TIGA bulan sebelum.
Tersenyum puas Dahlia Sofea apabila masuk ke dalam dewan yang akan melakarkan satu lagi kenangan manis antara dua orang pasangan suami dan isteri itu. Pelamin yang indah tersergam di depan matanya membuatkan hatinya semakin puas.
Dahlia Sofea kembali meneruskan kerjanya semula. Dia perlu menyiapkan pelamin ini secepat yang mungkin. "Nurul, ada lagi tak bunga yang berbaki dekat butik?" Soal Dahlia Sofea apabila pembantunya datang menghampirinya di dalam dewan.
"Cik Lia, rasanya ni kotak bunga yang terakhir. Dekat butik memang dah takda dah. Harap-harap cukup lah kan." Balas Nurul sambil meletakkan kotak yang berisi bunga plastik.
Keluhan perlahan dilepaskan. "Takpa, saya rasa dah cukup ni, kalau tak cukup juga, nanti saya beli tapi semalam saya rasa saya ada letak kat dalam kereta. Hmm…" Dahlia Sofea menggaru dagunya. "Errr Nurul, awak tolong jaga sekejap, saya nak pergi cari dekat dalam kereta."
Nurul angguk sambil membuntuti Dahlia Sofea dengan ekor matanya.
Dahlia Sofea berjalan keluar dari dewan. Dia menuju ke arah tempat meletak kenderaan yang berada tidak jauh dengan pintu masuk utama dewan. Sampai sahaja di kereta, dia mula menyelongkar bonet keretanya.
"Aku rasa memang aku letak kotak bunga tu dekat dalam bonet. Takkan hari ni dah takda. Hmm bunga owh bunga, mana kau bunga. Hmmm… eh ada pun kau. Nasib baik jumpa."
Bunga plastik yang berada di dalam kotak terus dibawa keluar dari dalam bonet. Kotak itu diletakkan di bawah lalu dia menutup semula pintu bonet keretanya. Kotak yang agak besar itu diangkat sehingga menutupi wajahnya tetapi dia tetap membawa kotak tersebut.
"Opocot bunga aku…" terkejut Dahlia Sofea apabila terlanggar sesuatu di hadapannya.
"Cik, kalau boleh jalan tu tengok depan yer. Tak pasal-pasal dah langgar saya..." nasihat lelaki itu disusuli dengan dengusan perlahan.
Eh, aku pula yang salah! Patutnya kau tu yang kena tengok kiri kanan. Dah nampak aku bawa barang, bagilah laluan!
"Sorry, encik. Saya tak sengaja." Dia cuba menjenguk orang di hadapannya tetapi tidak boleh kerana kotak itu lebih besar daripadanya.
Tiba-tiba sahaja kotak tersebut diangkat tinggi. Tergaman Dahlia Sofea apabila melihat sosok tubuh seorang lelaki membawa kotak itu berjalan masuk ke dalam dewan. Dia mendecit perlahan sambil menggaru kepalanya.
"Encik, errr tu barang saya…" Laju langkah kakinya mengejar lelaki itu.
"Yer, saya tahu." Balasnya selamba.
Dahlia Sofea berhenti melangkah tetapi dia mula mengukir senyum. Bibir bawah digigit. Baiknya lelaki ni dah tolong aku. Mesti handsome ni.
Lelaki itu meletakkan kotak tersebut di atas pentas lalu beredar daripada situ. Dahlia Sofea yang baru sahaja menghampiri pentas membuntuti figura lelaki itu dengan ekor matanya.
"Wahhh, Cik Lia dah dapat pembantu baru ke?" Usik Nurul yang tiba-tiba sahaja berdiri di sebelah Dahlia Sofea.
"Kalau lah ada pembantu handsome macam tu kan best. Betul tak?" Balas Dahlia Sofea sambil mengulum senyum.
"Cik Lia dah tengok ke muka dia?"
"Tak…" Dahlia Sofea memandang wajah Nurul. Senyumannya mati.
Nurul mencebik lalu menepuk perlahan bahu Dahlia Sofea. "Maybe jugak dia tak handsome, Cik Lia..."
Dahlia Sofea mengangkat kedua-dua bahunya tinggi. Dia naik ke atas pentas lalu membawa kotak bunga plastik menghampiri pelamin. Nurul mengekori dari belakang.
"Cik Lia, hari ni boleh siap ke?" Soal Maisarah yang berjalan mendekati mereka.
Dahlia Sofea menoleh. "Insyaallah, kejap lagi siap lah ni. Ada dekat bahagian tengah sikit jer lagi. Yang lain pekerja saya dah siapkan. Jangan risau yer…" ujarnya sambil mengukir senyum.
"Alhamdulillah. Risau saya sebab majlisnya esok. Terima kasih, Cik Lia sebab sanggup terima tempahan last minutes ni." Maisarah menggenggam jemari Dahlia Sofea.
Dahlia Sofea membalas senyuman Maisarah. "Takpa, okay jer. Saya cuba yang mana termampu."
"Err Cik Maisarah, cik kenal tak siapa lelaki tu?" Tanya Nurul sambil menunjuk ke arah lelaki tadi. Sengaja dia hendak menyibuk.
Maisarah memandang ke arah yang ditunjuk oleh Nurul. "Owh, tu abang Harris. Abang saya tu. Kenapa dengan dia?" Soalnya pelik.
Nurul tersengih. "Takda apa pun, tadi dia tolong Cik Lia angkat barang tapi kami tak sempat tanya nama dia. Tu jer…"
Maisarah mengulum senyum. "Owh macam tu. Dia tu single dad. Kalau nak try boleh lah. Dia pun sedang mencari tu. Hehehe…"
Nurul mengangkat kedua-dua ibu jarinya. "Owhhh yer ker… ha boleh lah Cik Lia try. Cik Lia pun single kan…" Kening Nurul terjongket sedikit ke arah Dahlia Sofea.
Dahlia Sofea memukul lembut paha Nurul menunjukkan yang dia berharap Nurul menghentikan kata-katanya. "Apa lah awak ni. Kita datang nak buat kerja, bukan nak cari jodoh." Gumamnya perlahan. "Maaf yer Cik Maisarah, pembantu saya ni memang macam ni. Dia suka bergurau kasar. Err kami buat kerja dulu yer. Jom sambung buat kerja…" Tangan Nurul lantas ditarik supaya menjauh dengan Maisarah.
Tertawa kecil Maisarah. "Ha yer lah. Kalau ada apa-apa nanti beritahu saya yer, Cik Lia." Balas Maisarah sebelum berlalu mendekati abangnya.
Dahlia Sofea memerhatikan figura lelaki yang dikenal sebagai Harris itu. Tubuhnya tinggi dan tegap. Jika dilihat dengan mata kasar, Harris mungkin dalam lingkungan awal 30-an tahun. Selalunya lelaki kelihatan matang dalam usia ini. Beruntung orang yang memiliki lelaki itu. Tanpa sedar dia mengukir senyum tetapi terpaksa berpura-pura serius di hadapan Nurul. Risau jika Nurul akan mengusiknya nanti.
Selepas hampir 2 jam, akhirnya pelamin perkahwinan Maisarah siap dihias. Riak puas hati terpancul di wajah Dahlia Sofea. Dia berdiri bercekak pinggang di tengah-tengah dewan sambil memerhatikan keadaan pelamin dari jauh. Senyuman di bibirnya melebar dan dia berpuas hati dengan hasil tangannya sendiri.
Bunyi pesanan ringkas yang masuk menarik perhatian Dahlia Sofea. Dia mengeluarkan telefon pintar daripada poket seluarnya. Skrin telefon pintar ditatap. Dengusan perlahan keluar daripada mulutnya.
Sofea, malam ini dekat tempat biasa. -Fakhrul
Okay. -Sofea
Telefon pintar dimasukkan semula ke dalam poket seluar. Dahlia Sofea mendekati Nurul yang berdiri tidak jauh dengannya.
"Nurul, saya terpaksa pergi dulu. Nurul tolong kemas semua ni yer. Kalau ada apa-apa beritahu saya." Pesannya sebelum meninggalkan dewan.
"Baik, Cik Lia." Anak matanya mengekori langkah Dahlia Sofea keluar dari dewan.
"Jangan lupa nanti barang-barang tu semua masukkan semula dalam kedai. Kunci kedai awak simpan." Jeritnya kuat.
"Baik," balas Nurul.
Langkah diatur laju ke arah keretanya. Dahlia Sofea perlu cepat sampai ke tempat yang diberitahu oleh Fakhrul tadi. Malam ini dia perlu menjalankan misi penting. Dia tidak mahu membuang masa lagi kerana masa depannya bergantung kepada tugasnya malam ini.
Sempat Dahlia Sofea menukar pakaiannya sebelum menjejakkan kaki ke sebuah kelab malam yang menjadi tempat hiburan untuk golongan vvip. Dia memakai suits berwarna hitam dan menutup wajahnya dengan penutup muka kerana dia perlu merahsiakan identitinya selama dia bekerja sebagai bodyguard.
"Sofea, malam ni you kena jaga perempuan simpanan Datuk Khaled dekat rumahnya. Nama dia Sally. Pastikan malam ni dia selamat sampai ke rumah. I tak nak dengar apa-apa masalah berlaku. Faham?"
"Faham, boss!"
"Okay, good." Balas Fakhrul sebelum meninggalkan dia di hadapan pintu kelab malam.
Dahlia Sofea menjenguk ke dalam kelab malam yang dipenuhi dengan manusia yang sedang rancak menari. Dia mengeluh perlahan. Bayangkan kalau mama dan papanya tahu yang dia sedang berdiri di hadapan kelab malam, pasti nyawanya akan melayang malam ini juga.
Jam pada pergelangan tangan ditilik lama. Hampir pukul 12 tengah malam. Dahlia Sofea mula tidak senang duduk. Esok dia perlu menyiapkan dekorasi untuk majlis pertunangan kawannya pula, kalau dia lambat sampai, habislah karirnya nanti.
"Lepas! Lepaskan aku lah! Kau tak faham bahasa ke?" Tengking seorang wanita yang berpakaian agak seksi. Tubuhnya terhuyung-hayang keluar dari kelab malam itu.
Dahlia Sofea mendekati wanita itu. "Cik Sally?" Soalnya kepada seorang lagi bodyguard.
Shah mengangguk.
"Cik Sally. Jom kita masuk dalam kereta. Cik Sally kena balik." Pinta Dahlia Sofea lantas merangkul tubuh wanita itu.
Wajah Dahlia Sofea direnung dalam. "You ni siapa? You lelaki ke perempuan?" Sally cuba menarik penutup muka di wajah Dahlia Sofea.
Dahlia Sofea melarikan wajahnya. Tubuh Sally ditolak masuk ke dalam perut kereta. Dia duduk di sebelah Sally.
Sally merapat dengan tubuh Dahlia Sofea. "You ni bodyguard I ke?" Soalnya lagi sambil merengek manja.
Perempuan ni kang kalau aku terajang dia keluar daripada kereta ni baru dia kenal siapa aku!
"Ya, Cik Sally. Saya akan jaga cik malam ni." Jawab Dahlia Sofea acuh tidak acuh.
"Owhhh… tapi you nampak segak lah. I suka. Nanti I minta Datuk Khaled jadikan you bodyguard I sampai bila-bila, boleh kan?" Sally memeluk lengan Dahlia Sofea lalu melentokkan kepala pada bahunya.
Dahlia Sofea mencebik. Nasib baik dia pakai penutup muka. Takdalah orang nampak riak wajahnya. Dia memandang Shah yang sedang menoleh ke arahnya.
Shah yang berada di kerusi hadapan mengangkat ibu jarinya ke arah Dahlia Sofea. Terenjut-enjut bahunya mentertawakan Dahlia Sofea.
"You, you temankan I tidur yer malam ni. I suka cara you layan I. Lembut jer. I tak suka orang tu!" Sally menunjuk ke arah Shah yang berada di tempat duduk hadapan. "Dia tu jahat. Dia paksa I balik. I nak menari lagi. You tahu kan I suka menari…"
Bilalah perempuan ni nak tidur? Dah naik menyampah dah aku nak melayan. Arghhh cepatlah sampai!
"Yer, Cik Sally. Apa kata Cik Sally rehat jer. Kita dah nak sampai ni." Pujuk Dahlia Sofea. "Jauh lagi ke rumah dia ni?" Bisiknya kepada Shah.
"Tak jauh dah. Kejap lagi sampai lah."
Dahlia Sofea mendengus perlahan. Semakin lama dia semakin muak pula apabila terpaksa melayan perempuan mabuk. Dia lebih suka menjadi bodyguard kepada isteri-isteri datuk. Bolehlah juga dia pergi ke majlis-majlis mewah dan makan sedap. Setakat jadi bodyguard kepada perempuan simpanan, lebih baik dia mendeko pelamin.
"Okay, kita dah sampai. Aku kawal kat depan, kau bawa dia masuk." Shah memberi arahan.
Dahlia Sofea angguk. Dia membawa Sally masuk ke dalam bangunan kondominium. Belum sempat mereka masuk ke dalam perut lift, tiba-tiba sahaja ada seorang lelaki menarik tangan Sally.
"Arghhh…" jerit Sally kuat.
"Sally, I rindukan you. I nak you kembali kepada I." Lelaki itu memeluk Sally kuat. Dia menghulurkan pisau ke arah Dahlia Sofea. "Kau jangan masuk campur urusan aku!" Terbeliak matanya menatap wajah Dahlia Sofea yang bertutup.
Dahlia Sofea mengetap gigi. "Lepaskan dia kalau kau taknak sakit!"
"Ni antara aku dan dia! Kau jangan masuk campur! Pergi!" Tengking lelaki itu lagi.
"Argh… tolong… jangan sakitkan aku… tolong…" rayu Sally disusuli dengan tangisan teresak-esak.
Dahlia Sofea dan Shah berdiri di hadapan lelaki itu. Mereka saling memandang. Dahlia Sofea menjongket keningnya sedikit lalu Shah mengangguk kepalanya. Shah bersembunyi di sebalik dinding. Dahlia Sofea perlahan mendekati lelaki itu dan Sally.
"Encik, jatuhkan pisau tu. Kita bincang baik-baik yer…" pujuk Dahlia Sofea.
"Jangan dekat aku kata!"
"Encik, benda boleh bincang. Kalau encik buat macam ni, apa yang encik dapat? Baik kita bincang baik-baik. Nanti kang kalau terluka, sakitnya sampai ke dalam."
Kening lelaki itu mula berkerut. "Kau pergi! Biar aku dengan dia jer. Sally, tolonglah terima aku semula. Aku cintakan kau. Aku cuma nakkan kau jer. Sally…"
"Encik, ini amaran terakhir. Encik lepaskan dia dan anggap malam ni takda apa-apa terjadi atau encik nak kami settlekan dengan cara yang kasar?"
Lelaki itu mengetap giginya. Mukanya bengis. "Arghhh aku tak kisah lah! Kau boleh mampus!"
Shah yang muncul tiba-tiba pantas menendang tangan lelaki itu sehingga pisau di tangannya jatuh ke atas lantai. Dahlia Sofea lalu menendang perutnya pula sehingga dia tersungkur. Shah mendekati lelaki itu lalu tangannya dilipat ke belakang.
"Sally, awak okay?" Soal Dahlia Sofea.
Tubuh Dahlia Sofea dirangkul. Terdengar suara tangisan Sally yang semakin kuat.
Dua orang pengawal keselamatan berlari menghampiri mereka. Terkebil-kebil mata mereka melihat seorang lelaki yang sedang duduk bersandar pada dinding dengan tangannya diikat.
"Encik, call polis. Shah, kau jaga kat bawah."
"Okay. Datuk Khaled on the way."
Dahlia Sofea mengangkat ibu jarinya. "Jom, Cik Sally. Kita naik atas."
"I takut. Tolong jangan tinggalkan I." Rayu Sally manja.
Dahlia Sofea membawa Sally naik ke tingkat atas. Masuk sahaja ke dalam bilik, dia meletakkan Sally di atas katil lalu membiarkan wanita itu tidur. Dia keluar dari bilik lantas melabuh duduk di atas sofa di ruang tamu. Cermin kecil dikeluarkan daripada poket suits yang dipakainya. Penutup muka dicabut. Dia menatap wajahnya di cermin kecil itu.
"Habislah muka aku kalau kena tumbuk tadi. Hilanglah anugerah kecantikan yang Tuhan bagi kat aku. Nasib kau baik Lia tak kena tumbuk…" desisnya perlahan. Dia mengeluarkan telefon pintar. Keningnya mula berkerut apabila menilik pada skrin telefon pintarnya. "Hisy dah pukul 1.30 pagi lah. Bila nak balik ni? Sabar Lia, sabar…" Nafas ditarik dan dihembus perlahan. Penutup muka dipakai semula.
Puas Dahlia Sofea berbaring, dia duduk pula. Setelah penat duduk, dia bangun dan berjalan mengelilingi ruang tamu itu. Keluhan dilepaskan.
"Mana Datuk Khaled ni, lambat lagi ke?" Rungutnya perlahan.
Bunyi ketukan di muka pintu mengejutkan Dahlia Sofea yang sedang duduk termenung. Dia bangun lalu membetulkan suits di badannya.
Pintu terbuka luas. Muncul Datuk Khaled yang berjalan mendekati Dahlia Sofea. "You dah boleh balik. Thanks…"
Dahlia Sofea menundukkan kepalanya sedikit lalu melangkah keluar dari rumah tersebut. Shah sedang menunggu di luar rumah. Mereka berjalan ke arah lift lalu masuk ke dalam perut lift bersama-sama. Keluar sahaja dari kawasan kondominium, sebuah kereta sedang menunggu mereka di luar. Mereka dihantar semula ke kelab malam tadi.
"Eh, Shah. Aku balik dulu tau. Dah lewat ni. Boss, saya balik dulu." Ujar Dahlia Sofea sebelum meninggalkan Shah dan Fakhrul yang masih lagi berbual.
"Okay, elok-elok balik." Balas kedua-duanya serentak.
Dahlia Sofea berjalan laju ke arah keretanya yang diletakkan tidak jauh dengan kelab malam tersebut. Dia menanggalkan penutup muka sebaik sahaja masuk ke dalam perut kereta. Rambut yang disanggul tinggi kini dibiar lepas. Dia mengambil tisu basah lalu membersihkan wajahnya. Terasa segar apabila wajahnya basah dengan air.
Ting!
Bunyi pesanan yang masuk menarik perhatian Dahlia Sofea. Ternganga luas mulutnya apabila melihat pesanan yang dikirim kepadanya.
Cik Lia, petang tadi Cik Maisarah minta kita buatkan bunga tangan untuk dia. Dia nak bunga lily hidup warna putih. Saya lupa nak beritahu Cik Lia. Sorry…huhu… -Nurul
"Hisy Nurul ni kan, memang nak kenalah dia ni. Mana aku nak cari bunga lily ni. Aduh. Hmm kat kedai ada ke tak ek? Ada kot. Baik aku cepat balik. Hisy…" keluhnya perlahan.
Kereta yang dipandu Dahlia Sofea perlahan-lahan meninggalkan kawasan tersebut. Dia membawa keretanya ke arah butiknya yang berada agak jauh dengan kawasan kelab malam tersebut. Sampai sahaja dia di butiknya, dia bergegas masuk ke dalam dan menuju ke ruang menyimpan bunga. Nafas lega dilepaskan apabila ternampak bunga lili di dalam pasu bunga.
Langkah longlai diayun menapak ke tingkat atas. Dahlia Sofea terus berbaring di atas katil apabila masuk ke dalam biliknya. Nasib baiklah rumahnya hanya di tingkat atas sahaja, tidak perlu dia tergesa-gesa ke sana dan ke sini. Setelah seharian bekerja, akhirnya dia dapat berbaring di atas katil. Perlahan-lahan matanya terpejam.
KELOPAK matanya dibuka perlahan-lahan. Cahaya yang samar-samar yang masuk ke dalam bilik mengejutkannya. Dahlia Sofea pantas bangun sambil termenung di atas katil. Dia melihat pakaian di tubuhnya. Masih lagi memakai suits semalam. Bola matanya terbeliak. Jantungnya berdegup laju.
"Alamak, bunga aku…"
Dahlia Sofea melompat turun daripada katil lalu membuka pintu bilik.
"Argh…" terjerit serentak Dahlia Sofea dan Nurul yang berdiri di depan pintu.
"Hisy… awak ni Nurul, terkejut saya."
"Hehehe sorry, Cik Lia. Saya terkejut tiba-tiba Cik Lia buka pintu. Err Cik Lia nak pergi mana ni pakai suits macam ni? Kenapa muka Cik Lia gelap? Mesti salah pilih foundation kan…"
Mampus aku! Kenapalah aku tak tukar baju semalam dan kenapa aku tak cuci muka dulu! Hisy masalah betul!
Dahlia Sofea menelan liur. "Takda apalah. Saja saya nak try. Suits ni saya belikan untuk papa. Errr ha ah, saya salah beli foundation. Hihi." Tersengih dia menunjukkan baris giginya.
"Owh… macam tu…" balas Nurul sambil menggaru kepalanya.
"Awak tepi sikit, saya nak siapkan bunga tangan untuk Cik Maisarah. Habislah kita kalau dia tak dapat bunga tangan tu hari ni…"
"Semua dah siap dah. Saya dah hantarkan ke Cik Maisarah pagi tadi." Beritahu Nurul penuh bangga.
Terhenti langkah Dahlia Sofea yang baru hendak menapak turun ke tingkat bawah. Jantungnya yang berdegup laju tadi kembali normal semula. Dia masuk ke dalam bilik semula.
"Nurul, saya nak tidur kejap, nanti kejutkan saya tau, kita nak kena pergi hias pelamin untuk anak Datin Suraya petang ni. Saya mengantuk. Tolong kunci pintu."
"Baik, Cik Lia." Balas Nurul masih merasa pelik dengan sikap bosnya itu. Dia terus mengunci pintu bilik lalu turun ke tingkat bawah.
Tepat jam 2 petang, Nurul naik semula ke bilik Dahlia Sofea. Dia mengetuk pintu bilik perlahan. Berkali-kali pintu diketuk tetapi pintu masih tidak dibuka. Tidak lama kemudian terpancul wajah Dahlia Sofea di muka pintu.
"Cik Lia, nanti kita nak kena pergi rumah Datin Suraya."
"Okay, saya nak mandi kejap. Awak pergi suruh abang Iskandar siapkan lori, yer. Suruh dia bawa masuk barang dalam lori." Arah Dahlia Sofea sebelum masuk ke dalam bilik air.
"Baik, Cik Lia." Nurul mengerutkan keningnya. "Penat betul Cik Lia tu, dia buat apa malam-malam…" gumamnya lalu turun ke tingkat bawah.
Seusai mandi dan berpakaian, Dahlia Sofea bergegas turun ke tingkat bawah. Nurul dan Iskandar sedang menunggu di dalam lori.
"Wow cantiknya Cik Lia kita. Dah tak salah pilih warna foundation ek? Heheh…" seloroh Murni.
Dahlia Sofea mengecilkan matanya lalu mengetap bibir. Dia terus masuk ke dalam lori. "Jom, kita pergi. Cepat siap, cepatlah balik."
Lori yang dipandu Iskandar perlahan-lahan keluar daripada kawasan rumah kedai tersebut. Sedang mereka asyik bernyanyi di dalam lori, tiba-tiba kereta di hadapan mereka brek mengejut. Lori yang dipandu Iskandar melanggar bahagian belakang kereta itu.
Iskandar dan Nurul memandang wajah Dahlia Sofea. Dahlia Sofea menelan liur. Senyuman di wajahnya mula hilang. Hanya kerutan yang menghiasi pula.
Habislah duit aku hari ni. Dah la kereta mahal. Arghhh!
Seorang lelaki turun daripada kereta. Dia menjenguk bumper keretanya yang dilanggar tadi.
"Cik Lia, macam mana ni?" Soal Nurul risau.
"Kejap, biar saya settle." Dia keluar daripada lori lalu mendekati lelaki di hadapannya. Dia berdiri bercekak pinggang sambil memerhatikan bahagian yang tercalar. "Encik, maaf kami tak sengaja. Tadi kereta encik tiba-tiba jer berhenti mengejut. Err saya rasa takdalah rosak banyak pun. Lagipun bukannya..."
"Cik…" panggilnya perlahan.
"Ya?" Dahlia Sofea berhenti bercakap. Dia berdiri tegak di hadapan lelaki itu.
"Saya tahu cik tak salah. Saya pun terkejut sebab kereta dekat depan tiba-tiba berhenti…"
Dia ni bukan ke abang Cik Maisarah yang semalam tu? Ha ah, betullah dia. Handsome jugak dia ni kan. Memang lelaki pilihan. Ahh aku dah jatuh cinta!
"Cik?"
"Yer saya…" Tidak berkelip matanya memandang wajah Datuk Aisar Harris.
"Jadi saya rasa benda ni kita settle dekat sini jer lah. Saya pun nak cepat ni." Datuk Aisar Harris menilik jam di pergelangan tangannya.
Dia ni memang tak kenal aku ke buat-buat tak kenal? Aku ni tak cantik ke sampai dia tak ingat siapa aku.
"Ha okay." Balas Dahlia Sofea sambil bermain dengan rambutnya.
"Okay, good." Datuk Aisar Harris mengangkat ibu jarinya. Dia lantas masuk ke dalam kereta. Kereta itu laju meninggalkan Dahlia Sofea yang masih berdiri di tepi jalan.
"Cik Lia, tu bukan ke…" soal Nurul sebaik sahaja Dahlia Sofea masuk ke dalam lori.
"Ha ah."
"Dia tak kenal Cik Lia?"
"Entah… jom abang, kita teruskan."
"Jom…" sahut Nurul sambil ketawa.
Mereka sambung bernyanyi semula. Tragedi tadi bertukar menjadi bunga-bunga cinta buat Dahlia Sofea kerana duit dalam akaun banknya terselamat.
Share this novel
hihihihi mmg lahhh ... dh lah influencer ...
aha
tringt pulak Aisar yg suka bntu org tz