“Dah ada dah. Tak apa. Janji hangpa semua happy.” Jawab Nawfal tanpa mempedulikan amarah kakaknya.
“Suka hati hang lah dik.”
“Mak,esok berbuka Afal nak bubur durian boleh? Afal teringinlah mak.” pujuk Nawfal. Terkejut ibunya dengan permintaan itu.
“Boleh je. Tapi, Afal kena cari durianlah esok kat dusun atok. Mak tak dapat nak ‘menyuluh’ sekali esok, mak lenguh kaki nak daki bukit tu. Kak Syimah pulak kalau dia ikut, anak-anaknya mesti nak mengikut jugak. Tu yang payah tu.” Balas Mak Cik Ila.
“Okay je mak…Afal pergi sorang pun boleh” Nawfal tekad untuk mendapatkan buah durian untuk dijadikan bubur durian hasil air tangan ibunya.
“Afal! Bangun nak! Bangun! Jangan tinggalkan mak,nak!” diambilnya kain dan dilapkan darah yang mengalir di pipi Nawfal. Nawfal masih tidak sedarkan dirinya. Ambulan yang membawa mereka memintas laju kereta-kereta yang memberi laluan melalui siren yang terpasang.
Entah bagaimana dirasakan masa berlalu sangat pantas. Nawfal ditimpa durian yang luruh betul-betul atas kepalanya. Dia pengsan tak sedarkan diri. Mujur juga ada hamba Allah yang mengenali Nawfal melalui kawasan dusun tersebut. Pantas sahaja dia menelefon ambulan dan Mak Cik Ila untuk memberitahu perkara tersebut. Hampir sahaja pitam Mak Cik Ila mendengar perkhabaran itu namun disambut oleh menantu dan anaknya Syimah. Rasa bersalah menyelubungi perasaan Mak Cik Ila ketika itu. Sesudah bersahur dan Solat Subuh tadi, terus sahaja Nawfal mohon diri untuk mencari buah durian. Beriya-iya dia hendak mencari seorang diri. Abang Syazrin yang baru sahaja pulang ke kampung tak mahu diganggunya. Sengaja dia bergegas ke dusun durian atoknya untuk mengutip buah durian.
Berita yang disampaikan doktor sebentar tadi menyentap jantungnya. Nawfal disahkan koma. Ahli keluarga diminta untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Namun, segala persoalan yang ingin dirungkaikan sebelum ini sudah pun terjawab. Tatkala mereka berdukacita dengan berita koma Nawfal, sekali lagi berita yang disampaikan oleh doktor bertugas hampir sahaja merobek isi jantung mereka. Rupa-rupanya Nawfal telah lama menghidap leukemia dan Nawfal hanya sekali sahaja melakukan rawatan untuk menyembuhkan penyakitnya. Oleh disebabkan hal itu, Nawfal hanya menunggu masa untuk kembali kepada Yang Esa kerana imunisasi badannya begitu lemah.
Share this novel