Bab 25
“Hai!” seru Airiel sambil tersengih.
Di tangan kanannya terdapat sebuah kotak berisi piza, sementara di tangan kirinya tergenggam seikat bunga mawar merah.
Piza dan mawar? seru Amalina di dalam hati. Perutnya memang lapar. Dia baru selesai mengemas. Terasa penat, lapar dan dahaga.
“Hai!” balas Amalina lemah.
“For you,” kata Airiel sambil menghulur bunga mawar merah.
Amalina teragak-agak hendak menyambut.
“Thanks.”
“Tak nak jemput I masuk?”
Amalina melebarkan bukaan daun pintu, mempersilakan Airiel masuk. Airiel meletakkan piza di atas meja kopi yang kosong. Matanya memerhati sekeliling ruang yang kelihatan begitu kemas dan teratur.
“Wah! Kemas dan cantik… Banyak yang dah berubah,” kata Airiel.
Seingatnya kali terakhir mengunjungi rumah Amalina, ruang itu selalu berselerak.
Matanya terpandang ke arah dinding di mana gambar Leo tertampal di sana. Saiz gambar itu cukup besar, sehingga dia dapat melihatnya walaupun dari jauh.
“Memang banyak,” jawab Amalina.
“Termasuk hati you?” tanya Airiel sambil berpaling ke arah Amalina yang berdiri sahaja di sisi sofa.
“Siapa yang lebih dulu berubah hati?” Amalina memulangkan pertanyaan.
“You.”
“Hati I masih macam dulu. Masih tetap mencintai you. Bila tak jumpa you sehari, hati I takkan tenteram, asyik teringatkan you, Alin.”
“Jangan buat lawak!”
“Demi Tuhan, Alin.”
“Jangan menggunakan nama Tuhan.”
“Alin…” Airiel mendekati lalu menyentuh bahu Amalina dengan lembut.
“Alin, maafkan I kalau I menyakiti hati you. I janji takkan sakitkan hati you… takkan cemburu you nak berkawan dengan sesiapa pun. Dengan Hashim ke … dengan sakai tu…errrr… maaf, dengan Leo ke… I takkan marah. I percaya you setia pada I.”
Waktu tidak pernah berhenti, ia terus bergerak dan bergerak ke hadapan. Meninggalkan semua kenangan pahit jauh lantas dilupakan. Pun Leo tidak pernah sama sekali melupakan Amalina. Setiap detik dan setiap denyut nafasnya Amalina sentiasa ada di dalam hati.
Apa pendapat kau tentang Riku?” tanya Mak Upeh yang ingin menjodohkan Leo dengan Riku pula.
Leo mengeluh. Apakah dia akan menerima ataupun menolak? Kalau dia menolak pasti Mak Upeh akan sedih. Jika dia menerima pula hatinya tidak rela… Apa yang harus dia lakukan? Sanggupkah dia melukakan hati sendiri bagi menggembirakan neneknya yang sudah tua itu?
“Nenek memang mahu melihat kau bernikah, cu. Kalau boleh, nenek mahu kau bernikah dengan Riku secepat yang mungkin.”
Cerita tentang rancangan Mak Upeh untuk mengahwinkan Riku dengan Leo tersebar dengan cepat. Lagipun kampung itu kecil sahaja. Kebanyakan penduduk kampung merestui perhubungan tersebut. Tetapi Tok Batin dan keluarganya terutama sekali Perus tidak bersetuju langsung dengan rancangan Mak Upeh. Perus turut menyimpan perasaan pada Riku. Sementara Riku pula amat menyukai Leo sejak. Rancangan pertunangan antara Riku dan Leo segera mendapat restu daripada keluarga gadis itu.
Namun Perus yang sakit hati mulai mengatur rancangan untuk menghapuskan Leo. Leo masih terus berada di kampung walapun dia sudah puas menyakitkan hati dan menghalau lelaki itu.
“Kawan-kawan!” seru Perus sambil memanggil kawan-kawannya yang seramai sepuluh orang itu.
“Aku harap kau orang semua sudah bersedia untuk melakukan rancangan yang telah kita atur. Aku tahu, Leo telah memulakan perjalanannya menghala ke Gunung Ais untuk mencari rusa. Perkahwinannya dengan Riku tak lama lagi.”
“Ya… Ya!” sahut kawan-kawan serentak.
“Hapuskan Leo!” kata Perus memandang ke arah empat orang kawan-kawannya yang ternyata paling gagah dan berani antara mereka yang ada.
“Bergerak sekarang, sebelum terlambat!” Arah Perus.
Leo meredah hutan bersendirian. Dia memanjat bukit demi bukit hingga akhirnya tiba di kaki Gunung Ais. Biasanya rusa memang suka berada di kawasan tanah pamah hingga berbukit. Di mana ada tumbuhan renek ia akan mencari makan di situ.
Leo memasuki satu lorong yang agak gelap. Rimbunan pepohon yang tebal menutup lorong itu. Hampir tidak dapat melihat apa yang ada di hadapan. Namun itulah satu-satunya jalan yang harus ditempuhi. Leo hampir-hampir tiba di hujung lorong, bila dia terasa ada seseorang yang menerkamnya dari belakang. Dia jatuh tertiarap. Tidak sempat hendak bergerak dia merasakan beberapa orang lain datang menangkap tangan dan kaki. Kepalanya disungkup dengan sebuah guni yang berbau hapak. Leo terbatuk-batuk. Dia meronta-ronta dan menjerit. Namun nafasnya kian sesak.
Tubuhnya terus didorong ke hadapan setelah tangannya diikat.
“Apa yang kau orang buat ni? Lepaskan aku!!!”jerit Leo.
Tetapi jeritan itu hanya disahut oleh tawa beberapa orang lelaki. Leo tahu mereka adalah kawan-kawan Perus. Dia yakin Perus tiada bersama mereka.
“Kalau kau orang lelaki sejati. Lepaskan aku… kita beradu tenaga,” kata Leo lagi.
...bersambung
Bab akan datang:
Mahukah mereka melepaskan Leo dan beradu tenaga?
Share this novel