Balik kampung

Drama Series 421991

"Wei Nura"

Aku mengangkat kening pada Iman yang memanggil tadi. Makin kacak pula laki orang depan aku ni sejak balik dari Sabah. Dia beli kolagen rumpai laut ke kat sana? Sampai hati tak bagitau aku. Aku pun nak cantik juga, glow glowing gitu.

"Kau attend tak esok ni?", soalnya.

"Tak la. Kan aku dah cakap nak balik kampung. Dah beli tiket pun", jawabku mengeluarkan tiket bas dan kutunjuk pada Iman dari jauh.

Tanpa sempat aku simpan, tiket ditarik dek Arif Fahmi yang muncul tiba tiba. Pasti dia mahu ke bilik perbincangan yang kini telah menjadi bilik operasi sementara.

"Kampung kau kat sini? Turun depan stesen minyak kan?", tanya Arif memandang wajahku dengan penuh yakin setelah membaca destinasi yang tertulis pada tiket.

"Haah". Anggukku curiga. Seperti dia tahu lokasi kampung aku. Tapi dah dia pun kerap menjelajah Malaysia, pasti la dia tau semua ni.

"Jauh tak nak ke rumah lepas turun dari bas?", soalnya seolah olah boleh membayangkan tempat itu.

"Tak. Dalam setengah jam kalau jalan kaki. Eh.. mana tau turun kat stesen minyak?", soalku membalas.

Arif tersenyum dan memberi semula tiket padaku.

"Rugi kau tak datang esok Nura. Banyak makanan", ujar Zal dari belakang Arif.

"Takpe. Mak aku masak lagi sedap", jawabku memotong keinginan Zal memancing aku untuk ikut bersama mereka. Aku dah rindu separuh mati kat mak, takdenya makanan hotel lima bintang boleh tandingi.

"Serius sedap? Aku ikut kau balik la. Tiket ni aku koyak. Esok lepas event, aku drivekan kau balik kampung", ujar Zal merampas tiket bas dari tanganku.

"Hoi.. kau cuba la koyak", kataku sudah memegang pemberat kertas bentuk beruang dan bersedia untuk melempar padanya.

"Hahahahaha.. ok ok tak. Tapi kau janji bawa balik lauk mak kau masak bagi kami rasa", kata Zal memulangkan tiket basku sambil tersengih. Beruang keras itu Zal ambil dan diletak ke atas meja perlahan lahan.

"Enak enak saja minta lauk. Kau suruh la tunang kau masak", balasku menjeling pada Zal. Sempat aku jelirkan lidah sedikit.

"Alaaaahhh.. dia pun macam kau. Lesen L bab masak masak. Garam tu selalu terlebih, pelik aku. Tau la nak kawin.... tapi aku tak nak la kena darah tinggi muda muda ni", rungut Zal.

"Sedapnya pegawai JPJ Zal bagi lesen. Nanti aku bagitau cik tunang kau", balasku. Kurang kurangnya tunang Zal boleh juga masak. Aku ni lagi haru. Takat rendam megi tu boleh la. Misi mencari suami seorang chef bermula.. cewahhh!

"Ermm.. buat apa lagi tercongok kat meja Nura ni? Dah tukar venue ke kita?". Tiba tiba Wati bersuara berjalan terus menuju ke bilik perbincangan.

****

"Mak, ni boss kakak suruh bagi kat mak". Aku hulurkan satu set kerongsang kecil dan besar diperbuat dari mutiara Sabah berwarna putih susu.

"Cina tu? Baiknya. Dah la bagi elaun. Kakak pergi ikut shooting bagi duit. Buat passport bagi duit. Ni bagi hadiah pulak. Kakak ada apa apa dengan dia ke? Pelik sangat mak rasa. Tua ke muda Cina tu? Kalau dia berkenan dengan anak mak ni, suruh dia sunat dulu", tanyanya tanpa memandangku. Aku menepuk dahi.

Dibeleknya kerongsang mutiara tersengih sengih. Suka la tu dapat hadiah mahal. Aku beli juga untuk ahli keluarga tapi yang murah murah je. Budget lari. Kalau budget tu berjalan, boleh juga aku kejar dan tangkap, ikat kuat kuat.

"Mak!!! Apa ni sunat sunat pulak. Bukan Mr. Yong la. Ni boss yang kakak ikut shooting. Encik Arif. Dia la yang bagi. Ni ikan bilis mata biru pun dia belikan untuk mak". Aku letakkan sebungkus ikan bilis seberat sekilogram di atas riba mak.

"Arif pulak? Banyak sangat bagi kat mak ni. Bukan murah benda benda ni. Kat kakak dia bagi apa? Cinta?", tanya mak sambil ketawa. Suka sangat la menyakat aku.

"Ishhhh mak ni... siapa yang nak kat anak mak ni? Tak serupa perempuan. Dah la kasar. Montel pula", jawabku. Lelaki sekarang ramai tengok fizikal, rupa cantik, pandai berdandan. Siapa nak dengan aku ni. Sebenarnya nak pakai bedak pun malas.

"Haaa.. sedar pun diri. Ubah ubah la jadi perempuan. Dulu elok elok pakai baju kurung, pakai blaus. Tetiba tukar pakai baju kemeja kotak kotak, t shirt kat dalam dengan seluar jeans koyak. Macam tak berduit sangat", sindir mak keras. Berdesing teling aku. Bukan sekali dua mak cakap begini.

"Ala mak ni", bidasku mengeluarkan beberapa kotak kecil berisi kerongsang dan butang baju melayu mutiara untuk adik beradik dan ipar duaiku.

"Pengemis je pakai koyak koyak ni", ujar mak lagi.

"Ishh.. mana der. Fesyen la", balasku.

"Dah kalau rupa macam ni, agak agaknya rupa bakal suami kakak macam mana? Rasanya ah kong jual ikan kat jeti tu pun tak nak pandang", soal mak memandang tepat wajahku serius.

"Mak!!!!".

*****

"Mak!", seruku sewaktu melabuhkan punggung di depan mak. Aku yang terlewat bangun. Waktu mak bangun sebelum azan subuh berkumandang, aku sedar tapi konon konon tunggu lagi 5 minit. Sudahnya jadi sejam.

"Apa dia?", balas mak mengangkat kening sebelah ala ala Ziana Zain pulak mak ni. Tau la kening tu cantik dihias rapi. Kalah kening aku.

"Anak anak Mak Long Yam tu kerja bagus bagus yer? Kakak nampak kereta besar besar kat laman dia semalam masa lalu berjalan balik". Tangan aku pantas mengambil pisau yang mak letak sebaik aku bersuara. Bawang kecil aku kupaskan kulitnya. Entah apa mak nak masak pagi ni.

Mak bingkas bangun, berjalan ke periuk nasi. Pasti ada nasi sejuk lebihan semalam. Yeayy.. mesti nasi goreng cili api.

"Kenapa ikut jalan tu? Kan ada jalan lain", kata mak sedikit tinggi suara, dijelingnya aku sekilas lalu.

"Mak tak tau apa apa pasal diorang. Biarkan. Jangan dia tak kacau keluarga kita, cukup. Ni pun mujur dia tak ganggu kita duduk rumah pusaka tok", ujar mak tanpa memandang aku.

"Mak Long tak jemput mak ke? Kakak tengok ada tiga khemah kat laman rumah dia. Ada majlis apa?", sengaja aku tanya lagi. Yelah, mana tau kan mak pura pura je tak tahu.

"Elok tak jemput. Takde la mak rasa bersalah kalau tak pergi", balas mak mendatar. mungkin bosan dengan pertanyaan aku.

"Mak, kenapa maklong Yam nak kacau kita dok rumah atok. Ni kan rumah tok, ayah mak. Dia cuma anak buah tok je. Eh.. anak buah menantu. Paklong Sudin, anak buah tok yang betul ermmm, kandung. Patutnya maklang ke pakngah ke yang kacau mak. Ye lah rumah ni kan rumah mak bapak diorang. Diorang la ada hak. Bukan maklong Yam", kataku tak berpuas hati dengan jawapan jawapan mak.

Apa sangatlah rumah tok ni. Rumah setingkat separuh kayu, separuh papan punya tiga bilik
Satu ruang tamu dan satu ruang makan yang mak kosongkan dari ada perabot. Mak kata senang anak cucu menantu balik. Tidur berselerak kat situ. Ada TV 40 inci, along belikan semasa mak pindah dari bandar ke kampung dua tahun yang lalu.

Mak terhenti dari terus meramas nasi sejuk dengan garam halus. Periuk diletak atas meja dan matanya merenung aku. Mulutnya cemberut.

"Kakak, ni kisah lama. Kes berebut tanah antara Paklong Sudin dengan arwah tok. Paklong Sudin kata tanah tok milik arwah bapak dia".

"Eh.. kan arwah tok Muda bapak Paklong Sudin tu banyak tanah sawah, Onyang bagi. Tapak rumah saja tiga lot", ujarku cuba mengingati cerita cerita lama yang heboh satu ketika dulu. Tok Muda anak paling tua Onyang. Manakala ayah mak, atok aku la tu - anak lelaki bongsu Onyang.

"Ye. Onyang bagi tanah depan kampung tu pada Tok Muda. Dia yang minta, dia nak tanah tu sebab dia anak sulung. Tanah sawah tu pun banyak sebab anak dia ramai. Banyak mulut nak kena suap. Atuk kakak dapat tanah hujung kampung dekat hutan".

"Dah tu, kenapa Paklong Sudin sibuk nak tanah tok?", soalku kehairanan.

"Dia dapat tau kerajaan nak buat projek lebuhraya kat sini. Masa tu ada ura ura kata tanah tok ada terkena sekali. Tu sebab dia nak sangat tanah tok sampai..."

Mak termati kata. Air matanya bergenang.

Aku yang dah selesai memotong bawang dan cili api segera bangun dan memeluk mak erat. Terdengar sedu mak.

Aku masih ingat, kami dari kota pulang ke kampung lewat malam keramat itu. Kami adik beradik sudah tidur lena, tiba tiba mak datang mengejut kami dalam keadaan cemas.

"Bangun bangun. Masuk kereta. Siapa nak kencing, pergi cepat. Kita nak balik kampung. Tok dengan wan tenat".

Kami adik beradik yang terpisat pisat, terus cerah biji mata bila dengar khabar tok dan wan. Natijahnya, satu bilik air dua orang sekali masuk. Takde segan dan malu. Punya la nak cepat, sebab tak sanggup dengar mak menangis dan abah dah hidupkan enjin kereta.

Setibanya di rumah tok, mak meluru masuk meninggalkan kami. Tok dan wan kami lihat sudah terbujur kaku, dilitupi dengan kain batik lepas di tengah rumah. Tudung putih yang menutupi wajah tok dan wan, mak singkap. Aku duduk bersimpuh di sebelah mak. Sibuk nak tengok juga muka wan. Ada sisa darah kering seperti sudah dikesat di hujung bibir wan. Begitu juga dengan tok.

Mak mengensot ke sebelah maklang selepas memeluk dan mencium tubuh yang kaku itu dalam deraian air mata, "teruk ke tadi?"

Maklang mengangguk, "Sapra meja makan kaklang dah rendam dalam besen. Silap gaya, macam nak kena buang. Mail dah mop lantai dapur arwah".

"Sejak bila muntah berdarah ni?"

"Entahlah. Kaklang datang petang tadi hantar kuih ketayap, elok je sihat. Takde nampak sakit. Batuk pun tak. Cumanya, apak balik dari masjid marah marah, katanya Sudin kurang ajar. Dijengkalnya muka Sudin kat masjid tadi. Kata apak, tak cukup dengan tanah yang ada, tanah aku pun dia nak memunya. Kaklang ada terdengar minggu lepas Sudin pergi pejabat tanah nak potong nama apak kat geran. Tapi tak dapat. Tu yang dia suruh apak bagi tanah kebun tu, dia nak bayar RM500".

Kemudian maklang berbisik pada mak, "Mail cakap apak ada bawak balik nasi briyani, sedekah tahlil tadi kat masjid. Tak habis pun mak dengan apak makan. Penuh darah pinggan tu. Mujur abang Jali lalu, baru balik dari kerja. Dia buat OT lepas kerja tadi. Dia yang dengar mak dengan apak batuk kuat, tu dia jenguk kat tingkap tepi pintu dapur lepas parking motor. Dia cakap mak dan apak muntah darah ibarat air terjun".

Aku hanya pasang telinga tapi tak faham apa ketika itu.

Share this novel

Hana
2019-09-23 17:00:16 

mak paling besttt...hahaha...


NovelPlus Premium

The best ads free experience