1 Prolog

Romance Completed 608659

PANDANGANNYA yang begitu kagum berselerak ke kiri kanan lantaran merasa sangat teruja dengan suasana indah dan mewah yang baru pertama kali dilihat.  Hazura tersenyum penuh.  Dia sedar, suasana yang terlihat begitu megah berkelas tinggi seperti itu amat tidak sesuai untuk dirinya yang tertampil ala kadar sahaja. Hanya solekan nipis yang dicalitkan pada wajah kerana cara penampilan diri Hazura memang seperti itu.  Jika bukan kerana takut mukanya terlihat seperti mayat hidup, sudah tentu dia tidak akan ingin merias wajah.  Sederhana dan biasa, itulah diri sebenar seorang Hazura.  Apatah lagi, dia sememangnya datang daripada golongan kebanyakan atau dengan bahasa yang lebih mudah, Nur Hazura hanyalah seorang gadis kampung.  Namun, walau tidak kaya harta, mereka sekeluarga tetap hidup penuh dengan kasih sayang.  Benarlah, kekayaan duniawi sesungguhnya bukan penjamin sebenar sesebuah kebahagiaan.

"Haz, mana Fatiya dan yang lain? Kau datang seorang je ke?" Fatin menyoal hairan sambil memeluk tubuh sahabat baiknya itu. 

"Aku datang dengan Fatiya tapi dia masih kat luar, jawab telefon. Dia suruh aku masuk dulu.  Errr...Fatin, pakaian aku...okey tak? Fatiya kata..." teragak-agak Hazura mahu meneruskan kata. Dia malu, malu dengan penampilannya sendiri. Jika mahu dibandingkan dengan cara para sahabatnya berpakaian, sudah tentu gayanya yang akan tercorot jauh ke belakang.

"Kau tahu tak, kau sebenarnya...cantik. Cantik sangat tapi...pakaian kau ni, Haz.  Kalau aku pinjamkan dress aku kat kau, kau nak tak?" Fatin menawar sambil tersenyum ikhlas. Walau jurang kehidupan mereka jauh berbeza, namun dia sesungguhnya 'ikhlas' dalam membantu sahabat baiknya itu. Dia tahu, Hazura bukanlah seorang yang suka mengambil kesempatan di atas segala kebaikannya.

"Tak menyusahkan kau ke, Fatin? Aku...selalu je pakai barang-barang kau. Aku malulah." Hazura laju menggeleng serba salah.

"Apa gunanya kawan kalau tak menolong? Dah.  Sekarang ni, kau naik room 701.  Kau masuk je, tu bilik peribadi family aku. Tapi, tak ada orang pun kat dalam tu. Dalam wardrobe kau pilih je pakaian mana yang kau nak.  Cepat." sekali lagi Hazura pantas menggeleng. Sudahlah meredah masuk ke dalam kamar peribadi orang tanpa pemiliknya. Bagaimana jika ada barangan yang hilang? Sudah pasti dia yang akan dituduh!

"Tak nak, aku...malulah.  Nanti parents kau kata apa pula?"

"Nak malu apa pula, Haz? Macamlah kau tak biasa dengan papa dan mama aku.  Lagipun, takkanlah kau nak berpakaian macam ni je? Ni majlis untuk orang-orang terhormat, kau tahu kan? Jangan malukan keluarga aku!" Fatin mengetap bibir. "Errr...kau jangan salah faham pula. Aku cuma nak jaga air muka kau. Aku sayangkan kau, Haz. Naik je cepat..." Fatin separuh mendesak walau jauh di lubuk hati, dia tidak sampai hati untuk melontarkan kata-kata seperti itu.

"Tapi...Fatin, kau temankanlah aku.  Please..."

"Takkanlah aku nak tinggalkan majlis macam tu je, naik je Haz. Aku kena tolong tengok-tengokkan tetamu yang datang." bersungguh-sungguh Fatin mencipta alasan. "Beranikan diri. Kau ni, penakut sangat tahu tak, sebab tu senang je dibuli orang. Kau naiklah cepat, majlis nak mula kejap je lagi. Parents aku dengan abang aku dah nak sampai dah." Fatin meneruskan desakan. Lama berbicara dengan perasaannya sendiri, Hazura akhirnya mengalah lalu mengangguk akur. Dia sedar, apa yang dikatakan oleh Fatin itu ada juga benarnya.

"Tapi, kau tunggu aku nanti tau. Aku malu kalau sorang-sorang kat majlis besar macam ni. Fatiya tu bukan boleh harap, suka je merayau tinggalkan aku." Hazura mengadu perlahan.

"Tau, dah pergi cepat! Jangan buang masa, lambat dah ni." tergesa-gesa Hazura mengatur langkah meloloskan diri dari ruangan mewah itu sementara Fatin pula terus mencapai lalu menatal skrin telefon bimbitnya.

"Tiya, dia dah naik. Korang boleh bertindak sekarang!" Fatin tersenyum sendiri sesudah menamatkan panggilan. Telefon bimbitnya kembali disimpan ke dalam beg tangannya semula sebelum berjalan dengan penuh gaya licik ke arah hadapan.
'Semoga rancangan aku kali ni, sukses!'

********************

TING!

Hazura melangkah ke luar sebaik sahaja pintu lift itu terbuka. Mulutnya terlopong kagum saat menginjakkan kaki di tingkat kamar para VIP itu. Terlihat cukup cantik dan eksklusif, sememangnya sepadan benar dengan corak kehidupan golongan elit seperti keluarga Syed Ibrahim yang merupakan salah seorang daripada ahli perniagaan yang berpengaruh dan terkaya di Malaysia.

Hazura meliarkan matanya untuk mencari angka 701 dan bibir merah itu spontan mengoyak senyum ketika apa yang dicari dengan mudah sahaja mendatangi penglihatannya. Lokasi arah masuk ruangan itu langsung disambar, namun dia tidak terus masuk walau tahu pintu itu memang tidak berkunci. Hazura masih sahaja berkira-kira, namun sesaat ketika hatinya dijentik dengan rasa terhutang budi dan bersalah terhadap Fatin, lalu mahu tidak mahu dia akhirnya menyelinap masuk juga. Menceroboh kamar orang kaya tanpa adanya pemiliknya. Ah, ampunkan aku Ya Allah. Jangan sahaja ada barangan yang hilang, mohon dijauhkan daripada hal-hal seperti itu.

Tombol pintu kamar mewah itu dipulas sebelum ditolak ke dalam. Berdebar-debar hatinya saat itu namun tidak mungkin dia mahu melakukan pekerjaan setengah jalan. Alang-alang sudah menolak pintu, baik masuk sahajalah.

"Wowww, cantiknya! Cantiknya bilik ni. Ayah kau memang kayalah, Fatin. Beruntung sangat kau. Tak macam...errr...eh, apa pula yang aku cakapkan ni! Hissh, kesian ayah dan ibu in kat kampung." Hazura tersengih kesal sebelum habis kata-kata kagumnya terluah. Otak nakal wanita itu sempat mengarahkan kakinya untuk mendekati katil dan di situlah dia berbaring seketika. Berlabuh tubuh di atas tilam tebal yang empuk. Syurga sungguh! Matanya dipejamkan puas, bercuri-curian menumpang rasa kenikmatan dan kelebihan golongan-golongan kaya. Saat menoleh ke lantai sebelah kiri, Hazura langsung terkejut ketika melihat ada sehelai kemeja lelaki yang terjatuh di atas lantai, lalu wanita itu terus berebutan bangkit dari perlabuhannya.

"Ada orang ke? Tapi...sunyi je?" Hazura mula menggelabah sambil mula menoleh ke kiri kanan. "Takkan Fatin tipu aku, baju...ayah dia kot. Issh, baik aku cepat. Nanti lambat pula."

Hazura bangkit lalu bergerak pantas menuju ke arah sebuah almari pakaian. Mata dan hati wanita itu langsung sahaja terpegun ketika melihat deretan pakaian-pakaian cantik dan sudah pasti mahal nilainya tersusun di dalam almari tersebut. Rambang matanya, dan untuk seketika Hazura bagai terlupa diri. Dia menjadi rakus dan terlalu teruja dalam menilik dan memilih sehelai demi sehelai pakaian tersebut.

"Haaa, ni. Cantik sangat! Mesti sesuai dengan aku." Hazura tersenyum girang lalu mengeluarkan sehelai dress panjang yang berwarna ungu muda lalu dibawa mendekati sebuah cermin dinding. "Cantik, aku nak yang ni jelah. Mesti Fatin terkejut nanti!" pakaian yang tersarung pada tubuhnya mula ditanggalkan sebelum terkial-kial menyarungkan dress ungu tersebut semula pada tubuhnya. "Issh, susahnya nak pakai baju ni."

"Sayang, you masih kat sini?"

Grrlllupp!
Hazura tersentak mati ketika mendengar satu suara garau tiba-tiba kedengaran dari arah mana, dia tidak tahu. Sudahlah tubuhnya ketika itu hanya bertutup dengan satu set pakaian dalam sahaja. Mati, mati aku!

"Arrggghhh!" kerana kalut, wanita itu terus membuang diri ke atas katil sebelum menarik selimut putih untuk menutup seluruh tubuhnya.

"Shit, kau siapa hahh?! Apa yang kau buat kat sini?!" muncul Tuan Hayrill Iskandar yang juga amat terkejut dengan kehadiran seorang gadis asing di situ, lalu terus sahaja dia mengherdik kuat. Sudahlah keadaan tubuhnya sama sahaja terbuka. Hanya bertuala paras pinggang kerana dia baru sahaja selesai mandi. Rambut hitamnya masih sahaja kebasahan, begitu juga dengan keadaan kulit tubuh sasanya. Untuk seketika Hazura terpana, entah malaun dari mana pula yang mengunci kepala dan matanya untuk terus menatapi penampilan tubuh Tuan Hayrill Iskandar tanpa menyedari dosa.

'Opps, astaghfirullahaladzim, astaghfirullahaladzim. Sedar Hazura, sedar! Kau gila pandang badan lelaki macam tu?!'

"Errr...so...so...sa...saya...minta..."

"Kau siapa?! Siapa yang benarkan kau masuk?!" Tuan Hayrill Iskandar bercekak pinggang dengan riak yang sangat marah sambil berjalan mendekati posisi Hazura. Wanita itu terlihat sedang menunduk wajah dengan gigilan tubuh yang dasyat. "Siapa yang bagi..."

Bummmm!
Pintu ruangan itu tiba-tiba sahaja dibuka kasar. Saat itu juga lidah kedua-dua insan itu terkelu. Tiada apa yang Hazura mampu lakukan selain menangis. Otaknya spontan sahaja memainkan wajah-wajah tua yang telah memberi berjuta-juta harapan kepadanya. Raut senja sang ayah yang selalu lelah bekerja menahan panas di sawah demi sesen dua hanya kerana mahu anak kesayangan berjaya memiliki segulung ijazah. Wajah tua penuh dengan kasih sayang sang ibu pula yang selalu bersusah payah bangun awal setiap pagi, berniaga nasi lemak dan kuih muih di tepi jalan juga demi sesen dua hanya kerana mahu merealisasikan impian anak tunggal mereka untuk menjadi seorang insan yang berjaya. Tidak pernah kurang walau sedikitpun kasih sayang dan didikan agama oleh dua insan tua itu kepada Hazura. Sesungguhnya, merekalah orang tua yang terbaik.

"Hayrill, apa yang kamu dah buat ni?!" satu suara jerkahan lantas mematikan lamunan sayu Hazura. Esakannya semakin menjadi-jadi ketika melihat beberapa insan lain sedang memandang ke arah mereka dan sudah pasti dengan tatapan yang sangat menjijikkan. Di antara insan-insan itu, juga ada Fatin dan Fatiya, sahabat baiknya.

"Astaghfirullahaladzim, Hayrill. Kamu sedar tak dengan apa yang kamu dah buat ni?! Kamu dah gila ke?" Puan Sharifah Hamnah menekup mulut tidak percaya. Air mata seorang ibu itu mula berjuraian melimpahi pipi. Kecewa, hampa! Di mana mereka mahu menyembunyikan wajah?

"Tak, tak. Semua ni tak betul. Saya...tak sentuh dia pun. Kami...kami...cuma..."

"You! Betina tak guna, tak tahu malu! Pelacur! You dah buat apa dengan suami i, hahhh?!" entah bila muncul pula seorang wanita elegan lalu menyerang Hazura tanpa belas, juga tanpa amaran. Saat itu, Hazura hanya mampu terkaku. Tidak melawan, tidak juga bersuara selain meneruskan esakan kerana dia amat takut.

"Sayang, i boleh...explain. Semua ni tak betul! Dia ni yang..."

"You tipu! You tipu i, Hayrill. You sedar tak dengan apa yang you dah buat dengan betina mentah ni?" dada telanjang Tuan Hayrill Iskandar ditumbuk bertalu-lalu sebelum memalingkan wajah ke arah Hazura. Kalau you nak duit pun, jangan jual badan!" Rashida menjerit sebelum menarik semula rambut panjang Hazura dengan sangat kuat.

Sakit? Ya, memang sakit tetapi sakit itu tidak separah bisa sakit malu di dalam hati. Maruah? Air muka? Semuanya sudah tiada!

"Fatin, tolong aku. Tolong..." Hazura akhirnya mampu bersuara namun amat terketar-ketar. Harapannya hanya pada Fatin, namun wanita itu sedikit pun tidak memandang ke arahnya.

"Mana papa nak letak muka Hayrill? Mana?!"

"Saya tak buat semua tu, pa! Benda ni salah faham je! Perempuan ni yang masuk tanpa kebenaran. Saya tak kenal pun dia ni siapa! Allah, sayang! Percayakan i, please..." Tuan Hayrill Iskandar mahu menarik dan memeluk tubuh isterinya, sekaligus mahu menjauhkan Rashida dari terus-terusan menyerang Hazura, namun wanita itu tetap sahaja menggila. Dia mengerjakan seluruh tubuh Hazura dengan sangat kejam sehingga keadaan menjadi semakin kacau dan huru-hara.

"Sayang, dah. Dengar dulu i..."

"I bunuh pelacur ni! Betina tak tahu malu!"

"Rashida, berhenti! Papa kata berhenti!" seluruh ruangan itu mula lengang dan sepi. Hanya esakan Hazura yang masih kedengaran memecah, namun bunyi itu juga sangat halus. Rashida yang tadinya mengganas juga spontan mengkakukan tubuh. Tiada siapa yang akan berani menentang lelaki tua yang memiliki kuasa tersendiri itu. "Papa tak kira Hayrill, sama ada kamu setuju ataupun tak, kamu mesti bertanggungjawab. Papa nak kamu, kahwin dengan Hazura. Jangan malukan keturunan kita!"

Jeda. Semuanya langsung kematian kata. Ketika itu juga, Hazura terus memanggung wajah basahnya. Akan kiamatkah alam sebentar lagi? Bagaimana dia yang hanya baru sahaja berusia 23 tahun mahu menjadi isteri kepada lelaki yang jauh lebih tua daripadanya? Tua bukan sedikit angka tetapi berpuluh-puluh jauhnya. Bagaimana pula dengan penerimaan orang tuanya nanti?

"Gila ke? Saya tak kenal pun dia ni siapa, pa dan sumpah, saya tak sentuh sikit pun dia! Kau siapa hahhh! Cakaplah yang semua ni tak betul! Sayang, percayakan i. I tak buat!" bersungguh-sungguh Tuan Hayrill mempertahankan diri, walau caranya terlihat amat kalut dan kacau bilau. Walau apa pun yang berlaku, dia tidak akan mungkin mahu mengahwini wanita asing itu kerana hanya seorang wanita sahaja yang layak mendiami hatinya iaitu Rashida, isterinya sendiri.

"Papa tak kira, jangan malukan papa. Kamu pilih, kahwin dengan Hazura atau kamu tahu kan, apa padahnya melawan cakap papa." usai meluahkan kemurkaan, Syed Ibrahim terus pergi meninggalkan ruangan itu diikuti dengan isteri dan orang-orangnya.

"I tak sangka, you sanggup buat i macam ni Hayrill. You sanggup tipu i, khianati cinta i pada you! Pergi matilah korang dua! You dengan pelacur mentah ni sama je!" Rashida juga ikutan mengangkat kaki dan yang tersisa hanya bakal sepasang bakal pengantin tanpa rela itu bersama Fatin dan Fatiya.

"Argghhh, tak guna!" Tuan Hayrill meraup wajah. Rasa sesal dan kecewanya banyak berbakul-bakul namun tiada apa lagi yang mampu dilakukan. Sepasang gaun ungu yang sudah terjatuh di atas lantai lantas dicapai lalu dihulurkan kepada Hazura. "Pakai ni, lepas tu...pergi." ujarnya perlahan dengan nada yang terketar-ketar sebelum membawa diri ke ruangan mandi.

"Ak...aku tak buat! Aku tak buat semua tu, Fatin. Fatiya, tolonglah percayakan aku! Ak...aku tak nak kahwin dengan dia tu. Aku...Aku..."

"Dah, cepat. Pakai dress tu. Lepas tu, ikut kami." Fatin pura-pura memujuk sebelum bercurian mengoyak senyuman licik dan menang.

Thanks untuk sokongan dan komen. Muaahh!

Share this novel

Cahaya Fillah
2022-04-13 14:08:59 

Nur Ekah
2022-03-31 22:44:51 

bbp novel suami bayangan dh x published ekk?


NovelPlus Premium

The best ads free experience