Bab 57 : Hancur

Romance Series 403831

"Bilik pejabat Idris diserbu oleh pegawai penguatkuasa pencegah maksiat selepas waktu klinik tamat beroperasi..."

Anne hampir jatuh terduduk. Jantungnya seolah melompat keluar dari badannya. Diserbu penguatkuasa pencegah maksiat bukanlah khabar yang buruk. Ianya akan menjadi khabar buruk hanyalah kalau ada manusia berlainan jantina tanpa ikatan bersama Idris ketika itu, kan? Tapi Idris bukan macam tu. Idris...

"...berdua-duaan dengan Paweena."

Kali ini dia sememangnya terduduk. Kakinya seakan tidak terasa, tidak mampu untuk menampung beratnya yang sudah semakin berkurangan. Telefonnya sendiri sudah jatuh mencium lantai mozek yang putih bersih itu.

"Duduk dulu Anis." Aneesa yang sedang berbadan dua itu bersusah payah mencuba untuk membantu adiknya itu duduk di sofa di ruang tamu itu.

Entah apa berita yang diterima oleh Anis melalui panggilan telefon dari ibu mentuanya sehinggakan sebegitu keadaannya. Telefon Anis dikutip dari lantai itu. Tiada apa-apa kerosakan. Malah, panggilan telefon juga masih bersambung dengan baik.

"Anis? Anis?" Dapat Aneesa dengar panggilan Rokiah sewaktu telefon itu diletakkan di telinganya.

"Maaf ya ibu, Anis tak dapat bercakap buat masa sekarang." Jawab Aneesa.

"Ya tak apa kalau macam tu. Ibu minta maaf sebab dah sampaikan khabar buruk ni pada Anis. Kalau ada apa-apa nanti, beritahu ibu ya. Ibu minta Neesa jagakan Anis dulu sampai kes Idris ini selesai." Balas Rokiah.

Kes Idris? Kes apa? Namun tidak berani untuk dia bertanya lebih-lebih.

"Baik ibu. Assalamualaikum."

Sebaik sahaja Aneesa memusingkan badannya, Anis sudah tiada disitu. Tentu dia sudah masuk ke bilik memandangkan sewaktu panggilan diterima tadi, Anis baru sahaja melangkah masuk ke rumahnya. Malah, masih belum sempat dia duduk pun.

Hanya beg kerja yang diletakkan diatas meja kopi di ruang tamu itu. Mungkin kerana terlalu tergesa-gesa mahu menjawab panggilan dari ibu mentuanya tadi. Aneesa mengatur langkah untuk ke bilik Anis namun pintu itu terkunci. Segera Aneesa mendapatkan Fauziah yang sedang berada di dapur.

"Mak, pergi tengokkan Anis tu. Tadi mak mentua dia telefon, entah apa khabar yang diterima sampai dia terkejut macam tu sekali." Beritahu Aneesa.

"Berita apa? Jangan-jangan Idris hilang lagi?" Fauziah membuat tekaan sendiri.

"Hisyyyy, takkan lah. Baik mak pergi tanya Anis sendiri." Aneesa menolak badan Fauziah perlahan menuju ke arah bilik Anis.

"Mak takut." Beritahu Fauziah dengan jujurnya.

Entah apa khabar yang diterima oleh anak perempuannya sehinggakan dia mengurung diri di dalam bilik begitu. Dia takut kalau sejarah lama Anis dan Azlan berulang kembali.

"Kalau mak takut, Neesa lagi takut. Tapi Anis perlukan kita mak." Gesa Aneesa lagi.

Mendengarkan ayat-ayat pujukan dari Aneesa itu, ada benarnya apa yang dikata oleh anak sulungnya. Perlahan, tangannya diangkat untuk mengetuk pintu bilik Anis yang dikunci dari dalam itu.

"Anis, mak ni. Buka pintu ni, bagi mak masuk ya." Pujuk Fauziah perlahan.

Dari dalam bilik, Anis yang sedang menangis teresak-esak menekap wajahnya pada bantal supaya tangisannya tidak terlepas ke pendengaran Fauziah. Sudah cukup selama ini Fauziah sudah bersusah payah untuk urusan hubungannya dengan Azlan.

Tak perlu hal yang sama berulang untuk hubungannya bersama Idris. Ahhh, Idris pun
sama seperti Azlan. Pandai berjanji tetapi tidak pandai untuk menepatinya. Walaupun masih tiada penjelasan dari Idris, dan walaupun Anne tahu dia perlu mendengar penjelasan dari Idris terlebih dahulu, mindanya lebih cepat membuat kesimpulan.

Kalau betul Idris tidak bersalah, tentu Idris yang menghubunginya sendiri untuk memaklumkan berkenaan hal ini. Bukan Rokiah. Arghhh, semak!

~Flashback~

"Setiap manusia akan menemui tiga cinta." Idris memulakan perbualan.

Anne mengangkat keningnya, memberi isyarat supaya Idris meneruskan kata-katanya.

"Tiga cinta. Cinta yang pertama, memang seperti namanya. Cinta yang datang waktu pertama kali kita jatuh cinta. Bertuah lah kalau kita dapat memiliki cinta pertama itu. Cinta yang semuanya manis-manis sahaja, terutamanya jika kekal manisnya hingga ke alam perkahwinan.

Cinta yang kedua, the hard one. Cinta yang mendewasakan kita. Cinta yang datang bersama kesakitan. Jika kita dapat bertahan mengharungi kesakitan itu, insya Allah ganjarannya adalah bahagia.

Cinta yang ketiga, cinta yang tidak terduga. Selalunya bila cinta kedua gagal, kita takkan terus menunggu cinta lagi. Kita meneruskan hidup seperti biasa. Sehinggalah datang cinta baru yang tak terduga tu. Insya Allah, datangnya juga bersama bahagia." Terang Idris.

"Awak tak kisah ke tak jadi yang pertama di hati saya?" Duga Anne.

Idris menggeleng kepalanya.

"Saya mungkin bukan yang pertama. Tapi izinkan saya jadi cinta kedua dan ketiga awak. Cinta yang terakhir untuk awak. Cinta yang membahagiakan awak." Idris membalas dengan penuh romantis.

Anne terkelu. Namun perlahan, di bibirnya terukir senyum yang ditahan dari terlepas sewaktu dia sedang berhadapan dengan Idris.

"Insya Allah, kalau Allah izinkan." Pendek sahaja jawapan Anne.

*****

Mungkin, belum sampai masanya untuk Anis Rumaysa bahagia.

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

norsila
2022-02-17 09:57:46 

hisss cuai tol idris ni...huuu


NovelPlus Premium

The best ads free experience