BAB 12

Romance Completed 11647

Selepas menghantar Lanny ke KPJ Specialist Hospital, aku memandu pulang ke rumah.

Mungkin sebab aku Lanny jadi macam ni. Rasa bersalah mula menyelubungi diri. Ditambah lagi dengan perasaan bersalah terhadap Rose.

Aku menjerit sambil menghentak hentak stereng kereta bagi melegakan tekanan yang ada.

Setibanya di rumah, aku melihat keadaan rumah masih gelap. Takkan lah Rose belum keluar dari bilik sejak tadi? Makan hati agaknya. Aku mengambil keputusan untuk meminta maaf terhadap Rose dan menceritakan perkara sebenar.

Setelah mengetuk pintu bilik Rose berulang kali, aku mengambil keputusan untuk menerjah masuk ke dalam kerana Rose tidak memberi sebarang reaksi. Risau juga kalau Rose mengambil tindakan yang sama seperti Lanny.

Aku terkejut kerana Rose tiada di dalam bilik. Tanpa membuang masa, aku mencari Rose di seluruh rumah.

Tandas, tak ada.

Dapur, tak ada.

Ruang solat, tak ada.

Aku mula risau, risau jika Rose mengambil tindakan seperti dulu.

Aku meluru ke bilikku yang berada di tingkat atas, cuba melihat sama ada Rose masih meninggalkan nota seperti dulu atau tidak.

Benar sangkaanku, sekeping nota terletak elok di atas lantai bilikku. Mungkin Rose menyelitkan nota itu melalui bawah pintu.

Nota yang ditulis menggunakan tulisan kemas itu dibaca satu persatu. Aku yakin, jika masuk pertandingan tulisan paling cantik, Rose akan menjadi juara. Hairan juga aku bagaimana Rose yang tidak habis darjah 6 boleh mendapatkan tulisan yang cantik.

Kepada : Hamka.

Mungkin saat Hamka membaca coretan Rose, Rose sudah tidak ada lagi di sini. Rose yakin, pemergian Rose ada kebaikannya. Lagipun, Rose di sini cuma menumpang kan? Pelacur seperti Rose tak layak bersama Hamka. Terima kasih, kerana mengajar Rose solat sunat Dhuha, kerana doakan Rose sewaktu kita solat bersama, dan kerana selamatkan Rose. Terlalu banyak kebaikan Hamka dan keluarga Hamka telah berikan kepada Rose. Maafkan Rose, kerana menggoda Hamka. Jujur Rose katakan, tidak terlintas pun di hati Rose ingin menggoda Hamka sewaktu berdiri di hadapan pintu bilik Hamka. Tapi, Rose bersyukur kerana Rose mendengar semua pengakuan jujur Hamka. Maafkan Rose, kerana merosakkan hubungan Hamka dan Lanny. Hamka jangan cari Rose macam dulu, Rose berada di tempat selamat.

Assalamualaikum.

Aku meraup kasar wajahku. Rambut sengaja dikusutkan. Aku risau jika Rose patah balik ke jalan sesat itu. Aku nekad, aku akan pergi menemui Jay. Aku sanggup bayar berapa saja asalkan aku mendapat Rose aku.

Ya, Rose aku.

Aku tidak tahu apa perasaanku yang sebenarnya terhadap Rose. Sama ada sayang kerana wajahnya persis Zahra ataupun sayang kerana cinta.

Kereta dipandu laju menuju ke Setia Alam, tempat dimana Jay beroperasi. Bahaya yang mendatang tidak difikirkan lagi asalkan Rose selamat daripada terus diperkotak katikkan oleh Jay.

Suasana di dalam kelab itu gamat dengan lagu Pencuri Hati versi dangdut yang dinyanyikan oleh Aida Jebat, lampu lampu disko yang berkerlipan langsung tidak menarik perhatianku.

Aku ternampak Jay sedang duduk berkepit dengan seorang perempuan yang memakai dress sendat yang kelihatan agak mabuk, mungkin kerana penangan wine.

Tangannya Jay tidak segan silu merayap di dada gadis itu yang terdedah.

Tanpa memperdulikan mereka yang sedang berasmara, aku mencuit lengan Jay dan mengajaknya ke satu sudut di kelab itu.

"Lu siapa? Macam pernah nampak." Tanya Jay sambil dia menaikkan cermin mata hitam yang dipakainya ke atas kepala.

"Hamka." Jawabku sepatah. Bukannya Jay tidak mengenal siapa aku. Hey ni Hamka lah, ketua kumpulan White Dragon suatu ketika dulu. Mustahil Jay tak kenal.

Jay tergelak sambil dia berjalan mengelilingi aku. "Abang besar sudah keluar. Wa fikir lu sudah mampus!"

"Wei langau, banyak punya pailang nampak. Hidup mati wa, bukan di tangan lu la sial."

"Lu cakap aa, macam tak sayang lu punya nyawa." Jay memeluk tubuh sambil memerhatikan aku atas bawah. Aku tak kisah apa yang jadi, asalkan aku dapat Rose.

Aku tergelak besar mendengar kata kata Jay. "Tengok wa punya lutut, tara goyang kan? Hey Jay, lu pijak gua sekarang, lu panggil lu punya anjing anjing pijak sama gua sekarang." Kataku sambil mengeluarkan pistol yang berada di dalam poket seluarku.

"Lu ada pistol ha? Lu kasi tembak sini! Sini!" Ujar Jay sambil jari telunjuknya diarahkan ke kepalanya.

Aku hanya tersenyum sinis kepadanya. Malas nak melayan lagak si Jay. Lagipun tujuan kedatanganku ke sini bukan hendak mencari pasal, aku mencari Rose.

"Hey Jay, wa datang bukan mau ambil nyawa. Itu kerja bukan wa punya, itu Izrail punya kerja." Kataku sambil meletakkan pistolku ke dalam poket semula.

"Hey lancau, lu jangan nak azan wa la." Jerit Jay kepadaku sejurus membuatkan beberapa mata di kelab itu memandang kami berdua.

"Dah la Jay, Rose mana lu simpan?" Ujarku tanpa berdalih lagi.

"Rose? Mana lu kenal gua punya Primadona?" Jay berkata sambil memandangku dengan kedutan di dahi.

"Itu lu tak perlu tahu. Berapa lu nak, gua bayar. Asal Rose jadi milik gua."

"Haiyaa, ini busuk punya mulut apa lu bilang? Lu jangan buat bodoh la, fikir aku tara tau itu Rose sudah masuk lock up?"

Aku mengeluh panjang sebelum menjawab, "Itu Rose memang tada sama lu ka?" Hairan, ke mana pula Rose pergi. Tapi bukan boleh percaya kata kata Jay, mana tahu kalau dia sorokkan Rose.

Jay mengelengkan kepalanya. Daripada gayanya tadi memang benar Rose tiada bersamanya. Tanpa berlengah, aku berlalu pergi.

Sebelum pergi aku sempat berpesan pada Jay, "Lu rembat gua punya Rose, wa rembat lu punya nyawa."

Selepas itu, aku memandu pulang ke rumah. Tidak habis tentang Lanny, tentang Rose pula datang menjenguk. Entah apa aku hendak jawab pada emak dan ayah apabila mereka pulang nanti. Tentu mereka risaukan Rose, mereka sudah menganggap Rose seperti anak mereka sendiri, malah melayan Rose tidak ubah seperti melayan Zahra.

Emak, ayah, Hamka janji Hamka akan bawa pulang Rose.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience