Bab 1

Romance Series 4350

“Bismillahirrahmannirrahim.”

Terus Khairul menyedut air minumannya. Aku yang duduk dihadapannya cuma memerhati. Khairul tiba-tiba mendongak lantas pandangan kami bertemu.

“Awal kau balik hari ni. Baru pukul tiga setengah ni.” Khairul bersuara sambil melihat jam di tangan kirinya. Aku menghela nafas berat.

“Saja balik awal hari ni. Letihlah selalu OT.” Balasku memberi jawapan.

Tiba-tiba mataku terpandang seorang lelaki yang sedang berjalan dibelakang Khairul. Berpakaian kemas dengan kemeja berwarna biru, bertali leher dan berseluar hitam. Kekasih siapalah agaknya, ya? Mesti anak orang kaya. Hatiku lantas menganalisa pemuda tersebut kerana kelihatannya agak bergaya dan bukan biasa-biasa seperti orang kebanyakan.

“Habis selalu kau balik waktu malam-malam tu, kau OTlah, ya?” Suara Khairul tiba-tiba kedengaran. Segera aku mengalihkan mataku kembali ke arahnya.

“Macam itulah,” ringkas jawapanku. Sekali lagi aku menghela nafas. Aku membuang pandang ke sebelah kiri. Kelihatan kenderaan meluncur di jalanraya. Anak mataku kaku sebentar dan kemudian mataku meliar memerhatikan kedudukan restoran ini yang agak strategik kerana berada di tengah-tengah pusat bandaraya.

“Bolehlah kau join aku petang ni.”

“Pergi mana?”

“Skate park. Selalunya kau balik dah malam. Ni dah kau balik awal, bolehlah kau tengok aku main skateboard, kan? Dah lama aku teringin nak bawa kau. Jomlah!” Pelawaan Khairul benar-benar menarik perhatianku. Khairul membetul-betulkan topi yang dipakainya.

Kami bertemu pandang. Khairul menyedut minuman Neslonya yang sudah tinggal separuh. Tiba-tiba kedua-dua keningnya terangkat-angkat sebagai isyarat menanti jawapanku.
Aku membentuk-bentuk bibirku seraya mengeluh berat.

“Kenapa kau ni? Dari tadi tak banyak cakap pun. Tak macam selalu. Cerialah sikit. Selalu kalau kau jumpa aku, kau tak macam ni pun. Kau ada masalah ke? Kau cerita jelah kat aku. Inshaa-Allah aku boleh tolong.” Khairul terus senyum bagi meyakinkan aku bahawa dia adalah sahabatku yang sejati. Iya ke sahabat sejati? Aku senyum pahit.

“Yana, kau ni kenapa? Aku gerak kejap lagi. Lambat sikit sebab member aku ada hal sikit pergi make-up kereta dia. Kau ikut aku, ya?” Khairul mempelawa lagi sambil menyedut minumannya.

“Mana ane ni? Air aku takkan tak siap-siap lagi? Hish, dahlah tengah letih pastu macam nak mati kedahagaan rasanya ni.” Aku merungut setelah tidak mampu lagi menahan kemarahanku dihati. Jemari kiriku terus mengetuk-ngetuk meja. Aku menarik nafas cuba menahan kesabaranku.

Tiba-tiba Khairul berpaling ke tepi dan tersembur air minuman yang ada didalam mulutnya. Aku agak terkejut. Dia tersedak-sedak dan ketawa kecil sambil mengelap mulut. Aku hairan melihatnya.

“Kau ni, kenapa?" Terus aku menyoal.

Tiba-tiba kedengaran bunyi seretan kerusi dimeja sebelah. Aku pantas mengalih pandanganku kearah bunyi tersebut. Kelihatan seorang lelaki sedang berdiri sambil membersihkan bajunya.
Lelaki kemeja biru tadi!

Khairul tersembur tadi terkena pada dia ke? Aku lihat wajah lelaki tersebut berkerut. Sama ada marah, kesal atau kedua-dua kerana peristiwa tadi. Entah, aku pun tak tahu.

Aku terus memandang ke arah Khairul semula. Dia masih tergelak kecil sambil membetulkan-betulkan topinya.

“Oh, kau bengang sebab air kau tak sampai lagi ke? Pasal itu ke kau tak ada mood ni?” Khairul masih dengan sisa-sisa tawanya. Aku tiba-tiba cemas bila teringat lelaki di meja sebelah. Akankah terjadi pergaduhan?

“Khairul…” Aku agak cemas ketika itu cuma mengerutkan wajahku terhadap Khairul tanda aku agak marah dengannya.

“Rilekslah, Yana. Aku terfikir juga tadi, lama dah kau order tapi tak sampai-sampai air kau, kan?” Khairul terus bersuara seraya menggeleng-gelengkan kepalanya.

Aku memandang semula ke arah lelaki tadi. Dia melangkah ke arah mejaku! Khairul ni sajalah cari pasal. Aku merungut tadi bukannya apa sangat tapi dia tersedak sampai nak bawa bala pula! Aku sempat menyumpah didalam hati. Aku lihat keliling dalam sekali imbas. Beberapa pelanggan sedang memerhatikan kami dan entah apalah yang bermain difikiran mereka.

“Yana..” Tiba-tiba Khairul memanggil namaku. Aku mendongak kerana dia sudah berdiri. Lelaki tadi kini sudah berada disebelahnya.

“Ni sepupu aku, Daniel.” Kata-kata Khairul benar-benar memeranjatkanku. Adakah ini satu kebetulan? Benarkah ini?

Aku memandang lelaki tersebut dan segera bangun. Dia senyum dan seraya menghulurkan tangannya untuk menyalamiku. Aku terus menyambut huluran tangannya sambil tersenyum.

“Daniel, kenalkan ni kawan baik aku. Liyana.”
Khairul terus memperkenalkanku kepada Daniel.
Sesaat berlalu, genggaman tangan aku dan Daniel terlerai. Daniel tiba-tiba menepis-nepis bajunya yang terkena semburan air Khairul tadi. Aku lihat ada sedikit kekotoran disitu.

“Sorrylah, Daniel. Aku tak sengaja. Member baik aku ni buat lawak tadi.” Khairul tiba-tiba ketawa kecil. Aku menjelingnya sambil mengeleng-gelengkan kepalaku. Daniel menghela nafas lemah.

“Agak-agaklah kau ni.” Tiba-tiba Daniel bersuara.

Wah, garaunya suara dia! Kira padanlah dengan penampilan dia yang macho tu. Khairul yang mendengar kata-kata itu terus tersengih.

“Yana, Daniel ni kira sebaya kita jugalah,” Khairul menerangkan kepadaku. Aku cuma mengangguk.
Sebaya?
Tapi nampak berbeza dengan Khairul. Dari segi pakaian apatah lagi dari segi tingkahlaku. Khairul orangnya seorang yang suka bergurau, peramah dan selalu bersikap selamba. Tapi dari perkenalan aku dan Daniel yang baru beberapa minit tadi dapat aku lihat Daniel berperwatakan serius. Cover macho pun ada juga.

“Ha, Daniel! Jarang aku nampak kau lepak sini. Dari mana tadi? Kau seorang saja ke? Mana kau parked kereta kau?” Soalan-soalan Khairul tidak sedikit pun mengundang riak diwajah Daniel, sebaliknya aku yang berkerut.
Banyak pula soalan Khairul ni. Detik hatiku.

“Saja lepak sini. Kereta aku ada dekat sana.” Suara Daniel tenang sahaja sambil menoleh sedikit ke arah kiri. Bebola mataku turut mengikut gerakan kepalanya. Khairul juga menjenguk-jengukkan kepalanya.
Kelihatan beberapa buah kereta sedia terparkir di tempat letak kereta diluar restoran. Mana satu kereta dia, ya? Ada empat buah kereta yang ada disitu iaitu dua buah kereta Perodua Myvi yang berwarna ungu dan putih dan sebuah kereta Honda Civic berwarna merah hati. Sebuah kereta lagi adalah jenama Peugeot berwarna biru metalik. Itukah keretanya? Kalau lihat pakaiannya saja, mungkin jangkaanku tepat. Eh, gaya pakaian ada kaitan ke dengan jenama kereta?

“Okaylah, aku blah dulu. Jumpa lagi.” Tiba-tiba Daniel bersuara sambil menghulurkan tangannya kearah Khairul. Khairul menyambut hulurannya dan mereka bersalaman.
Aku cuma memerhatikan tingkah mereka dihadapanku. Khairul cuma mengangguk-anggukkan kepalanya.

Daniel melambaikan tangannya kepada seorang pelayan yang berada tidak jauh dari meja kami. Segera pelayan itu datang menghampiri.
Daniel segera mengeluarkan beg duitnya dari poket belakang seluarnya. Dia mengambil sekeping not berwarna jingga dan menyimpan kembali beg duitnya. Pelayan tadi kini sudah sampai kepadanya.

“Keep the change.” Itu sahaja kata-katanya sambil menuding jari kearah meja sebelah yang didudukinya tadi. Pelayan tersebut cuma mengangguk selepas mengucapkan terima kasih. Daniel menepuk lembut bahu Khairul. Dia memandangku.

“Okay, see you,” ucap Daniel ringkas namun matanya tak lepas dari memandangku. Kemudian dia terus pergi.

Aku sempat berfikir. Dia membayar dua puluh ringgit hanya untuk segelas jus oren di restoran mamak ni? Bukanlah mahal sangat pun harga jus oren disini macam harga minuman di hotel. Kaya sangat ke dia tu atau memang begitu sikapnya? Sikap yang suka bersedekah atau dia cuma bersikap berlagak dihadapanku?

“Macha, tadi kawan saya order apple juice sampai sekarang tak dapat-dapat lagi. Mana air kawan saya ni?” Tiba-tiba Khairul bersuara.

Fikiranku tiba-tiba terbejat apabila mendengar Khairul bersuara. Hilang sudah semua perkara tentang Daniel tadi.
Pelayan yang ditegur itu tiba-tiba menggaru-garu kepalanya.

“Nanti sekejap, ya,” jawabnya dengan wajah serba salah. Dia terus pergi. Khairul duduk semula dikerusinya.

“Hai Yana, duduklah. Berdiri lagi kenapa?” Suara Khairul kedengaran lagi. Aku terus duduk sebaik sahaja memandangnya. Khairul mengacau-ngacau air didalam gelas minumannya dengan penyedut minuman.

Tiba-tiba Khairul tersengih panjang.
Aku cuma berdiam diri didepan Khairul. Aku agak terpana sebenarnya apabila melihat Khairul begitu kerana bagi aku senyumannya memang merias wajahnya menjadikan dia tampak lebih tampan. Eh, dia kawan aku sajalah! Jauh pula fikiranku melayang.

“Kau ni kenapa tersengih saja ni?” Aku terus menegurnya. Serasakan agak pelik dengan sikapnya.

“Dah berkenan ke?” Terus Khairul ketawa. Aku mencebik. Berkenan dengan Daniel? Oh, no!

“Kalau lambat lagi air kau sampai, kongsilah dulu air aku ni.” Khairul ketawa lagi.

“Eh, tak naklah aku!” Protesku terus sambil menjelingnya.

“Kenapa tadi kau tak minum je air Daniel? Jus oren lagi! Baru separuh dia minum, kan? Lagipun mungkin kau boleh dapat berkat.” Khairul terus rancak ketawa. Kurang asam betul Khairul ni! Dapat berkat apanya minum air sisa orang lain?

“Kau ni mengarutlah, Khairul.” Marahku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience