ESHAN dan Marissa merupakan kawan baik. Mereka sudah lama berkawan, bermula dari sekolah rendah, dan mulai rapat selepas tamat SPM. Walaupun masing-masing menyambung pengajian di universiti yang berlainan dan lain negeri, namun hubungan mereka tetap rapat dan sentiasa berhubung. Malah, hubungan itu semakin rapat apabila kedua-duanya bekerja di negeri yang sama. Banyak hal yang mereka kongsikan, dari hal cinta, kerja, kawan-kawan dan hal keluarga. Tidak ada satu rahsia pun di antara mereka. Walaupun mereka rapat, keluarga mereka tidaklah sebegitu rapat atau mengenali. Cukup hanya mereka tahu yang Eshan dan Marissa ini adalah kenalan sekolah.
Kini, kedua-duanya sudah menginjak usia 29 tahun. Namun masih bujang dan ada kisah cinta sendiri. Sehinggalah pada suatu hari, Eshan menyuarakan idea ‘gila’ kepada Marissa.
“Mar, jom kita kahwin?” soal Eshan. Marissa tersedak. Gelas diletakkan semula di meja sambil menepuk-nepuk dadanya.
“Eshan, aku tahu kau dah banyak kecewa dengan perempuan dan aku pun sama, tapi jangan disebabkan tu, kau nak buat keje gila macam ni?!” Marissa menjegilkan matanya ke arah Eshan. Sungguh dia tak sangka sampai begitu sekali Eshan boleh terfikir untuk menamatkan zaman bujangnya. Eshan hanya bereaksi biasa. Dia sudah menjangkakan yang Marissa akan respons sebegitu.
“Mar, kita ni dah makin berumur. Semua yang kita kenal, bercinta, siap bertunang lagi kau tu, semuanya tak lekat dengan kita. Yang kekalnya apa, kau dengan aku je.” Eshan menghembus nafas.
“Jadi, apa kata kalau kita kekalkan hubungan ni dengan hubungan yang halal? Aku dah kenal kau lama, kau pun dah tahu baik buruk aku. Tiada rahsia antara kita Mar.” Sambung Eshan lagi.
“No Eshan! Kau jangan nak mengarut. Kau ingat kahwin ni benda main-main ke? Hanya sebab kita dah kenal lama, aku tahu kau, kau tahu aku. Tak semestinya kita kena kahwin dan berjodoh. Aku tak suka kau merepek macam ni lagi.” Marissa membentak. Dia bangun dan terus menuju keluar dari restoran meninggalkan Eshan di meja itu. Eshan hanya memandang kosong pemergian Marissa.
Sudah dua minggu peristiwa itu berlaku. Dua minggu jugalah mereka tidak berhubung. Eshan memandang telefonnya. Masih tiada notifikasi dari Marissa. Telefon tidak berangkat, WhatsApp tidak dibaca. Akaun sosial media Marissa juga tiada apa-apa posting baru, baik di Instagram, Fac dan status Whatsapp. Lama benar Marissa merajuk dengannya kali ini. Serba tak kena dibuatnya. Makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena. Dah rupa orang angau bercinta. Tapi masalahnya dia bukannya bercinta denga Marissa!
“Aish, tak boleh jadi ni. Aku kena jumpa dengan Marissa. Lagipun ni salah aku jugak, bagi idea gila, maunya tak mengamuk dia.” Eshan bersiap ala kadar. Rumah mereka tidaklah begitu jauh. Hanya mengambil masa 10 minit. Jam menunjukkan pukul 9.15 malam. Masih awal lagi dan pasti Marissa ada di rumahnya. Kunci kereta diambil dan laju kereta itu keluar meninggalkan perkarangan rumahnya.
- - - - - - - - - - - - - - - - - - -
Kereta Myvi biru ada di halaman rumah Marissa menandakan Marissa ada di rumahnya. Lampu halaman rumah itu juga masih terang-benderang. Eshan tersenyum. Hatinya berdebar. Entah kenapa, terasa bagaikan ingin bertemu dengan cinta hati. Eshan mematikan enjin kereta dan memberi salam.
“Assalamualaikum”.
Tak lama kemudian, pintu dibuka. Kelihatan seorang wanita separuh abad di hadapan pintu. Puan Samsiah, ibu kepada Marissa.
“Waalaikumussalam. Oh Eshan, haa masuklah.” Pelawa Puan Samsiah. Dia menuruni tangga perlahan-lahan.
“Eh, tak apa makcik. Sekejap je saya datang ni. Marissa ada tak makcik?” tanya Eshan tanpa berdolak dalih lagi. Sungguh dia tidak sabar-sabar lagi hendak berjumpa dengan Marissa.
“Oh, Marissa tak ada. Dia keluar.” Jawab Puan Samsiah ringkas.
“Tapi, kereta dia ada tu makcik. Dia keluar dengan kereta pakcik ke?” soal Eshan. Hatinya tak keruan memandangkan dia tahu yang Marissa tak punya ramai kawan.
“Eh, taklah. Kereta pakcik Adam yang guna. Pakcik pulak pergi ke masjid tak balik-balik lagi. Marissa keluar dengan sepupunya, Fahim. Beli barang hantaran. Tak balik-balik lagi.” terang Puan Samsiah. Dia melihat ada riak tak senang di muka Eshan.
“Kenapa tu Eshan, ada apa-apa hal penting ke nak bagitahu Marissa. Nanti makcik sampaikan. Katanya dah nak balik tadi, tapi tak sampai-sampai lagi.” sambungnya lagi.
Eshan diam. Fahim? Sepupu? Barang hantaran? Kenapa dia tak pernah tahu yang Marissa ada sepupu lelaki yang mungkin sama baya dengan mereka? Atau Marissa ada memberitahunya tapi dia terlupa? Dan barang hantaran? Baru gaduh dua minggu Marissa dah jumpa jodohkah? Pelbagai soalan di benak fikiran Eshan. Hatinya resah.
“Eshan? Kamu okey tak ni?” Puan Samsiah melambai-lambai tanganya di hadapan muka Eshan. Boleh pulak mengelamun budak Eshan ni.
“Eh? Haa, tak ada apa makcik. Saja je saya datang nak tanya pasal hal temuduga kerja kat tempat Marissa. Haritu kata ada kosong, ingat nak mintak dia rekemenkan Eryna kat situ. Em, takpelah makcik, kalau macam tu saya balik dululah. Dah lewat malam ni. Assalamualaikum.” Eshan segera masuk ke dalam kereta dan keluar dari halaman rumah Marissa.
Kelihatan sebuah motorsikal berselisih dengannya. Encik Sahak atau lebih dikenali dengan nama panggilan Cikgu Sahak, ayah Marissa. Seorang pesara guru. Dia memandang kereta Honda Civic milik Eshan melunjur laju keluar dari halaman rumahnya itu. Usai meletakkan motorsikal di garaj, dia menuju ke pintu rumahnya. Puan Samsiah masih ada di situ menunggu kepulangan suaminya.
“Itu bukan ke Eshan? Ada apa dia datang malam-malam ni?” soal Cikgu Sahak. Mereka sama-sama beringingan masuk ke dalam rumah.
“Entahlah bang, katanya nak jumpa Marissa. Ada hal kerja katanya.”
“Hal kerja? Bukan ke dia tu arkitek, pelukis pelan, apa kenanya kerja dia dengan Marissa?”
“Katanya nak mintak tolong recommendkan adik dia si Eryna tu kat tempat kerja Marissa.” Balas Puan Samsiah bersahaja.
“Eryna? Dah habis belajar ke adik dia? Bukan sama umur ke dengan Adam? Adam tak habis lagi belajar, takkan Eryna dah kerja?” soal Cikgu Sahak kebingungan.
“Alah abang ni, bukan tak kenal anak bongsu abang tu, dah berapa kali repeat paper, itu yang tak habis-habis lagi belajar. Aih, apa nak jadilah dengan si Adam tu. Haraplah ini semester terakhirnya. Pening saya.” Mereka beriringan masuk ke dalam rumah.
Cikgu Sahak hanya menggeleng mengenangkan anak bongsunya itu. Adam, 25 tahun. Belajar kos ijazah kewangan dan perbankan Islam namun masih belum lulus lagi. Entah di mana silapnya. Anak sulungnya, Anas Sufi sekarang sudah berjaya menjadi seorang pensyarah di sebuah universiti awam di Perak. Sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, sepasang lelaki dan perempuan. Anak keduanya, Ilya Mardhiah, seorang guru sama sepertinya, juga sudah berkahwin dan sedang menantikan kelahiran cahaya mata yang sulung setelah dua tahun berkahwin. Anak ketiganya, Irdina Marissa. Seorang pegawai eksekutif di sebuah syarikat insurans terkemuka di ibukota. Masih bujang, pernah putus tunang sekali dan belum ada tanda-tanda untuk berumahtangga walaupun sudah menginjak umur 30an. Dan anak keempatnya, Adam Sufi. Masih bergelut dengan pelajaran.
“Marissa tak balik lagi? Dah nak dekat pukul 10 ni. Cuba telefon dia tanya ada kat mana sekarang? Walaupun sepupu, tapi tak manis orang kampung tengok. Kita ni rumah dekat-dekat, bukan macam di bandar sana.” Ujar Cikgu Sahak. Jam di dinding menunjukkan hampir pukul 10 malam. Puan Samsiah hanya menuruti arahan suaminya itu.
“Hello, assalamualaikum Mar. Mak ni, ni ayah tanya kamu ni bila nak balik? Dah lewat malam dahni.”
“Waalaikumussalam mak. Haa dah nak sampai dahni, masuk lorong dah.”
“Hah, yelah. Mak tunggu.” Talian dimatikan.
Pin! Pin! Bunyi hon kereta kedengaran. Puan Samsiah dan Cikgu Sahak menuju keluar. Kelihatan kereta BMW 320i menuju masuk ke halaman rumah. Kelihatan Marissa dan Fahim keluar dari kereta. Di tangannya ada dua paper bag kecil jenama Dior dan Swarovski. Mereka berdua berjalan ke arah tangga.
“Pak Ngah, Mak Ngah. Maaflah lama pulak Fahim ajak Marissa keluar. Tak sedar hari dah lewat malam, maklumlah dah lama tak jumpa dengan Mar, banyak benda nak kena catch up.” Terang Fahim.
“Pak Ngah faham kamu baru balik dari oversea. Tapi tak manis kalau orang kampung nampak, walaupun kamu berdua ni sepupu, tapi tetap bukan mahram.” Terang Cikgu Sahak tanpa niat untuk mengguriskan hati anak saudaranya itu. Marissa hanya tersengih-sengih memandang kedua ibu bapanya.
“Sorry abah, jangan marah Fahim. Mar yang lama sangat pilih barang, itu yang lambat tu. Dah alang-alang cari barang hantaran, kenalah cari dan pilih yang betul-betul. Kan, Fahim?”
Fahim hanya tersenyum. Puan Samsiah hanya menggeleng. Kenal benar dia dengan perangai anaknya itu kalau bab membeli barang. Lama sungguh. Jenuh nak menunggunya memilih barang.
“Masuklah dulu Fahim, mak ngah ada buatkan lempeng dengan sambal tadi. Panas-panas lagi.” Pelawa Puan Samsiah.
“Tak apalah mak ngah, dah lewat malam ni. Risau pulak tinggal mama sorang-sorang kat rumah tu. Lain kali ye mak ngah. Fahim balik dulu.”
“Ha, yelah, kirim salam mama kamu. Dah lama dia tak datang sini. Nanti senang-senang kamu datanglah sini dengan mama, boleh kita makan sekali.” Sambung Puan Samsiah.
“InshaALLAH mak ngah. Saya balik dulu. Assalamualaikum.” Pamit Fahim.
Marissa, Puan Samsiah dan Cikgu Sahak masuk ke dalam rumah.
Share this novel