BAB 35: Kebenarannya

Drama Series 28608

MAKAN malam mereka riuh rendah dengan bermacam suasana yang berlansung. Berbumbungkan langit berhiaskan bintang mereka ketawa sambil mengisi perut yang kosong dengan pelbagai makanan. Namun juadah utama hari ini ialah BBQ. Baunya sahaja mampu membuatkan liur meleleh apatah lagi rasanya. Sudut karaoke juga meriah dengan lolongan merdu dan tidak merdu daripada segerombolan lelaki dan perempuan di situ. Sementara beberapa orang lelaki mengipas-ngipas daging BBQ yang masih berasap di atas gril sambil tersenyum puas melihat hasil kerjanya. Semua orang tampak gembira dengan senyuman lebar yang terukir di wajah mereka.

Fatin pula? Dia mengambil keputusan untuk duduk sendirian membelakangkan majlis meriah itu di atas tebing batu yang menjadi lantai mereka berpijak. Matanya redup memerhati tingkah laut sementara fikirannya terbang melayang-layang bagai layang-layang yang sudah putus talinya. Terumbang-ambing di langit mimpi.

Nairah hanya memerhatinya daripada jauh. Keluhan kecil dihembus daripada mulutnya sebelum kakinya membuka langkah mendekati Fatin. Kedua-dua tangannya memegang erat cawan-cawan yang terisi dengan air oren sejuk yang menyegarkan. Harap-harap cukup segar untuk menyegarkan fikiran Fatin itu.

Sesekali Fatin akan menoleh untuk meninjau persekitarannya dan setiap kali itu dia akan ternampak Shahir. Hanya duduk di kerusi besi bermeja bulat dan setiap kali itu jugalah secara automatik kepalanya pantas berpaling semula. Mukanya akan dicemikkan tanda menyampah. Kadang-kadang perangainya kelihatan seperti budak-budak. Agaknya dia sengaja buat-buat tak perasan yang dia sudah dewasa.

" Nah. Air untuk kau." kata Nairah sambil menghulurkan satu daripada dua cawan polistrin yang dipegangnya.

Fatin tersentak. Matanya terarah kepada cawan itu. Kelihatan air oren sejuk di dalamnya. Liurnya ditelan kelat. Kering tekaknya mula terasa. Sebenarnya dia malas hendak berjalan ke sudut air jadi apabila air itu sendiri yang sudah terhidang di depan mata, buat apa ditolak? Bak kata pepatah, rezeki jangan ditolak.

" Wah.. Terima kasih." kata Fatin selepas tangannya mengambil cawan itu.

Nairah tersenyum kecil melihat gelagat Fatin sebelum punggungnya dilabuhkan betul-betul di sebelah Fatin. Suasana sunyi seketika. Fatin sedang ligat meneguk air sementara Nairah termenung resah tanpa tujuan. Ada satu soalan yang berlegar-legar di fikirannya sekarang.

" Fatin. K-kenapa kau tak beritahu Shahir perkara sebenar?" tanya Nairah dengan muka bersalah.

Fatin menoleh ke arah Nairah sebelum kembali tertunduk memandang pasir pantai. Keluhan berat keluar daripada mulutnya. Jadi.. Nairah dengar?

SHAHIR termenung sendiri. Pemandangan dari beranda biliknya yang serba indah ini membuatkan fikirannya merantau ke sana-sini.

Sudah hampir setahun dia menjadi suami kepada Fatin Nazihah tetapi kenapa.. Kenapa Fatin sentiasa mengelak daripadanya? Dia tidak bersedia lagi ke? Ataupun ada benda yang terjadi di antara dia dan Fatin? Peristiwa yang menyebabkan Fatin trauma? Peristiwa yang menyebabkan dia hilang ingatan? Dia perlu tahu. Hari ini juga.

" Ha?! Termenung pasal apa tu?" sapa Fatin secara tiba-tiba daripada belakang.

Shahir tersentak sebelum tersenyum kecil sambil memandang telus wajah isterinya itu. Lama juga pandangannya hinggap di wajah Fatin itu sehingga membuatkan Fatin pelik.

" K-kenapa awak pandang saya macam tu?" tanya Fatin dengan kening yang berkerut.

" Mengenangkan honeymoon kita.." kata Shahir dengan nada selamba.

Kening Fatin terus berkerut seribu selepas mendengar kata-kata Shahir itu. Senyuman yang cantik terletak di wajahnya juga kian hilang dari tatapan mata Shahir. Tangannya bersilang memeluk tubuh sambil pandangannya dilontarkan ke arah laut.

" Awak tak payahlah cakap pasal benda macam tu lagi.." kata Fatin.

Kali ini giliran Shahir pula yang berkerut.

" Kenapa pulak? Saya kan suami awak?" tanya Shahir sambil merenung terus ke kornea mata Fatin.

Jantung Fatin berdegup laju. Kini seperti tiada jalan keluar baginya. Dia terperangkap di antara rahsia dan kebenaran. Mungkinkah
kebenarannya akan terbongkar hari ini?

Matanya terus dibawa lari dari pandangan Shahir. Keningnya mula berkerut. Dia takkan beritahu Shahir. Muktamad! Shahir perlu faham.

" Saya kata tak payah. Tak payahlah. Saya tak selesalah. " kata Fatin dengan nada yang menaik seoktaf. Rimas.

Kakinya mula melangkah pergi ke arah katil. Beg tangannya direntap. Shahir yang melihat terus berjalan ke arah Fatin sebelum menarik tangannya membuatkan Fatin menghadap Shahir.

" Fatin. Tolonglah bagitahu saya benda yang betul. Saya tahu ada benda yang berlaku antara awak dan saya sebelum saya hilang ingatan dulu. Sebab tu awak selalu mengelak kan?" terang Shahir sambil memandang tepat mata Fatin.

Fatin mengelak pandangannya. Dia kaku. Dia rapuh. Air mata mula bergenang di empangan matanya. Apa yang perlu dia buat sekarang?

" Fatin. Please." rayu Shahir apabila melihat Fatin resah.

Fatin buntu jadi satu-satunya jalan keluar sekarang ialah lari. Lari daripada Shahir. Dia perlu satukan fikirannya yang sedang berkecamuk itu dahulu sebelum buat apa-apa keputusan.

Pandangannya dibawa menghadap Shahir semula. Fatin menarik tangannya daripada genggaman Shahir. Kakinya pantas melangkah menuju ke arah pintu.

" Fatin! Sampai bila awak nak sorokkankan perkara ni? Fatin!" pekik Shahir.

Fatin terhenti. Kepalanya menoleh sedikit ke belakang. Pekikan Shahir terus diendah. Tangannya menarik pantas tombol pintu biliknya itu. Namun kakinya berhenti melangkah keluar. Matanya membulat. Kelihatan wajah Nairah di sebalik pintu. Pintu bilik serta-merta ditutup.

" Na..Nairah. Bila sampai? Kau tak call aku pun?" tanya Fatin.

Nairah hanya mampu tersenyum kelat.

DETAPAN kasut Nairah memenuhi ruang koridor itu. Hanya tinggal beberapa langkah lagi ke bilik Fatin. Mesti si Fatin tengah membongkang lagi kan? Haih.. Nasib lah dia seorang kawan yang rajin kalau tak dah meninggal kawannya seorang itu.

Akhirnya, kakinya terhenti di hadapan pintu bilik Fatin. Baru sahaja tangannya diangkat untuk membunyikan loceng. Tiba-tiba, keningnya berkerut. Kedengaran seperti pekikan seseorang dari dalam bilik itu tetapi kenapa? Kenapa mereka bergaduh?

Lama kelamaan kepalanya semakin mendekat ke pintu namun sempat ditahan.

" Eh? Tak baiklah kau curi2 dengar macam ni, Nairah! Haih.. Tapi.. Argh! Apa-apa jelah! Fatin kan kawan aku. Entah apalah si Shahir tu nak buat kat dia." bisik Nairah sendiri.

Akhirnya dia kalah dengan sifat kebudak-budakannya. Kepalanya dirapatkan serapat yang boleh ke pintu bilik Fatin dan Shahir. Kalau boleh hendak sahaja dia bocorkan pintu itu. Biar lagi jelas.

Matanya membulat. Terkejut dengan apa yang didengarinya. Fatin tidak bagitahu Shahir? Keningnya berkerut-kerut sambil otaknya memproses maklumat tadi. Kenapa Fatin buat macam itu?

Tiba-tiba kedengaran derapan tapak kaki menuju ke arah pintu tersebut. Nairah terus membuka langkah besar ke belakang sebelum pintu itu dibuka laju. Kelihatan Fatin sedang berdiri dengan riak terkejut di muka pintu sebelum tangannya pantas menutup pintu itu.

Nairah hanya mampu tersengih melihat Fatin. Nasiblah sempat melangkah ke belakang tadi, kalau tidak sudah lama ditengking dek Fatin. Nafas lega dihembus keluar perlahan-perlahan daripada mulutnya.

" SORRY lah Fatin. Aku bukan sengaja nak curi dengar tapi dah aku dengar macam serius je. Manalah tahu si Shahir tu dera kau ke. Si Shahir tu bukannya betul sangat pun sebab tulah aku risau." kata Nairah sambil membuat muka simpatinya.

Fatin masih menghalakan pandangannya ke pasir pantai. Bibirnya tersenyum sinis. Keluhan berat dihembus Fatin.

" Aku tak tahulah kenapa hati ni berat sangat nak bagitahu dia. Aku takut. Takut aku akan kehilangan dia." terang Fatin sambil bermain-main jarinya.

Nairah berkerut.

" Maksud kau?" tanya Nairah.

Fatin menoleh ke arah Nairah sebelum membawa pandangannya kembali semula menghadap laut.

" Takut dia akan jadi macam dulu. Kau tahu kan dulu dia macam mana? Sekarang ni dia sempurna. Baik, penyabar. Kau taknak bila aku terangkan kejadian tu dia akan ingat balik siapa dia." terang Fatin dengan muka yang sayu.

Keadaan sunyi seketika.

" Fatin."

Fatin menoleh ke arah Nairah sebaik sahaja tangan Nairah menyapa bahunya.

" Fatin. Suami kau berhak tahu perkara yang sebenar. Jadi kau mesti juga ceritakan benda ni pada dia. Apa yang berlaku lepas tu, biarlah Allah yang tentukan. Perancangan Allah kan sentiasa yang terbaik. Lagipun aku tahu kau kuat. Allah takkan uji kau kalau kau tak mampu. Kau bagitahu dia eh?" pujuk Nairah dengan lembut.

Sekali dengar sudah macam mak menasihati anak. Namun segala yang diperkatakan Nairah itu betul. Fatin perlu percaya kepada takdir. Kepada Allah. Sesuatu yang semakin pudar tanpa Fatin sedar. Mungkin dia terlalu fikirkan tentang hujan yang datang sehinggakan terlupa akan pelangi yang akan menyusul.

Fatin tersenyum sendiri.

SHAHIR memerhati tajam seseorang di sudut karaoke dengan mata yang tajam sambil tangannya mengangkat cawan ke bibirnya. Idlan.. Sejak daripada tengah hari tadi dia dan Idlan bersaing untuk mendapat tempat pertama di dalam pertandingan Family Day syarikat. Shahir berada di dalam kumpulan merah sementara Idlan pula kumpulan biru. Mereka bertungkus-lumus untuk mendapatkan tempat namun akhirnya berakhir dengan mata yang terikat sama.

Shahir mendengus. Geram. Hatinya sedang panas membara bagai larva gunung berapi. Hanya tunggu masa sahaja untuk meletup. Hal Fatin yang suka berahsia juga menjadi salah satu faktor api kemarahannya membara. Cawan putih polistrin disuapkan lagi ke mulutnya.

Tiba-tiba kedengaran sebuah suara seperti memanggil mereka semua untuk berkumpul.

" Guys! Berkumpul guys! Kita ada announcement nak diberitahu! " kata Amir yang menjadi hos pada malam itu.

Shahir bangun daripada tempat duduknya dan terus melangkah ke tempat orang ramai berkumpul itu.

FATIN dan Nairah masing-masing memalingkan kepala mereka ke arah bunyi suara itu. Kelihatan ramai orang berkumpul di bahagian tengah. Fatin berkerut sendiri.

" Kenapa tu?" tanya Fatin.

" Malam ni ada penyampaian hadiah untuk pertandingan Family Day pagi tadi." kata Nairah selamba.

Fatin memandang Nairah dengan muka buntu. Nampak sangat dia tidak tahu-menahu tentang perkara itu. Yalah, aktiviti-aktiviti sepanjang Family Day ini dirancang oleh Nairah dan staf-stafnya yang lain.

" Jomlah." ajak Nairah sebelum bangun dan menarik tangan Fatin.

Fatin hanya menurut. Dia juga mahu lihat apa yang akan terjadi nanti.

" KETUA kumpulan yang berjaya masuk final tadi, sila kehadapan." kata Amir.

Shahir melangkah ke hadapan. Begitu juga dengan Idlan. Mereka memandang satu sama lain dengan muka yang serius sebelum memandang ke hadapan semula.

" Ok. Disebabkan keputusan bagi pertandingan siang tadi ialah seri antara kedua-dua kumpulan ini. Jadi, mereka perlu bertanding sekali lagi. So, ada apa-apa cadangan tak untuk pertandingan apa?" tanya Amir kepada mereka yang berada di situ.

Suasana sunyi seketika. Masing-masing memikirkan tentang pertanyaan tadi. Tiba-tiba suatu suara muncul..

" Ha! Kita buat pertandingan futsal!" pekik lelaki itu.

" Futsal? Futsal susahlah. Cuba fikir yang senang sikit." kata Amir.

Keputusan untuk menjadikan Amir sebagai hos memang satu keputusan yang tepat. Yalah, takkanlah malam-malam begini mereka hendak berfutsal?

Suasana senyap lagi.

" Apa kata kita buat pertandingan ayat manis!" cadang seorang staf perempuan kepada Amir.

Berkerut-kerut kening Amir memikirkan tentang cadangan itu. Nampaknya cadangan itulah yang paling bernas setakat ini.

" Boleh. Tapi nak ayat ke siapa?" tanya Amir.

Staf perempuan itu melihat-lihat sekeliling seperti mencari sesuatu.

Fatin dan Nairah yang baru sahaja sampai menyelit-nyelit untuk ke hadapan. Sehinggalah mereka timbul di barisan paling hadapan. Kelihatan mereka semua sedang berbincang tentang sesuatu.

Staf perempuan tadi tersenyum nakal seperti sudah menjumpai sesuatu yang dicari tadi.

" Ha! Apa kata macam ni.. Encik Idlan dan Encik Shahir kena mengayatkan Puan Fatin. Siapa ayat dia yang paling manis.. Dialah pemenangnya!" kata staf perempuan tersebut sebelum menurunkan tangannya yang menunjuk ke arah Fatin tadi.

Mata Amir membulat. Mulutnya tersenyum gembira. Cadangan itu memang bernas.

Fatin tersentak. Aku? Berkerut kening Fatin mendengar cadangan itu. Mengarut sahaja cabaran sebegitu. Fatin mengeluh sendiri. Kenapalah dia pergi ke sini?

Shahir dan Idlan masing-masing menganga dengan cadang itu. Ada ke patut mereka perlu mengayatkan Fatin sampai cair? Tidak matang betul! Tidak mungkin cadangan itu akan diterima!

" Ok! Cabaran diterima!" pekik Amir.

Makin luas bukaan mulut mereka. Diterima macam itu sahaja?

Shahir mula resah. Dia baru sahaja bergaduh dengan Fatin tadi dan sekarang dia harus bertanding dengan musuhnya untuk mendapatkan Fatin pula? Bolehkah dia berjaya? Dia tidak kenal Fatin cukup dalam lagi untuk pertandingan seperti ini. Shahir menelan liurnya perlahan. Habislah!

Idlan hanya tersenyum sinis sambil memandang Fatin. Dia tahu segalanya tentang Fatin. Baginya Shahir seperti tiada peluang lansung untuk menang. Dia pasti akan mengalahkan Shahir!

Nairah hanya memandang sayup mereka. Sedikit keluhan terpendam jauh di dalam hatinya. Namun dia tidak kisah! Dia harus kuat. Tidak akan dia tunjukkan kelemahannya di hadapan Idlan.

" Ok. Permainan dia senang je. Peserta pertama akan memberi ayat manis kepada Puan Fatin. Kemudian, peserta kedua pula. Selepas itu, Puan Fatin harus pilih antara mereka berdua. Siapa yang layak untuk berjaya?!" terang Amir dengan bersemangat.

Idlan dan Shahir hanya mampu mengangguk setuju. Pertandingan ini perlu diteruskan untuk menentukan siapa pemenangnya.

" Semua sudah bersedia! Mula daripada Encik Idlan dulu, ya. Satu! Dua! Tiga!"

Mereka semua bersorak riang sementara Idlan mengorak langkah ke hadapan. Shahir hanya memerhati daripada belakang. Hatinya sedikit demi sedikit membara.

" Fatin ialah seorang yang macam tegas kat office. Tapi dia sebenarnya baik. Benda kegemaran dia ialah buat orang tersenyum, tergelak. Tetapi ada satu benda yang dia tidak pernah perasan selama ini.." cerita Shahir satu persatu sambil kakinya melangkah.

Akhirnya kakinya berhenti betul-betul di hadapan Fatin. Matanya memandang redup Fatin. Bibirnya mengukirkan senyuman yang tidak terlalu lebar tetapi tidak pula terlalu sedikit. Senyuman yang cukup manis.

Fatin kaku. Dia hanya memandang Shahir tanpa sebarang reaksi. Wajahnya serius. Pandangan redup Idlan mampu mencairkan hati ramai perempuan tetapi tidak bagi Fatin. Dia tidak cintakan Idlan. Sedikit pun hatinya tidak berdebar.

Nairah hanya melihat adegan di sebelahnya itu. Nampaknya dia sudah jumpa pandangan yang dicari di mata Idlan selama ini. Wajahnya dipaling kan ke arah yang lain. Sekali lagi Idlan berjaya menyakitkan hatinya. Ya Allah, bilakah rasa cinta ini akan hilang buat selamanya? Dia tidak sanggup lagi untuk tersakiti begini..

" Awak tak perasan yang senyuman awaklah yang paling indah sekali sebenarnya. Jadi, tolong jangan berhenti senyum kalau awak taknak hari sentiasa hujan." kata Idlan.

Wanita-wanita di sekeliling mereka berdua sudah tersipu-sipu malu mendengar suara garau basah Idlan mengungkapkan ayat-ayat yang terlebih manis itu.

Shahir menggenggam buku limanya erat. Fatin ialah isterinya dan tiada siapa boleh mengubahnya. Tidak Idlan mahupun orang lain. Setapak demi setapak kakinya maju ke hadapan. Dia sudah tidak tahan lagi dengan sandiwara Idlan. Selama ini, dia hanya tahan perasaan cemburunya daripada datang. Waktu dia memegang tangan Fatin di kedai makan itu dia mampu bersabar lagi. Ya! Dia nampak apa yang Idlan lakukan. Namun sekarang, dia sudah melampau!

Shahir merentap bahu Idlan sekuat hati. Namun tiada tumbukan yang dilepaskan walaupun hatinya sedang membara kepanasan. Dia tahu cara seperti itu tidak akan menyelesaikan apa-apa. Dia hanya mahu mengalihkan pandangan Idlan daripada Fatin.

Idlan yang terkejut dengan perbuatan Shahir tadi merenung Shahir tajam.

" Apa masalah kau ni? Kau tak nampak ke aku tengah buat apa?" tanya Idlan kasar.

Shahir membalas renungan Idlan. Dia tidak takut.

" Kau tu kenapa? Aku tak kisah tau kalau kau nak bagi ayat manis ke apa ke? Aku tidak kisah. Tapi kalau dah sampai macam tu.. Maaflah bro, dia aku punya." kata Shahir tegas.

Idlan tersenyum sinis sambil ketawa sedikit.

Mereka yang lain terdiam dengan tindakan Shahir. Biarlah mereka selesaikan masalah mereka sendiri.

" Kau..cemburu? Huh. Atau kau sebenarnya tahu yang kau akan kalah? Eh, tolonglah! Aku tahu kau tak tahu apa-apa pun tentang Fatin, kan? Kau tu sebenarnya tak pernah cintakan dia pun..."

Shahir menahan amarahnya. Nafasnya mula berombak. Giginya diketap kuat. Pandangan semakin tajam.

" Kau tu.. tak layak jadi suami Fatin!" pekik Idlan.

Satu tumbukan dilayangkan ke wajah Idlan. Mereka semua terkejut. Kebanyakkannya berlari ke arah mereka dan menarik mereka berjauhan antara satu sama lain namun sudah terlambat. Amarah Shahir sudah tidak terkawal lagi. Mereka bertumbuk antara satu sama lain.

Fatin hanya kaku sama seperti Nairah. Namun keningnya mula berkerut. Perasaan marah yang tidak tahu datang daripada mana terus menyelubungi hatinya. Kakinya terus melangkah pantas ke arah mereka berdua.

" Idlan, Shahir stop it."

Kata-kata Fatin seperti angin yang berlalu di antara mereka. Mereka masih bergaduh walaupun sedang ditahan oleh beberapa orang staf lelaki termasuklah Amir.

Nafas Fatin mula tidak teratur. Fatin marah dan pada masa yang sama sedih. Air matanya mula bergenang. Dia marah. Marah dengan diri sendiri. Buku limanya digenggam kuat. Segala kekuatan di dalam dirinya dikumpulkan.

" Shahir stop it!!" pekik Fatin sambil menarik bahu Shahir menjauhi Idlan.

Shahir akur. Nafasnya yang tidak teratur disusun semula. Tangannya mengelap sedikit darah di mulutnya akibat tumbukan balas daripada Idlan sambil matanya memandang Fatin.

Idlan pula membetulkan baju dan rambutnya yang sudah tidak kemas. Mulut yang berdarah dibiar.

Fatin memandang Shahir tidak berkelip. Kelihatan linangan air mata masih ditahan di empangan kelopak matanya.

Sebelum air mata ini menitis, lebih baik dia pergi sekarang. Fatin melangkah pergi, meninggalkan Shahir, Idlan dan mereka yang juga terkejut dengan pekikan Fatin tadi.

" Kau tengok apa kau dah buat! Hisy. Fatin!" panggil Idlan sebelum dia membuka langkah seribu mengejar Fatin.

Shahir berdecit sendiri. Kakinya juga melangkah dengan laju, mengikut rapat Idlan daripada belakang.

Akhirnya mereka bertiga meninggalkan semua yang lain dalam keadaan. Keliru, buntu dan terpinga-pinga. Keadaan sunyi seketika. Sehinggalah kedengaran satu tepukan yang kuat sehingga menarik perhatian mereka semua.

PAK!

Semua wajah memandang Nairah.

" Kamu semua dah boleh jalankan aktiviti seperti biasa. Lagi setengah jam, pukul 11.30, kamu semua sudah boleh berkemas! Pukul 12, saya nak tapak ini sudah kosong tanpa sampah atau benda yang seangkatan dengannya. Faham!" arah Nairah.

" Faham!" jawab mereka.

Mereka bernasib baik kerana Nairah ada di situ kalau tidak, mereka pasti tidak tahu hendak melakukan apa selepas melihat kejadian yang sebegitu rupa. Mereka semua pun menjalankan aktiviti masing-masing seperti biasa kecuali seorang.

Nairah hanya memandang jalan yang diikuti Idlan dan Shahir tadi. Kosong. Sekarang hanya takdir yang akan menentukan. Siapa yang akan jumpa Fatin?

LANGKAH Idlan berhenti di hadapan jalan yang bercabang dua. Satu menghala ke pantai dan satu lagi menghala ke hotel.

Tanpa membuang masa Idlan yakin Fatin lalu jalan untuk ke pantai. Dia sedang tertekan. Bunyi ombak pantai dengan bintang yang bertaburan di langit pasti akan menjadi tempat yang sesuai untuk menenangkan diri. Idlan terus berlari ke arah kanan.

Shahir juga terhenti. Dia memandang Idlan yang sudah semakin menjauh daripada pandangannya. Pantai ialah tempat yang semua orang akan pergi tetapi dia tidak rasa ia ialah tempat yang Fatin akan pergi. Pandangannya dialihkan memandang hotel. Kakinya mula mengorak langkah.

FATIN memeluk erat lututnya sambil air mata perlahan-lahan menuruni pipinya. Dia marah dengan diri sendiri. Dia kecewa dengan Shahir. Dia rasa bersalah dengan Nairah. Dia benci dengan Idlan. Semua emosi itu cuma terlalu berat untuk dia pikul. Sangat berat.

Kenapalah semua perkara ini terjadi kepadanya? Namun yang paling menyayat hati, kenapa dia harus lalui semua ini seorang diri? Di manakah papa saat dia sangat perlukannya? Perlukan pelukannya. Perlukan nasihatnya. Perlukan gurauan menyakitkan hatinya. Mana?

Air matanya mengalir lagi. Angin sepoi-sepoi bahasa di balkoni biliknya itu menyejukkan pipinya yang basah dengan air mata.

" Fatin Nazihah."

Fatin tersentak. Kedengaran seperti suara Shahir di belakangnya. Namun dia tidak menoleh. Tangannya dengan memadamkan bukti keadaan tangisnya daripada pipinya.

" Orangnya tegas daripada luaran namun lembut di dalamnya. Dia bagaikan mawar yang sentiasa indah rupanya namun takut didekati. Dia bagaikan bintang yang walaupun jatuh tetap bersinar bagai mentari. Kadangkala awak buat saya terfikir adakah air mata awak halimunan? Kerana setitis pun saya tak pernah nampak. Betapa tabahnya hati hanya Tuhan saja yang tahu semuanya." terang Shahir sambil perlahan-lahan berjalan ke arah Fatin.

Fatin mendengar dengan teliti. Sehinggalah Shahir berdiri di hadapannya. Lutut Shahir dijejakkan ke lantai. Fatin hanya memandang ke bawah. Jari Shahir dibawa ke dagu Fatin sebelum mengangkat wajah Fatin perlahan memandangnya. Senyuman terukir di bibir Shahir ditemani dengan pandangan redup. Wajahnya didekatkan ke wajah Fatin.

" Nazihah. You are one in a million." kata Shahir.

Fatin melepaskan tangan Shahir daripada memegang dagunya sebelum mengalihkan pandangannya ke laut. Shahir duduk di sebelahnya.

" Macam mana awak boleh jumpa saya kat sini?" tanya Fatin.

Shahir tersenyum dan terketawa sedikit mendengar pertanyaan Fatin itu.

" Saya tahulah.." kata Shahir.

Jari telunjuknya sudah disediakan di tepi pipi Fatin.

" Sebab hati saya pun ada kat sini." ucap Shahir.

Fatin tersentak. Dia menoleh ke arah Shahir sebelum pipinya terkena jari Shahir. Kornea matanya terus beralih ke jari itu sebelum kembali semula ke muka Shahir. Sekuntum senyuman dihadiahkan untuk Fatin. Comel. Tangannya menggosok pipinya. Matanya dibawa ke arah yang berlainan. Pipinya merona merah.

Shahir tersenyum. Posisi duduknya dibetulkan. Kali ini dia duduk sambil memeluk lututnya sama seperti Fatin. Matanya dibawa ke arah langit sambil bibirnya tidak henti-henti tersenyum.

" Awak tahu tak dalam banyak-banyak machine kat dalam dunia ni, machine apa yang paling penting bagi saya?" tanya Shahir.

Fatin menoleh sekali lagi. Mesin apalah pula tiba-tiba ni? Apalah baru nak feel-feel romantic tiba-tiba tanya pasal mesin pula.. Baik si Shahir ini kahwin dengan mesin basuh. Fatin berkerut sendiri.

" Mesin apa?" tanya Fatin.

Shahir menyendengkan badannya dan meletakkan bahunya di bahu Fatin. Wajahnya mendekat dengan telinga Fatin.

Fatin tersentak. Hatinya mula berdebar laju. Ya, tiada lelaki lain yang mampu membuatkan hatinya tidak tentu arah sebegini rupa kecuali Shahir Iskandar.

" Mencintaimu.." bisik Shahir ke telinga Fatin sebelum kembali semula ke posisi asalnya.

Mata Fatin membulat. Jawapan dia memang kena betul. Machine dengan mencin.. Oklah.. Asalkan comel. Fatin sembunyikan senyuman kecilnya daripada pandangannya Shahir.

" Shahir saya.. Saya nak minta maaf. Saya tak sepatutnya.. rahsiakan benda ini daripada awak. Saya cuma takut yang saya akan kehilangan awak. Saya minta maaf." kata Fatin.

Shahir meletakkan tangannya mengelilingi belakang Fatin sehingga ke bahu sebelah sana sebelum menarik Fatin rapat kepadanya. Fatin terkejut.

" Cepat cerita." arah Shahir.

Mata Fatin membulat. Dia ingat senang ke aku nak cerita kalau dia peluk aku macam ini. Haih.. Cerita sahajalah.

IDLAN duduk seorang diri di atas buaian yang diikat di pokok di situ sambil memandang langit. Fatin tiada di sini. Nampaknya takdir menyebelahi Shahir.

" Cinta itu bukan untuk dipaksa!"

Kata-kata Nairah mengejutkan Idlan. Kepalanya terus menoleh ke arah Nairah yang sedang berdiri sambil memandangnya di sebelahnya itu.

" Idlan. Jangan seksa diri awak lagi untuk orang yang lansung tak kisah pasal awak. Boleh tak? Sudahlah.. Fatin takkan cintakan awak. Kalau awak terus macam ini sampai bila-bila pun awak takkan ke mana jadi tolonglah.. Movie on, please.." kata Nairah.

Badannya dipusingkan. Kakinya hampir melangkah pergi.

" Cinta pun bukan untuk dinafikan!" ujar Idlan sebelum dia bangun daripada buaian itu.

Langkah Nairah terhenti sekelip mata. Apa yang Idlan cakap itu betul dan itu sangat menyakitkan. Badannya kembali berpusing ke arah Idlan yang sudah berdiri di hadapannya.

" At least. Saya cuba untuk mencari jalan keluar, daripada awak? Masih dalam jalan yang sama yang tiada penghujungnya." kata Nairah.

Kakinya mula melangkah pergi apabila tiba-tiba Idlan menarik tangannya, menahannya daripada pergi.

" Idlan. Please, lepaskan saya." kata Nairah sambil menarik tangannya.

Idlan mengetatkan lagi genggamannnya.

" Saya tak cakap pasal awak. Saya cakap pasal saya. Saya tak boleh nafikan cinta saya pada awak. Saya..saya tak boleh kehilangan awak." kata Idlan sambil memandang redup wajah Nairah.

Nairah tersentak. Dia tidak pernah menyangka jawapan seperti itu yang akan muncul daripada mulut Idlan. Betulkah apa yang dikatakannya itu? Ataupun ia hanya satu lagi penipuan?

SUASANA sunyi seketika selepas Fatin selesai bercerita. Masing-masing melayan perasaan masing-masing.

Tiba-tiba Shahir bangun daripada sebelah Fatin. Fatin tersentak. Namun tidak menoleh. Mungkin Shahir terkejut. Biarlah dia melayan perasaannya dahulu.

Tiba-tiba alunan muzik menari classic kedengaran daripada dalam bilik. Fatin terus bangun daripada duduknya. Kelihatan Shahir sedang berjalan ke arahnya. Langkahnya terhenti sebaik sahaja dia tiba di hadapan Fatin. Tangannya dihulurkan kepada Fatin. Shahir mengajak Fatin untuk menari.

" Esok kan kita ada makan malam beradab. Mestilah ada menari kan? Saya tak tahu sangat menari ni. Boleh awak ajarkan?" tanya Shahir sambil tangannya masih dihulur.

Fatin tersenyum sendiri. Tangannya diletakkan perlahan-lahan ke atas tangan Shahir. Shahir tersenyum sebelum membawa Fatin ke pentas tari yang direkanya sendiri. Tangan Fatin diletakkan lembut ke dada Shahir. Shahir memeluk kemas pinggang Fatin dan mereka pun mula menari.

Alunan muzik yang classic memang kena dengan tarian mereka yang tampak elegan. Fatin terkejut juga pada mulanya. Shahir kata dia tidak pandai menari tetapi apa yang dia tunjukkan ialah sebaliknya. Kakinya lincah seperti sudah biasa dengan semua ini. Mungkin banyak lagi yang Fatin tidak tahu tentang Shahir.

Tarian mereka semakin pantas sehinggalah ke korus lagu Fatin tiba-tiba tersadung. Fatin tersentak. Shahir menangkapnya dengan lembut. Mata Fatin membulat dan mula bertaut dengan pandangan redup Shahir. Ya, dialah satu-satunya Shahir Iskandar. Hati Fatin mula berdebar laju.

Wajah Shahir tiba-tiba semakin mendekat dengan mukanya sehingga wajahnya terasa hangat dek nafas Shahir. Biasanya Fatin akan terus lari namun kali ini dia sendiri lemas. Lemas dalam cinta. Tak, Fatin bukan sebegitu rupa. Fatin cepat-cepat membetulkan posisinya. Nafasnya ditarik supaya bertenang.

" La..lagu dah habis. Saya nak masuk tandas sekejap." kata Fatin.

Langkah Fatin menjadi sia-sia apabila tiba-tiba Shahir menarik Fatin rapat kepadanya. Pinggang Fatin dipeluk kemas supaya Fatin tidak dapat melarikan diri lagi. Mata mereka kembali bertaut.

" Nazihah. Biar saya tebus balik kesilapan saya yang dulu. Izinkan saya jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang suami pada awak." kata Shahir dengan nada yang lembut.

Fatin buntu. Dia cintakan Shahir tapi sekarang.. Dia keliru. Patut atau tidak. Fatin terus menepis tangan Shahir dan melepaskan diri. Dia menenangkan diri. Nafas yang berombak diatur semula.

Shahir seperti sudah dapat mengagak semuanya akan jadi sebegini rupa. Tak mengapalah. Mungkin Fatin masih belum bersedia.

" Takpelah. Saya akan tunggu." kata Shahir sebelum melangkah pergi.

" Nanti." halang Fatin.

Fatin menoleh ke arah Shahir. Kaki melangkah ke arah Shahir sebelum ia berhenti. Kepalanya tertunduk.

" Saya tahu awak ialah suami saya. Saya tahu awak tak akan sesekali apa-apakan saya lagi."

Fatin membawa tangannya ke atas dada Shahir.

" Sebab saya cintakan awak my dear Shahir Iskandar." kata Fatin lembut.

Shahir tersenyum nipis.

" Saya pun cintakan awak Fatin Nazihah."

BERSAMBUNG..

LAGU: I WANT YOU TO LOVE ME
Dimainkan..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience