keluar.

Keesokkannya dia datang lagi. Aku yang bertugas ketika itu agak terperanjat dengan kehadirannya. Aku bertanya kepadanya apakah dia tidak tersilap haluan lagi kerana dia masih leka dengan telefonnya sewaktu melangkah masuk sebelum itu. Dia cuma ketawa dan memberitahuku yang dia ingin membeli air minuman pula. Aku cuma mampu tersenyum ketika itu kerana di farmasi sebelah pun terdapat air minuman juga.

Semenjak hari itu, Khairul selalu datang menemuiku dan terus menjadi kawanku setelah dia meminta nombor telefonku pada suatu hari. Walaupun agak keberatan, namun akhirnya aku beralah jua dan akhirnya kami bertukar-tukar nombor telefon peribadi masing-masing.

“Hai, menung apa lagi tu?” Tiba-tiba suara Khairul menyapaku. Aku agak terkejut. Oh, Khairul sudah kembali dari kaunter bayaran rupanya. Jauh sungguh aku mengelamun teringat kenangan dulu.

“Termenung pasal Daniel.” Jawapanku tiba-tiba mengundang riak diwajah Khairul. Dia senyum sumbing dan berdiri tegak seperti patung disebelahku. Aku yang masih duduk dikerusi seraya bangun sambil menyangkutkan beg ke bahu kiriku. Aku terus melangkah ingin pergi namun apabila aku menoleh sedikit ke kiri kelihatan Khairul masih tidak berganjak untuk mengiringiku.

“Jomlah! Terpacak macam batu ni, kenapa?” Aku pantas berpusing kebelakang dan menarik tangan Khairul sambil melangkah menuju ke arah Pajeronya yang terparkir di depan restoran.

Sebaik sahaja kami masuk ke dalam kereta, Khairul terus mentertawakanku dan masih mengusikku tentang Daniel.

Khairul ni orangnya memang ceria dan suka menyakat aku. Tak pastilah akibat salah bancuhan Neslonya tadi atau kerana dia agak senang hati hari ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience