KENYANG sangat makan sampaikan rasa mengantuk makin membuak-buak. Tapi Damia tahan jua rasa kantuknya tu semata-mata mahu tunjukkan jalan menuju ke rumah ibunya. Ye la, Zaid tu pun mana tahu rumah Mak Siti tu terletak kat mana.
Sementara mengisi masa di dalam kereta ini, mereka hanya berbual-bual kosong. Sekadar untuk menghalau sunyi dan rasa mengantuk aje.
"Kat depan tulah rumah saya." Damia tunjuk keberadaan rumah ibunya.
Zaid angguk dan dia ikut segala arahan Damia tu. Selepas itu, kereta yang dipandu membelok ke kiri dan menyusup masuk ke kawasan pekarangan rumah.
Dah sampai!
Damia keluar dari perut kereta. Tak hanya dia, nampaknya Zaid pun turun sama untuk mengiringi Damia masuk ke dalam rumahnya.
"Terima kasih sebab belanja saya makan. Lepas tu hantar saya balik rumah pulak. Kalau awak tak ada, tak tahulah nak minta tolong kat siapa tadi," ucap Damia sambil membetulkan tudungnya yang sedikit herot tu.
"It's okey. Lagipun seronok dapat makan dengan awak, Damia. Maybe next time, kita boleh dinner sama-sama lagi?"
"Insya-Allah. Boleh je kalau kita ada masa. Dan lagi satu ... maaf kalau saya ada buat awak terasa hati."
Kening Zaid hampir bertaut. "Sebab?"
"Sebab ... saya rasa macam kurang ajar pulak panggil awak dengan nama je. Lepas tu panggil guna perkataan 'awak' pulak. Rasa macam, entahlah. Macam tak kena pulak sebab saya ni pekerja je."
Ala, Damia ni. Nak berminta maaf bagai. Padahal hati sendiri yang mahu.
"La ... kan saya dah kata. Saya okey je. Memang saya lagi suka kalau kita bercakap tak formal macam ni. Tapi kalau masuk kerja, jangan pulak kita nak berawak-saya macam sekarang ni. Boleh jadi gosip tu." Zaid memberi peringatan dalam pada tawanya tu.
"Baiklah." Damia tertawa kecil jua. Betullah tu, kalau jadi gosip, habislah reputasi dirinya nanti.
Encik bos ni pun takut juga jadi bahan gosip. Ye la, aku ni kan bini orang. Nanti staf lain tuduh dia bukan-bukan pulak, kan?
Tapi dia layan aku pun, sekadar layanan sebagai pekerja dia aje. Buat apa dia nak takut. Lagipun, aku ni PA dia. Jadi biasalah kalau PA nampak rapat dengan bos pun. Bisik hati Damia.
Kedengaran pintu utama dikuak. Serta-merta perbualan mereka mati. Tengok-tengok, ada seorang perempuan tua tengah menjengulkan kepalanya menghadap ke luar. Dengan bedak sejuk ditepek pada muka, dah macam hantu Cina nampaknya.
Siapa lagi kalau bukan Mak Siti. Dengan mata mencerlungnya tu, memang trademark dia rasanya. Tapi apabila dia tengok Damia bersama seorang lelaki yang berkereta mewah tu, automatik wajahnya dikawal semanis mungkin. Siapa tu? Skandal baru anak aku ke?
Damia dan Zaid mata mereka sama-sama terarah kepada Mak Siti. Rasanya, dah nampak 'si tua' tu munculkan diri, tak ada apa lagi yang mahu mereka bualkan.
"Okeylah, Zaffran. Saya masuk dulu. Hati-hati bawak kereta," pesan Damia sebelum berpisah.
"Okey. Kirim salam kat Syafiq."
"Insya-Allah ..."
Damia terus majukan langkahnya masuk ke dalam rumah. Sebelum dapat membolos ruang pintu, kena hadap bentengan ibunya tu dulu. Ibunya tu, tak lepas dari memanah pandangan kepada dirinya.
Tapi Damia buat tak tahu aje. Dia main terobos sajalah Mak Siti tu tanpa sebarang ucapan.
Setelah Damia hilang dari pandangan, Zaid pula mahu beredar. Sempat dia pamerkan segaris senyum dan tundukkan sedikit kepalanya kepada Mak Siti sebelum keretanya meluncur membelah jalan.
Mak Siti pun balas ajelah senyuman lelaki itu. Walaupun malam-malam ni, tapi dia nampak kemanisan senyuman lelaki itu terserlah. Mana tak manis, tengoklah kereta dan cara berpakaian lelaki tu. Buatlah muka ketat sekalipun, bagi Mak Siti, muka lelaki tu tetap manis semanis teh ais kedai mamak tahap potong kaki.
Rasanya, dia tu bukan calang-calang orang. Mak Siti mulai meneka sendiri.
Kini, fikirannya terus tertumpu kepada Damia. Hanya anaknya tu yang mampu berikan jawapannya. Dia mesti gali segala-galanya tentang lelaki tu, dan hubungan anaknya dengan lelaki tu. Segera!
Pintu ditutup, lalu langkahnya dibawa pergi ke tingkat atas. Lebih tepatnya, ke bilik Damia. Terkedek-kedek langkahnya menuju ke arah sasarannya tu.
"Angah! Bukak pintu ni kejap." Pintu bilik Damia diketuk berkali-kali.
Aduh! Baru aje nak tanggalkan tudung, ada pulak yang mengganggu. Damia merengus geram.
Tudungnya ditanggal kasar. Pantas kakinya melangkah untuk membuka pintu yang menjadi mangsa ketukan ibunya tu.
Kesian kau, pintu. Silap hari bulan, boleh tercabut kau tu.
"Apa dia mak?" Damia biarkan pintu itu terbuka. Tuala yang disangkut di tepi tingkap ditarik. Dia mahu mandi sekarang ni.
"Laki tadi yang hantar kamu balik tu, siapa?" tanya Mak Siti yang sudah memeluk tubuh. Badannya disandar di pintu dan matanya memandang tajam anaknya tu. Dengan ini, sesi soal siasat sedang bermula.
Damia nampaknya macam dah tahu-tahu aje tujuan ibunya tu masuk ke sini. Iyalah, tak ada benda lain pun yang mahu ditanya oleh ibunya tu. Mesti semuanya sebab Zaid tadi. Pantang nampak orang segak bergaya sikit, adalah tu firasat nak mencucuk jarumnya tu.
Damia duduk menghadap meja solek. Jari-jemari mencapai sebuah beg mekap. Diambilnya sebotol face cleanser di dalam beg itu sebelum Damia menjawab, "Bos angahlah."
"Bos tempat kerja baru kamu tu?" Mahu terbuntang mata Mak Siti mendengar perkataan 'bos' tu. Memang betul tekaan yang bermain di fikirannya tadi. Lelaki tadi bukan calang-calang orang.
Muka malas ditayang. Banyak betullah soalan dari ibunya ni.
"Dah tu ... takkanlah angah ada 10 bos pulak. Tempat kerja angah ada satu je." Damia meloyar buruk.
Tangan ligat mencuci wajah yang bersalut mekap itu dengan face cleanser. Tapi mulut masih setia menjawab pertanyaan ibunya. Tak apalah, asalkan soalan yang munasabah, dia jawab. Kalau masuk aje soalan yang mengarut, memang dia takkan layan.
"Dia nama apa."
"Zaid Zaffran."
Wow! Sedap nama. Sedap lagi mata memandang akan tuan empunya nama tersebut. Sempat lagi Mak Siti menggedik dalam hati.
Ish! Jangan gedik sangat. Fokus, Siti. Fokus! Kau kena siasat dulu pasal lelaki tu.
"Umur berapa?"
"Lima tahun lagi tua dari angah."
Kepala Mak Siti terangguk-angguk. Jadi, lelaki tadi tu baru berumur 28 tahunlah, ye? Langsung tersungging segaris senyuman penuh makna mendengar bait-bait jawapan anaknya tu.
Okey, soalan wajib dan soalan penting patut ditanya. Mak Siti menyambung, "Dia single lagi?"
Kerja menanggalkan sisa mekap yang terlekat pada wajah terus tergendala. Damia jeling ibunya melalui pantulan cermin sebelum memalingkan tubuhnya. Mukanya memerah kegeraman.
"Mak ni dah kenapa tanya banyak pasal bos angah tu? Mak jangan ingat yang angah tak tahu apa yang mak tengah fikirkan tu."
"Ala, kamu ni. Mak tanya aje, bukannya fikirkan apa-apa pun," dalih Mak Siti tayang muka tak bersalah. Masih lagi mahu berselindung di sebalik kepolosan palsunya tu. "Lagipun, tak salah kan kalau mak nak tahu lebih pasal bos kamu tu. Ye la, mak nampak dia gentleman sangat. Tadi mak tengok, selagi kamu tak masuk rumah, selagi tulah dia tak masuk dalam kereta dia. Mak suka perangai dia, tak macam ..."
"Mak!" Damia terus memotong. "Mak tak payahlah nak kenen-kenenkan angah dengan Zaid tu. Angah dah ada Syafiq, Syafiq tu suami angah. Mak tak berhak tau nak suruh angah buat benda-benda merepek macam tu." Damia tayang muka menyampah.
"Eleh ... suami konon. Habis tu, apa hal bos kamu tu yang hantar kamu balik sini? Mana pergi suami kesayangan yang kamu sanjung-sanjung sangat tu?" Mak Siti mulai mengecam menantunya tu. Ada aje masalah yang mahu dicarinya.
Damia mendengus. Kepalanya digaru kasar. Dahlah dia penat setelah seharian bekerja, lepas tu kena tadah telinga dengar ibunya membebel. Sebab tu la dia lebih suka mengurungkan diri di dalam bilik setiap kali menjejakkan kaki ke rumah ni.
"Motor dia rosak. Sekarang dia tengah bawak pergi repairlah tu."
Mak Siti buat muka mengejek. Berkerut-kerut mukanya seperti menahan geli. "Ceh! Alasan je tu. Padahal dia tu malas nak ambik kamu," fitnah Mak Siti. Main sembur aje dia tanpa usul periksa.
"Tapi kalau betul pun motor dia rosak, mak tak terkejut sangatlah. Motor cabuk yang dia guna tu patut tauk je kat kilang besi buruk sana tu. Kalau motor tu tak jadi besi buruk, tauk kat tong sampah. Senang cerita." Makin lantang suara Mak Siti.
Damia pasang muka geram. Ibunya ni dah melampau!
"Mak memang tak berubah. Apa yang berkaitan Syafiq, mak nampak apa yang buruk aje, kan? Angah ingat lepas apa yang kak long buat kat mak, hati mak dapatlah berlembut. Tapi angah salah. Hina sangat ke Syafiq tu kat mata mak?" tembak Damia dengan nada suara yang tertahan-tahan.
"Dahlah, mak. Biarlah mak bencikan Syafiq sekalipun, datanglah macam-macam dugaan dalam rumah tangga kami sekalipun, angah tetap cintakan Syafiq. Walaupun mak yang pilih untuk tak restui perkahwinan kami, angah tetap setia dengan dia sampai bila-bila."
Damia terus beredar keluar dari biliknya meninggalkan Mak Siti keseorangan. Lebih baik dia mandi sekarang ni, sejuk juga badannya. Duduk lama-lama dengan ibunya tu, mahu terbakar badannya.
Mak Siti kepal tangannya tapi segera dikawal perasaannya. Nafas ditarik dan dihembus panjang. Lalu senyuman sinis bermain di bibir umpama tidak terkesan pun dengan hamburan anaknya tadi.
Tak apa, angah. Hari ni, kamu cakap besar dengan mak. Esok kita tengok, sejauh mana kesetiaan kamu kat jantan penjual sate tu. Kritik Mak Siti dalam hati.
*****
Tak senang duduk Syafiq memikirkan masalah yang menimpa-nimpanya hari ini. Tadi dia terfikirkan tentang isterinya. Lepas itu terfikirkan tentang motosikalnya pula. Dua perkara itulah yang berulang-ulang melintas dalam gegelung fikirannya itu.
Sudahlah motosikalnya dah tak ada harapan mahu diperbaiki. Mail cakap, kalau nak repair tu, boleh. Tapi banyak makan modal.
Batang fork dah longgar, karburetor bermasalah dan lebih teruk lagi, coil magnet rosak!
Nak ganti yang baru? Macam Mail bagitahu tadi, boleh memang boleh. Tapi mahallah. Jika hitung-hitung, boleh cecah RM1000 lebih tu. Kalau macam tu, lebih baik beli motosikal baru aje. Kalau tambah duit sikit, boleh dah tu dapat motosikal yang terpakai punya.
"Daripada beli motor, baik kau beli kereta baru aje. Second-hand pun tak apa asalkan ada kereta. Kau pun dah ada bini, lepas tu nanti kau akan ada anak. Takkanlah kau nak angkut family kau dengan motor aje, kan?"
Kata-kata Mail tadi kembali terngiang-ngiang dalam kepala Syafiq.
Mail sempat bercadang kepada dirinya untuk dapatkan kereta. Tapi nak dapatkan macam mana? Ingat kereta tu boleh jatuh dari langit ke? Kalau kereta second-hand tu boleh dapat dalam RM3000, taklah Syafiq rasa terbeban sangat. Ni, wujud ke lagi kereta terpakai dalam lingkungan harga macam tu?
Syafiq menghela nafas. Tak apalah, dia letakkan kepercayaannya kepada Mail. Mail cakap, dia akan membantu Syafiq untuk carikan kereta terpakai yang mampu milik. Lagipun, kawan-kawan Mail ramai dalam kalangan mekanik, jadi agak mudahlah kalau nak dapatkan maklumat pasal kenderaan ni pun.
Bercakap pasal kereta, Syafiq jadi buntu. Dia tu manalah nak ada lesen memandu. Yang dia ada, setakat lesen motosikal aje. Aduh, lepas ni dia kena belajar memandu kereta pulalah, ye.
Syafiq sudah serabut. Fikirannya sudah buntu. Masalah fasal duit lagi yang menimpanya.
Sudahlah hasil jualan satenya tak seberapa. Lepas tu, hari ni dia terpaksa cuti berniaga sebab masalah yang menimpanya ni. Nasib baiklah ada Mail. Kawannya itulah yang memaklumkan Paan tentang hal yang menimpa Syafiq ni.
Untuk kali ni, kau kena cuti kerja lagilah ye, Paan. Maaf sebab selalu susahkan kau. Syafiq bersuara sendiri dalam hati.
Duit bantuan dan pemberian Mak Cik Zainab, boleh aje dia gunakan. Tapi kalau dia guna, nanti habis pokailah dia. Kalau dia bujang, mungkin bolehlah dia hidup macam ni. Tapi sekarang dia dah berbini!
Keluhan berat dilepaskan. Daripada fikirkan motosikal atau duit apa segala tu, baik dia fikirkan keselamatan isterinya sekarang.
Ya, pasal Damia. Dah nak dekat pukul 9:00 dah ni. Entah bini aku tu balik dengan selamat ke taklah sekarang ni. Nak call dia, bateri phone pulak habis. Nak mintak tolong Mail telefonkan, aku manalah nak ingat satu-satu nombor telefon bini aku tu. Sungut Syafiq dalam hati.
Pasal motosikal, dia abaikan dulu. Yang penting, isterinya tu. Haraplah isterinya tu dah ada kat rumah Mak Siti sekarang.
Tak apa, Syafiq percayakan Damia. Isterinya pandai jaga diri.
Terpaksalah Syafiq membuat pilihan untuk meminta bantuan dari Pak Ya dahulu. Suruh Pak Ya datang ke bengkel ni, lepas tu ambil Damia kat rumah Mak Siti dan hantar dia dan isterinya tu pulang.
Memang berat nak minta tolong Pak Ya lagi, lelaki tua itu dah banyak membantunya tatkala susah. Tapi nak buat macam mana, dah dia dalam keadaan terdesak sekarang ni. Takkan nak biarkan dia dan isterinya pulang berjalan kaki pulak?
Tadi Syafiq sudah mendail Pak Ya guna telefon milik Mail. Nasib baiklah Mail tu ada nombor Pak Ya.
Memang kena adalah nombor telefon Pak Ya sebab Pak Ya tu ketua kampung. Kalau ada apa-apa hal, kan senang. Rujuk atau lapor saja kat dia.
Alhamdulillah, Pak Ya menjawab panggilan tersebut tetapi nak dijadikan cerita pula, Pak Ya cakap yang dia tengah ada hal sekarang ini. Dia perlu uruskan sesuatu kat masjid sebab ada penceramah nak datang ke masjid itu besok. Tak nak mengganggu urusan Pak Ya, Syafiq mahu batalkan niatnya.
Tapi dah nama pun Pak Ya. Dengar je Syafiq perlukan bantuan, dia takkan sekali-kali biarkan jejaka yang dianggap sebagai anak kandungnya itu terkapai-kapai hanyut dalam masalah sendirian. Jika dirinya tak dapat membantu, dia akan suruh anaknya yang membantu yakni Najihah.
Najihah sekarang ada di rumah. Waktu malam selalunya anaknya itu sudah berehat dari kerja menjahitnya, jadi memang tak salahlah kalau dia mahu Najihah yang tolong ambil dan hantarkan Syafiq dan Damia pulang.
Najihah yang terima permintaan itu dari mulut ayahnya melalui corong telefon, turuti sahaja perintah itu. Niat hanya untuk membantu saja.
Syafiq nak atau tak, dia terima cadangan Pak Ya itu. Nampak bersungguh-sungguh betul Pak Ya tu mahu membantu dirinya. Rasa bersalah pula sebab susahkan lelaki tua itu. Semoga Allah balas segala kebaikan Pak Ya nanti.
Jarum jam berdetik ke pukul 8:45 malam, kelihatan kereta Avanza milik Najihah tiba di depan bengkel milik Mail. Mail pun baru aje nak tutup bengkelnya. Memang tepat sungguh Najihah datang.
Syafiq boloskan diri masuk ke dalam kereta usai berpamit dengan Mail. Tempat duduk di bahagian belakang menjadi pilihan. Iyalah, nak duduk depan bersebelahan Najihah, nanti masing-masing rasa tak selesa pula. Biarlah tempat duduk depan tu isterinya yang punya.
"Kita pergi rumah Mak Siti dulu. Ambik Damia kat sana," arah Syafiq.
Najihah angguk lalu dia mulakan pemanduannya menuju ke destinasi yang dimaklumkan Syafiq tadi.
Mereka berdua sama-sama membungkam di dalam kereta. Boleh tahan kekok jugalah rasanya. Nak kata mereka saling membenci, itu sememangnya mustahil. Cuma rasa kekok hanya kerana mereka sudah lama tak bertemu. Rasanya lebih tiga minggu juga tu.
Syafiq rasa serba salah pula melihat Najihah yang senyap sedari tadi. Mungkin wanita itu tadi sedang penat dan mahu berehat. Tiba-tiba dia pula yang kacau line membantutkan masa rehat Najihah.
Haih ... menyusahkan orang betul kau ni, Syafiq. Keluh Syafiq dalam hati.
"Saya mintak maaf sebab susahkan Najihah. Motor saya tiba-tiba rosak. Saya tak tahu pulak yang Pak Ya ada hal tadi. Kalau tak, memang saya takkan minta bantuan dia. Tak pasal-pasal menyusahkan dia dengan Najihah," ucap Syafiq bersulam rasa bersalahnya.
"Eh, mana ada menyusahkan pun, Syafiq. Orang ditimpa masalah, kenalah tolong, kan? Lagipun takkanlah nak biar je Syafiq dengan Damia balik tak ada pengangkutan," jawab Najihah yang fokus dalam pemanduannya.
Syafiq angguk lagi. Sungguh baik Najihah ni. Sama macam perangai ayahnya tu. Inilah definisi yang kuat menggambarkan bapa borek, anak rintik. Kedua-dua anak beranak tu tak pernah lupa untuk hulurkan pertolongan tatkala Syafiq susah.
10 minit di dalam kereta, akhirnya mereka tiba di rumah Mak Siti. Syafiq keluar dari kereta membiarkan Najihah di dalam. Salam diberi setibanya tepat di depan pintu rumah.
Sempat dia jeling ke satu arah yang terletak di bawah. Iaitu ruang meletak kasut. Apabila ada sahaja kasut Damia di situ, Syafiq hela nafas lega. Alhamdulillah ... Damia sampai sini dengan selamat.
Salam yang diberi tadi tidak bersahut. Malah kat dalam rumah pun kedengaran sunyi saja suasana. Damia tu mesti tak tahu yang suaminya sudah sampai sini. Yalah, dia tengah berkurung kat bilik tingkat atas tu. Macam manalah nak dengar.
Selalu Syafiq akan telefon setiap kali dia tiba di depan rumah tetapi itulah, telefonnya dari tadi mati. Harap aje baru beli, tapi cepat pulak kau nak habis eh bateri?
Terpaksalah dia meminta tolong Najihah lagi untuk telefonkan Damia supaya turun ke bawah. Tapi belum sempat Syafiq berjalan menuju ke arah Najihah, pintu rumah dibuka. Langsung Syafiq hentikan langkahnya.
"Abang ..." Damia terus mendapatkan suaminya tu. Tangan suaminya terus dikucup.
Mujurlah Damia yang buka. Kalau Mak Siti tadi, memang banyaklah masalah nak kena hadap.
"Sayang ... nasib baik sayang sampai rumah. Abang risau sangat-sangat. Maafkan abang tau sebab biarkan sayang balik sorang-sorang tadi."
"Tak apalah, abang. Saya dah selamat sampai sini dah pun. Lagipun abang bukannya sengaja tak ambik saya, kan?"
Syafiq senyum segaris lalu kepalanya diangguk. Rasa gembira melihat keadaan isterinya itu selamat, dan rasa lucu pula lihat tudung isterinya tu. Tudung herot-berot!
Damia pun tadi dia duduk kat ruang tamu. Dengar saja suara suaminya melaungkan salam dari luar, terus dia menyusup masuk ke dalam bilik dan pakai saja tudung serelum dengan ala kadarnya. Tak kisah dah, tudung herot pun.
"Tadi sayang balik dengan siapa? Grab? Teksi?" tanya Syafiq lagi.
Damia terkaku seketika. Mulutnya ternganga sedikit seperti tak menjangka soalan suaminya tu.
Kejap, tadi dia balik dengan Zaid Zaffran. Tapi kenapa susah sangat mulutnya untuk memberitahu hal itu? Takut suaminya marah ke? Padahal Zaid tu hanya tolong aje, buat apa nak takut.
"Err ... tadi saya balik dengan ..."
Tak sempat pun Damia jawab dengan rasa teragak-agaknya, suara Mak Siti menyilih. "Ala, dia balik dengan bos handsome dia tu la. Apa nama dia entah?" Buat-buat lupa nama pula Mak Siti ni, padahal memang sengaja nak bagi annoying.
"Ha ... Zaid Zaffran! Baik bos kamu tu, angah. Kereta dia pun nampak mahal. Untung tau kamu balik dengan bos kamu tu. Bila lagi kan nak merasa naik kereta mewah," sambung Mak Siti lagi sambil memandang anaknya dengan nada yang penuh menyakitkan hati.
Syafiq serta-merta menjadi kaku. Tipulah jika dia tak tahu yang Mak Siti tu sengaja nak sakitkan hatinya dengan menembak sindiran tepat ke mukanya. Sakit hati dan kecewa tu, ya. Dia rasa benda tu.
Tapi dia ketepikan rasa itu. Tadi Mak Siti cakap yang Damia balik dengan Zaid. Dengan bos Damia sendiri. Tetapi kenapa rasanya lebih sakit, ya? Walhal Zaid yang tolong hantarkan Damia tu pulang ke sini dengan selamat.
"Mak! Cukuplah tu," marah Damia lalu dia pandang semula suaminya. "Abang, balik rumah kejap lagi saya bagitahu. Memang saya balik dengan bos saya tu. Tu pun sebab dia yang offer."
Syafiq telan liur lalu senyuman yang penuh kelat dilemparkan. "Eh, sayang tak payah explain pun. Abang okey je." Cemburu yang dirasa disembunyikan serapi mungkin. Tak akan Syafiq mahu cemburu dengan hal yang remeh sebegini.
Syafiq terus pimpin tangan isterinya masuk ke dalam kereta Najihah. Tanpa ucapkan selamat tinggal dan bersalam pun dengan Mak Siti tu. Sakit hati betul dengan orang tua tu.
Mak Siti hanya membiarkan kereta Avanza Najihah beredar pergi dengan jelingan tajam. Dia sempat mendengus kepada dua laki bini tu. Ceh! Nak tunjuk kepala dengan aku, eh?
Mulutnya terjuih-juih menghamun. Sekarang kau mesti rasa tercabar kan, Syafiq? Tahu pun jealous dengan orang kaya. Anak aku tu sepatutnya layak dapat orang kaya macam Zaid tu, bukan laki macam kau! Kecam Mak Siti dalam hati.
Bersambung...
Mak Siti tak insaf-insaf lagi ni. Memang hati batu betoll
Share this novel