LAFH - 3

Romance Series 665659

“DANEEN goda papa I?” soal Haqq. Macam tak percaya.

Laju Mira mengangguk.

“Saya bukanlah nak burukkan sesiapa. Tapi itulah hakikatnya. Kalau encik Haqq tak percaya, encik Haqq boleh tanya staf yang lain. Semua orang tahu perangai sebenar Daneen. Datin Mariam dah selalu sangat makan hati disebabkan Daneen.”

Dada Haqq berombak laju menahan rasa. Sungguh dia tak sangka Daneen yang sombong itu suka menggoda lelaki. Mungkin gadis itu sengaja berpura-pura di depannya. Padahal sebaliknya.

“Daneen tu pekerja kesayangan Dato' Tarmizi. Kalau Daneen buat silap pun, Dato' Tarmizi tak pernah marah dia. Tak macam staf yang lain. Maybe Daneen tu ada hubungan...”

“Hubungan sulit dengan papa I?” tebak Haqq.

Lambat-lambat Mira mengangguk tanda mengiakannya. Haqq ketap bibir kuat menahan rasa. Tak pernah terlintas sekalipun di fikirannya papanya itu akan buat perangai begini. Kesian Datin Mariam. Pasti dia sudah banyak kali terluka gara-gara perempuan seperti Daneen. Penumbuk digenggam kuat.

Mira tersenyum simpul melihat riak wajah Haqq sudah berubah merah padam seperti sedang menahan marah. Padan muka kau Daneen. Aku akan pastikan kali ini kau kalah!

“Saya tak salahkan Dato' Tarmizi. Yalah kalau dah perempuan macam Daneen tu yang menggoda, mana-mana lelaki pun tak boleh tahan godaan dia. Dia tu licik. Gunakan kecantikan yang dia ada untuk kesenangan diri dia.”

Semakin membara hati Haqq mendengarnya.

“Bukan Dato' Tarmizi seorang yang jadi mangsa dia. Ramai dah lelaki yang masuk dalam perangkap dia. Termasuk pelanggan-pelanggan VIP hotel kita,” tambah Mira lagi.

Tajam Haqq merenung Daneen yang sedang berbual mesra dengan lelaki tadi.

“Saya harap dengan kehadiran encik Haqq dekat hotel ni dapat hentikan semua perbuatan jahat Daneen tu. Encik Haqq pun mesti tak sanggup kan kalau Daneen tu jadi mak tiri encik Haqq.” Mira sengaja menyiram minyak pada api yang tengah marak.

Haqq terus angkat kaki beredar daripada situ. Makin sakit hatinya saat melihat wajah Daneen.

Mira tersenyum puas. Rancangannya untuk membuat Haqq benci pada Daneen berjaya. Kau tak akan selamanya di atas Daneen. Aku akan pastikan kau tersungkur jatuh. Baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah.

“Hei cik kak, yang kau tersenyum-senyum macam kerang busuk tu kenapa? Pergi buat kerja!” hambur Joana. Tangan sudah mencekak pinggang.

Mira cepat-cepat beredar daripada situ. Ah si pondan ni ada jer kat mana-mana!

DANEEN masuk ke dalam pejabatnya. Kosong. Haqq tiada di situ. Entah kemana lelaki itu pergi. Malas nak ambil tahu, Daneen menyambung kembali kerjanya.

Tok... tok... tok...

Pintu pejabatnya diketuk daripada luar.

“Masuk!” laung Daneen daripada dalam.

Pintu pejabatnya dibuka daripada luar. Terjengul wajah Dato' Tarmizi.

“Daneen.”

“Eh Dato’?” Daneen terus bangun daripada duduknya.

“Its okay. Duduklah.”

Daneen mengangguk. Dia kembali duduk.

“Awak ada nampak Haqq?” soal Dato’ Tarmizi.

“Tak ada Dato’. Lepas lunch tadi, encik Haqq tak masuk office semula,” balas Daneen.

Dato’ Tarmizi mengeluh perlahan. Kemana pula anaknya itu pergi? Baru sehari kerja sudah curi tulang. Macam mana dia nak serahkan Majestic Hotel pada Haqq jika anaknya itu langsung tidak menunjukkan kesungguhannya?

“Takpalah. Saya keluar dulu,” Dato' Tarmizi minta diri.

“Baik Dato'.”

Dato' Tarmizi terus melangkah keluar meninggalkan pejabat Daneen. Daneen menghela nafas perlahan. Si Hulk ni memang buat perangai betul lah. Menyusahkan orang!

HAQQ memberhentikan kereta di halaman rumahnya. Langkah kaki terus dibawa masuk ke dalam rumah.

“Bik Anum, mama mana?” soal Haqq sebaik terpandangkan kelibat pembantu rumahnya itu.

“Datin Mariam baru jer keluar dengan kawan dia,” balas Bik Anum.

Haqq mengeluh perlahan. Buang masa jer dia memecut laju keretanya untuk pulang ke rumah.

“Encik Haqq nak makan? Bik Anum boleh hidangkan. Dato' tak balik sekali?” Giliran Bik Anum menyoal.

“Tak apa. Saya dah makan tadi.”

Bik Anum mengangguk. “Kalau macam tu, Bik Anum sambung kerja dulu lah ya.”

Baru Bik Anum nak buka langkah, Haqq memanggilnya kembali.

“Bik Anum, boleh saya tanya sikit?” soal Haqq.

“Apa dia?”

“Sepanjang saya tak ada dekat rumah ni, papa dan mama selalu bergaduh ke?” Haqq cuba mengorek rahsia daripada pembantu rumahnya itu.

Bik Anum diam seketika.

“Selalu juga dia orang bergaduh. Bik Anum tak pasti kenapa dia orang bergaduh. Tapi bila bergaduh mesti Datin Mariam akan sebut nama Cik Daneen.”

Haqq ketap bibir. Bermakna apa yang Mira beritahunya tadi adalah benar. Gadis itu tak buat cerita. Daneen memang ada hubungan sulit dengan ayahnya.

“Takpalah Bik Anum. Terima kasih,” Haqq terus berlalu ke biliknya. Tak rasa nak pulang semula ke pejabat. Dia tahu pasti sebentar lagi Dato' Tarmizi akan bising dengannya kerana pulang awal daripada waktu kerjanya.

PAGI itu Daneen masuk ke pejabat seperti biasa. Namun baru beberapa langkah dia menapak, tiba-tiba Haqq muncul di depannya. Awal pula si Hulk ni datang ofis harini? Huh! Ni kes nak cover sebab semalam balik awal lah ni.

Tiba-tiba Haqq tarik tangan Daneen. Membuatkan gadis itu tersentak.

“Hey apa ni?” Dia cuba tarik tangannya kembali namun pegangan Haqq sangat kuat.

Haqq terus tarik tangan Daneen masuk ke dalam pejabat. Pintu bilik dikunci. Barulah dia melepaskan pegangan tangan Daneen.

“Kenapa dengan you ni? Sesuka hati pegang tangan orang,” marah Daneen. Dadanya dihimpit debaran. Takut kalau Haqq tiba-tiba bertindak di luar kawalan. Lelaki itu sukar dijangka.

“Apa hubungan you dengan papa I?” soal Haqq. Direnung Daneen tajam.

Daneen telan air liur yang terasa kesat. Kenapa tiba-tiba Haqq menyoalnya begitu?

“Jawablah! Apa hubungan you dengan papa I?” Suara Haqq naik satu oktaf.

“Jangan jerit-jeritlah. I tak pekak lagi,” bidas Daneen geram. Pagi-pagi lagi lelaki itu sudah merosakkan moodnya.

“I dengan  Dato' Tarmizi tak ada apa-apa hubungan,” nafi Daneen keras.

“Liar.” Haqq tersenyum mengejek.

Daneen mengeluh perlahan. Pasti ada yang menfitnahnya. Sengaja ingin membuat Haqq bencikannya. Tak guna!

“Terpulang pada you sama ada nak percaya atau tak.” Daneen sudah letih. Ini bukan pertama kali orang menuduhnya ada hubungan sulit dengan Dato' Tarmizi.

Haqq yang sedang duduk di atas sofa itu tiba-tiba menarik pergelangan tangan Daneen. Daneen hilang imbangan lalu terjatuh di atas paha lelaki itu.

“Argh!” Dia ingin bangun namun tangan Haqq terlebih dahulu menghalangnya.

“I warning you, kalau betul you ada hubungan dengan papa I, lebih baik you lupakan jer. I tak akan duduk diam.” Wajahnya sengaja dirapatkan dengan wajah Daneen.

“Isy, lepaskan I lah!” Meronta-ronta Daneen ingin melepaskan diri. Dada lelaki itu dipukul melepaskan geram. Tangan Haqq lebih pantas menahan tangan Daneen dari terus memukulnya.

“I tak sangka you gunakan kecantikan you untuk goda lelaki.” Tangannya naik cuba mengelus pipi Daneen tapi dengan pantas Daneen menepis.

“Don't... touch my face...” tegasnya. Dia terus bangun daripada pangkuan Haqq.

Haqq ketawa mengejek.

“You tak nak cuba goda I, macam you goda lelaki-lelaki dekat luar sana tu?” perlinya.

Hujung bibir Daneen ternaik sedikit. Kepala digeleng perlahan.

“Goda you?” Bibirnya dicebikkan.

“You're not in my list Haqq Qidran,” usai menghabiskan ayatnya Daneen terus berlalu keluar daripada pejabat.

Haqq menghentak kuat meja kayu itu. Dia mendengus geram. Rasa seperti Daneen sedang mengejeknya.

Kau tak kenal lagi aku Daneen. Aku boleh buat lebih daripada yang kau sangka.

“HABIS tu Daneen, kau jawab apa?” soal Salwa. Terkejut dia apabila Daneen memberitahunya tentang kejadian di pejabat siang tadi.

“Buat tak tahu jer lah. Biarlah dia nak fikir aku macam mana sekalipun. Aku dah biasa hadap tuduhan tak berasas tu. Asalkan kau tahu aku macam mana.” Nasi di dalam pinggannya diusap ke dalam mulut.

“Kalau aku jadi kau Daneen, aku cari orang yang sebarkan fitnah tu sampai lubang cacing. Busuk betul mulut dia tu.”

“Aku tak ada kuasa untuk halang orang terus pandang serong pada aku.  Jadi biarlah orang nak cakap apa sekalipun. Aku malas nak ambil tahu.”

“Tapi dia orang tu makin hari makin melampaulah Daneen. Encik Haqq yang baru kerja sehari dekat hotel tu pun tuduh kau macam tu.”

Daneen sekadar angkat bahu. Entah siapa yang pandai-pandai buat cerita pada Haqq dia sendiri tak pasti.

“Mesti dia marah sangat dekat kau sebab dia ingat kau nak jadi mak tiri dia. Daripada jadi mak tiri, baik jadi isteri,” sempat Salwa berseloroh.

Daneen menjeling tajam. Jadi isteri? Huh! Tak hingin. Siaplah kau esok Hulk. Jangan ingat senang-senang jer kau nak pijak aku. Aku tak akan bagi muka!

“I ada tugasan untuk you.”

Haqq yang sibuk dengan telefon bimbitnya sejak daripada tadi itu terus angkat wajah memandang Daneen yang sedang berdiri di muka pintu pejabat.

Daneen menghulurkan segugus kunci pada Haqq. Haqq terus bangun daripada duduknya. Dia menghampiri Daneen.

“Ambil ni. I nak you kemas bilik.”

Berkerut wajah Haqq mendengar arahan Daneen. Riak wajahnya jelas menunjukkan ketidakpuasan hatinya.

“Berani you arahkan I kemas bilik? I bukan housekeeping. Lagi satu, I tak akan dengar cakap you. You bukan bos I. You kena ingat Daneen, jawatan you tu akan jadi milik I tak lama lagi.”

Daneen ketawa mengejek. Memang dia sengaja nak kenakan Haqq. Rancangan sudah diatur sehabis baik. Kalau Haqq fikir dia akan tunduk dengan lelaki itu, Haqq silap besar. Dia tak akan biarkan Haqq senang-senang memijaknya.

“Dato' Tarmizi amanahkan I untuk ajar you jadi pengarah hotel yang bagus. Jadi sekarang ni you kena ikut arahan I. You ingat semudah tu ke papa you akan serahkan jawatan tu pada you?”

“Jadi you rasa I akan ikut cakap you Daneen?”

Daneen jungkit bahu. “Maybe.” Telefon bimbitnya laju mendail nombor Dato' Tarmizi.

Panas hati Haqq melihat perbuatan gadis itu. Seolah sengaja mencabar kesabarannya.

“Ya Daneen?” Kedengaran suara Dato'  Tarmizi di corong telefon. Sengaja Daneen buka pembesar suara. Biar Haqq dengar.

“Dato', Dato' tak kisah kan kalau saya minta encik Haqq kemas bilik hotel? Bukan apa, saya cuma nak dia...” belum sempat Daneen menghabiskan ayatnya, Dato' Tarmizi sudah memotong.

“Saya tak kisah Daneen. Buatlah apa yang awak nak. Kalau Haqq tak nak ikut arahan awak, beritahu saya.”

“Baik Dato'.” Panggilan terus ditamatkan. Lebar senyuman di bibir Daneen.

“You dengar kan? Ataupun you nak I ulang balik apa yang papa you cakap tadi?”

Haqq ketap bibir menahan rasa. Nampaknya Daneen memang sengaja nak kenakannya. Tak guna!

“Selamat mengemas. Make sure kemas bersih-bersih. Kepuasan pelanggan, keutamaan kita.” Kunci bilik tadi dimasukkan ke dalam poket baju kemeja Haqq.

Daneen terus beredar meninggalkan Haqq. Dia bernyanyi-nyanyi kecil. Gembira benar dapat mengenakan Haqq. Biar Haqq tahu siapa dia.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience