KEMBAR!
Salah satu peristiwa karut dan tidak benar yang aku pernah alami ialah ketika aku menemani ibuku yang dimasukkan ke wad di sebuah hospital swasta. Pada ketika itu aku dan ibu ditempatkan di sebuah wad berkatil enam, tetapi hanya kami berdua yang berada di dalam bilik tersebut. Ketika itu bukan main gembira lagi kami berdua kerana bebas melakukan apa sahaja dalam bilik yang sebegitu luas itu.
Tidak ada apa-apa kejadian berlaku sehinggalah pada hari kedua aku di sana. Ketika itu aku dan ibu terpaksa berada di makmal untuk menjalani beberapa ujian. Pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar menyebabkan ibu tertahan di sana daripada waktu pagi sehingga waktu tengahari. Aku setia menanti ibu sehingga semuanya selesai.
Setelah pemeriksaan selesai, aku dan ibu pulang ke wad dan aku terkejut melihatkan satu bungkusan hadiah berada di atas katil ibuku. Setelah aku amati ternyata hadiah itu datangnya daripada rakan-rakanku sepejabat. Aku pada mulanya tertanya-tanya kenapa mereka tidak menunggu kami tetapi kemudiannya menganggap bahawa mereka mungkin kesuntukan masa. Lagipun kami lama berada di makmal, jadi tentulah mereka ada hal lain yang perlu diuruskan. Jadinya aku tidaklah terlampau memikirkan mengenai perkara tersebut.
Setelah ibu dibenarkan keluar daripada hospital aku ke tempat kerja seperti biasa. Ketika di pejabat, aku mengucapkan terima kasih di atas kesudian mereka melawat ibuku di hospital disamping meminta maaf kerana aku tidak dapat bertemu mereka ketika lawatan mereka. Mereka terkejut kerana mereka sememangnya ada bertemu aku di sana. Malah mereka berkeras menyatakan bahawa mereka sempat berbual-bual panjang dengan aku tentang keadaan ibu. Aku pula yang merasa pening dengan dakwaan mereka itu kerana mereka bersungguh-sungguh benar menegaskan bahawa akulah yang berada di situ.
Pada mulanya aku menganggap mereka bergurau tetapi mereka bersungguh- sungguh meyakinkan aku bahawa mereka ada bertemu dan berbual-bual dengan aku di sana. Setelah beberapa orang berkata sedemikian, aku mempercayai kata-kata mereka tetapi aku tetap menafikan ada bertemu dan berbual-bual dengan mereka kerana ketika itu aku sememangnya berada di makmal dengan ibu.
Peristiwa tersebut menimbulkan kesedikit keributan di pejabat apabila masing-masing mengemukakan pendapat masing-masing sehingga akhirnya perkara itu tergantung begitu sahaja. Tambahan pula semenjak kejadian itu, aku selalu merasakan seperti diekori oleh sesuatu. Bahkan ketika cerita ini ditaip seperti ada sesuatu yang memerhatikan setiap perkataan yang dicoretkan.
Share this novel