Bab 2

Romance Completed 95749

SECAWAN teh tarik diletak di atas meja, berhadapan dengan Mia.

“Awak…” panggil Mia, menarik cawan teh tarik menghampirinya.

Rudy memandang Mia tanpa berkedip. “Ya, saya?” tanya Rudy. “Ada apa-apa yang tak kena ke?”

“Eh tak, saya sebenarnya nervous la,” ulas Mia, segan silu.

“Lah, nervous…Dah kenapa nervous tiba-tiba ni? Awak ada buat salah ke?” usik Rudy sambil membawa cawan ke bibirnya.

“Nervous la, dah nak kahwin lagi sebulan,” jawab Mia.

“Okay. So, kenapa?” soal Rudy. Kedua lengan direhatkan di atas meja. Bersedia untuk mendengar luahan hati Mia.

“Awak tak nervous ke?”

Rudy mengangkat kedua bahu. “Saya excited, tak nervous.” jawab Rudy, tersenyum bahagia. Mana taknya, tunang kesayangan ada depan mata. Namun jawapan yang diberikan Rudy masih lagi tak berjaya menenangkan hati Mia.

“Memang la awak nervous sekarang tapi nanti kalau dah lepas semua ni, lepas je kita dah sah, nervous awak tu akan hilang. Macam buih dekat laut, sekejap je…” pujuk Rudy.

Lama Mia menyepi, memikirkan kata-kata pujukan Rudy.

“Awak betul yakin tak nervous?” tanya Mia lagi. Minta kepastian.

“Yakin,” senyum Rudy.

“Okay, nanti masa salam dengan tok kadi time akad nikah, awak gagap ke, salah sebut nama saya, siap ya?” usik Mia, menuding jari mesra.

Laju Rudy ketawa kecil. “Eh, kenapa pulak? Saya tak cakap apa-apa,” sengaja Rudy memandang tempat lain, selain memandang Mia.

“Kata tak nervous,” tiba giliran Mia mengusik.

“Saya tak kata langsung tak nervous. Awak tak dengar ni,” sengihnya.

“Ayat tak jelas, jangan salahkan saya,” sengih Mia semula, menunduk. Rambutnya terlepas dari diselit ke belakang telinga. Rudy laju mengangkat tangan menghampiri wajah Mia dengan niat untuk mengemaskan semula rambut Mia tetapi sebaik tangan Rudy menghampiri, Mia mengangkat kepalanya. Mata mereka bertentang. Masa bagaikan terhenti dan kehadiran orang di sekeliling mereka seperti hilang.

Dup… Dap… Dup… Dap…

Dalam masa yang terasa bergerak perlahan itu, Rudy kembali meneruskan niatnya. Rambut Mia dikemaskan seperti sebelumnya. Jantung Rudy seperti gendang yang dihentak laju tanpa irama. Sama seperti matanya yang bergerak liar memandang wajah Mia. Mukanya panas.

“Thank you,” ucap Mia dengan senyuman lebar.

“Don’t mention it,” ujar Rudy, menutup bahagian bawah mukanya, malu.

“Have I told you, you’re pretty, carrot cake?”

Mia tersenyum menggeleng kepala perlahan. “Are you about to?” soal Mia penuh keyakinan.

“I want to…” jawab Rudy. Jelas nadanya yang masih dilamun cinta. “Sepanjang kita keluar ni, saya nak ingatkan awak yang awak cantik. Cantik sangat...” tambahnya.

“Awak ni kan, tak ada sehari yang awak langsung tak pernah tak puji saya. Setiap kali keluar, mandi pujian je la saya ni. Muka saya nampak lain sangat ke setiap kali kita keluar?” soal Mia, menghabiskan teh tariknya. Cuba menutup debar di dada.

“Saya tertarik dengan muka awak sorang je. So…” lagu di radio mamak mengumandangkan lagu secara serentak dengan ayatnya.

When I see your face
There’s not a thing that I would change
‘Cause you’re amazing
Just the way you are
And when you smile
The whole world stops and stares for a while
‘Cause you’re amazing
Just the way you are

SELEPAS selesai urusan membeli barang persediaan perkahwinan, ruang belakang kereta Honda CR-V milik Rudy dipenuhi kotak-kotak untuk doorgift dan bunga telur. Isi untuk doorgift pun selesai diborong.

“Awak nak tau tak, mama berkali-kali dah suruh saya bawak awak makan dengan family saya,” ujar Rudy, menghentikan keretanya di lampu isyarat.

“Ye ke? Kenapa awak tak bagitau?” soal Mia.

“Ha ah, tapi saya tak sempat nak bawak lagi. Sibuk kerja, sibuk nak buat plan untuk keluar date dengan awak lagi,” jawab Rudy, lebar tersenyum. “Tapi mama faham je. Kita pun sibuk nak beli barang persediaan.”

Lampu isyarat bertukar hijau, lalu kereta Rudy mula meluncur perlahan di atas jalan.

“Mama tak marah ke?” soal Mia, gelisah.

Rudy menggeleng. “Tak jadi la dia nak marah dah saya cakap dengan dia yang saya nak bawak dia keluar makan nanti dekat Nadodi. Awak jangan risau pasal mama. Apa-apa, dia soal saya. Awak kan angel dekat mata mama. Sampai saya ni rasa macam anak kutip je,” gurau Rudy.

“Hei, jangan la cakap macam tu,” Mia lembut menepuk lengan Rudy. “Mama saya pun apa kurangnya? Sama je,” tawa mereka kuat tetapi perlahan-lahan mati.

Kesunyian antara mereka sudah biasa. Terasa selesa sahaja bila mereka tidak berkata-kata pada masa tertentu. Rudy memperlahankan keretanya dan berhenti. Tetapi kesunyian mereka tak kekal lama bila Mia kembali bersuara semula.

“Kenapa Nadodi ye?” soalnya, seperti baru mendapat kesedaran.

“Entah la. Saya tanya kawan saya tempat makan mana yang best. Dia perempuan, so mesti la dia tau kan mana tempat makan best kalau nak bawak awak dengan mama. Oh, kawan saya tu nama dia Nurul Aina. Tapi saya panggil dia Aina je. Ingat nak bawak awak jumpa dia nanti tapi tu lah, dia asyik sibuk je.” bebel Rudy sendiri.

Mia tersenyum mesra. “Biasa la tu, working woman. Sibuk tu kan makanan ruji. Takpelah, belum rezeki nak jumpa dia lagi kut.” ujar Mia, memahami.

“Hmm… Tapi dia tu, kasar orangnya. Risau nanti dia bawak kasar tu dengan awak pulak.” tambah Rudy, ketawa.

“Ala, takdenya… Saya pun ada je kawan yang kasar. Lagipun, kan saya ada kedai bunga, macam-macam orang la saya dah jumpa selama ni.” jawab Mia, positif.

“And everyone loves you because you’re a literal angel, carrot cake.” jawab Rudy. Nadanya jauh lebih tenang berbanding biasa. Senyumannya tak lekang dari wajah. “But nanti la, ada masa, saya bawak awak jumpa dia, okay?”

“Okay, abang…”

MIA dan Rudy mengeluarkan barang-barang yang dibeli dari dalam kereta dan meletakkan di hadapan pintu rumah. Banyak juga barang yang dibeli untuk majlis perkahwinan mereka yang bakal tiba tak lama saja lagi.

Kotak-kotak mengandungi bunga telur dan hiasan untuk dulang hantaran diletakkan di hadapan pintu rumah. Tak lupa juga barang hantaran yang sempat dibeli oleh Mia dan Rudy semasa berkunjung ke pusat membeli belah tadi.

"Uish, banyak juga ye barang yang kita beli harini," ujar Mia. Dia kemudian menyusun barang yang siap diangkat Rudy.

Rudy mengangkat kotak terakhir yang diambil dari kereta dan hanya meletakkannya di hadapan pintu rumah sahaja. Tak manis kalau dia masuk ke rumah anak-anak gadis bujang, lagi-lagi kalau dilihat jiran tetangga.

“Awak okay ke nak siapkan semua tu sendiri?” soal Rudy, merujuk kepada persiapan doorgift dan bunga telur.

Dia dan Mia berjalan beriringan menuju ke kereta selepas selesai mengeluarkan semua barang-barang persiapan perkahwinan dari keretanya.

“Kalau tak boleh buat sorang, saya boleh mintak tolong Julia dengan Vivi. Hujung minggu depan Mak Long saya datang ambik doorgift dengan bunga telur yang dah siap, dia la hantar pergi wedding hall tu.”

Rudy mengangguk kecil. Dia berhenti dan menyandarkan badan pada keretanya yang diparkir di hadapan rumah Mia. Rudy kemudian memandang Mia yang berdiri di hadapannya dengan senyuman. Mia yang tersedar dengan renungan itu pantas menegur tunangnya.

“Kenapa awak pandang saya macam tu?” tanya Mia, tersipu malu.

“Saja, nak menikmati pemandangan indah depan saya ni.”

Muka Mia merah mendengar pujian dari Rudy. Apatah lagi bila dia melihat Rudy tidak henti-henti memandangnya dari tadi.

“Dah lah tu pandang-pandang saya. Baik awak pergi balik cepat. Mesti awak pun dah penat kan satu hari ni keluar dengan saya.”

“Eh, awak halau saya ke ni? tanya Rudy.

“Takde lah, tak manis kalau jiran-jiran saya nampak awak lama-lama dekat sini. Ini kan rumah perempuan.”

Rudy mengangguk, bersetuju dengan Mia.

“Okay lah, tapi sebelum saya balik… saya ada surprise untuk awak.”

Tangan kanan Rudy yang dari tadi berada di dalam poket seluar dibawa keluar dan dihulurkan kepada Mia. Mia memandang genggaman tangan Rudy dengan reaksi yang pelik.

“Ada apa?”

“Awak rasa ada apa dalam tangan saya ni? Haa cuba teka.” Soal Rudy sambil menggoncangkan genggaman tangan kanannya. Mia ketawa kecil melihat gelagat tunang kesayangannya itu.

“Hmm surprise apa ni ye… Tapi harini bukan hari jadi saya. Takkan tiba-tiba dapat hadiah ni. Pelik lah.”

Rudy tersenyum lebar melihat reaksi Mia yang sudah tersengih menantikan kejutan yang ingin diberikan. Sudah namanya perempuan, memang cukup suka kalau diberikan kejutan begini. Tak sia-sia rancangannya selama ni!

“Nah, hadiah dari saya. Specially made for you, my love.”

Rudy membuka genggaman tangan kanannya. Kelihatan rantai kunci kayu berbentuk haiwan dihulurkan kepada Mia. Mia menyambut rantai kunci itu dengan reaksi yang teruja.

“Awak buat sendiri ke ni?” soal Mia sambil meneliti rantai kunci kayu itu. Senyumannya semakin melebar apabila mendapati rantai kunci kayu itu sebenarnya adalah bentuk musang seperti yang pernah ditunjukkannya kepada Rudy dahulu.

Memorinya kembali teringat semula pertemuan kali pertama dia dan Rudy. Pertemuan yang cukup mendebarkan buat kedua-duanya tapi siapa sangka tak lama lagi mereka bakal mendirikan mahligai cinta bersama.

“Suka tak?”

Mia mengangguk, tersenyum.

“Terima kasih. Sweet jugak awak ni ye. Tak sangka awak ingat lagi rantai musang saya tu.” Mia menatap wajah Rudy dengan penuh kasih sayang. Semakin hari, semakin dalam rasa cintanya terhadap lelaki itu.

“Nampaknya tak sia-sia lah saya menghabiskan dua hari dua malam siapkan rantai kunci ni. Penat tau. Sakit tangan saya ni.” Rudy berpura-pura memicit pergelangan tangan kanannya itu.

“Serius lah dua hari?” soal Mia terkejut.

“Ye, nasib baik lah ada Aina tolong saya buat ni sekali. Kalau tak, memang lagi lambat lah saya nak siapkan.”

Reaksi wajah Mia berubah seketika. Senyuman lebar di wajahnya perlahan-lahan hilang digantikan dengan raut wajah yang tidak dapat diungkapkan. Mia merenung rantai kunci kayu di dalam tangannya sambil melontarkan soalan kepada Rudy. Meminta kepastian.

“Aina…?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience