Bab 44 : Seminggu

Romance Series 403852

28 Februari 2019, Khamis.

Hari ini sudah hari ketujuh Idris hilang. Memikirkan dia perlu pergi untuk temuduga kerja sebagai guru di Kuala Terengganu pada 5 Mac nanti, Anne menggelengkan kepalanya menolak tawaran Arshad untuk menemaninya. Memikirkan kehilangan suami, tawar hatinya untuk bersedia.

"Ayah boleh temankan. Insya Allah, Idris akan ditemui dalam masa terdekat. Doa banyak-banyak. Anis kena kuat. Kalau pun ada apa-apa yang jadi pada Idris, Anis kena teruskan hidup. Ayah ada. Ayah akan jaga." Belakang anak gadisnya itu, Arshad usap perlahan.

Bukan mudah menjadi bapa yang perlu menyaksikan anak menderita. Kalau diberi pilihan, biar dia yang menjadi galang gantinya. Anas pula sekadar melihat perbuatan dua beranak itu. Kakaknya, Anis sudah berubah menjadi pendiam.

Nampaknya betul lah orang kata, walaupun awalnya bernikah tanpa cinta, asalkan baik layanan suami, pasti si isteri tanpa sedar mulai membalas perasaannya. Aneh ya perasaan yang Allah kurniakan pada suami dan isteri yang tiada pertalian darah, hanya terikat pada akad semata.

Bunyi telefon Anas yang tiba-tiba berdering mengejutkan dirinya yang baru sahaja mengatur langkah ke ruang tamu. Bahri!

"Assalamualaikum bang Yie. Hah? Serius? Ya Allah, Alhamdulillah..."

"Yeke? Okey, okey, Anas beritahu semua supaya tunggu abang datang. Terima kasih bang Yie. Waalaikumussalam." Belum sempat panggilan itu ditamatkan, Anas sudah berlari mendapatkan Arshad.

"Bang Yie cakap, mereka dah jumpa Abang Idris. Dah sampai Kuantan dah pun. Abang ada dekat hospital untuk pemeriksaan. Bang Yie on the way nak datang rumah tu. Nanti dia ceritakan semuanya, tapi tadi ada cakap jugak yang kalau tak ada apa-apa, abang akan dihantar balik awal."

Berita yang diterima bagaikan memberi nafas dan semangat baru untuk semua orang, terutamanya untuk Anne yang tidak henti-henti mendoakan keselamatan suaminya itu.

*****

2 Mac 2019,
IIUM Medical Centre

Anne menyelusuri koridor wad itu perlahan ditemani oleh seluruh ahli keluarganya dan ibubapa Idris. Menggigil kakinya, sejuk tangannya. Pelbagai fikiran terlintas di kepala namun dia cuba untuk menjauhkan bisikan-bisikan yang melemahkan semangatnya itu. Namun satu soalan ini gagal dihalau jauh-jauh.

'Abang akan kenal aku ke nanti?'

"Anis masuk lah. Dia ada dekat dalam." Badan Anis ditolak oleh Rokiah perlahan.

Dengan hati yang berat, Anne menolak pintu wad itu dan mula melangkah masuk dengan perlahan. Beberapa kubikel wad kelas ketiga menempatkan deretan katil dilintasi sebelum dia tiba di bilik wad perseorangan yang menempatkan Idris. Pintu itu pula ditolak perlahan.

Bilik itu dilihat sekelilingnya, mencari kelibat Idris namun tiada. Pada masa yang sama, terdengar bunyi paip air dibuka dari dalam bilik air yang terletak bersebelahan dengan pintu masuk. Anne yang teragak-agak, hanya melangkah masuk dan tanpa segan silunya, terus sahaja dia duduk di kerusi yang disediakan untuk pelawat.

Dengan kedudukannya yang membelakangkan pintu bilik air, dan keadaan dirinya yang sedang berteleku serta hilang dalam fikirannya sendiri, tidak dia sedari apabila Idris sudah keluar dari bilik air dan kini sedang berdiri rapat di belakang kerusi yang didudukinya.

Sambil memejamkan matanya, Anne menghela nafas panjang.

"Ehem..." Deheman itu menarik Anne untuk kembali ke alam realiti.

Pantas dia berdiri dan terus sahaja menghadap Idris yang sedang beriak serius itu. Tanpa sedar, bibirnya menuturkan satu perkataan yang sudah dia janjikan pada dirinya, akan digunakan sebaik sahaja Idris kembali dengan selamat.

"Abang..."

Idris mendekatkan wajahnya kepada Anne. Rapat, sehingga hampir bersentuhan hidung kedua mereka. Anne pula sudah hampir hilang nyawa bila berdua-duaan begitu.

"Awak siapa?" Tanya Idris dengan suara merdunya yang dirindui Anne.

"Hah?"

"Saya tanya, awak siapa? Awak kenal saya?" Ulang Idris lagi dengan suara yang terdengar begitu...sensual?

Atau, romantik?

Entah. Itu semua tidak penting bagi Anne. Yang penting baginya, kenapa Idris tidak mengenalinya tetapi orang lain dapat disebut dan dikenali oleh Idris satu persatu. Termasuk Arshad dan Fauziah.

"Errr, saya...abang...saya," Anne kehilangan kata-kata, hanya mulutnya yang bergerak-gerak tanpa sebarang suara.

Pilu. Beria dia menunggu namun Idris semudah itu sahaja menafikan statusnya?

'Anne, dia tak ingat kau siapa. Bukan salah dia. Dia tak sengaja. Jangan marahkan dia. Jangan berkecil hati dengan dia. Sabar, Allah sukakan orang yang sabar.'

Anne menelan air liur yang terasa kesat pada tekaknya. Perlahan, kakinya di undurkan beberapa langkah ke belakang. Menjauhi Idris yang amat dirindui namun pada masa yang sama perasaannya sudah bercampur baur.

"Errr, saya tersalah bilik. Sorry." Tali beg sandang digenggam erat untuk dia mendapatkan sedikit kekuatan.

Perlahan, kaki diatur menuju ke pintu bilik Idris untuk dia keluar dari bilik itu. Dadanya terasa sesak dengan kesedihan.

"Tunggu." Pergelangan tangan kirinya sudah disauk oleh Idris.

Terasa darah menyerbu naik ke wajahnya.

"Ibu cakap, awak isteri saya. Betul ke?" Tanya Idris.

Anne mengetap bibir kuat, serentak itu juga air mata yang sekian lama ditahan mengalir menuruni pipinya.

"Kenapa awak menangis? Kenapa awak tak jawab je soalan saya tadi?" Tanya Idris seakan berbisik.

"Ab..., awak tak ingat saya?" Tanya Anne.

Giliran Idris pula menggelengkan kepalanya. Tetapi jari jemarinya sudah bergerak ke pipi Anne, menyapu air mata itu lembut. Membuatkan Anne pula terkedu dengan tindakannya itu.

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Asmah
2022-01-26 14:36:33 

Idris berlakon kot nak test Anne

Hawani Hashim66
2022-01-26 13:56:23 

alamakkkk ..Nn nn ....oh tidakkkk cinta kasih baru nk berputik...


NovelPlus Premium

The best ads free experience