Bab 57: Lara

Romance Series 20066

LEPAS tiga hari tak datang kerja, akhirnya muncul juga batang hidung Damia di VeoBay Group itu. Bukan sehari tapi setelah tiga hari bercuti!

Peristiwa perjumpaan antaranya dengan Hanim sewaktu ambil MC tu cukup buatkan Damia tak tidur lena. Tembelangnya berlubang tak bertindik. Penipuannya pecah tak berlitup.

Padan muka kau, Damia! Disebabkan perjumpaan itu, suami kau tahu kesemuanya. Memang layaklah sehari dua ni, suami kau tak nak bercakap dengan kau.

Padahal sebelum ni, Syafiq tu yang paling beria memujuk si isteri. Tapi si isteri? Makin menjadi-jadi perangai.

Sanggup mengaku orang lain sebagai suami, dan orang lain tu adalah bosnya sendiri. Suami mana tak marah? Jadi memang realistik pun apa yang Syafiq lakukan.

Damia tu macam tak berminat nak perbaiki semula hubungan cinta mereka ni. Apa yang Syafiq cuba buat, Damia sia-siakan saja. Syafiq pun dah rasa macam nak mengalah.

"Ikut suka sayanglah. Nak buat itu ini, asalkan sayang puas. Jadi lepas ni tak payah nak libatkan abang dalam apa-apa hal sayang tu."

Cukup mendalam kata-kata Syafiq apabila mereka masuk dalam kereta setelah pertemuan tak dijangka dengan Hanim tu. Sejak dari tu, Syafiq terus tak bercakap dengannya. Memang Syafiq sungguh kecewa.

Bila masing-masing ditawan ego, memang tiada apa benda lagi yang perlu dibincangkan. Nak buka mulut semata-mata mahu berbincang? Dalam mimpi ajelah. Bersua muka pun dah macam satu seksaan bagi mereka.

Tidur asing-asing. Makan asing-asing. Semua dilakukan sendiri-sendiri. Api bertembung dengan api, makin marak bahang hubungan mereka tu. Itu ke apa yang diertikan dengan pasangan 'suami isteri'?

Tak boleh nak letakkan sepenuh kesalahan kepada sebelah pihak sahaja, jadi kedua-dua mereka bersalah dalam hal ni. Seorang buat masalah, seorang lagi pula memanjangkan masalah.

Cuti tiga hari rasa tak cukup. Kalau boleh Damia nak duduk kat rumah, berkurung dalam bilik. Dia pun tak ada mood nak buat kerja mahupun berjumpa orang ramai.

Tapi kalau dia datang kerja ni, sekurang-kurangnya tak payahlah nak sakit kepala fikir pasal suaminya. Kalau duduk rumah, mestilah suaminya tu ada sekali. Jadi dengan hadir ke tempat kerja ni ajelah Damia dapat berjauhan dengan suami. Walaupun sekejap.

"Damia, kau tak lapar ke?" Terasa meja diketuk sekali. Damia terus langut kepalanya.

Oh ... Suraya. Siapa lagi kalau bukan perempuan seorang ni. Dia ajelah yang suka bertenggek kat meja kerja Damia ni. Dah macam cendawan tumbuh selepas hujan gamaknya.

Damia terus geleng. Tadi kawan-kawannya tu adalah ajak lunch kat luar, tapi Damia menolak untuk ikut.

Dia tak terasa lapar pula hari ni. Cukuplah sekadar air kosong dan kuih yang dibeli kat tepi jalan tadi menjadi alas perut. Nafsu laparnya terbantut sejak dua menjak ni.

"Kau ni ... muka monyok aje aku tengok. Nak kata penat, kau dah cuti tiga hari dah. Kau tahu tak, masa kau cuti, kita orang sunyi tau tak? Apatah lagi Encik Zaid tu. Menggelabah dia bila P.A tak ada kat sisi dia tu." Suraya dah mula tonjolkan bibit-bibit bebelannya tu. Damia pun terus juling mata ke atas.

"Tak ada apalah. Penat sikit aje. Aku kan mengandung," jawab Damia sedikit dingin. Terus dia sambung kerja menekan-nekan papan kekunci komputer. Buat-buat busy.

Suraya terus cebikkan bibir. Eleh ... bagi alasan mengandung pula. Padahal sebelum ni, okey aje. Nak kata penat mengandung, dulu tak adalah senyap macam ni.

Ada masalah? Hah! Tiba-tiba fikiran Suraya terjentik mengingat akan sesuatu. Tentang pebualannya dengan Kak Riana dua hari lepas. Sewaktu Damia tak ada kat tempat kerja.

Maklumlah, dah nama pun perempuan. Tak sahlah kalau tak bergosip. Dan Kak Riana la yang mulakan gosip tu dulu. Bercerita itu ini, fuh! Dah mengalahkan wartawan Melodi.

Kak Riana cakap yang Damia tu mengaku yang Zaid tu sebagai suami dia masa pergi scan kat klinik suami Kak Riana tu.

Macam mana Kak Riana boleh tahu? Mestilah dari mulut suami dia sendiri. Suami dia tu kan doktor kat klinik tu. Nak dijadikan cerita, suami Kak Riana tu kenal siapa itu Zaid Zaffran a.k.a bos kepada isterinya. Jadi apa yang Damia buat kat klinik tu, memang sampailah ke pengetahuan Kak Riana.

Yang Damia tu pun satu. Buat satu benda tapi tak reti fikir. Mengaku bos sendiri sebagai suami? Dia tahu tak yang dampaknya tu besar? Kalau satu pejabat tahu apa yang Damia buat tu, silap hari bulan memang Damia tu kena pulau dengan semua orang.

Curang dengan suami sendiri semata-mata kerana seorang lelaki kaya? Mesti itu adalah tanggapan pertama semua orang terhadap Damia tu. Sendiri buat, sendiri tanggung.

"Weh, aku nak tanya kau satu benda boleh?" Suraya terus bertanya. Nak juga korek kepastian. Bukan nak menyibuk, tapi sekadar mahukan penjelasan dari mulut Damia sendiri.

Dia pun tak nak percayakan omongan Kak Riana tu bulat-bulat. Dia kena dengar dari pihak yang lagi satu juga. Takut kalau salah tanggap, jadi fitnah pula.

"Hmm..." Damia jawab ringkas.

"Betul ke kau ada mengaku yang Encik Zaid tu sebagai suami kau. Bukan apa, Kak Rianalah cerita pasal tu. Suami dia kan kerja kat klinik tu, jadi doktor yang scan perut kau. Jadi sebab tu Kak Riana tahu pasal hal tu dari suami dia."

Jari-jemari Damia terus kaku. Lidahnya kelu. Air liur yang diteguk, terasa amat payau.

Semua tentang perkara tu, dah terbongkar ke?

Takkanlah semua kawan-kawannya sudah tahu pasal hal ni? Tapi kenapa dia orang tu layan Damia macam normal aje? Tak ada perubahan apa-apa pun.

Mata Damia masih kekal memandang ke arah Suraya. Matanya luas macam tak percaya.

"Me ... mengaku Encik Zaffran tu sebagai suami aku?" Menggigil-gigil Damia bertanya. Nak kawal rasa gerun, tapi gagal.

Suraya angguk. "Kak Riana baru je bukak mulut pasal hal tu tadi. Aku pun rasa pelik jugak dengar cerita dari Kak Riana tu sebab tu aku tak percaya dia 100 percent. Dan sebab tu jugaklah aku tanya kau ni, nak dengar jugak cerita dari mulut kau."

Nafas Damia tertahan-tahan. Nak marah, tapi kena sabar. Tapi memang dia nak marah sekarang ni!

Kenapalah Kak Riana tu buka cerita pasal hal ni? Kat semua rakan pejabat pulak tu. Nanti jatuhlah maruah aku sebagai P.A Encik Zaffran! Eii ... geram aku. Damia bukukan amarahnya dalam dada.

Itulah, umpat-mengumpat memang tak boleh lari dari kehidupan orang. Lagi-lagi antara rakan sekerja. Memang benda tu dah jadi macam benda normal pula. Benda dah jadi, kan? Jadi kena sabar ajelah hadapi semua.

Kak Riana tu memang dari start kerja dulu dah nampak perangainya. Suka mengumpat, suka bergosip. Damia memang selalu dengar yang Kak Riana ni mengata orang itu ini. Jadi memang tak mustahil kalau sekarang giliran Damia pula menjadi bahan umpatan Kak Riana.

Nak marah Kak Riana? Tapi benda tu berpunca dari Damia sendiri. Dia yang buat masalah, dialah tanggung. Bila hal ni dah tersebar dalam pengetahuan rakan-rakan, mulalah rasa gelisah mencengkam diri. Memang kena dengan perbuatan kau, Damia.

"Err ... haah. Sebenarnya memang betul aku ada mengaku yang Encik Zaffran tu suami aku bila kami sampai kat klinik tu. Tapi kau jangan salah faham. Aku tak sengaja. Aku pun tak expect benda tu keluar dari mulut aku." Damia kemukakan alasan. Harap Suraya bolehlah terima alasannya tu. Walaupun kedengaran sedikit tak masuk akal.

Mata Suraya dibulatkan. Mulut dingangakan lalu segera dia tutup. Dia pandang sekeliling sebelum matanya dituju ke arah Damia semula.

"Ja ... jadi betullah apa yang Kak Riana cerita tu?"

Damia telan liur buat keberapa kalinya. "Hmm ... bukan apa. Panjang cerita dia."

"Kalau begitu, pendekkan." Suraya mencelah.

Damia hela nafas. Haih, nak tak nak kena jugalah dia bercerita kat Suraya ni. Tapi kalau nak cerita, jangan jujur sangat. Mestilah kena ada tokok tambah sikit barulah Si Suraya ni tak akan salah anggap nanti.

"Suami aku ada hal nak kena settlekan. Sebab tu dia suruh Encik Zaffran temankan aku pergi klinik tu. Bila sampai klinik, aku termengaku yang Encik Zaffran tu suami aku. Ye la, selama ni aku selalu pergi check up, suami aku ikut. Benda dah biasa, kan? Sebab tu aku tak sengaja." Damia bercerita dengan yakin. Padahal terselit secebis kebohongan dalam ceritanya.

100 peratus kejadian sebenar, tidak dia ceritakan. Dia ada berjumpa dengan kawannya, Hanim tu tapi dia tak mahu luahkan semua. Sebab apa? Kalau dia cerita hal sebenar, nanti Suraya ni mesti ingat yang Damia ni nak menunjuk bahawa suaminya tu orang kaya. Sebab tu sanggup mengaku Zaid Zaffran sebagai suami.

Jadi lebih baik pasal Hanim tu, Damia simpan aje dalam benak. Kalau terlepas kata, nanti makin panjang berjela pula cerita.

Suraya angguk. Mulutnya terus bulat membentuk huruf 'o'. Nampak gayanya, dia macam percaya dengan cerita Damia tu.

"Patutlah. Haah, kan? Aku baru tersedar yang suami kau dengan Encik Zaid tu berkawan," katanya

Damia angguk laju. Alhamdulillah, nasib baiklah Suraya ni tak tanya banyak. Sekali gus, ceritanya tadi dapat mengurangkan sangsi dalam diri Suraya ni.

Bila Damia cakap yang Zaid dan Syafiq berkawan, lagi sekali ingatan Suraya bagaikan dijentik dan disentuh sesuatu. Pasal hal kelmarin. Ya, dia baru teringat pasal hal tu.

"Cakap pasal Encik Zaid dengan suami kau, aku baru teringat sesuatu. Kelmarin aku nampak dia orang makan berdua kat kafe dekat roundabout tu. Aku baru teringat pasal benda tu," umum Suraya.

Berita yang disampaikan Suraya, buatkan Damia jegil matanya. Suaminya dan Zaid saling bertemu? Kelmarin? Untuk apa?

Terus Damia rasa tak sedap hati. Rasanya memang betul apa yang Suraya ni sampaikan. Kelmarin dalam pukul 2:00 petang macam tu, suaminya tu pergi keluar. Pergi ke mana pun, Damia tak tahu. Jadi mungkin betul yang kelmarin suaminya tu berjumpa dengan Zaid.

Takkanlah suaminya bertemu Zaid, pasal hal tu? Hal 'ter'mengaku suami? Kalau disebabkan hal tu, suaminya memang melampau.

Patutlah hari ni Encik Zaffran tu macam tak banyak cakap dengan aku. Dia keluar, tapi dia tak nak aku ikut. Padahal selama ni, aku kerja sebagai P.A dia, tak pernah dia larang aku ikut dia lagi-lagi berkaitan hal kerja. Mesti suami aku tu ada kata apa-apa kat Encik Zaffran. Desis hati Damia.

Dia semakin yakin, yang suaminya tu mesti bagi amaran kat Zaid. Kalau betul Syafiq buat sebegitu, memang Damia takkan bertahan lagi. Dia mesti 'sound' Syafiq tu cukup-cukup kejap lagi.

"Ye ke? Biasalah. Kawan-kawan, kan? Mestilah nak lepak sekali." Damia pun iyakan ajelah sambil bibirnya memapar senyuman yang penuh terpaksa. Padahal dalam hati, tengah bersambar-sambar dengan api. Panas!

Siap, Syafiq! Balik rumah nanti, Damia akan lampiaskan apa yang terpendam dalam hatinya hari ni. Hal sekecil itu pun nak bertemu Zaid, bagi amaran bagai. Itu memang dah melampaui batas! Damia tak boleh berdiam lagi.

*****

Dengar aje bunyi deruman enjin kereta dari luar, Damia terus berdiri dengan gegas. Rasa mengantuk yang kian terasa, bagaikan lesap ditelan bumi. Malam ni, dia akan langsaikan hutang marahnya.

Dia nak mengamuk sekarang ni. Biar ajar sikit suaminya tu. Pandai-pandai aje jumpa Zaid tak beritahu. Kalau jumpa untuk bincang perkara baik, itu bolehlah Damia terima. Tapi kalau sebaliknya?

Sebab tu Damia berteleku atas sofa kat ruang tamu dari tadi. Tunggu aje suaminya tu balik dari kerja. Memang kalau boleh, dia nak aje serang suaminya tu kat gerai tadi tapi Damia masih waras.

Lagipun tak naklah dia dicop perempuan gila pula oleh orang kampung. Mengamuk, meradang sana-sini. Kat suami sendiri pula tu. Malulah dia nanti.

Dia nak 'sound' suaminya sekarang juga. Punyalah marah Damia, sampaikan hari ni, pulang kerja, terus pulang masuk rumah. Tak teman ibunya macam selalu. Dia tak nak, suaminya tu ulang-alik ambilnya dari sana.

Tahulah Syafiq tu kecewa dengan Damia, tapi dia tu bukan boleh. Hati terluka kena tetak pun, mesti dia tak akan abaikan tanggungjawabnya. Memang dia marah, tapi sekadar di mulut aje. Mulut berubah jadi berat sejak dua menjak ni tapi hatinya?

Dia ikhlas aje nak hantar atau ambil Damia naik kereta walaupun setelah disakiti si isteri tapi Damia tu aje yang tak nak. Sanggup lagi guna khidmat teksi dari kena duduk sebelah seat suami.

Pintu rumah dibuka. Segera Syafiq hentikan langkah. Terkejut jugalah dia bila tengok isterinya tu dah tercegat kat ruang tamu. Ingatkan ada kat dalam bilik.

"Abang ni dah kenapa, eh?" soal Damia tanpa berselindung. Tak ada mukadimah langsung, dia sembur terus rasa geram.

Syafiq kerutkan kening. Tengok ekspresi wajah isterinya menjadi garang, dia tahu, isterinya marah. Tapi sebab apa? Bukan ke dia yang sepatutnya marah kepada isterinya sekarang ni?

"Dah apa hal ni? Tiba-tiba je marah." Syafiq malas layan, dia terus majukan langkah. Kunci disangkut di dinding. Dia nak mandi sekarang ni.

Tak boleh jadi. Damia tak biarkan suaminya berlalu pergi, segera Damia ikut langkah suaminya. Dia takkan benarkan suaminya buat apa-apa selagi dia tak luahkan pasal hal ni.

"Abang jangan ingat yang saya tak tahu apa yang abang buat kelmarin. Abang jumpa Encik Zaffran, kan?"

Secara automatik, langkah kaki Syafiq terhenti. Syafiq mendengus keras bila dengar bait-bait bicara itu keluar dari mulut isterinya.

Seriuslah? Masuk rumah aje dah kena terlibat dalam pertengkaran. Pasal hal Zaid juga. Syafiq pun dah naik muak.

"Encik Zaffran? Tu je eh nama yang paling penting dalam hidup sayang sekarang ni. Sampai sanggup tinggikan suara kat abang. Mana rasa hormat sayang kat abang selama ni?" Tegas Syafiq membalas. Memang dia seorang yang penyabar tapi kalau isteri sendiri dah perangai melampaui batas, dia tak akan kasi peluang.

Dia sebagai suami, dialah yang patut didik isterinya. Tegur mana yang salah. Perbetulkan apa yang khilaf.

"Ya, memang abang ada jumpa dia kelmarin. Abang suruh dia jaga jarak dan batas dengan sayang. Abang ada hak buat macam tu sebab abang ni suami sayang," sambungnya.

Damia tak kalah. Matanya terus membuntang memancarkan panah-panah api. Cakap pasal Zaid, tiba-tiba suaminya tukar topik pasal hormat pula. Eii ... geram!

Lepas tu pengakuan suaminya tu pun, makin berasap la telinga Damia. Boleh darah tinggi jadinya.

"Abang tak payah nak cakap pasal hormat kat Damia. Selama ni, Damia memang hormatkan abang sebagai suami. Damia tak nafikan, sejak Damia mengandung ni, rasa sayang Damia kat abang makin bertambah. Tapi kenapa abang macam ni, eh? Abang suka sangat marah-marah Damia sejak-sejak ni." Bergenang air mata Damia tatkala dia luahkan itu.

Syafiq tegangkan rahang. Getaran pilu yang kedengaran dalam nada bicara isterinya, sememangnya melemahkannya sebagai seorang lelaki dan seorang suami. Tapi, untuk kali ni, dia tak peduli. Syafiq kekal dengan keras kepalanya.

"Sekarang sayang nak playing victim dengan abang? Buat macam abang yang bersalah dalam semua ni? Sayang tahu tak, semua ni takkan terjadi kalau sayang tak buat perangai dulu. Cakap abang suka marah sayang padahal sayang yang mula curahkan minyak. Lepas tu, saja letakkan semua kesalahan kat atas bahu abang sorang."

"Abang penat tau nak bergaduh dengan sayang. Pleaselah, at least sayang tolonglah muhasabah diri tu sikit. Sedar yang diri sayang tu salah. Apa yang sayang buat kat abang, apa yang sayang buat dengan Zaid tu, itu bukan benda remeh tau. Hati abang masih sakit bila teringat pasal hal tu. Dah sarat mengandung ni, dah makin menjadi-jadi perangai sayang, kan? Hilang rasa hormat kat suami, lepas tu lupa tanggungjawab sebagai seorang isteri. Abang terkilan sangat," hambur Syafiq tanpa henti. Segala perasaan yang tertanam dalam hati, dia utarakan semuanya. Biar sentap sikit isterinya tu.

Nafas Damia turun naik. Kata-kata tajam suaminya, sungguh menikam dirinya sehingga ke pangkal hati. Dia memang terasa dengan omongan suaminya tu.

Dan ... akhirnya genang matanya pecah. Bocor air jernih setitis demi setitis. Damia rasa dirinya sekarang ni macam kena hina dengan suami sendiri. Sanggup Syafiq cakap perkara begitu di depan mukanya.

Sambil menyeka air yang mengalir di pipi, Damia membidas, "Sanggup abang cakap Damia lupa tanggungjawab Damia sebagai seorang isteri. Selama ni, Damia cuba belajar masak untuk abang. Setiap cuti pula, Damia ikhlas ikut abang jaga Pak Ya dan tolong prepare bahan sate untuk perniagaan abang. Tu belum lagi cakap pasal hal dalam bilik. Semua keinginan abang, Damia penuhi. Tak pernah Damia tolak untuk puaskan abang selagi tak ada halangan. Hari ni, abang cop Damia sebagai isteri yang lupa tanggungjawab? Tergamak abang cakap macam tu kat Damia." Makin galak air mata Damia mencurah. Sedu dan sedan pula menjadi selingan.

"Tapi tu dulu! Sekarang sayang dah berubah," jerkah Syafiq dengan nada suara yang mampu menggugurkan jantung. Nadanya naik bukan seoktaf dua, tapi beroktaf-oktaf. Urat di bahagian wajahnya, terasa berdenyut. Mukanya turut berubah merah.

Terjongket sedikit bahu Damia. Juraian air mata turut berhenti turun. Memang tersentak sungguh dia.

Bibirnya terketar-ketar menahan rasa sedih dan amarah yang membuak-buak. Dia paling sensitif kalau suaminya dah mula tinggikan suara sebegitu.

"Okey, Damia faham. Abang dah tak sayangkan Damia dah. Kalau macam tu, Damia keluar dari rumah ni. Abang pun mesti dah jijik tengok muka Damia ni." Damia kesat pipi dengan hujung bajunya. Dia memang nak meraung sakit sekarang ni tapi dia mesti kental. Dia nak keluar dari rumah tu!

Dia dah penat dengan suaminya. Dah tak ada benda lagi yang perlu dibincangkan.

"Sayang nak pergi mana?" Syafiq terus buntuti langkah isterinya masuk ke dalam bilik. Gelabah jugalah dia, tiba-tiba isteri cakap begitu. Dia tak mahu berasing rumah dengan isterinya. Dia pasti takkan dapat terima semua tu.

Takkan mereka nak berpisah? Benda boleh diperbaiki, kan?

"Pergi rumah mak. Sekurang-kurangnya, kat sana Damia rasa tenang sikit berbanding duduk serumah dengan abang. Lepas ni, abang pun tak payah risaukan Damia. Biar Damia aje yang jaga diri Damia dan baby nanti." Damia terus capai bagasi di bawah katil. Dia memang maksudkan kata-katanya tadi. Dia nak balik ke rumah ibunya.

Damia menangis, sampai berhingus-hingus dia. Suami yang sedia berdiri di sisi, tidak dihiraukan. Takkan dia pandang walau seinci pun wajah suaminya tu. Dia sakit hati.

"Abang tak benarkan." Jelas Syafiq lontarkan.

Damia tak hiraukan. Makin laju tangannya memasukkan helaian baju ke dalam bagasi. Suaminya berusaha menghalang pun, Damia buat tak dengar aje.

"Abang tak benarkan. Tolonglah, sayang. Jangan macam ni," rayu Syafiq lagi. Sekarang ni, dia betul susah hati.

Damia sarungkan tudungnya ringkas di kepala. Beberapa helai baju dan keperluan lain, sudah siap dimasukkan dalam beg. Walaupun tak semua, tapi tak apa. Kat rumah ibunya tu kan, banyak bajunya lagi yang ditinggal di sana.

Damia terus bangun. Dia dah bersedia nak keluar. Nak pergi ke rumah ibunya berjalan kaki? Tak ada hal baginya. Asalkan bukan suaminya yang hantarkan.

Tapi tiba-tiba terasa tangannya digenggam. Secara automatik Damia terlepas pemegang bagasi itu. Dia terkejut.

Siapa lagi kalau bukan suaminya yang pegang. Damia terus meronta minta dilepaskan. Tapi Syafiq tak mengalah. Selagi dia boleh pujuk, selagi dia boleh rayu, selagi itulah dia akan buat sebegitu.

"Please, sayang. Jangan macam ni. Marah sekalipun kat abang, takkan sayang nak lari kat rumah sana?"

Damia lagi sekali meronta untuk dilepaskan tangannya. Tapi gagal. Genggaman tangan Syafiq, cukup erat. Memang nampak jelas yang Syafiq takut berpisah dengan Damia tu.

"Lepaslah! Apa ni? Sakit tau, tak?"

Damia gunakan tangan kirinya untuk melucutkan genggaman tangan Syafiq tu. Dalam masa yang sama, tangan kanan yang digenggam kuat cuba direntap mengejut. Semuanya demi melepaskan diri.

Damia berjaya. Syafiq terlepas genggaman tangannya. Tapi matanya terus bertukar buntang. Mulutnya pula, terus dilaung dengan perkataan 'sayang' sekuat hati.

Jantungnya berdegup laju macam mahu meletup bila dia tengok apa yang terjadi sekarang ni. Dia ... telah cederakan isterinya?

Bila Damia leraikan genggaman tangan suaminya tadi, Damia hilang imbangan badannya. Tubuhnya terasa tak terkawal.

Tak semena-mena, dia tersadung tikar di dalam bilik itu. Dan, tubuhnya menghempap terus ke atas lantai. Dalam keadaan terlentang.

Damia statik. Sakit tapi dia cuba tahan. Perutnya terasa sedikit keras tapi itu tak apa lagi. Bahagian paling sakit sekarang ni, adalah pada bahagian celah kelengkangnya.

Damia kerling bahagian sulitnya itu dengan perasaan yang penuh berdebar-debar. Ya, dia memang rasakan ada cecair di bahagian itu. Mengalir ke paha sehingga ke betis.

Bila matanya terarah sahaja ke situ, memang betul. Ada cecair berwarna merah, sudah membasahi kainnya. Damia rasa nak pitam dah ketika itu.

Damia terus dongak ke atas. Pandangannya kini terus dihala kepada suaminya. Pandangan yang menandakan, dirinya mahukan pertolongan.

"Abang ... tolong ..." rintih Damia lemah sambil mengusap perutnya.

"Ya Allah! Sayang!" Syafiq segera mendapatkan isterinya. Tangannya terketar-ketar. Bibirnya menjadi pucat.

Tak mungkin. Semua ni mimpi, kan? Kalau bukan mimpi pun, isterinya dan anak dalam kandungan itu pasti boleh selamat, kan? Syafiq dah tak tentu arah.

Kerana perbuatannya, isterinya terduduk lemah kat lantai sebegitu. Semuanya, disebabkan dirinya. Kalau dia tak genggam kuat tangan isterinya tu, mesti semua ni takkan berlaku.

Kalau apa-apa berlaku kepada isterinya mahupun anaknya itu, pasti Syafiq tak akan maafkan dirinya sendiri. Itu memang pasti.

Bersambung...

new update

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience